Dating!

Romance Completed 117449

BAB 52

            PAGI itu suasana di rumah sangat sunyi. Tiada lagi kedengaran gelak tawa, senda gurau dari Lin dan Julia. Aku sudah mula merindui mereka walaupun baru sehari mereka pulang ke rumah keluarga masing-masing. Bagaimana agaknya perasaan mereka apabila kembali ke sini dan aku sudah tiada? Aku hanya duduk termenung di ruang tamu, tempat aku selalu lepak dengan Lin dan Julia. Kini tinggal aku seorang sahaja. Aku duduk memeluk ke dua belah lutut sambil termenung. Setiap kenangan mula membayangi mataku. Aku tidak pernah melupakan zaman remaja yang penuh warna warni. Alangkah indahnya jika masa tidak pernah bergerak dari waktu itu.

            “Sa... saya... Nur Marhaya Binti Malik. Boleh panggil saya Aya. Saya... saya akan jadi pembantu Kak Siti untuk menguruskan hal kecerian asrama.” Ujarku dengan gugup sambil menjelaskan skop tugasku.

            Aku tersenyum sendirian apabila mengingati saat pertama melangkah kaki di Sekolah Tinggi Adam Taylor.

            “Kau tak boleh nak jaga diri sendiri kat sini! Macam mana kau nak bekerja kat sini?!”

            Pertemuan pertama dengan lelaki itu... tidak seindah pertemuan dua pasangan bahagia yang lain. Aku tidak pernah merasi bagaimana rasanya bercinta itu. Aku menghabiskan seluruh hidupku dengan bayangan cinta Harry yang tak mungkin aku kecapi.

            “Kau mahu jadi girlfriend aku?” Soal Harry wajah yang serius.

Aku ternganga. Mataku bulat memandang matanya yang berwarna koko cair. Aku bermimpi atau lelaki ini sudah hilang akal?!

            “Aku tanya ni... kau mahu tak jadi girlfriend aku?”

            “Sa... saya...”

            “Atau... kau dah tak nak bekerja di sini?” Kali ini dari soalan bertukar kepada ugutan pula.

            Sejak itu bermulalah kehidupanku yang penuh malapetaka di sekolah berprestij itu. Aku tersenyum lagi, lelaki itu sentiasa mengugut aku sehingga ke hari ini. Setiap kenangan bersama lelaki itu menerjah ke ingatan sehingga aku tidak sanggup mengingatinya lagi.

            Aku terdengar bunyi enjin kenderaan berhenti di depan rumah sewaku. Siapa lagi, aku yakin Harry sudah datang kerana dia sudah beritahu aku semalam, dia ingin menjemput aku  di rumah dan pergi ke suatu tempat.

            Harry sudah menunggu aku sambil menyandar di keretanya. Sungguh kacak dia pagi ini. Aku menatap wajahnya puas-puas.

            “Kenapa? Macam tak pernah tengok aku je.” Harry mencebik sambil menanggalkan cermin mata hitamnya.

            “Kita nak ke mana?” Aku mengunci pintu pagar tanpa memperdulikan soalanya.

            “Honeymoon!”

            Aku terus menoleh sambil mengecilkan mata melihatnya yang tersengih.

            “Awak ni orang yang paling bersenang-lenang dalam dunia ni, eh? Orang lain seusia dengan awak bertungkus-lumus bekerja tahu.”

             “Dah takdir aku nak buat macam mana. Walaupun aku duduk goyang kaki, harta keluarga aku tak habis walaupun tujuh keturunan.”

            “Wahh... penyakit ujub awak ni memang tak boleh nak sembuh dah ke?” Sindirku tajam.

            Harry mengangkat kedua belah bahunya sambil mencebik. “Siapa suruh kau cakap aku macam tu?”

            “Iyelah Tuan Muda Harry. Kita nak ke mana?” Aku akhirnya mengalah.

            Harry tiba-tiba memegang pipiku. “Sejak bila kau makin comel bila marah ni?”

            Aku menepis tangannya. “Kalau tak ikhlas jangan nak memuji. Buruk je dengar.”

            “Emm... kita pergi dating.”

            Aku melopong. “Dating?!”

            “Aku kasihankan kau. Selama kau hidup ni mana pernah kau dating kan. Blind date adalah...”

            “Siapa kata saya tak pernah dating!” Aku mencekak pinggang. Bunyi seperti aku tidak laku saja!

            “Hmm... siapa lelaki terencat tu? Kasihan betul sebab pernah dating dengan kau.”

            “Saya pun tak ingat, tapi lelaki terencat itulah yang selalu dating dengan saya masa sekolah dulu, siap belikan baju untuk majlis tari-menari lagi. Kasihan betul kan?”

            Harry terus berdiri tegak. Wajahnya merah padam. Padan muka! Sikit lagi aku nak ketawa besar ni.

            “Kau... kau...” Tangan Harry menggigil sambil menuding ke arah aku. Menahan sakit hati.

            Aku menjelir lidah. “Penyakit Parkinson awak tu pun tak sembuh-sembuh nampaknya. Hahaha...” Aku mengekek ketawa sehingga memegang perutku yang terasa sakit dek melepaskan tawa.

            Harry mengetap bibirnya rapat. Geram dengan telatah aku. Dia terus menurunkan tangannya dan memasukkan ke dalam poket seluarnya.

*********

            Harry membawa aku sebuah gedung membeli-belah Sunway Pyramid. Pada mulanya aku fikir dia ingin shopping rupanya jangkaan aku meleset sama sekali. Dia mengajak aku menonton wayang! Cerita hantu pulak tuh. Harry memegang dua tiket sambil tersenyum kepadaku.

            “First time tengok wayang dengan kau. Kalau takut nanti peluk tangan aku ni, okey?”

            Aku tidak melayan kata-katanya. Lihatlah siapa yang takut nanti. Kami berdua masuk ke dalam panggung bernombor dua. Harry memegang popcorn dan aku memegang air. First time dating buat aku rasa pelik juga. Tidak mengapalah, peluang seperti ini mungkin tidak ada lagi di masa hadapan.

            Ketika filem itu mula ditayangkan Harry sudah memberi sepenuh tumpuan. Sepatutnya klau berdating tengoklah filem romantik sikit. Harry... Harry...

            “Tengok muka perempuan hantu tu, lagi cantik dari kaulah.” Kata Harry dengan mengejek aku sekali.

            Aku tahu dia sengaja nak membalas dendam kerana aku katanya terencat pagi tadi. Persoalannya siapa yang cakap dulu?

            “Dia tak jadi hantu lagilah. Baru nak mati!” Balasku. Memanglah aku akui pelakon wanita Thai itu jauh lebih cantik dari aku.

            Kemudian barulah Harry senyap. Dia menyuap popcorn ke dalam mulut tanpa henti. Fokus sungguh!

            Kedengaran semua penonton ketawa apabila melihat babak yang lucu. Ini cerita hantu lawak rupanya. Aku turut ketawa. Tetapi Harry tetap serius. Ini yang buat aku seram. Aku memandangnya pelik.

            “Kenapa awak tak gelak?” Soalan aku memang agak tidak logik. Tetapi aku benar-benar ingin tahu.

            “Ini kan cerita hantu. Kenapa nak gelak.” Kedengaran suaranya tenggelam-timbul.

            Aku terdiam. Malas mahu bersoal jawab lagi. Aku juga memberi tumpuan kepada tayangan filem dari negara Thailand itu. Seorang tentera bersama rakan-rakannya pulang ke kampung halaman lelaki itu. Lelaki itu tidak tahu bahawa isterinya sudah mati dan menjadi hantu. Tidak lama kemudian kawan-kawannya mendapat tahu namun terpaksa merahsiakannya dari lelaki itu. Jika mereka beritahu kepada lelaki itu maka isteri lelaki itu yang sudah menjadi hantu akan membunuh mereka. Lelaki itu tidak melihat wajah sebenar isterinya yang sudah menjadi hantu itu, isterinya kelihatan sangat normal. Walaupun seram tetapi sangat lucu melihat gelagat rakan-rakannya yang terpaksa berpura-pura tidak takut apabila berdepan dengan isteri lelaki itu. Pada hakikatnya mereka mahu sahaja melarikan diri tetapi kasihan kepada rakan mereka yang sudah ditipu oleh isteri hantunya itu.

            “Hahaha...” Aku ketawa lagi apabila rakan-rakan lelaki itu menculiknya untuk dibawa lari dari isteri hantunya itu. Apabila tiba pada babak menakutkan Harry terus memeluk tangan aku. Terkejut beruk aku dibuatnya.

            “Kenapa awak ni.”

            “Tak... tak ada apa-apa. Aku terkejut aje.”

            Aku ketawa dalam hati. Penakut sungguh! Tak sabar aku nak sindir dia bila keluar nanti.

            Akhirnya tamat juga filem itu setelah hampir dua jam ditayangkan. Semua penonton keluar dengan wajah berpuas hati. Filem itu sangat menarik. Tetapi wajah Harry pula kelihatan pucat seperti tiada darah.

            “Awak memang tak pernah tengok cerita hantu kan? Itulah... cakap besar sangat.” Aku mencebik.

            “Siapa cakap aku takut? Aku pernah tengok cerita lebih seram dari itulah.” Harry tetap tidak mengaku.

            “Orang ketawa tapi awak serius. Bila babak  seram sikit terus berterabur popcorn awak campak. Tak takutlah sangat. Hahaha...” Aku masih mengejeknya.

            Harry menarik tangan aku dan terus berjalan meninggalkan panggung wayang. Dia membawa aku ke gelanggang Ice Skating. Aku terus menarik tangannya kembali.

            “Awak nak buat apa kat sini?!” Tanyaku.

            “Kita main ni.” Kata Harry sambil tersengih.

            “Tak... taknak! Saya tak pandai.” Balasku. Mana aku pernah belajar meluncur ais. Silap-silap kalau terjatuh boleh patah pinggang empat kerat.

            “Kau kan berani!” Kata Harry dengan menekan perkataan berani itu.

            “Aaaaaa!!!” Aku terjatuh lagi ke lantai ais yang licin. Setiap kali aku cuba bangun pasti aku akan terjatuh lagi. Aku betul-betul tidak pandai mengimbangi badan apabila memakai kasut itu.

            Harry hanya ketawa besar setiap kali melihat aku jatuh seperti nangka busuk. Dia memang sengaja nak membalas dendam agaknya.

            “Saya tak boleh bangun la! Saya nak keluar dari sini.” Jeritku. Aku duduk di atas lantai itu terus. Muka aku mencuka.

            “Kata berani sangat. Cubalah keliling padang ni, kalau berjaya aku jadi orang suruhan kau selama seminggu.” Harry terus ketawa besar.

            “Jangan cakap je! Kalau saya berjaya awak kena tunaikan janji tu!”

            Harry mencebik lalu meluncur dengan baik sehingga ke hujung. Dia seperti sudah biasa bermain ice skating sebelum ini. Aku cuba untuk bangun dan akhirnya aku aku berjaya berdiri dengan stabil. Kaki kananku memulakan langkah.

            “Aahhh!” Aku menjerit lagi apabila aku meluncur ke depan dan tidak dapat berhenti. Agak laju sehingga aku hampir melanggar orang lain. Harry menahan badanku yang hampir terjatuh. Dia juga tidak dapat mengimbangi badannya dan akhirnya kami berdua terbaring di atas lantai.

            “Sakitnya.” Aku merungut apabila tanganku terhentak dengan kuat.

            “Kau ni memang lembap betul. Budak kecik tu pun lagi pandai dari kau tahu.” Kata Harry sambil menunjukkan seorang budak berusia lingkungan 7 tahun yang meluncur dengan lancar.

            “Awak ajarlah saya.” Pintaku. Sebenarnya aku mula rasa seronok bermain ice skating ini walaupun berkali-kali jatuh bangun.

            Harry menghulurkan tangannya. “Jom.” Katanya.

            Aku tersenyum. Kami berdua meluncur dengan perlahan pada mulanya. Aku seronok apabila berjaya mengimbangi badan tetapi aku tidak melepaskan pegangan tangan Harry.

            “Hairy Fattah lah!!” Aku tiba-tiba terdengar suara-suara jeritan di belakangku.

            Ketika itu ramai yang memandang ke arah kami. Topi yang dipakai Harry terjatuh ketika menahan aku sebentar tadi, patutlah orang sudah mengecamnya.

            “Orang dah cam awaklah!” Bisikku dengan risau.

            “Biarkanlah... kita teruskan aje.” Balas Harry. Dia tidak memperdulikan orang ramai yang menangkap gambar dan merakamnya bersama aku. Peminat-peminatnya menjerit memanggil namanya terutama perempuan. Harry hanya tersenyum sambil melambai ke arah mereka dan sebelah tangan lagi kejap memegang tanganku.

            Aku malu. Tetapi cuba bersikap biasa apabila Harry tidak berniat pergi dari situ walaupun orang sudah mengenalinya.

            Orang ramai semakin mengelilingi gelanggang ice skating itu untuk melihat Harry. Dia tetap selamba sambil mengajar aku meluncur. Aku pula yang sudah tidak selesa.

            “Kita pergi ajelah dari sini. Nanti jadi gossip pulak.” Bisikku perlahan.

            “Kenapa? Kau tak suka ada gossip dengan aku?”

            “Bukan macam tu!” Balasku. Kakiku tiba-tiba tergelincir dan hampir jatuh, Harry pantas memaut pinggangku. Mata kami bertentangan. Wajahku terasa panas melihat renungan Harry itu. Wajah kami hanya seinci!

            “Ahh!!” Kedengaran peminatnya terjerit sambil mengambil gambar kami waktu itu. Aku cepat-cepat menolak tubuh Harry. Aku kena keluar dari sini sekarang juga!

            Akhirnya setelah memujuk Harry dia mahu juga keluar dari situ. Aku tahu dia belum puas bermain lagi. Aku menarik tangnnya seperti lembu dicucuk hidung. Wajahnya kelat!

            “Kita pergi tempat tak ramai oranglah. Bahaya awak tahu tak. Kalau keluar gossip nanti boleh jadi macam-macam.”

            Ketika kami keluar dari Sunway Pyramid hari sudah petang jadi Harry ingin berjalan-jalan di taman tasik katanya. Aku bersetuju sahaja. Ketika kami tiba di taman tasik itu orang tidaklah terlalu ramai kerana bukan dihujung minggu.

            “Ini kali pertama aku berdating.” Harry mengaku.

            Aku ketawa kecil. “Tak laku sungguh anak teruna seorang ni.” Sempat aku menjelir lidah mengejeknya.

            Harry menjegil mata. “Aku yang tak nak dating, sedangkan berderet beratur nak dating dengan aku tahu?”

            Aku hanya menjuih bibir. Sudah lali mendengar kata-kata bongkaknya. Mata aku terpandang orang menjual ais krim di tepi jalan. Aku berlari anak ke situ tanpa menghiraukan Harry.

            Aku membeli dua batang ais krim berperisa coklat kegemaranku.

            “Nah... anggap ni hadiah hari lahir awak!” Kataku sambil menghulurkan ais krim kepadanya.

            Harry menyambut huluranku. “Ni hadiah paling murah aku dapat. Tapi disebabkan diberi oleh orang yang bermakna, ia nampak bernilai.” Harry tersenyum.

            Aku memuncung panjang. Kutuk sambil puji. Nak ambil hati tapi ego. Inilah Hairy Fattah!

            Kami berjalan sambil makan ais krim seperti kanak-kanak pula. Inilah impian zaman remajaku dahulu. Ingin dating sambil makan ais krim di taman. Macam budak-budak tetapi aku menyukainya. Tidak perlulah bawa aku dating di atas Eiffel Tower, cukuplah seperti ini sudah buat aku bahagia.  Harry menyuap aku ais krimnya yang baru dimakan separuh. Aku terkejut juga melihat Harry yang pembersih itu mahu berkongsi suapan dengan aku. Dia tersenyum bahagia. Hatiku menggebu melihat senyuman itu. Kami juga sempat mengambil gambar bersama sambil makan ais krim.

            “Comelnya! Aku nak post kat twitter sekarang jugak.” Kata Harry.

            “Janganlah!” Aku merampas iPhone miliknya. “Awak dah gila?” Mata aku bulat memandangnya. Kami duduk di atas rumput di bawah pokok yang agak rendang menghadap tasik yang luas.

            “Bagilah balik.” Harry ingin merebutnya dari tangan aku.

            “Tak boleh!” Aku menepis tangannya.

            Harry terus menggeletek aku di pinggang. Aku ketawa kegelian. “Awak jangan lah. hahaha!” Aku ketawa lagi, air mataku terbit kerana terlampau kegelian.

            “Bagi aku telefon tu.” Harry mengugut. Dia seronok pula melihat aku yang kegelian.

            “Saya campak kang!” Aku berpura-pura ingin baling iphonenya ke dalam tasik.

            “Okey, okey!” Harry berhenti menggeletek aku.

            Kemudian kami sama-sama ketawa. Aku rasa sangat bahagia. Harry mengambil sapu tangannya kemudian dia mengelap batang ais krim yang baru sahaja dihabiskannya. Aku melihat sahaja perbuatannya itu dengan hairan.

            “Awak nak buat apa?” Aku bertanya.

            Harry tersengih. “Aku nak simpan. Ini kan hadiah dari Nur Marhaya. Jadi, aku akan simpan sampai tua. Ini bukti kepada anak cucu kita yang nenek dia orang hadiahkan ais krim untuk hari lahir atuk.” Wajah Harry sangat comel ketika menyampaikan angan-anganya itu, sehingga aku tersenyum sendirian. Terharu.

            “Nah! Ambil saya punya jugak.” Aku menghulurkan juga batang ais krim aku kepadanya. Harry seperti memikirkan sesuatu. Kemudian dia menukar batang ais krim kami.

            “Kau simpan yang aku punya, aku simpan yang kau punya.”

            Aku mengangguk perlahan. “Saya akan jaga baik-baik.” janjiku.

            Harry kelihatan gembira melihat batang ais krim itu lalu diciumnya. Aku ketawa melihat sikap kebudak-budakkannya itu.

            “Kenapa gelak? Dah tak boleh kiss tuan dia, batang ais krim ni pun, okey.”

            “Miang!” Aku berpura-pura marah. Giliran Harry pula ketawa.

            “Saya nak beritahu awak sesuatu...” Kataku dengan perlahan.

            Harry menoleh. “Apa?”

            “Saya terdengar perbualan awak dengan Cik Sallyna malam birthday party awak tu...”

            Harry tersentak. Dia memandang wajah aku meminta kepastian. Aku mengangguk perlahan.

            “Semuanya?” Soalnya.

            “Ya...”

            “Er... kau dah tahu?”

            Aku tersenyum. “Kenapa awak tak cakap awal-awal?”

            Harry kembali memandang tasik yang terbentang luas. “Aku rasa lebih baik kau tak tahu yang...”

            “Yang awak intip saya setiap kali saya tunggu ayah saya di pintu gate Villa Taylor?” Aku memotong ayatnya sambil ketawa kecil.

            Wajah Harry merona merah. “Kau comot sangat masa sekolah rendah. Rambut kau macam dawai penyidai baju kat asrama!”

            Aku memukul badannya. Dia mengerut wajah kononya sakit. Kemudian dia ketawa besar. Giliran aku pula mengerut dahi.

            “Kenapa?!”

            Harry masih tidak berhenti ketawa. Aku semakin geram. Kena sampuk jembalang mana pulak yang melintas kawasan ni. Haish!

            “Satu hari tu masa aku sampai di pintu pagar, sengaja aku suruh pemandu aku berhenti sekejap. Masa kau datang tunggu ayah kau kat pintu pagar tu. Kau tak perasaan ada orang dalam kereta. Boleh kau cerminkan muka kau kat depan aku sambil korek tahi mata. Hahaha... sejak tu putus selera makan aku seminggu tau tak, sebab asyik tersedak teringat muka kau yang tak bersalah tu.”

            “Awakkkk!!!!” Aku menjerit sekuat hati sambil memukulnya.

            Harry terus bangun melarikan diri dari aku. Aku mengejar dia yang masih lagi ketawa. Kurang asam betul mamat ni! Malu tahu, malu!

*********

Share this novel

liyana
2021-02-10 23:16:55 

pee mak


NovelPlus Premium

The best ads free experience