BAB 3

Romance Completed 20321

Dengkuran halus si isteri memberitahunya bahawa Julia sudah pun hanyut dibawa lena. Perlahan-lahan kakinya dihayunkan. Jemari menolak pintu gelangsar dan dengan perasaan sebak dia menghampiri balkoni rumahnya seraya memerhatikan keadaan langit yang suram. Sesuram cintanya kepada Julia. Sesuram kasih yang dia curahkan untuk Julia biarpun Julia sudah halal buatnya. Biarpun nafsu dan iman sering kali berkocak hebat di kala Julia berada di sisinya, tetapi perasaan itu tidak seperti betapa bahagianya dia ketika bersama-sama dengan Durrah. Entahlah! Padanya, Durrah lebih manja dan lebih comel tingkahnya jika hendak dibandingkan dengan Julia.

Durrah ternyata tersangatlah istimewa. Isteri yang akur akan arahannya, patuhi perintahnya, sentiasa menyambut kepulangannya dengan senyuman dan tidak pernah melawan. Ah, lembapkah aku kerana melepaskan seseorang sepertinya?

Kepalanya digeleng-geleng. Langit yang masih gelap ditatap lama. Imtiyaz mengeluh lemah sebelum menoleh sekilas, merenung sekujur tubuh genit yang masih terbaring di atas katil. Selama ini, arahan Puan Kalsom yang beria-ia menyuruh dia keluar dengan Julia diturutkan sahaja tanpa bantahan. Namun tidak sangka pula ibunya itu mahu menyatukan dia dengan gadis seperti isterinya. Pantang ditegur, mulalah Julia merajuk tak sudah! Hinggakan letih Imtiyaz mahu menjernihkan hubungan mereka kembali.

‘Durrah tak pernah berperangai macam tu,’ bisik kata hatinya.

Teringat tentang kejadian malam semalam. Jam sudah berganjak ke pukul tiga pagi barulah isterinya itu reti untuk pulang ke rumah. Imtiyaz yang ketika itu tidur-tidur ayam di ruang tamu segera bangun daripada lena dan menyoal Julia. Tetapi apa yang dia peroleh hanyalah kata-kata berbaur cemburu dari mulut Julia, hinggakan nama Durrah pun disebutnya sekali.

‘Durrah tak pernah meninggikan suara dia dengan aku.’

Hati yang masih mencintai terdetik lagi. Deruan angin malam yang dingin membuatkan perasaan rindu Imtiyaz terhadap Durrah semakin menggunung. Wajah itu belum puas untuk ditatap. Senyuman itu belum puas untuk dibalas. Tubuhnya tersandar di dinding seraya wajahnya yang kusut diraupkan kasar.

“Durrah…”

Tersentak. Itulah reaksi yang Imtiyaz berikan di saat telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat. Nombor yang tidak dikenali. Keningnya berkerut-kerut namun disambungkan juga talian lantas telefon itu dilekapkan ke telinga. “Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Ini siapa?” soalnya hairan.

“You don’t need to know. Whatever it is, we need to talk and you need to give me your best excuse for letting Durrah go,” Raid memberi amaran tegas kepada Imtiyaz. Telefon bimbit di dalam genggaman digenggam kuat. Bibirnya sedikit berketap. Nombor telefon Imtiyaz pun dia dapat daripada rakan yang mengenali Imtiyaz. “Kau dah janji nak bahagiakan kawan aku. Kau dah janji yang kau akan jaga dia, lindungi dia, jaga makan minum dan pakaian dia! Kau dah berjanji, kan?! Tapi sesenang itu kau lepaskan dia? Kerana perempuan lain yang lebih sempurna daripada Durrah? Itukah alasan terbaik yang pernah kau ada untuk buang dia macam sampah?” soalnya sedikit memerli.

Ego Imtiyaz seakan-akan tercabar mendengar soalan tersebut. Mendengar lelaki di corong telefon menyebut nama Durrah, hati dihenyak seribu satu persoalan yang belum dapat dirungkaikan. “Kau jangan masuk campur sebab kau tak faham apa-apa pun tentang dia dan aku! Kau tak faham situasi aku… Aku tak ingin pun benda jadi macam ni. Aku… aku masih sayangkan Durrah! Aku tak akan sesekali bencikan dia.”

“Kalau kau masih sayangkan dia, kenapa kau sanggup biarkan Durrah berjuang seorang diri tanpa kau untuk menemani dia? Kau tahu tak yang isteri kau tu dah lahirkan seorang anak lelaki? Kau tahu tak? Kau langsung tak nak ambil peduli tentang dia. Kau… kau ni memang…” Raid berhenti sejenak. Sebak dadanya. Namun sekiranya berita ini tidak diceritakan, ayah kepada arwah anak Durrah tidak akan dapat mengetahui perkara sebenar. “Kau ialah kekuatan Durrah, Imtiyaz. Durrah perlukan kau sekarang. Aaa… anak kau… anak kau…”

“Kenapa dengan… anak… aku?” Bulat mata Imtiyaz mendengar ayat-ayat yang semakin menebalkan tembok kerinduan terhadap Durrah. Sesungguhnya dia sedar dan dia tahu yang Durrah mengandung tetapi dia terpaksa buat tidak tahu. Dia terpaksa akur akan arahan Puan Kalsom yang menyuruhnya agar merahsiakan hal itu daripada Julia. Takut Julia cemburu, kononnya! Tetapi sebenarnya, hampir setiap hari dia mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Bersyukur kerana dikurniakan zuriat daripadaNya. Hati dan jiwa diserbu perasaan menyesal kerana melafazkan talak satu ke atas Durrah ketika dia sedang mengandungkan anak mereka yang baru berusia enam bulan. Itu bukan kehendak dia! Sungguh! Tetapi siapa yang tak kenal dengan Puan Kalsom, ibunya? Memaksa dia melafazkan talak tanpa jemu. Hampir setiap hari, tidak akan ada satu saat pun yang tertinggal.

‘Ya Allah, salahkah aku???’

Raid mengeluh berat. “Dia dah tak ada, Imtiyaz.”

Imtiyaz terkedu. Bibirnya mulai bergetar. “Aaa… apa?”

“Dia dah pergi untuk selama-lamanya… dia ada masalah jantung. Aku masih ingat lagi wajah anak kau yang pucat membiru. Dia masih bayi. Bayi mana yang kuat untuk penyakit macam tu? Jantung dia berlubang dan… aku… aku…” Sekali lagi dia menoktahkan kata-kata tanpa rela. Kelopak mata dipejamkannya rapat. Kotak kepalanya teringatkan air mata Durrah, raungan Durrah, wajah pucat lesi dan tidak bermaya Durrah; semua itu begitu mendera perasaannya! Perasaan yang ingin membuatkan Durrah gembira, bahagia dan ceria sentiasa. Perasaan yang ingin melindungi Durrah, biar apa pun yang terjadi.

Namun, bukankah hati Durrah telah dicuri oleh Imtiyaz?

Jemari pantas berpaut pada besi di balkoni rumah dengan tubir mata yang berlinangan. Air mata seorang bapanya gugur setitis demi setitis, membasahi kedua-dua belah pipi miliknya. Imtiyaz yang sudah tidak kuat untuk berpaut lagi terjelopok jatuh. Mata yang berkaca kian bulat bentuknya, menandakan bahawa dia tidak percaya dengan apa yang dia dengari. Hampir sahaja telefon bimbit terlepas dari genggaman. “Aaa… anak aku dah… dah meninggal dunia? Innalillahiwainnalillahirraji’un,” ucapnya sedih. Kecewa kerana dia langsung tidak dapat menatap wajah zuriatnya sendiri. Pasti arwah anaknya itu comel kerana Durrah pada pandangan matanya teramatlah comel dan cantik.

“Pay her a visit, bro. I’m sure she’ll happy to see you…”

“Ta… tapi aku… aku dengan dia dah…”

“No, not here, not now. Keep your excuse first,” talian dia matikan. Raid mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil dan dengan kasar melabuhkan duduknya di birai katil. Jemari lincah meraupkan wajah yang entah mengapa bertambah kusut dengan masalah yang menimpa Durrah dan Imtiyaz. ‘Saya minta maaf kerana menyibuk dalam hal awak, Durrah. Tapi percayalah, saya buat semua ini untuk kebahagiaan awak. Kalau saya tunggu awak untuk bertindak, saya tahu awak tak sanggup memulakan langkah pertama! Bila masalah awak dan Imtiyaz sudah selesai, saya akan mengundur diri.’

Bibir dia ketap kuat. Masihkah aku kuat… untuk melihat Durrah bahagia namun bahagianya dicurahkan kepada lelaki lain? Mungkinkah hati aku akan jadi dingin dan heartless seperti dulu, atau… aku yang akan rebah dahulu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience