BAB 2

Family Completed 447

Lalu peristiwa itulah yang membawa mereka bertiga ke sini. Pakaian Asha
telah pun ditukar, kerana dia tiba ke rumah besar ini sambil menggigil
kesejukan. Disajikan dengan air cond di kereta sebentar tadi, siapalah
yang tidak menggeletar. Wanita bertudung labuh itu bergegas ke mari
setelah dipanggil ayah. Kelihatan cahaya simpati di mata wanita yang
juga merangkap isteri baharu kepada ayah mereka itu. Segera sahaja
diberinya tuala kering kepada Asha , dan memberi Asha baju saiz yang
sepadan tubuh kecilnya, entah datang dari mana. Bukankah hanya ayah dan
wanita ini sahaja yang tinggal di rumah besar ini? Orang gaji pun tidak
diupah oleh ayah.

Asha Taqdeer dikejutkan dengan suara ayahnya memanggil.

“Ya, ayah?” terasa sukar bagi lidah untuk menyebut perkataan itu.

“Kamu dan beritahu Asha tentang hal itu?” soal ayah, matanya memandang
Taqdeer tetapi dia mengerti bahawa hatinya lebih kepada Asha .

Asha memandang Taqdeer , meminta penjelasan. Keningnya kerut seribu.

“Asha , nanti Asha tinggal dengan ayah, ya?” kata Taqdeer selembut
mungkin. Wajahnya cuba untuk memberi senyuman manis kepada adiknya itu.

Namun, reaksinya sudah boleh dijangka. Asha tiba-tiba bingkas bangun
dari sofa hitam yang empuk ini. Lalu pandangannya dialihkan kepada
Taqdeer , lalu kepada ayahnya, lalu kepada Taqdeer semula. Dia bagai tidak
percaya dengan apa yang didengari olehnya.

“Akak, apa ni?” jerit Asha tiba-tiba.

“Asha , dengar dulu–”

“Asha tak nak dengar apa-apa!” jerkah Asha lantang. “Sanggup akak buat
Asha begini? Akak tahukan yang Asha nak tinggal dengan akak,” kata
Asha dalam suara tenggelam timbul.

“Ya, Asha , akak tahu tapi–”

“Tapi apa?” jeritnya lagi. Suara nyaring itu bergema di pelosok ruang
tamu besar ini.

“Asha , dengar dulu apa yang kakak kamu hendak katakan,” ayah bersuara
tiba-tiba.

Asha memandang tepat ke wajah ayahnya, penuh kebencian.

“Yang ayah ni kenapa pula? Tinggalkan kami tujuh tahun dahulu, dan
setelah ibu meninggal baru terhegeh-hegeh ingin ambil kami semula?” soal
Asha , langsung tidak memberi peluang untuk ayahnya memotong percakapan.

“Sudah, Asha !” Taqdeer memandang tajam adiknya. Mungkin ayah telah
membuat kesalahan, namun itu tidak bermaksud adiknya boleh meninggikan
suara kepada ayah mereka sendiri.

Mereka bertiga senyap tiba-tiba. Perlahan-lahan, Asha rebah semula ke
sofa. Matanya memandang lantai. Taqdeer ingin menepuk bahu adiknya, namun
pasti ditepis. Dia tahu, dia telah melukakan hati Asha
sedalam-dalamnya. Dia juga turut tahu yang adik kesayangannya itu
menyimpan dendam kepada ayah kandung dia sendiri.

Ayah, bercerai dengan ibu sewaktu Asha berumur tujuh tahun. Taqdeer pula
baru sahaja hendak masuk ke universiti pada waktu itu. Ibu langsung
tidak menunjukkan tanda-tanda marah kepada ayah – mereka juga langsung
tidak bertengkar. Itulah yang membuatkan Taqdeer berasa aneh. Hubungan
mereka sangat rapat, tetapi mengapa bercerai tanpa sebab? Jika tiada
angin masakan pohon bergoyang, tambah hatinya lagi.

Asha pula, meletakkan seluruh kesalahan kepada ayah. Baginya ibu
cumalah seorang yang tidak berdaya. Dan ayah pula sanggup meninggalkan
mereka bertiga tanpa tunggak keluarga, tanpa tempat bergantung. Asha
Malika mungkin masih mengingati zaman kanak-kanaknya, semasa ibu
bersusah-payah mencari kerja setelah lapan belas tahun menjadi suri
rumah. Asha harus bersekolah manakala Taqdeer pula harus memulakan
semester satu di Universiti Putra Malaysia. Tetapi sumber kewangan
mereka tidaklah terlalu rendah; ayah masih menghantar nafkah tiap-tiap
bulan, namun ibu masih harus berkerja bagi membiayai kos pembelajaran
Taqdeer .

Wanita bertudung hitam labuh tiba-tiba menghampiri mereka bertiga sambil
membawa dulang. Seperti biasa, Taqdeer terpegun melihat wanita 30-an di
hadapannya ini. Raut wajahnya penuh dengan wajah keibuan. Gerak
langkahnya penuh bersopan-santun, sedangkan di sini hanya ada suaminya
dan dua orang perempuan sahaja. Putih mukanya, berbedak wuduk. Pasti dia
baru usai menunaikan solat Asar sebentar tadi.

Fatimah Adawiyah meletakkan dulang di meja kaca. Jag yang berisikan air
teh panas dituangkan perlahan-lahan airnya ke tiga cawan kecil. Dia
sempat mengerling kepada Taqdeer , dan mereka berbalas senyuman. Asha
Taqdeer sempar berbual dengan wanita ini sewaktu di lapangan terbang.
Jika mereka tidak saling mengenali, masakan Taqdeer membenarkan adiknya
tinggal semula dengan ayahnya. Fatimah Adawiyah terasa kagum dengan betapa
rapatnya hubungan adik beradik ini.

Sewaktu dia ingin berlalu pergi, matanya memandang Asha pula. Hanya
riak ekspresi benci yang ternyata di wajah gadis kecil itu sewaktu
memandang Adawiyah . Dia langsung tidak membalas semula senyuman ikhlas
yang diberikan oleh wanita tinggi itu. Adawiyah berlalu tanpa kata-kata.
Dia mengerti yang Asha tidak menyukainya. Siapa yang menggemari jika
wanita lain menggantikan ibu sendiri? Apatah lagi Ayumi baru sahaja
menghadap Ilahi. Bertuahnya dia, fikir Fatimah Adawiyah . Sudah boleh
berada di dakapan sang pencipta, sudahpun dijanjikan syurga di akhirat
kelak. Dia cukup masak dengan budi pekerti ibu kepada Asha dan Taqdeer ,
dua beradik itu. Kadang-kala, dia terasa dirinya tidak terlawan dengan
keperibadian Ain Ayumi .

“Jadi, Asha ,” Taqdeer memecah keheningan. “Bolehkah kamu tinggal dengan
ayah?”

Asha tidak berkata apa-apa, dia masih menundukkan kepalanya. Nampaknya
dia tidak ingin membuat keputusan pada waktu ini. Dia membiarkan sahaja
soalan kakaknya itu berlalu.

“Ini amanah ibu, Asha ,” kata Asha Taqdeer perlahan.

Kepala adiknya terangkat tiba-tiba, bagai sesuatu dicucuk ke lehernya.
Mata Asha terjegil, tidak percaya dengan apa yang kakaknya baru katakan.

Kalaulah boleh, Taqdeer tidak ingin memberitahu Asha akan perkara ini.
Inilah perkara yang menyebabkan ayah menyambut Taqdeer semalam. Untuk
memberitahu wasiat yang lama tertinggal.

“Kalau boleh, ayah tidak ingin meminta Asha dari kamu, Taqdeer ,” kata
ayah semalam, mungkin terasa bersalah kerana tiba tanpa diundang di
lapangan terbang. “Tetapi ini apa yang ibu kamu inginkan. Ahad minggu
lepas, tiba-tiba sahaja ibu kamu menelefon ayah. Dia meminta sekiranya
dia pergi, dia ingin Asha di bawah jagaan Makcik Adawiyah ,” tambah ayah lagi.

Taqdeer tidak berkata apa-apa. Tubuhnya masih sejuk berbau kapal terbang.

“Mungkin ini takdir tuhan. Ibu kamu sempat memberitahu ayah wasiat
terakhirnya,”

Mana mungkin Taqdeer tidak membenarkan Asha tinggal di bawah jagaan
wanita seperti Makcik Adawiyah ? Pekerti wanita itu membuatkan dia
terpesona sejak kali pertama bertemu. Dia terasa kerdil tatkala berada
di sisi wanita berakhlak tinggi itu. Moga-moga hati Asha terbuka untuk
menerima Makcik Adawiyah , insya-Allah, doanya hari itu.

“Betulkah, akak? Ini wasiat ibu?” soal Asha , terpinga-pinga.

“Ya,” jika perkara ini dapat membuatkan hati Asha tergerak untuk
tinggal bersama mereka, Taqdeer sanggup memberitahu perkara sebenar
walaupun ayah melarangnya semalam.

Asha perlahan-lahan memandang ayah di depannya. Buat pertama kali,
tiada reaksi benci di wajahnya. Nampaknya dia menerima apa yang berlaku.
Bagi Asha Mardhiah, apa yang ditetapkan oleh ibunya adalah yang terbaik
bagi dirinya.

“Baiklah. Asha nak tinggal di sini,”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience