“Game apa, Zainol ?”
“Sunset Killer, papa.” Zainol masih memandang skrin.
Zaquan tersenyum. Imbasan memori silam bagai bergentayangan di ruang mata. Terus dia mendekati anaknya itu. Hamiza yang melihat hanya menggeleng-gelengkan kepala. Dia kembali ke bilik dan menukar pakaian.
“Abang, Hamiza pergi supermarket kejap ya. Nak beli barang dapur. Makanan Hamiza dah siapkan bawah tudung. Abang makanlah dengan Zainol kejap lagi.” Hamiza membuka pintu dan berlalu pergi selepas meminta pamitan.
Zaquan meluru ke biliknya sebelum mengeluarkan komputer ribanya dan kembali ke sisi Zainol. Dia kemudiannya memuat turun permainan itu dari laman web sebelum bersama-sama bermain dengan Zainol.
Mereka terus meluangkan masa dengan permainan itu sehingga makanan di bawah tudung sejuk dengan sendiri tanpa disentuh.
“Abang, Hamiza bertolak dulu ya. Takut pulak terlepas flight nanti. Abang dan Zainol hati-hati di rumah. Pulang karang Hamiza belikan hadiah dari Australia. Jangan ketagih sangat dengan game tu, abang, Zainol. Abang tengok-tengokkan hal sekolah Zainol ya.”
Hamiza mengerutkan dahi apabila melihat suaminya begitu asyik bermain permainan di komputer riba. Zainol ikut serta walaupun di dahi tertampal dengan Cool Fever kerana dijangkiti demam.
Anak kecilnya itu begitu degil apabila dia mahu membawa ke klinik. Katanya mahu menghabiskan stage mencari mangsa. Suaminya pula terus mengambil Cool Fever lalu ditempek ke dahi Zainol sebelum kembali menghadap kompiter ribanya.
“Hati-hati, Hamiza.” Zaquan sempat melaung.
Hamiza mengangguk kepala dan berlalu pergi meskipun dia masih aneh dengan sikap keluarganya. Sebelum ini, jika dia mahu keluar negara, pasti suami dan anaknya akan menghantar ke lapangan terbang.
Share this novel