(Kampung Morten, Melaka - Seminggu kemudian)
"Mak Wan nak tanya betul-betul ni, Ikram. Betul ke kamu nak nikah dulu? Kenapa mesti terburu-buru? Tiba-tiba aje balik sini terus bagi tahu nak kahwin. Ish, tak habis fikirlah aku macam ni. Atau kamu berdua..." Mak Wan memandang Ikram Benjamin dengan seribu persoalan dibenaknya. Kemudian, dia memandang pula ke arah Anggun Dahlia yang sedang menunduk.
"Ehh, Mak Wan ni! Ke situ pula fikrinya. Ikram bukannya jahat sangat sampai nak mengandungkan anak orang. Mak Wan jangan risau ya. Ikram dah bersedia. Lagipun umur Ikram dah 33 tahun. Takkan nak tunggu sampai tahun depan baru nak kahwin? Nanti anak-anak orang lain dah membesar, anak Ikram baru nak kenal dunia. Hehe." Dia menarik sengih sambil memandang Anggun Dahlia sambil mengenyit mata ke arahnya.
Anggun Dahlia membuntangkan mata memberi isyarat ke arah Mak Wan. Gatal! Orang tua ada didepan mata, masih lagi berani bermain mata.
"Bukan apa. Dari kecil Mak Wan yang jaga kamu. Kamu tu amanah dari arwah mama dan papa. Mak Wan risau. Ke kamu ada buat benda tak senonoh belakang Mak Wan?Hah, Ikram? Kamu jangan main-main! Kamu ada buat benda tak elok ke dekat si Dahlia ni?! Ikram ada buat benda tak elok pada Dahlia ya? Bagi tahu Mak Wan. Biar Mak Wan sesah si Ikram dengan hanger!" Mak Wan memandang Anggun Dahlia meminta kepastian. Orang tua itu mula bangun menyinsing lengan. Tangannya mencekak pinggang. Lagaknya seperti mahu dihambat Ikram Benjamin. Kecut perutnya. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia memberi tahu pada orang tua itu bahawa anak buahnya itu nakal. Suka mengusik dirinya.
"Ehhh! Sabar Mak Wan! Hahahaha. Ikram belum gila lagilah nak mengandungkan anak dara orang sesuka hati. Suka sangat fikir bukan-bukan. Itulah, banyak sangat layan drama waktu maghrib.
Tengkuknya diusap. Susah juga ya mahu mendapatkan kebenaran untuk berkahwin dari orang tua?
Apa lagi yang dia masih belum cukup? Semua sudah tersedia. Kacak bergaya dan berharta.
Malah, dialah lelaki yang paling budiman. Mengaji? Masyaa Allah siap dengan tarannum. Jika tidak percaya, boleh saja tanya pada Mak Wan atau bahasa mudahnya, mak long yang paling disayanginya. Mahu tarannum apa? Baiyati? Hijjaz? Berzanji pun dia boleh. Lengkap!
"Tak adalah. Kamu tu buat Mak Wan fikir yang bukan-bukan. Balik sini terus bagi tahu nak menikah. Lepas itu nak buat kenduri doa selamat aje dekat sini. Mahu tak terkejut, orang tua ni? Datang sini nak bawa buah hati pun tak ada nak kabo ke aku! Hishh, budak zaman sekarang. Semunya nak senang. Tapi, tak apalah. Memandangkan kamu dah bawa si Dahlia ke sini, nanti kita bincang sama-sama dengan pakcik makcik kamu yang lain. Boleh ya, Dahlia? Sementara tu, Dahlia tidur sini." Mak Wan menyimpul senyum. Kepala Dahlia diusap sayang.
"Err...baik, Mak Wan." Anggun Dahlia menarik senyum kekok. Ah, semakin berdebar jantungnya. Tangannya diramas lembut.
"Ikram, malam nanti kamu kena tidur rumah Pak Ngah dan Mak Ngah." Arahan secara mengejut diberikan buat Ikram Benjamin.
"Ha? Kenapa pula? Takkan Mak Wan halau Ikram?" Kepalanya digaru.
"Ada pula sampai ke situ. Ikram tumpang tidur rumah sana dulu. Habis tu, takkan Ikram nak tidur sini? Tak manis. Ada anak dara dalam rumah ni. Lagipun, kesian dekat Dahlia, nanti 24 jam bertudung aje dalam rumah kalau ada Ikram. Alah, sementara aje."
"Alaa! Nanti kalau Ikram rindu pada Dahlia macam mana?" Ikram Benjamin memandang Anggun Dahlia. Kemudian, dia beralih pandang ke arah Mak Wan meminta simpati.
"Eleh! Baru tak berjumpa berapa minit mengada nak rindu bagai. Kalau kamu rindu si Dahlia, kamu telefon ajelah dia. Bukannya tak ada telefon." Mak Wan menyimpan senyum taktala mendengar alasan anak buahnya. Macamlah dia tidak kenal dengan perangai yang satu itu.
"Tapi.... mana sama kalau bercakap dalam telefon dengan berjumpa dengan orangnya, Mak Wan. Sayang...." Ah, mahu dia berpisah dengan buah hatinya? Memang tidaklah, jawapannya! Ikram Benjamin meminta simpati pada Anggun Dahlia. Tetapi perempuan itu tersengih sambil mengejek.
"Sudahlah, Ikram. Geli pula Mak Wan dengar. Aku ni ada depan mata, dia boleh bersayang-sayang? Mari sini, agak dah lama kamu ni tak kena sesah dengan hanger dekat bilik tu!" Mak Wan cuba mengejar Ikram Benjamin yang sudah berlari ke luar rumah. Akibatnya, riuhlah rumah Mak Wan petang itu dengan suara mereka berdua.
Share this novel