BUKAN main riang lagi Junaidi dan Junaida perhabiskan duit Juwita. Lepas satu persatu barang dimasukkan ke dalam troli.
Juwita hanya menjeling. Mujur moodnya agak baik. Jika tidak, pasti dipunggahnya semula barang-barang itu keluar dari troli.
"Kak long jangan mengelat ye. Tu keperluan sekolah kitorang." Junaidi tersengih melihat Juwita.
Dalam ralit menjeling adiknya, Juwita terlanggar seseorang.
'Aduh... memang hari ni hari kena rempuh je ke?'
Juwita segera memandang siapa yang dilanggarnya.
"Nok... kau ni asyik langgar aku je tau. Mujur dada aku ni sasa. Kalau tak, mesti sakit." Zailani meletakkan tangan kirinya di bahu.
"Kamu ni Zai. Sudah-sudah tu." Faridah tersenyum memandang Juwita. Tanpa berlengah, Juwita segera menyalami Faridah.
"Lama mak tak jumpa Juju. Dah lebih dua bulan pindah sini pun tak berkesempatan jumpa. Asyik jumpa ibu dengan adik-adik je. Makin cantik Juju mak ni." Juwita tersengih malu.
Nama timangan Juju hanya digunakan oleh keluarga Faridah. Memang Juwita akrab dengan mereka dari kecil lagi sehinggalah Sahak dipindahkan bertugas ke negeri lain.
"Ayah mana mak?" Juwita mencari. Tersenyum Faridah dengan sikap Juwita. Masih seperti dulu.
"Ayah pergi tandas. Kejap lagi dia datanglah. Mak beransur dulu ye. Nak cari barang dapur. Nanti ada masa kita jumpa lagi." Wajah Juwita diusap penuh kasih sayang.
"Tun, akak pergi dulu. Nanti kita jumpa lagi."
"Yelah kak. Jaga diri." Juwita memandang mereka berlalu pergi.
"Bu, kak long ni memang rapat sangat ke dengan Mak Cik Faridah tu?" soal Junaida bersahaja.
"Kau jangan menyibuk boleh tak?" jerkah Juwita. Geleng kepala Zaitun dengan sikap Juwita. Bahu Junaida diusap lembut.
"Dulukan masa ibu kerja, Mak Cik Faridah yang jaga kak long. Sebab tu kak long panggil mak." Mereka tersenyum mendengar penjelasan Zaitun.
"Ingatkan sebab nak buat kak long jadi menantu." Junaidi ketawa dengan kata-katanya sendiri.
"Sorang singa, sorang kurita. Nanti singa lapar, dia makanlah kurita tu. Aaauuummmm.... eeerrrrkkk... kenyangnya makan kurita sado." Junaida menambah rencah. Panas telinga Juwita dibuatnya.
"Aduh... sakitlah kak long!" jerit Junaida dan Junaida serentak. Mujur saja tak ramai orang dikeliling mereka. Ada yang memerhati sambil menggeleng. Ada juga yang tersenyum melihat mereka.
"Lagi sekali korang cakap macam tu, barang-barang dalam troli ni korang bayar sendiri tau." Juwita ketawa puas. Puas dapat mengenakan adik-adiknya semula.
"Ish... dah tu. Malu orang tengok." Zaitun cuba meleraikan pertengkaran kecil antara mereka. Lagi dibiar, lagi menjadi nanti.
Si Kembar ni kalau dah bergadung menyakat Juwita, memang tak sah kalau tak buat Juwita naik angin.
"Tak baik main ugut-ugut. Berdosa. Tak ikhlas. Kami tanggungjawab kak long tau." Junaidi tak nak kalah.
"Kau lupa eh. Tanggungjawab sara keluarga tu, tanggungjawab anak lelaki?" Sengaja Juwita mengusik.
"Eh mana aci. Idi sekolah lagi." Junaidi tak puas hati.
"Tak tahu. Tetap juga kau anak lelaki. Kau sorang je lelaki. Pandai-pandai kaulah nak buat macam mana." Juwita dah senyum riang. Puas hatinya.
"Ibu..." Junaidi mengharapkan pembelaan.
"Sudah tu. Kak long usik je tu. Lain kali jangan kacau kak long macam tu lagi. Cepat minta maaf." Junaidi tunduk. Dia segera menghampiri Juwita. Lengan kanan Juwita dipeluk erat.
"Sorry, kak long," pinta Junaidi. Matanya dikerdipkan berkali-kali. Juwita menampar pipi Junaidi sebelum memeluk erat bahu adiknya.
"Okey. Jangan buat lagi. Dah tak ada apa lagi kan? Jom bayar. Kak long lapar."
Mereka sama-sama melangkah menuju ke kaunter pembayaran. Dari jauh ada mata yang memerhatikan mereka sambil tersenyum.
* * * * *
ZAILANI menjengah tempat Juwita. Namun hampa. Kosong. Entah manalah dia. Dari pagi tak nampak bayang.
"Tak payahlah jenguk-jenguk. Juwita tak ada hari ni." Samad memaklumkan kepada Zailani.
"Dia pergi mana?" soal Zailani tak puas hati. Memang tak tenteram hidupnya sehari kalau tak dapat menyakat Juwita.
"Dia keluar dengan bos." Tercengang Zailani mendengarnya.
'Ish... apahal pula sampai keluar dengan bos ni?' Zailani tak puas hati. Dia kembali ke tempatnya.
"Hakaq... Zai nak tanya, kenapa sampai Juwita kena keluar dengan bos?" Zailani bertanya kepada Nana yang duduk di hadapnnya.
"Kau tak tahu ke? Juwita dengan bos ada scandal. Memang setiap bulan dorang akan keluar sama time office hour."
Berubah riak wajah Zailani saat mendengarnya. Serupa ayam tercekik biji durian. Nana yang memerhati ketawa lucu.
"Kau dah kenapa, Zai? Sampai macam tu sekali muka kau. Kau percaya apa akak cakap? Akak gurau jelah Zai." Nana masih lagi bersama sisa ketawanya.
Wajah Zailani berubah cemberut. Geram pula bila dipermainkan oleh Nana.
"Akak tak baik cakap macam tu. Orang lain dengar nanti boleh mendatangkan fitnah. Akak tahu tak dosa menfitnah tu lagi teruk dari membunuh?" Zailani geram.
"Eh Zai... kan akak cakap, akak bergurau je. Janganlah ambil serius." Zailani terdiam. Dia tidak mahu membahas. Hampir saja dia percaya apa yang dikatakan oleh Nana.
Share this novel