USAI membeli barang di kedai runcit, Qatrunnada keluar dari kedai dan ketika itulah dia terpandang Wijdan yang sedang berdiri di luar kedai. Tidak pasti apa yang patut dia lakukan, dia mengambil keputusan untuk buat-buat tidak perasan akan kehadiran Wijdan dan terus sahaja pulang ke rumah. Namun, terbantut hasratnya itu apabila Wijdan sendiri yang sudah menghampiri dirinya dan menegur.
“Assalaamu`alaikum Nada. Baru lepas beli barang? Abang Jay perasan Nada masuk kedai tadi itu yang abang tunggu Nada sampai Nada siap beli barang. Seorang aje?” Wijdan dengan ramah mesra berserta senyuman lebar menyapa Qatrunnada. Qatrunnada cuba sedaya upaya untuk mengawal riak wajahnya.
Dah nampak aku baru keluar dari kedai runcit lagi mahu tanya baru lepas beli barang ke. Dah nampak aku seorang diri lagi mahu tanya aku seorang diri ke. Aduhai. Apa kenalah dengan mamat ni. Qatrunnada mengomel di dalam hati.
“Wa`alaikumussalam. Yup, beli barang sikit. Eh, saya bertiga ni. Jay tak nampak ke?” Qatrunnada menjawab soalan klise Wijdan. Wijdan sudah berkerut dahi mendengar jawapan dari Qatrunnada. Dia pandang sekeliling Qatrunnada kalau-kalau ternampak teman rumah sewa gadis itu tetapi dia langsung tidak nampak wajah yang dia kenali. Melihat kerutan di dahi Wijdan, Qatrunnada terus menyambung bicara.
“Saya bertiga termasuk malaikat kat kiri dan kanan saya ni.” Hahaha! Lu kena beb! Padan muka. Qatrunnada menyambung di dalam hati.
“Oh, Abang Jay ingatkan apalah tadi.” Wijdan bersuara. Kali ini sudah hilang kerutan di dahinya. Qatrunnada mengeluarkan sejumlah wang dari dompetnya lalu menghulurkan wang tersebut kepada Wijdan. Kali ini kerutan di dahinya datang lagi. Dia pelik dengan kelakuan gadis di hadapannya ini.
“Yang ni duit saya guna WiFi rumah sewa Jay hari Sabtu lepas. Saya guna tiga jam then saya dah darabkan dengan caj yang biasa CC kenakan.” Ujar Qatrunnada. Jika tadi Firhan enggan menerima bayaran darinya jadi ada baiknya juga jika dia cuba membayar melalui Wijdan pula.
Wijdan sudah tergelak. Comellah dia ni. Itu pun nak bayar juga? Berapa senlah sangat. Kalau aku tak paksa Fir cerita peristiwa pagi Sabtu lepas mesti aku blur bila dia cakap pasal guna WiFi ni. Mati-matilah aku ingat dorang bertukar-tukar nombor telefon.
“Tak perlulah Nada. Kami halalkan. Ini serius. Nada simpan balik duit Nada tu.” Wijdan menolak dengan baik duit yang dihulurkan oleh Qatrunnada. Qatrunnada terpaksa menyimpan kembali duit tersebut ke dalam dompetnya.
“Terima kasih.” Kata Qatrunnada.
“Sama-sama.” Jawab Wijdan. “Nada nak balik dah? Kalau Abang Jay bawa kereta ni boleh tumpangkan Nada sekali tapi hari ni Abang Jay bawa motor.” Sedikit kecewa Wijdan dengan situasi tersebut. Masakan dia sanggup untuk mengajak si gadis yang elok menutup aurat ini membonceng motosikal dengannya.
“It’s okay Jay. Saya balik jalan kaki aje. Tak jauh pun. Saya gerak dulu ya. Assalaamu`alaikum.” Qatrunnada yang tidak mahu berbual panjang terus melangkah sesudah memberi salam kepada Wijdan.
“Wa`alaikumussalam. Elok-elok jalan tu. Kalau nak melintas tengok kiri kanan, kalau ada orang nak mengorat jangan dilayan.” Wijdan bersuara walaupun Qatrunnada sudah perlahan-lahan berjalan meninggalkannya.
Qatrunnada yang masih dapat mendengar pesanan Wijdan itu sudah geleng kepala. Si WiFi dua orang ni kembar lain ayah lain mak ke apa? Pesanan khidmat masyarakat diorang sepesen aje. Eh, bukan pesanan khidmat masyarakat dah ni. Ini dah pesanan khidmat WiFi. Haha!
Share this novel