BAB 9

Crime Completed 13480

Azura mendekati Rosmin. Dia melabuhkan punggung berhadapan dengan sahabatnya lantas menggamit pelayan restoran. Setelah memesan minuman, dia bersandar letih.

“Macam mana Zura?” tanya Rosmin tidak sabar.

“Kot ye pun bagilah aku tarik nafas dulu Puan Rosmin,”

Rosmin tersengih.

“Melalui bedah siasat yang aku lakukan terhadap kedua-dua mangsa, pembunuh itu merupakan seorang wanita,”

“Kenapa kau cakap macam tu?”

“Melalui kesan tusukan di dada mangsa yang tidak terlalu kuat tetapi tepat mengenai jantung mangsa. Dan kesan keratan di alat sulit mangsa yang terlalu berhati-hati,” terang Azura. Rosmin mengeluh.

“Apalah motif dia buang alat sulit mangsa tu ye?” persoalan demi persoalan bermain di benak Rosmin. Apa yang penting sekarang dia sudah tahu bahawa pembunuh itu adalah seorang wanita. Azura hanya mengangkat bahunya.

“So, macam mana life kau sekarang?” tanya Azura lalu melontarkan pandangannya ke wajah Rosmin.

Sahabat karib semenjak di bangku sekolah. Cuma selepas habis tingkatan 5 kira-kira 10 tahun yang lepas, masing-masing membawa haluan sendiri. Azura mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran manakala Rosmin lebih senang dengan dunia pekerjaannya. Namun, akhirnya mereka dipertemukan apabila Azura diminta untuk membantu melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa pembunuhan itu.

“Cerita apa?” tanya Rosmin pelik. Setahunya dia sudah bercerita tentang kehidupannya kepada wanita itu sewaktu mereka dipertemukan 3 minggu yang lepas.

“Kehidupan kau dengan suami lah. Dulu kau bercerita yang kau sudah bersuami saja. Macam mana suami kau? Dia baik ke? Dia romantik ke?” seloroh Azura. Rosmin ketawa.

“Biasa-biasa saja lah Zura. Dan aku bersyukur sebab dapat suami macam dia. Sabar dengan setiap kerenah aku. Cuma tulah……” kata-kata Rosmin terhenti di situ. Seakan-akan faham apa yang ingin dikatakan oleh Rosmin, Azura mengusap lengan sahabatnya, lembut.

“Sabarlah Min, semua tu ketentuan Allah. Dia ada perancangan yang jauh lebih baik untuk kau. In sha Allah, suatu hari nanti sampailah rezeki kau tu,” pujuk Azura. Rosmin mengangguk perlahan.

“Kau pula, apa cerita? Tak kahwin-kahwin lagi. Tak takut membujang sampai ke tua ke?” tanya Rosmin yang tiba-tiba ceria.

“Amboi, sedap mulut engkau ye kutuk aku. Mestilah aku nak kahwin cuma belum sampai seru lagi,”

“Banyaklah kau punya seru, kau tu yang memilih sangat kan?” bukan dia tidak kenal dengan perangai Azura yang susah hendak dekat dengan lelaki.

“Siapa cakap aku memilih. Aku jenis yang setia tau. Cuma kesetiaan aku tak dihargai,” kendur bunyi suara Azura menyebabkan Rosmin pelik. Dia pernah bercinta ke? Tanya hati kecilnya.

“Kau pernah bercinta ke Zura?” tidak berpuas hati akhirnya Rosmin mengutarakan pertanyaan dan anggukan kecil Azura menyebabkannya terkejut. Dulu masa sekolah bukan main liat lagi wanita itu membuka pintu hatinya untuk lelaki.

“Sama belajar dengan kau ke?” tanya Rosmin lagi.

“Sama belajar dan sama sekolah,”

“Siapa? Kenapa aku tak tahu?”

“Macam mana kau nak tahu kalau tak pernah contact lepas habis sekolah,”

“Habis tu, kau bercinta dengan dia masa sekolah ke?”

Azura menggelengkan kepala. “Tak, aku jumpa dia ketika kami sama belajar,”

“Siapa Zura? Aku kenal ke?”

“Kalau aku cakap mesti kau terkejut,”

“Siapa?” tanya Rosmin geram. Seolah-olah Azura sengaja melambat-lambatkan jawapan.

“Amin,”

“Hah!” melopong mulut Rosmin sebaik sahaja sebaris nama itu terbit dari mulut Azura. Azura yang dahulunya terkenal dengan kealimannya dan sukar untuk didekati lelaki memilih Amin sebagai kekasih. Amin yang memang terkenal kerana sikapnya yang sering ponteng sekolah dan kaki pukul.

“Aku dah cakap kau mesti terkejut. Dahlah, tutup mulut tu, masuk lalat nanti,” Azura tertawa.

“Sekarang macam mana?” Rosmin masih lagi ingin mengorek rahsia sahabatnya itu.

“Semua hanya tinggal sejarah,”

Rosmin masih ingin membuka mulut apabila telefon bimbitnya berbunyi.

“Hello,” jawabnya ringkas. “Baiklah, saya datang sekarang,” Rosmin lantas menggamit pelayan.

“Aku terpaksa pergi dulu. Ada satu lagi pembunuhan dan keadaan mangsa sama macam mangsa-mangsa sebelumnya,” jelas Rosmin.

“Eh, aku ikut,”

“Oklah kalau macam tu, kau follow kereta aku ye,”

Azura menganggukkan kepala lalu bersama-sama Rosmin keluar dari restoran tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience