Bab 23

Romance Series 59136

Suara – suara dari ruang tamu membuatkan aku lagi gemuruh. Aku tak dengar sangat perbincangan mereka di ruang tamu, dan nenek pula melarang aku keluar dari bilik. Katanya tak manis dipandang tetamu kalau aku mendengar perbualan mereka sekali.

Syafik pun menyokong nenek. Dorang ni tak faham ke aku dah naik seram sebab tak tahu hal yang dorang bincangkan kat luar tu. Risau, takut semua ada. Dahlah aku sendirian sekarang ni. Lagilah seram aku dibuatnya.

Aku hanya mampu menenangkan diriku dengan bermain telefon. Dari satu aplikasi ke satu aplikasi aku layari, tapi tiada satu pun mampu menarik perhatianku. Dada aku jadi berdebar tak tentu arah. Ni baru keluarga dia jumpa, belum lagi kahwin. Kalau kahwin rasanya lagi tak senang duduk aku dibuatnya.

Mesej dari Lia masuk berjaya menarik perhatianku. Aku membalas laju mesej darinya walaupun tangan aku ni menggigil.

Aku ingat nak pergi kampung kau hari ni, nak teman kau. Tapi ada kerja sikit aku nak siapkan. Research aku tak habis lagi. Sorry.

Kajian tentang apa pula kali ni agaknya dia nak buat? Naya aku balik nanti dah kena siapkan mental nak tolong artikel dia tu.

Tetiba aku rasa tak mahu balik. Bau kerja tanpa gaji mendatang.

Aku menunggu sabar Lia membalas. Dengan laju dia membaca dan menaip balasan.

Ni kau laju balas mesej aku mesti sebab kau gemuruh teruk kan? Btw, kau kena tolong aku sampai sebelum kau hilang title bujang. Nanti kau dah kahwin takkan aku nak culik kau pula? Jadi heret kaki kau tu balik sini, sebab aku menunggu kau dengan kerja.

Hilang title bujang? Ada jer dia ni. Macam esok pula aku kena kahwin. Ada masa lagi aku nak menikmati zaman bujang aku ni. Dia buat bunyi menyeramkan macam lepas kahwin aku tak boleh jumpa dia lagi pula.

Bagus juga aku kahwin, kalau tahu awal lagi aku kahwin. Tak kena kacau dengan kau lagi.

Aku tergelak sendirian membaca balasan mesejku. Rupanya ni cara nak buat Lia mula belajar jangan buat kerja saat akhir yer.

Kejamlah kau. Nanti aku buat baik dengan si Adam tu. Hah senang dia tolong aku culik kau. Ingat aku tak berani ke buat macam tu?

Amboi!

Sejak bila kau berani nak rapat dengan bakal suami aku?

Seram aku dengan dia ni.

Demi kerja aku yang tertunggak, aku sanggup! Aku ugut Adam juga nanti.

Dia ni memang menyeramkan.

Cik, bakal suami saya tu peguam tau. Jangan sampai dia keluarkan akta – akta dia pula nanti.
Sesaat kemudian dia membalas.

Akta tak akta, aku tahu macam mana nak settle luar mahkamah. Ni Lia tau. Semua orang takut dengan aku kalau aku bersuara.

Bukan main kawan aku sorang ni eh.
Oh, patutlah tak ada lelaki rapat dengan kau lebih dari kawan. Rupanya sebab ni yer? Please berubah, aku nak juga tengok kawan aku kahwin.
Padan muka!

“Mia!” aku mendengar suara nenek memanggil namaku.

“Kejap nek!” aku menyahut. Laju tanganku menaip beberapa baris ayat sebelum pergi keluar. Aku hampir terlupa dengan kenyataan keluarga Adam datang hari ni. Tengoklah, masa kahwin nanti aku memang paksa Lia berkepit dengan aku 24 jam, baru hilang gemuruh aku ni rasanya.

Laju kaki aku melangkah menuju ke ruang tamu dan memerhati tetamu mulai memakan lauk tengah hari yang aku hidangkan. Mataku sibuk mencari bayangan Adam, entah mana pula dia. katanya nak datang.

Aku bersalam dengan semua, cuba beramah mesra dengan mak cik Adam yang hadir, dan juga kakaknya bersama aku agak mungkin suami Puan Qaisara. Bukan main rapat dia dengan Puan Qaisara dengan Rayyan.

Tapi aku masih lagi tak nampak bayangan Adam. Mana dia agaknya?

“Cari Adam?” Puan Qaisara menegurku.
Laju aku menggelengkan kepala. Kantoi pula. “Ni suami akak ke?” aku mengubah topik.

“Haah,” aku hanya memberikan senyuman. Si Rayyan pula aku hanya memberikan cubitan manja pada pipinya. Baru semalam aku jumpa dia sebagai anak murid. Hujung bulan ni aku jadi mak cik dia pula.

Perkara tak disangkakan macam ni boleh berlaku yer?

“Adam dia ada client nak jumpa hari ni. Tu dia tak datang. Mesti dia lupa nak bagitahu Mia.” Puan Qaisara menjawab persoalan yang berada di mindaku.

“Eh,” aku terdiam. Malu pula aku. Kenapa nampak sangat aku mencari dia? segan aku. “Tak kak, Mia tengok lauk cukup tak. Risau tak cukup jer.” Aku memberikan alasan tak munasabah.

“Yelah,” dia seperti tahu aku cuba mengelak. “Adam tu memang macam tu. Kalau dia ada client, jangan haraplah dia nak bagitahu dulu. Selalu dia lupa makan, lepas tu tak terurus. Nanti Mia kenal dia, sabar jer tau tengok dia macam tu.”
Alamak, aku jadi tak selesa pula borak tentang Adam tanpa orangnya kat depan mata.

“Tak tahu pula dia macam tu. Terima kasih kak sebab bagitahu.”

“Lagi satu,” Puan Qaisara memegang tanganku. “Adam nampak jer macam okey, tak ada masalah, tapi selalu tanya dia dan minta dia kongsi dengan kamu kalau beban tu berat sangat. Akak kenal dia dari kecil lagi, adik akak kan. Dia tak suka susahkan orang lain. Tu susah dia nak rapat dengan orang lain lepas orang tua kita orang pergi. Jadi Mia selalu sabar tau dengan Adam. Kalau apa – apa hal, jangan segan call akak.”

Aku tersenyum dan mengangguk kecil.

Sayang dia kat Adam mesti jadi punca dia risau kalau aku tak boleh terima sisi Adam yang ni. Mata dia nampak berharap aku boleh faham Adam. Sedangkan aku sendiri risaukan benda sebaliknya.

Jam tepat menunjukkan pukul 4 ketika mereka bertolak balik. Aku melihat satu per satu kereta keluar dari halaman rumah nenek. Keluarganya juga tidak sebesar mana, sama sepertiku. Kini hanya tinggal sebuah lagi kereta milik Puan Qaisara masih belum bertolak. Aku merenung tingkap menunggu mereka pergi.

Tingkap kereta di belakang terbuka dan muka Rayyan menjengah. Aku merapati kereta mereka.

“Cikgu, esok kita main game apa?” tanya Rayyan. Jarang dia seramah ni dengan aku. Di kelas walaupun tiada sesiapa, dia tetap berdiam diri dan hanya berbicara bila aku bertanya.tapi jawabnya hanya sepatah dua sahajalah. Ingatkan aku kat pak cik dia tu jer.

“Rahsia.” Jawabku, mataku kenyit dan mencuit hidungnya. Sejujurnya aku masih berfikir lagi permainan untuk esok, tapi kalau tak sempat, aku terpaksa lanjutkan ke plan B.

Bukan senang nak jadi guru tadika ni yer. Siap nak kena buat plan berbeza setiap minggu agar murid – murid aku tak bosan. Setakat ni dorang semua terhibur. Nasiblah riaksi dorang semua ni jujur, jadi tak ada yang nampak terpaksa buat – buat seronok dengan aktiviti aku lakukan.

“Rayyan tak sabar nak pergi sekolah sebab cikgu ada.”

Jawapan jujurnya membuatkan hatiku jadi tersentuh. Agaknya semua anak muridku yang lain mama ni ke? Entahlah. Aku harap dorang pun sama.

“Cikgu pun tak sabar nak pergi sekolah esok.”

“Cikgu.. Pak Su cakap lepas Pak Su kahwin nanti, Rayyan kena panggil cikgu Mak Su lepas ni. Boleh ke?” aku terbatuk mendengarinya. Dari dalam kereta aku terdengar suara tawa kecil Puan Qaisara dengan suaminya.

Aku tak tahu nak balas macam mana. Hanya mampu tersenyum sahajalah sampai kereta mereka menghilang dari pandangan. Sesak nafas aku. Nak kena si Adam ni. Belum apa – apa dah diajar Rayyan macam – macam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience