Bab 2

Romance Series 9630

BAB 2

“Sayang nak pergi mana pula tu? Beritahulah pada mama,” balas Maisarah bangun dari kerusi di bawah pokok dan merapati anaknya. Apabila anaknya sudah berada disebelah, dia mengusap rambut anaknya itu. Aishah mengerutkan dahinya sama seperti mamanya tadi. Dia berfikir sesuatu.

“Ei,apa ni? Kerut-kerutkan dahi tu pula. Nanti muka berkedut baru tahu,”usik Maisarah menunjukkan dahi puterinya sambil ketawa. Aishah memuncungkan bibirnya tanda protes terhadap kata-kata mamanya itu.

“Mana ada kedut. Mama yang ada kedut," ucapnya merajuk. Mulutnya memang petah berkata-kata.

"Amboi, jadi nak kata mama tak cantik la ni? Mama pula nak merajuklah macam ni," balas Maisarah memeluk tubuh seraya membelakangkan anaknya.

"Mama memang cantik tapi Icha lagi comel ok? ” pujuk Aishah kembali. Dia memberikan senyuman nakal itu kepada mamanya hingga Maisarah sendiri cepat cair. Tak lama merajuk. Seronok Aishah mengenakan mamanya. Maisarah mencubit pipi tembam anaknya itu. Nakal tak ubah macam papanya. Aishah ketawa apabila mamanya tidak lagi merajuk.

“Jom mama! Kita pergi makan kat Baskin Robin. Icha nak makan aiskrim. Lepas tu kita jalan-jalan lagi nak? Nanti dah balik KL, mesti kita tak dapat keluar macam ni selalu. Nanti mama pergi kerja, Icha kena pergi school," ajak Aishah memegang tangan mamanya. Walaupun baru berusia lima tahun, dia sudah pandai. Sementara berada di kampung mamanya sajalah dia boleh bermanja begini. Kerana waktu begini, mamanya akan ambil cuti panjang. Barulah mereka boleh meluangkan banyak masa bersama.

Jika tidak, Maisarah akan sibuk dengan kerjaya wartawannya di pejabat. Apabila ada tugasan, Maisarah akan keluar ke lokasi kejadian mencari sumber dan bahan berita. Waktu kerjanya juga kadang-kala tidak menentu. Kalau Maisarah bekerja, anaknya itu akan dihantar ke sekolah tadika yang berdekatan dengan rumah. Kemudian Aishah akan dijaga pula oleh jiran mereka yang sudah seperti adik-beradik sendiri. Mujurlah Zalia juga ada anak sebaya Aishah dan tak keberatan untuk menjaganya. Zalia hanya suri rumah tangga dan mempunyai seorang anak. Dengan Zalia sajalah, Maisarah mampu meminta tolong kerana dia tida saudara mara di ibu kota.

Ajakan Aishah untuk makan aiskrim disambut dengan senyuman. Aishah memang gemarkan aiskrim. Iyelah, budak mana yang akan menolak jika disuakan dengan makanan manis dan sejuk itu. Apatah lagi dihidang menarik seperti di Baskin Robin, pastinya semua mahu dirasa.

"Boleh sayang. Tapi kita balik rumah dulu. Kita ajak Atuk dan Nenek sekali ya," kata Maisarah merenung mata anaknya. Satu ciuman hinggap lagi di pipinya. Aishah mengangguk setuju.

“Nanti kita ajak atuk dengan nenek datang KL sekali juga nak? Tak ada lah Icha kena duduk rumah Aunty Zalia je bila mama pergi kerja. Okay tak?” petah mulut kecil itu berbicara. Maisarah tersenyum sambil mengangguk. Seronok si kecil tu apabila mamanya mahu melayan kerenahnya.

**************

Atuk dan nenek tidak mahu mengikut. Mereka rela tinggal di rumah sahaja kerana tidak gemarkan aiskrim. Biarlah cucunya sahaja yang pergi dengan mamanya ke pekan makan aiskrim.

“Sayang,duduk kat sini tau. Mama pergi belikan aiskrim kat kaunter tu. Mama belikan aiskrim yang selalu kita makan tu ok?”. Aishah mengangguk faham mendengar arahan mamanya itu. Mujurlah Baskin Robin yang ada di pusat membeli-belah itu tidak mempunyai ramai pelanggan pada waktu itu. Disebabkan Aishah beria-ia nak makan dihujung meja, Maisarah terpaksa berdiri untuk memrhatikan keselamatan anaknya sementara menunggu giliran untuk membuat pesanan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience