Bab 24
“Aku tak cintakan dia.”
“Jadi, kau cintakan perempuan tu? Eloklah kau berambus dari sini. Lagipun kau bukan cucu kandung Mak Upeh. Kau orang asing!” kata Perus sambil meludah ke tanah.
“Apa maksud kau?”
Perus mencebikkan bibirnya.
“Pergilah tanya sendiri pada Mak Upeh, apa maksud kata-kataku ini. Kau memang bukan cucu kandungnya. Malah kau bukan puak kami. Kau orang luar… Orang Melayu!”
Senja merangkak datang, Leo masih duduk di pelantaran memandang langit yang kian gelap. Mak Upeh datang membawa pelita ke ruang pelantar. Dilihatnya Leo masih terus bermenung sejak tadi.
“Kenapa cucu? Kau termenung saja sejak balik tadi?” tanya Mak Upeh.
Leo diam. Sekonyong-konyong dia teringat semula pada kata-kata Perus.
“…kau bukan cucu kandung Mak Upeh. Kau orang asing Pergilah tanya sendiri pada Mak Upeh, apa maksud kata-kataku ini. Kau memang bukan cucu kandungnya. Malah kau bukan puak kami. Kau orang luar… Orang Melayu,” kata-kata Perus yang menyakitkan itu terus berulang-ulang dalam relung otaknya. Dia memandang wajah tua Mak Upeh.
Ada kedut di seluruh wajah itu. Sudah lama wanita tua itu hidup di dunia ini. Barangkali sudah hampir tujuh puluh lima tahun. Leo pun tidak mengetahuinya dengan tepat. Dia hanya meneka sahaja.
“Nek, boleh aku bertanya…”
“Apadia cu?”
“Betulkah aku bukan cucu kandung nenek?” tanya Leo dengan berhati-hati takut Mak Upeh tersinggung.
Wajah Mak Upeh berubah. Dia tidak menjawab soalan Leo. Dia meneguk airliurnya perlahan-lahan. Bibirnya bergerak-gerak ingin berkata sesuatu tetapi tidak kesampaian.
“Siapa yang cakap macam tu?” tanya Mak Upeh dengan sedih. Airmatanya mengalir perlahan.
“Orang tu lebih tahu dari aku sendiri? Kau bukan cucu aku? Siapa yang kata? Orang tu memang kurang ajar. Siapa dia yang berani mengata kau bukan cucu aku. Siapa?” tanya Mak Upeh dalam sedu sedan.
Tangan tua Mak Upeh menggoncang bahu Leo dengan kuat. Leo membatu diri. Dia tidak akan memberitahu bahawa Perus yang mengatakannya. Dia tidak tahu apakah dia akan percaya pada kata-kata Perus atau kata-kata Mak Upeh.
Leo menyesal kerana soalannya itu membuat hati Mak Upeh tersentuh.
Sudah seminggu Amalina kembali ke kota, baru hari ini dia punya kesempatan untuk mengemas. Ruang tamunya sudah lama dibiarkan berselerak dengan buku-buku. Ruang itu bukan sekadar ruang tamu tetapi juga adalah ruang kerja merangkap tempat tidur, malah segalanya. Sejak dia sibuk dengan kerja-kerja menyiapkan bukunya, dia jarang tidur di dalam bilik. Dia tidur di sofa, tidak kira malam ataupun siang.
Dia juga malas untuk memasak. Setiap hari emaknya datang menghantar nasi dan lauk. Emaknya sudah bising menyatakan rumahnya yang semak.
“Kemaslah sikit. Tengok keadaan rumah kau macam ni, tak ada orang nak buat menantu nanti. Takut lelaki nak dekat. Nanti orang ingat kau ni pengotor dan pemalas.”
Betul mak! Tak ada orang yang nak pada anak mak ni! Lalat pun takut nak dekat dengan Alin… bisik Amalina sambil terus mengemas.
Walaupun dia mengemas buku-buku dan meletakkannya di dalam almari buku, dia tahu dia akan kembali mencari dan menyelerakkannya. Jadi, untuk apa dia mengemas?
Semasa dia sedang mengemas meja komputernya, dia terpandangkan gambar Leo.
“Kau tahu Leo, aku ni pemalas. Cuci baju, memasak memang aku tak suka…Macamana aku nak jadi isteri orang?” kata Amalina sambil tersenyum.
“Ah! Aku rindukan kau… Aku rindu nak makan ikan yang kau bakar. Nasi yang kau masak… Kau rajin. Kalaulah kau ada di sini, kau akan tolong aku kan? Tolong aku masak nasi… Bakar ikan ataupun ayam.”
Kau dah gila ke, Amalina? Marah hatinya sendiri. Aku perlu menurunkan gambar Leo! Aku akan jadi gila sekiranya gambar-gambar itu terus tertampal di situ. Lebih baik aku simpan sahaja foto-foto ini! Lebih mudah untukku melupakannya jika gambar itu tiada… Amalina menanggalkan satu persatu gambar Leo lantas menyimpannya di dalam laci meja.
Amalina melepaskan keluhan. Dia tidak dapat melupakan Leo walaupun dinding itu sudah kosong. Lantas dia meletakkan bingkai gambar pemandangan laut waktu senja. Tiba-tiba dia merasa hampa sendiri. Sehingga kini wajah lelaki itu masih terbayang di mata, menjadi igauan dalam tidurnya.
Amalina menurunkan bingkai gambar pemandangan itu. Lantas dia membuka laci, mencapai sekeping gambar Leo yang ada di dalamnya. Gambar itu kembali ditampalnya di tempat tadi.
Saat itu terdengar ketukan di muka pintu rumah Amalina. Dia tersentak sambil memandang jam. Emaknya datang? Mengapa awal sangat? Kan belum tiba waktu makan malam? Emaknya selalu datang menghantar makan malam pada pukul lapan malam. Sekarang baru pukul enam setengah petang.
Amalina bergerak membuka pintu.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang datang ke rumah Amalina?
Share this novel