Bab 8
“Di kampung tu kau tinggal dengan siapa?” tanya Amalina tidak dapat menahan dirinya ingin mengetahui tentang peribadi Leo.
“Dengan nenek.”
“Emak dan ayah kau mana?”
Leo terdiam.
Leo menghulur tangannya ke arah api. Dia menyorong kayu ke arah bara, supaya api kembali marak. Sepanjang malam itu juga dia berjaya mengumpul kayu untuk membuat unggun api.
Dia terus menyorong kayu ke dalam bara. Tiba-tiba tangannya terkena bara yang masih membahang merah.
“Aduh! Ya Allah!” seru Leo tanpa sedar.
Amalina terkejut mendengar ungkapan Leo sebentar tadi. Ucapan yang meluncur tanpa sengaja dari dua ulas bibirnya berbentuk tipis, panjang. Bibir itu mengingatkannya pada bibir romantis penyanyi Josh Groban. Penyanyi itu memang diminatinya.
“Kau ni beragama Islam? Tok Batin dan orang-orang kampungnya juga beragama Islam?” Tanya Amalina, matanya memandang tidak berkelip ke wajah Leo.
“Kau memang macam ni ke? Suka banyak tanya… Nak tahu semuanya dalam masa yang singkat?” soal Leo.
Amalina tersengih. Rasa malu. Tapi naluri kewartawanan yang ada dalam dirinya membuat dia selalu rasa ingin tahu sehingga hatinya puas.
“Ya… Dah kerja aku macam tu!” jawab Amalina kemudian.
“Ya, aku Islam. Tok Batin tak… Orang-orang kampung ada yang Islam, ada juga yang bukan Islam.”
“Sejak bila kau memeluk Islam?” soal Amalina lagi.
Amalina tahu ramai juga dari kalangan masyarakat orang asli yang menganut agama Islam. Sebahagian dari mereka ada juga yang berfikiran bebas, tanpa menganut sebarang agama. Mereka tidak terikat pada sebarang kepercayaan.
Leo termangu-mangu mendengar pertanyaan Amalina. Dia kelihatan bingung. Leo merenung ke dalam dirinya sendiri. Sejak bila dia beragama Islam? Mungkin sejak lahir?
Setiap orang Islam percaya kepada Allah dan RasulNya. Sekonyong-konyong Leo teringat sesuatu. Dia tahu tentang rukun Islam yang lima perkara. Ya, dia orang Islam tapi dia tidak pernah sembahyang. Mak Upeh tidak pernah sembahyang. Mak Upeh tidak pernah bercakap tentang agama.
Amalina kelihatan tidak puas hati apabila Leo tidak menjawab pertanyaannya.
“Kau tak suka bercakap tentang hal peribadi ataupun kau tak suka bercakap tentang agama Islam?”
“Kedua-duanya sekali,” jawab Leo.
“Semua masyarakat orang asli pendiam macam kau? Tak suka bercakap?” Tanya Amalina lagi, menduga kesabaran Leo.
Pertanyaan itu buat Leo memandang tepat ke wajahnya. Amalina pura-pura tidak melihat tatapan tajam mata lelaki itu. Meskipun mereka duduk berjauhan tetapi Amalina sedar sorotan mata Leo mengandungi rasa tidak senang.
“Aku nak turun mandi,” kata Leo sambil bangkit lantas terus berjalan ke arah sungai.
Leo kembali duduk di hadapan unggun api. Amalina turut menjejaki langkah Leo, menghadapi unggun api yang terus marak. Mereka saling memandang dari sebalik unggun api yang galak menjilat kayu. Cahaya merah menyimbah muka Leo.
Unggun api yang marak itu membuat mereka berdua rasa hangat dan senang. Ditambah dengan kehadiran kopi yang baru dibancuh Amalina.
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Katakanlah; Dialah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.”
Mata Amalina terbeliak. Dia tidak menyangka langsung kata-kata itu meluncur dari mulut Leo. Maksud surah al-Ikhlas itu termuntah keluar dari mulutnya dengan lancar. Hatinya benar-benar kagum. Jelas, Leo bukan sebarangan orang.
“Kau boleh baca surah al-Ikhlas?” tanya Amalina.
Leo mengangguk. “Sudah tentu…” balas Leo sambil membacanya dengan lancar.
“Sekarang kau puas hati?” tanya Leo.
“Kau solat tak?” tanya Amalina separuh mencabar.
“Solat?” Leo diam sejenak.
Dia pernah mengerjakan solat tapi bukanlah selalu. Kalau dia ke Kampung Gelugor, dia akan ke masjid kampung itu yang terletak di pinggir jalan besar. Selalunya dia bersolat jemaah beramai-ramai, mengikut imam.
...bersambung
Bab akan datang:
Bencikah Leo kepada Amalina kerana terlalu berani mengambil risiko datang ke hutan tanpa berteman?
Share this novel