Bab 1 : HV

Mystery & Detective Series 29168

~Aku tidak menyesal dengan sesiapa pun aku kenal. Aku percaya, itu bukan kebetulan. Tapi semua itu kehendak-Nya. Ada sebab kenapa kita BERTEMU dan BERPISAH~

2018.

"Tuan Han okay tak ni?" Pak Maliq, pemandu merangkap kawan baik arwah walidnya menegur Tengku Eshan Maisur.

Eshan membuka mata. Mata tua itu bertembung dengan anak matanya di sebalik cermin pandang belakang. Pak Maliq seperti biasa di tempat pemandu dan Eshan berada di tempat duduk belakang.

Lihat raut tua itu terus Eshan teringat kepada arwah walidnya. Walid pergi sebelum sempat berjumpa dengannya disaat akhir hayat walidnya. Itu satu benda yang sangat Eshan terkilan dan tidak mampu diusir rasa itu dari hatinya.

"Saya okay Pak Maliq."

"Sudah dua jam kita berhenti dekat sini. Tuan tak mahu gerak lagi?" tanya Pak Maliq.

Dengar soalan Pak Maliq, terus Eshan angkat muka. Lontar pandangan ke satu bangunan yang berada di seberang jalan yang sudah nampak usang dimakan usia.

"Ke mana Baariq pergi ya, Pak Maliq?" Lagi soalan itu Eshan tanya walaupun sudah pasti jawapannya tetap sama yang akan dia terima dari Pak Maliq.

"Pak Malik tak tahu Tuan Han. Sudah 3 tahun Baariq dengan Som pergi dari rumah tu. Pergi macam tu je. Pak Malik ada juga tanya-tanya orang dekat-dekat sini tapi semuanya jawab tak tahu."

Eshan mengangguk. Satu persoalan yang tiada jawapan. 10 tahun dulu dia tinggalkan Malaysia kerana merawat hati yang berduka lara. 8 tahun selepas itu, dia ada pulang ke Malaysia tetapi sengaja tidak dicari sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan si dia kerana patah hati tapi siapa sangka dia mendapat kemalangan sebaik sahaja pulang ke Turki.

Dua tahun selepas kemalangan itu, barulah dia kembali semula ke Malaysia setelah mendapat perkhabaran yang walidnya tidak sihat tapi belum sempat kakainya menjejak bumi Malaysia, walidnya sudah menghembuskan nafas yang terakhir.

"Rumah dia dulu macam mana?"

"Rumah tu masih lagi rumah Som. Tapi sekarang sudah disewakan kepada orang lain."

"Rumah sebelah rumah Mak Som tu?"

Serentak soalan itu, mata mereka kembali bertaut. Eshan menunduk, larikan dari pandangan Pak Maliq.

"Tuan Han tak lupakan dia?"

Soalan Pak Maliq tidak dapat Eshan jawab.

"Sudah 10 tahun berlalu Tuan Han macam-macam yang dah jadi..." lirih saja dengar suara Pak Maliq masuk ke halwa telinga Eshan.

Keluh dilepaskan. Eshan sekali lagi membuang pandangan ke luar tingkap.

"Balik sajalah Pak Maliq."

Kenangan lalu kembali berulang tayang.

* * *

2006. Pangsapuri Cempaka.

"Cause all of me loves all of you

Love your curves and all your edges

All your perfect imperfections

Give your all to me, I'll give my all to you

You're my end and my beginnin'

Even when I lose, I'm winnin'

'Cause I give you all of me

And you give me all of you, oh-oh"

Lirik lagu All of Me dari penyanyi John Legend sekali lagi menganggu lena Eshan. Untuk yang kali ini sudah empat hari lena paginya terganggu gara-gara lagu yang dimainkan oleh jiran sebelah.

Eshan bergeliat sedikit, tarik bantal bersegi empat lalu perkup telinga. Biar hilang lagu itu dari corong telinga. Mata kembali layu. Masih rasa penat dan mengantuk kerana semalam menghabiskan masa dekat kelab. Libur cara anak muda di bandar pesat ini.

"Tuan Han... Tuan Han... Bangun.." Sayup-sayup telinga Eshan menangkap suara Baariq, anak Mak Som.

Kalsom atau lebih mesra dengan nama Mak Som ini pengasuh Eshan sejak dari kecil. Sudah lama berhenti dari terus berkhidmat di rumah keluarga Tengku Eqbal tetapi hubungan mereka tidak pernah putus malah makin erat.

Eshan mendengus kuat. Tolak selimut dengan kaki lalu bangun dari katil. Geram, pagi-pagi lagi sudah ada yang mengacau tidurnya. Baariq ni memang nak kena!

Baariq, anak sulung Mak Som. Sebaya dengan Eshan. Mereka sama-sama menuntut di sekolah menengah dan kolej berprestij tinggi. Baariq diterima masuk ke kolej yang sama dengan Eshan atas tajaan penuh dari Tengku Eqbal. Baariq ni rajin orangnya, selalu tolong Mak Som menjual di Pasar Tani setiap pagi kalau tidak ada kelas. Lain pula dengan Eshan yang banyak habiskan masanya dengan berlibur.

"Kau panggil aku apa tadi, Riq?" terjah Eshan sebaik sahaja buka pintu bilik.

Baariq tersengih, nampak sangat dia sengaja mengusik sahabatnya, merangkap bekas tuan mudanya. Eshan cukup pantang kalau Baariq memanggilnya 'Tuan'. Dia tak suka.

"Han, aku dengan mak nak pergi pasar dulu ni. Nanti kalau kau lapar, kau tunggu nasi lemak sampai. Aku dah order dengan orang sebelah. Nanti dia hantar," pesan Baariq lantas capai beg galasnya.

Eshan sekadar mengangguk selepas mendengar pesanan Baariq. Itulah rutin Baariq bila tibanya hujung minggu. Lain benar dengan rutinnya.

"Han, mak pergi dulu. Nanti nak balik rumah, bagi kunci rumah dekat Sarah. Mak dah pesan dengan dia," pesan Mak Som pula. Mak Som sudah dianggap sebagai ibu nombor dua kepada Eshan selepas ibu kandungnya, Datin Tengku Naina.

"Baik mak." Mata Eshan cuma menghantar pemergian Mak Som dan Baariq dengan ekor mata sahaja. Kembali menutup pintu bilik, mahu sambung tidur. Layan kantuk yang masih bersisa.

Tok! tok! tok!

''Abang Baa! Mak Som! Sarah datang ni." Satu jeritan dilaungkan di luar rumah berselang seli dengan ketukan di pintu yang bertalu-talu.

Sekali lagi Eshan berdecit. Geram betul dia bila terpaksa bangkit sekali lagi dari terus layan mata yang mengantuk. Dari bilik tidur Baariq, dia terus ke pintu utama. Rumah apartment kos rendah, berapa banyak sangat yang perlu dia menyusun tapak untuk sampai ke pintu utama.

"Hah ada apa?" selar Eshan terus sebaik sahaja pintu dibuka.

"Sarah..." Suaranya tersekat disitu. Senyuman yang melebar itu pun makin kendur. Terkejut barangkali kerana Baariq yang dipanggil, tapi yang menjelmanya orang lain. Dan orang lain itu pula tidak berbaju dan hanya berseluar tidur. Lekas Sarah melarikan anak matanya ke arah nombor rumah Mak Som bimbang juga dia kalau-kalau dia tersilap rumah.

'Dah betul rumah Mak Som.. habis tu kenapa yang muncul orang lain?'

"Ini rumah Mak Som, kan?" soalnya minta kepastian dengan muka yang terpinga-pinga.

"Emm... kenapa?" Eshan tayang muka bosan.

'Minah kampung celah mana pula ni? Annoying!' desis hatinya.

"Habis tu, awak siapa? Apa awak buat dalam rumah Mak Som ni? Awak pencuri ya?" tuduh si dia melulu.

Ternganga Eshan. Dan-dan itu juga dia silang tangan ke dada. Tubuh disandarkan di pintu.

"Excuse me Cik Adik. Nak menuduh orang pun tengok lah dulu. Takkan lah aku ni pencuri. Kalau betul aku ni pencuri, sah-sahnya aku tak buka pintu ni. Aku ambil apa yang aku suka and aku blah!"

Sarah terdiam dengan jawapan Eshan yang memang ada logiknya disitu. Sesaat kemudian dia tersengih malu dengan segala tuduhannya sebentar tadi.

"Kau siapa?" Giliran Eshan pula menyoal Sarah. Kesempatan itu juga Eshan ambil untuk tilik wajah polos milik Sarah dan cara pakaian gadis itu.

'Emm... not bad but not my taste lah!' ujarnya sombong. Terjongket sedikit hujung bibirnya. Matanya juga sempat tangkap apa yang ada di tangan Sarah. Sarah sedang memegang satu mangkuk tingkat besi. Terbuka sedikit ulas bibir Eshan, terkejut.

'Mangkuk tingkat? Seriously? Budak ni datang dari celah kampung mana ni?'

Anak mata Sarah juga turun pandang mangkuk tingkat di tangannya bila sedar anak mata Eshan terpaku di situ.

"Sa... saya Sarah. Sebelah ni rumah saya. Ni saya datang nak bagi nasi lemak. Tadi Mak Som ada bagitahu saya, minta saya hantar nasi lemak ke rumah dia," beritahu Sarah, diangkat sedikit mangkuk tingkat itu.

"Oh.. okay." Eshan angguk, baru sedar itu tujuan sebenar kedatangan Sarah ke rumah Mak Som. Eshan menguak daun pintu dengan lebih luas sebelum membuka kunci manga di jeriji besi. Eshan mempersilakan Sarah masuk ke rumah Mak Som. Tidak tergamak membiarkan tetamu berdiri di luar sahaja.

"Masuklah," kata Eshan selepas itu.

Sarah terkulat-kulat di tempatnya, sedikit terkejut dengan pelawaan Eshan.

"Tak nak masuk ke?" soal Eshan sedikit hairan, bila Sarah tidak berganjak dari tempatnya.

"Erk... saya bagi makanan dekat sini jelah. Lagipun Mak Som tak ada, nanti apa pula kata jiran-jiran." Sarah menolak dengan sopan sambil menghulurkan mangkuk tingkat itu.

Eshan tepuk dahi. Termalu sendiri. Eshan pejam mata, berdecit.

'Aduh, macam mana aku boleh lupa! Tengok saja pemakaian dan rupa Sarah ni sudah tentu-tentunya budak ni polos, naif. Tak adanya dia nak ikut aku masuk dalam rumah, berdua-duaan dengan aku. Come on, Han... Jangan malukan diri macam ni!'

Lambat-lambat Eshan sambut jua huluran Sarah. Sempat dia titipkan ucapan terima kasih sebelum Sarah berlalu ke rumahnya.

* * *

2018

Sedar tak sedar, kereta yang dipandu Maliq, sudah tiba di pekarangan rumah peninggalan milik arwah Tengku Eqbal.

"Tuan Han.. kita dah sampai."

Eshan mengangguk. Senyum nipis diberikan kepada Pak Maliq sebelum keluar dari perut kereta. Eshan masih memerlukan khidmat Pak Maliq walaupun dia tahu lelaki itu sudah tua dimamah usia tapi Eshan mahu Pak Maliq sentiasa dekat dengannya. Bila bersama Pak Maliq dia dapat merasakan seperti saat ketika dia bersama arwah walid. Lagipun dia sendiri pun masih belum ada kekuatan untuk memandu selepas peristiwa kemalangannya dulu.

"Han.. baru balik nak?" tegur umi, Tengku Naina.

Eshan mengangguk lantas capai tangan itu untuk bersalam.

"Macam mana Han hari ni? Okay?" soal uminya lagi.Kali ini soalan itu sudah tentu-tentunya berkenaan dengan kerja. Hari ini merupakan hari pertama Eshan memulakan tugasnya di EN Holdings selepas 10 tahun lelaki itu meninggalkan Malaysia.

"Okay mi. Banyak lagi yang Han perlu belajar dari Adham. Insha Allah, one day Han boleh handle semuanya. Don't worry, okay?" Eshan cuba mengubah mood kepada ceria walaupun tidak dinafikan jiwa sebenar seorang Tengku Eshan Maisur sudah lama direntap pergi.

"Alhamdulillah kalau itu yang Han rasa. Umi minta maaf kalau Han rasa keputusan umi untuk bawa Han balik ke sini tu, salah. Umi cuma mahukan EN dijaga oleh kita, keluarga kita dan Han satu-satunya orang yang umi dan walid harapkan."

Eshan tersenyum lagi. Dia tahu betapa besarnya harapan yang umi dan arwah walid sandarkan kepadanya kerana dia satu-satunya anak lelaki mereka.

"Han tahu umi. Jangan risau. Han cuba lakukan yang terbaik untuk keluarga kita. Bagi Han sedikit masa untuk Han suaikan diri dengan semua ni. Lama-lama, tentu Han akan okay. Boleh umi?"

Anggukkan dan senyuman dari Tengku Naina, melegakan hati Eshan. Tengku Naina tarik tangan Eshan ke meja makan, masa untuk minum petang. Rancak sungguh uminya bercerita yang hari ini dia ada buatkan lepat pisang. Kuih kegemaran arwah walid.

"Tuan Han!"

Kepala Eshan pusing sedikit ke belakang bila terdengar Pak Maliq memanggil namanya. Tergopoh-gapah orang tua itu mendekatinya. Di tangannya ada satu beg kertas kecil. Uminya juga turut pandang Pak Maliq.

"Ada apa Maliq?" Uminya bertanya dulu. Pak Maliq sengih dengar pertanyaan umi.

"Ini... saya cuma nak bagi ni pada Tuan Han." Pak Maliq menghulurkan beg kertas itu kepada Eshan.

Eshan terpinga-pinga. Bertaut kening. Mahu menyambut pemberian itu tapi hatinya menyimpan sedikit rasa ragu.

"Apa ni Pak Maliq?"

Pak Maliq buka beg kertas itu lalu diambil isi dalamnya bila lihat reaksi Eshan seperti teragak-agak saja mahu menyambut hulurannya. Lalu dia suakan sebuah telefon pintar hitam kepada Eshan.

"Tuan, ni ada telefon tuan. Saya simpan."

"Telefon saya?"

"Ya tuan. Sejak dari 2 tahun lepas saya simpan. Banyak mesej masuk tapi sumpah saya tak pernah buka. Itu hak privasi tuan."

Makin berkerut kening Eshan selepas dengar Pak Maliq berkata begitu. Lambat-lambat dia sambut jua.

Cerita sy byk flashback. Tahun 2018 adalah masa kini dan 2006 adalah masa lalu. Tq to all the readers. HV.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience