Jaguh Hatiku!

Romance Completed 117449

BAB 24

            EMAS OLIMPIK PERTAMA NEGARA DISUMBANG OLEH GAGUH RENANG HAIRY FATTAH

            AKU membaca setiap butiran dalam akhbar itu dengan teliti. Seketika aku rasakan satu perasaan gembira yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Berita muka depan sebuah akhbar itu telah menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia. Malah semua media juga memaparkan kisah kejayaan itu sebagai tajuk utama. Perdana Menteri juga mengucapkan ucapan tahniah melalui telefon terus kepada atlet kebanggaan negara itu sebaik sahaja diumumkan pemenang emas salah satu acara dalam pertandingan renang kali itu. Rakyat Malaysia juga semuanya mengucapkan tahniah melalui temu bual wartawan kepada peminat-peminat sukan yang disiarkan di kaca televisyen.

            Air mata gembiraku mengalir juga. Ingatanku kembali ke sebuah kisah lama yang menyentuh hatiku. Masih aku ingat ketika kami sama-sama pulang ke kampungku, kami berehat di terminal kereta api sambil berbual tentang masa depannya dalam sukan renang.

            “Awak... memang minat sangat sukan renang eh?”

            “Doakan aku bawa balik emas Olimpik pertama negara dalam sukan renang.” Ujar Harry. Serius.

            Aku melopong tidak percaya. Besar sungguh cita-citanya.

            “Baik!” Aku menggenggam penumbuk. Bersemangat. “Berusaha, Tuan Muda Harry! Nanti dah jadi popular, awak jangan lupakan saya. Saya nak cium pingat awak! boleh?!”

            Harry tersenyum kecil. “Masa tu... jangan cakap pingat, tuan punya pingat pun boleh.”

            Aku ketawa kecil sambil menyeka air mataku. Kenangan itu sukar untuk aku lupakan.

            “Sekarang awak dah betul-betul berjaya. Saya sangat bersyukur sebab kecederaan awak dulu... tak menyebabkan awak terpaksa berhenti dari sukan renang.”

            “Kau buat apa termenung dari tadi hah! Cepat pergi beli aku panadol, aku dah pening kepala kat sini.” Tiba-tiba Dayana datang menyergah. Terkejut aku dibuatnya.

            “Ba... baik.”

            “Terhegeh-hegeh, lain kali beli la siap-siap. Bukan boleh tahu bila aku tak sihat. Mujur shooting kat sini, kalau dalam hutan macam mana?!” Marahnya lagi sambil duduk di hadapan jurusoleknya. Ingin touch up lagi. Karl hanya menggeleng kepala melihat perangai Dayana yang semakin menjadi-jadi itu.

            “Tak apa, Aya. Saya pergi beli. Tadi awak dah letih sangat angkat barang-barang dia tu. Nanti awak pulak jatuh sakit.” Karl datang kepadaku sambil menghulurkan tangan meminta kunci kereta.

            Dayana yang terdengar menjadi semakin berang. Jurusolek wanita itu tidak jadi meneruskan kerjanya apabila Dayana bergerak menoleh ke arah kami dengan wajah yang tegang.

            “You jangan nak mengada, Karl! Dia tu PA, you tu manager I. Kenapa pulak you nak buat kerja macam tu. Biar dia buat kerja dia sebab I bayar gaji dia!”

            “Tak apa Encik Karl. Ini memang tugas saya. Saya pergi dulu.” Aku terus bangun dan berjalan menuju ke kereta yang diparking tidak jauh dari set penggambaran.

            Dayana tersenyum sinis sambil memalingkan kembali wajahnya kepada jurusolek professionalnya itu.

            Karl tidak mempedulikan Dayana yang bongkak itu lantas mengikut langkahku.

            “Karl!!” Menyedari keadaan itu Dayana terus menjerit memanggil Karl, namun tidak dipedulikan lelaki itu. Keadaan itu menyebabkan lipstick yang sedang dicalit di bibirnya tertarik sehingga ke pipi. Jurusolek itu sendiri terkejut. Melihat keadaan itu kru-kru semuanya ketawa berdekah melihat wajahnya yang comot. Dayana semakin berang dan terus menyumpah jurusolek itu.

            “Kenapa Encik Karl nak ikut saya?” soalku kurang senang. Pasti Dayana akan mengamuk lagi.

            “Saya tengok Aya macam kurang sihat. Macam baru lepas menangis. Sebab Dayana ke?”

            Keprihatinan Karl itu mengubat sedikit hatiku yang gundah-gulana. Sekurang-kurangnya ada seorang sahabat di sisi pasti kita akan lebih kuat. Walaupun baru mengenali Karl tetapi kami amat serasi. Jika bukan kerana Dayana yang seperti tidak menyukai kami semakin rapat sudah pasti hubungan kami lebih baik.

            “Bukanlah... mungkin sebab saya letih sikit.” Jawabku. Sudah pastilah berbohong. Sebenarnya hatiku yang letih.

            “Kalau bukan sebab Dayana yang buat awak letih, siapa lagi kan? Tak apalah biar saya je drive.” Karl merampas kunci kereta dari tanganku. Dia membuka pintu kereta sebelah penumpang untuk aku masuk. Aku mengalah dan mengikut saja rentaknya.

            Perjalanan kami mencari farmasi tidaklah sukar mana kerana shooting kali ini di pusat bandar. Setelah membeli panadol untuk Dayana, Karl mengajak aku untuk minum di sebuah warung. Aku memang keberatan tetapi dia membuat wajah kasihan akhirnya aku mengalah. Katanya dia terlalu dahaga dan lapar kerana sejak pagi belum menjamah apa-apa. Namun, dalam hatiku sudah dapat mengagak Dayana pasti akan meletup!

            “Encik Karl layan saya macam ni, nanti saya yang terima akibatnya. Silap haribulan saya akan dipecat.” luahku. Karl yang sedang membuka bungkus nasi lemak terus terhenti. Dia melihatku dengan senyuman manis.

            “Dia tak akan pecat pekerja yang macam awak. Awak ikut semua cakap dia, yang lain-lain sebelum awak pun bukan dia yang pecat. Dia orang yang tak tahan dengan perangai dia.”

            Aku mengangguk mengerti. Dengar penjelasan Karl hatiku sedikit tenteram. Tetapi terpaksa juga aku menadah telinga mendengar maki hamun Dayana.

            “Saya rasa Cik Dayana suka kat Encik Karl.” aku berterus terang.

            Karl sekali lagi terhenti suapan pertamanya. Ketika itu juga seorang pekerja gerai itu datang membawa minuman kami yang dipesan tadi. Aku sempat mengucapkan terima kasih.

            “Saya tahu.” Karl kembali menyuapkan nasi lemak itu ke dalam mulutnya. Reaksinya yang tidak dijangka itu membuatkan aku pelik.

            “Tahu? tapi kenapa Encik Karl buat tak tahu?”

            “Sebab... dia bukan ciri-ciri bakal menantu mak saya.” selamba dia menjawab soalanku.

            Aku tertawa melihat reaksinya yang selamba itu. “So, macam mana ciri-ciri menantu mak Encik Karl nak?”

            Sudah pasti mudah jawapannya, mestilah wanita yang sopan santun, tutup aurat dan akhlak yang baik. Fikirku sendiri.

            “Macam mana ye...” Karl pura-pura berfikir panjang. Aku hanya tersenyum, tidak berharap sangat dengan jawapannya. Tidak penting pun bagiku.

            “Macam cik muda yang ada butler dan rumahnya penuh protokol kot...” Karl mengenyit matanya kearahku.

            Meletus tawaku ketika itu. Lelaki ini pandai juga berjenaka, hampir aku melupakan hal sebelum ini.

            “Tapi saya tak suka macam tu, bagi saya... macam Aya ni, memang menepati ciri-ciri yang saya suka.”

            Sekali lagi aku ketawa sambil menggelengkan kepala. “Tapi ciri-ciri lelaki yang saya suka adalah tuan muda yang ada butler dan rumahnya penuh protokol.” aku cuba juga berjenaka. Ternyata berjaya membuat Karl ketawa.

            “Kalau macam tu... memang tak ada peluanglah.” Karl masih ketawa sebelum dia berhenti untuk minum.

            Ketika dalam perjalanan ke set penggambaran kami kurang berbual, mungkin kerana aku mula berubah diam. Fikiranku lebih memikirkan bagaimana akan berdepan dengan Dayana sebentar nanti. Sudahlah Karl menemaniku, kami keluar pula lebih dari satu jam. Aku hanya mampu mengeluh.

            “Jangan risaulah pasal Dayana, saya tahulah nak cakap apa nanti. Jangan risau okey.”

            Aku hanya tersenyum membalas kata-kata penyedap hari dari Karl. Ketika itu telefon bimbit Karl berbunyi dan aku sudah menjangka pasti Dayana.

            “Hello...” suara Karl kelihatan seperti biasa.

            Aku sudah berdebar-debar. Adakah Dayana sedang memarahi Karl? Tetapi dari raut wajah Karl membuat aku hairan. Dia tersenyum sehingga ke telinga.

            “Abang sihat je...”

            Aku sekali lagi terkejut. ‘Abang?’ adik dia atau...

            “Tengoklah macam mana, nanti abang confirm balik. Tengah drive ni. Okay, see you.” Wajah Karl bertukar serius pula kali ini setelah talian diputuskan.

            “Bukan Cik Dayana kan?” aku beranikan diri bertanya.

            Karl menoleh dan menggeleng kepala. “Orang yang paling saya sayang.” balas Karl tenang.

            Aku hanya tersenyum walaupun agak terkejut. Patutlah Karl tidak melayan Dayana lebih dari seorang rakan sekerja kerana sudah ada buah hati rupanya. Bukan ciri-ciri menantu emak konon... aku tersenyum dalam hati. Berkongsi gembira juga, sedangkan aku? Menanti buah yang memang tak akan gugur untuk aku. Sekarang... aku tidak mahu lagi jadi batu penghalang sesiapa pun. Harry dan Sallyna mungkin sudah ditakdirkan...

********

            “You memang sengaja sakitkan hati I!!” Dayana terus memukul dada Karl ketika mereka berjumpa dalam bilik persalinan. Aku hanya terdiam di satu sudut sedangkan pipiku sudah berbirat dek tamparan Dayana sebentar tadi. Karl yang tidak dapat menahan perasaan marahnya turut menampar pipi Dayana. Maka terjadilah pergelutan yang agak dahsyat. Aku cuba untuk meleraikan pergaduhan itu namun dihalang oleh Karl.

            “You yang melampau. I kan dah cakap I yang nak pergi makan sekejap. Bukan melencong ke lain!”

            “You suka perempuan tu kan?! Sebab tu you layan I macam ni!” jerit Dayana lagi.

            “Kalau I suka dia pun apa masalah you! You jangan melampau, ramai lagi artis yang inginkan I jadi pengurus dia orang tau! Kalau you masih macam ni, I pun tak tahanlah!”

            “Karl!! Sampai hati you cakap macam tu, semuanya sebab perempuan tu! I tak nak tengok muka dia lagi! I nak pecat dia!!”

            “I pun tak nak biar dia jadi hamba abdi you lagi! I akan bawa dia pergi, you jangan menyesal sebab you tak mungkin akan dapat PA sebaik dia lagi lepas ni!” Karl melepaskan tangan Dayana yang mencengkam jaketnya.

            Karl berjalan menonong ke arah aku. Aku terpinga-pinga apabila Karl terus menarik tanganku keluar dari bilik itu. Ketika itu jeritan Dayana masih membingitkan telinga dan kedengaran barang-barang yang dibalingnya pecah berderai.

            “Encik Karl tak boleh macam ni!” aku cuba menarik tanganku dari genggamannya yang kuat.

            “Awak jangan risau. Saya akan dapatkan kerja yang lebih baik untuk awak.” Karl terus menarik tanganku tanpa menoleh lagi.

*********

            Kerja yang lebih baik? aku duduk termenung di rumah sejak pulang dari set penggambaran Dayana tengahari tadi. Malah Karl juga sempat membawaku ke sebuah butik, membeli sehelai gaun malam untukku. Warna merah terang, sangat cantik. Aku masih membeleknya sehingga sekarang. Sudah hampir lapan tahun aku tidak memakai pakaian seperti ini. Karl ingin membawaku ke satu tempat untuk makan malam. Mulanya aku ingin menolak, tetapi membayangkan jasanya yang sangat banyak kepadaku selama ini aku akur juga. Mungkin Karl ingin mengambil hati aku setelah teruk dimarahi Dayana tadi.

            “Awalnya Kak Aya balik kerja.” Tegur Lin yang baru tiba di rumah. Dia sedang menanggalkan kasutnya di muka pintu. Dan aku terlentang di atas sofa panjang. Pantas aku bangun duduk dan menyorok gaun itu ke dalam kotaknya semula lalu disorokkan di bawah meja kopi. Malas mahu bersoal jawab bila mereka melihat ‘kehadiran’ gaun itu.

            “Tak berapa sihat sikit, so balik la awal.” Aku jawab hanya berbasa basi. Pura-pura fokus kepada skrin televisyen yang sedang memaparkan berita terkini. Belum sempat Lin menjawab apa-apa berita itu memaparkan kisah atlet kebanggaan Malaysia yang mendapat emas Olimpik pertama negara. Terus jantungku berdegup kencang.

            “Hairy Fattahlah!!” Jerit Julia yang baru masuk ke dalam rumah. Lin juga teruja dan terus kelam kabut menerpa ke arah sofa. Mereka duduk di kiri dan kananku. Lin merampas remote di tanganku untuk meninggikan volume suara.

            “Kacaknyaaa!!!” Serentak mereka menjerit apabila melihat wartawan di Malaysia ke Jepun yang menemu bual lelaki hebat itu.

            “Kemenangan ini bukan untuk saya seorang, tapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Pingat ni... saya pasti semua orang ingin menciumnya. Saya bersyukur kerana berkat doa seluruh rakyat Malaysia saya dapat kemenangan ini.”

            “Ahhh!! Kacaknya dia!! kat kolej tadi semua bercakap pasal dia je tahu. Poster-poster dia semua habis dijual oleh kelab renang. Memang gila lah!!” Lin terus menjerit suka.

            “Kejaplah... dengar dia cakap dulu.” Marah Julia. Lin terus memuncung.

            “Terima kasih... saya pasti akan pulang. Tunggu saya.” katanya sambil memandang ke arah camera menamatkan temu bual ringkas itu live dari Jepun.

            “Oh my god!! dia macam pandang kat kita je kan. Seolah-olah sedang cakap kat kita je. Wahh!!”

            Aku menunduk ke bawah, tidak mempedulikan kedua rakan serumahku yang sedang bising itu. ‘Awak akan pulang? Boleh saya cium pingat awak?’ aku merasakan tekanan di dadaku semakin berat. Lantas aku bangun dan berjalan untuk masuk ke bilik. Lin dan Julia turut berhenti menjerit apabila melihat keadaanku seperti itu.

            “Dua tiga hari ni perangai Kak Aya pelik lah...”Komen Julia. Terlupa sebentar kisah atlet kacak kesukaan seluruh peminat sukan itu. Terutamanya wanita.

            MALAM itu tiba juga. Aku menyarungkan gaun itu ke tubuhku. Aku bercermin sebentar melihat penampilanku. Aku mengenakan make up yang simple, rambutku disanggul rapi. Aku mendapat message dari Karl. Aku terus membuka message itu.

            ‘Saya dah sampai, ada kat luar.’

            Aku menarik nafas panjang. Karl seperti tahu aku tidak ada pakaian yang sesuai untuk makan malam di tempat yang eksklusif sebab itulah dia membeli gaun ini untukku. Aku pasti akan memulangkan semula baju ini. Buat apa aku nak simpan. Kenapa Karl memilih tempat makan yang mahal sedangkan aku selalu lihat Karl makan di warung sebelum ini. Walaupun aku tahu Karl pastilah selalu menghadiri majlis dinner bersama artis-artis terkenal.

            Aku keluar dari bilik dan berjalan melalui ruang tamu. Julia dan Lin yang masih melepak di depan Tv itu terus membesarkan mata mereka apabila melihat aku.

            “Kak Aya nak pergi mana??!” Soal Lin dan Julia serentak.

            “Dinner.” balasku ringkas sambil menyarung kasut tumit tinggi yang juga baru dibeli.

            “Wahh... dinner tempat kerja punya ke? Bestnya, tak bagitahu pun.”

            “Cantiknya baju Kak Aya, mesti mahal ni.”

            “Akak pergi dulu,” aku hanya tersenyum.

            “Kak Aya pergi dengan siapa?!” lantas mereka bangun dan mendekati pintu yang sudah dibuka.

            Ketika itu Karl berdiri di sebelah pintu keretanya, Honda Type R. Aku sendiri terkejut dengan penampilan Karl yang jauh berbeza. Berkot kemas dan kelihatan seperti orang korporat berjaya.

            “Mak datuk, handsomenya boyfriend Kak Aya, patutlah...” Julia dan Lin terus mengusik aku. Aku hanya buat tak tahu dan terus melangkah ke arah Karl. Karl pula membuka pintu untuk aku membuatkan Julia dan Lin terbeliak mata dan mulut mereka juga ternganga luas.

            “Housemate ke?” Soal Karl setelah masuk duduk di tempat pemandu.

            “Iya, adik-adiki je tu. Sebab tu macam tu.” Aku tersengih. Sempat aku melambai kepada mereka yang masih tercegat di pintu yang terbuka kecil. Nak mengendap pun agak-agaklah. Aku ketawa dalam hati.

            Sambil menghidupkan enjin kereta Karl memandangku sambil tersenyum. “Cantik Aya malam ni. Mesti orang tak tengok orang lain malam ni.”

            Aku hanya menggeleng kepala sambil senyum bersahaja.

           

********

            AKU turun dari kereta setelah seorang lelaki berkot kemas membuka pintu untukku. Karl memberi kunci kereta kepada lelaki itu untuk memarkir keretanya. Aku kini berada di hadapan sebuah hotel yang sangat mewah. Keadaan agak sibuk seperti ada majlis penting di hotel itu. Aku menoleh melihat Karl yang kelihatan tenang dalam senyumannya.

            “Jom.” Karl membuka tangannya di sisiku. Aku terkejut melihat keadaan itu. Melihat aku yang masih terpaku, Karl menarik lenganku dan kami beriringan masuk ke pintu utama Hotel Paradise.

            “Kat mana kita nak dinner?” soalku perlahan separuh berbisik. Keadaan seperti ada keramaian pula. Penuh dengan wartawan yang berkumpul di lobi. Aku semakin cuak.

            “Kat tingkat atas, jangan risaulah. kita bukan artis tak ada siapa nak pedulikan kita.” Karl ketawa melihat reaksiku. Aku menjeling kepadanya.

            “Saya cuma rasa tak selesa datang tempat macam ni.”

            “Saya ada, janganlah Aya nak risau.”

            Kami tiba di hadapan sebuah dewan yang besar. Di hadapan pintunya kelihatan penyambut tetamu yang berpakaian kemas dan cantik. Kami melangkah masuk bersama, ketika itu aku hanya mampu menelan liur. Masih tidak faham dengan apa yang berlaku.

            “Encik Karl, apa semua ni?” aku sememangnya sudah cuak. Dalam dewan itu kelihatan penuh dengan golongan atasan yang berpengaruh. Malah kelibat beberapa artis juga kelihatan.

            “Kita dinner kat sinilah.” Karl tersenyum selamba. Matanya seperti mencari seseorang.

            “Abang!” Seorang wanita anggun tiba-tiba datang dan memeluk Karl.

            Kakiku berganjak selangkah ke belakang kerana terlalu terkejut. Mataku terbuka luas melihat situasi dihadapanku ini.

            Mereka meleraikan pelukan. Aku cuba mengamati wajah wanita itu dengan baik-baik.

            “I miss you so much!” wanita itu meluahkan perasaannya. Karl pula memegang pipi wanita itu dengan penuh kasih-sayang.

            “Siapa ni?” wanita itu memandangku. Ketika inilah aku dapat melihat wajah wanita itu sepenuhnya.

            “Cik... Cik Sallyna!” bergetar bibirku sambil menyebut namanya.

            “Aya pun peminat Sallyna ke? Macam kebetulan aje abang bawa dia ke sini.”

            Sallyna juga kelihatan bingung sambil memerhatiku dengan kerutan di dahi.

            “Aya? Awak Aya kan?”

            Kali ini Karl pula kehairanan. Aku memandang Karl dan Sallyna silih berganti. Bergetar juga jiwaku kala ini. Pertemuan ini sangat aku ingin elakkan buat masa terdekat ini. Tetapi...

            Sallyna tiba-tiba ketawa. “Jadi, inilah PA yang abang cakap tu?” Soal Sallyna.

            “Er...” Karl masih kebingungan.

            “Panjang ceritanya.” Sallyna melirik kepada Karl. “Aya... memang kebetulan kan? Karl ni abang saya, abang kandung saya.” Ujar Sallyna sambil tersenyum.

            Aku tersentak sekali lagi dan aku melihat Karl turut mengangguk. Kebetulan apakah ini? Mustahil Karl... patutlah dia cakap siang tadi dengan seseorang dan menggelarkan dirinya abang. Rupanya dia bercakap dengan adiknya iaitu Sallyna! Ahh...

            “Abang saya memang suka berdikari sejak kecil. Dia tak mahu bergantung kepada keluarga. Dan sekarang dia sedang membina kerjayanya sendiri.” ujar Sallyna dengan lemah lembut. Wanita cantik itu mengajak aku berbual di satu ruang. Aku menurut sahaja dan Karl berbual dengan tetamu korporat yang lain. Aku agak kekok namun terpaksa juga tersenyum.

            “Saya langsung tak tahu dia seorang ahli keluarga elit. Kami layan dia seperti biasa. Tak sangka...” luahku perlahan.

            “Dia memang tak suka hidup dalam kongkongan ataupun protokol. Awak tahu semalam saya ada beritahu Karl supaya carikan saya seorang PA. Dan dia cakap akan bawa orang tu malam ni jumpa saya. Tak sangka orang tu adalah awak.”

            “Sa... saya tak tahu. Tapi...”

            “Kenapa Aya tak sudi ke? Saya suka kalau pembantu saya adalah orang yang saya kenal. Emm... Aya rasa macam mana? Kekok ke berjumpa semula dengan saya setelah lapan tahun?”

            “Tak... saya sangat gembira dapat bertemu dengan Cik Sallyna. Saya juga memang nak ucapkan tahniah kat Cik Sallyna.”

            “Saya anggap Aya dah setuju jadi pembantu saya.” Sallyna tersenyum ramah.

            Aku tidak berdaya menjawab katanya lagi. Semuanya sangat mengejutkan aku.

            “Aya jangan risau... saya dah lupakan hal yang lalu.”

            Aku terus mengangkat wajahku memandang wajahnya.

            “Saya pun kesal dengan apa yang Harry dah buat kat awak. Dia paksa awak jadi kekasih dia kerana tak nak saya menaruh harapan kepadanya. Tapi saya tahu... pasti awak pun terseksa dengan dia kan?”

            “Er...” aku hanya mampu menunduk.

            “Aya... awak tahu kan? Saya hanya cintakan Harry seorang. Saya harap Aya boleh tolong saya.”

            “Saya... saya tak mampu nak tolong Cik Sallyna. Saya bukan sesiapa pun.”

            “Tapi... saya yakin Harry sangat mempercayai awak.” Sallyna tersenyum panjang. Kemudian dia memegang tanganku. Tiba-tiba dalam senyumannya bertukar mendung. Air matanya bergenang. Aku menjadi serba salah pula.

            “Harry... Harry kena jujur dengan perasaannya. Barulah kami boleh bersama kalau tidak... saya yakin dia pun akan terus teseksa.”

            “Saya... saya yakin...” aku menarik nafas dalam-dalam. “Tuan Harry... masih menyukai Cik Sallyna.”

            Sallyna tersenyum dalam sebak, dia menarik tubuhku dalam pelukannya. Sallyna menangis teresak-isak. Aku cuba menenangkannya sehinggalah ahli keluarga Ray tiba ke majlis itu. Manakala ahli keluarga Sallyna masih berada di luar negara, cuma hanya Karl menajadi wakil dari keluarganya.Sallyna cuba kembali bertenang dan meredakan kegalauan hatinya untuk berdepan dengan wartawan malah seluruh tetamu undangan yang lain.

            Kami berjalan ke tangah dewan. Camera dari wartawan dan jurugambar menumpukan kepada Sallyna yang menyumbunyikan kesedihannya sebentar tadi dengan senyuman. Aku menjarakkan diri dari wanita itu. Aku berdiri di tepi sambil melihat dari jauh Ray hadir bersama keluarganya. Aku tersenyum apabila Kak Rania yang menyedari kehadiranku melambaikan tangannya. Kak Rania sudah pun berkahwin dan datang bersama suaminya. Tidak aku sangka Kak Rania masih mengingatiku.

            “Aya tak sangka jumpa kat sini.” kami berpelukan mesra. Setelah bertanya khabar sebentar Kak Rania kembali ke meja bulat yang dikhaskan untuk tetamu VVIP. Sallyna duduk di sebelah Ray. Wajah lelaki itu kelihatan gembira sama seperti wajah Sallyna. Tetapi, siapa tahu semua itu hanya kepura-puraan?

            Akhirnya mata Ray melirik ke arahku. Aku pantas mengalihkan pandanganku dan berjalan ke arah Karl yang sedang berbual dengan seseorang.

            “Encik Karl, saya nak balik dulu.” aku bisik di telinganya.

            “Eh Aya, kita belum makan lagi kan? Lagipun saya belum beritahu Aya lagi pasal...”

            “Jadi PA Cik Sallyna?” aku memotong cakapnya. “Saya akan call Encik Karl untuk bincang perkara tu nanti. Apa pun terima kasih sebab bawa saya ke sini. Saya akan balik dengan teksi.”

            “Aya. Kalau macam tu saya hantarkan. Kan kita datang sama-sama.” Karl kelihatan serba-salah. Tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku.

            “Tak apa Encik Karl, Cik Sallyna perlukan awak di sini.” Aku terus mengundurkan diri. Karl tidak jadi menghantar aku pulang setelah melihat ketegasanku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience