Bab 4

Romance Series 4350

“Malam tu aku tengok CD yang kau bagi tu, menjerit aku sebab tiba-tiba keluar orang kena sembelih! Nak termuntah aku! Cepat-cepat aku tutup tv aku, tau!” Aku bercerita, mengimbas kembali peristiwa dua tahun lalu semasa Khairul memberi aku pinjam CD filem aksi yang amat menarik yang diceritakannya. Padahal CD itu ialah tentang kumpulan pengganas melakukan penyembelihan terhadap wartawan asing. Memang aku takkan lupa peristiwa itu. Khairul cuma ketawa dihadapanku kini.

“Hahaha…” Ternyata Khairul masih seperti dulu. Gemar ketawakan aku walaupun ternyata dia yang bersalah. Padanya jenaka itu benar-benar melucukan.

“Sorry sangat-sangat, Yana. Aku tak tahu pulak CD dalam tu tersalah masuk cover dia. Agaknya housemate aku main simpan saja. Lepas tu masa kau called aku malam tu, aku tengah minum kat kedai. Kelam-kabut aku datang rumah kau tau sebab dengar kau jerit-jerit suruh aku datang time tu juga!” Khairul meluahkan kisah lalu dengan penuh minat. Aku mencebik.

“Aku sampai je depan pagar rumah kau, amboi bukan main marah lagi kau masa tu terus baling CD tu kat aku!” Khairul ketawa lagi. Aku cuma menjeling.

“Memanglah aku marah sebab aku dah geram sangat dekat kau! Nak termuntah aku tengok orang kena sembelih. Gila kau! Tengok lembu kena sembelih time raya korban pun aku tak sanggup, apatah lagi orang kena sembelih!” Aku menjegilkan mata ke arah Khairul. Khairul masih lagi dengan sisa tawanya.

“Eh, lama kau hilang ni. Apa cerita?” Aku menukar topik lain sambil menyedut minuman kegemaranku, jus epal. Khairul tampak termenung kosong.

“Eh, aku tanya kau ni. Kau kenapa termenung jauh sangat ni? Rindu aku, ya?” Aku pantas mengusiknya sambil ketawa kecil.

“Memang pun aku rindu kat kau, Yana.” Sebaris saja kata-kata itu terucap namun cukup untuk membuat aku terdiam. Khairul merenungku.

“Memang aku tiba-tiba hilangkan diri. Tapi bila aku datang cari kau dekat tempat kerja dan rumah kau, kau tak ada. Aku jadi serba-salah sangat. Kemana sajalah kau pergi, Yana? Dah kahwin ke atau dah naik pangkat tukar tempat kerja? Nombor telefon kau pun dah tak dapat dihubungi lagi. Nasib baik aku terjumpa kau tadi dekat bank. Aku rindu sangat kat kau, tau tak?” Tiba-tiba Khairul menggenggam tanganku diatas meja. Aku kaget.

Wajahnya tampak penuh dengan pengharapan. Cepat-cepat aku tarik tangan aku. Khairul terus terpinga-pinga.

“Eh, kau ni emosional sangat kenapa? Takkanlah rindu dekat aku sangat? Biar betul kau ni!” Aku cuba berlagak seperti biasa. Khairul tampak malu-malu.

“Okaylah, biar aku berterus-terang dengan kau Yana kemana aku pergi selama ni.” Khairul menghela nafas dalam kepayahan yang dapat aku rasakan.

Dua tahun lalu dia menghilang dengan tiba-tiba. Aku juga sebenarnya amat terasa akan kehilangannya. Kehilangan yang sangat-sangat memberi kesan kepadaku. Walaupun aku mengenalinya cuma setahun tetapi dia benar-benar rakan karibku yang seperti sudah berpuluh tahun kenal denganku.

“Aku putus cinta. Sebab tu aku bawa diri. Aku minta maaf, Yana.” Kata-katanya benar-benar memeranjatkanku. Hampir saja aku tersedak sebaik sahaja mendengar kata-katanya itu.

“Putus cinta?” Aku benar-benar tertanya-tanya.

“Sejak bila kau ada awek?” Soalan yang aku rasakan paling sesuai untuk aku tanyakan kepadanya.

“Aku bukan putus cinta dengan awek aku masa tu. Tapi aku bercerai dengan bekas isteri aku.” Kali ini kata-katanya hampir membuat aku jatuh dari kerusi yang aku duduki kini. Aku ternganga. Namun Khairul hanya ketawa.
Dia boleh gelak? Lawak apa ni?

“Yana, kenapa kau terlopong ni?” Khairul benar-benar selamba. Apakah dia bergurau denganku?

“Hoi! Macamana aku tak terlopong? Bercerai dengan bekas isteri kau? Biar benar kau ni! Aku tak salah dengar ke atau kau saja nak kenakan aku?” Aku menduganya. Apakah kata-katanya itu benar?

“Iya, Yana. Aku tak tipu kau. Selama kita kenal aku rahsiakan dari kau yang aku dah kahwin. Susah untuk aku terangkan semuanya dekat kau, Yana. Aku minta maaf sangat-sangat.” Khairul merapatkan kedua tapak tangannya tanda memohon maaf. Wajahnya tidak ternampak tanda pembohongan pun.

“Masa mula-mula kita kenal, aku baru je nikah masa tu. Suka sama suka.. tapi memang benar kita tak boleh jangka masa depan kita, kan?” Khairul tampak payah untuk meluahkan segalanya. Aku sedari tadi cuba bertenang sendiri semakin stabil dari rasa terkejut tadi.

“Baru je dua hari kami bernikah, isteri aku terbang ke Korea untuk sambung belajar. Masa aku tersalah masuk ke kedai serbaneka tempat kau kerja tu, kau nampak aku tengah tengok handphone, kan? Masa itulah aku dapat mesej daripada isteri aku. Aku gabra sangat sampai tak mampu cakap apa-apa sebab tu aku cuma ketawa saja masa kau tegur aku masa tu. Aku buntu, Yana.” Khairul merenung jauh kedalam anak mataku. Aku juga hanya mampu merenung wajah Khairul, cuba memahami ceritanya.

“Isteri aku bijak susun rancangan, Yana. Dia cakap tawaran belajar datang tiba-tiba dan terus dia ambil keputusan mendadak masa tu untuk menetap dekat Korea selama setahun. Dia tak bincang apa-apa pun dengan aku. Masa tu aku dan dia masih duduk dengan family aku tapi lepas dia pergi, aku sewa rumah dekat tempat lain sebab aku nak jauhkan diri aku daripada keluarga aku. Walaupun keluarga aku tahu situasi kami tapi aku benar-benar buntu masa tu. Aku tak tahu kenapa dia buat aku macam ni, Yana. Dalam masa setahun kita kenal tu Yana, aku selesa berkawan dengan kau. Dia tak balik ke sini pun masa tu tapi tahu-tahu saja dia called aku dan minta cerai sebab dia dah jumpa lelaki lain kat Korea. Terlalu mudah hidup dia, kan?” Khairul berbicara serius sambil memandangku. Aku mengerutkan dahiku.

“Rul, betul ke cerita kau ni?” Aku mula sangsi. Namun Khairul hanya ketawa.

“Memang payah nak percaya, Yana. Aku rasa kisah hidup aku ni lagi lawak dari kisah aku tersalah bagi CD kat kau, kan?” Khairul ketawa lagi. Dia menghirup jus orennya.

Aku masih cuba menganalisa kata-kata yang diucapkannya tadi. Macam tu pun boleh jadi ke? Pelik. Kejam betul perempuan tu. Kata suka sama suka tapi dua hari kahwin dah blah pergi Korea. Lepas tu setahun tak jumpa suami dan kenal lelaki lain terus minta cerai? Mudahnya hidup. Seumpama mudahnya menyediakan mi segera, dua minit dah sedia untuk dimakan. Aku ketawa dengan analisaku sendiri.

“Kau gelak seorang diri ni kenapa, Yana?” Khairul hairan dengan tingkah lakuku.

“Aku ketawalah dengan kisah kau ni. Pelik tapi benar.” Ujarku.

“Ya, tepat sekali! Pelik tapi benar. Tapi inilah yang terjadi, Yana. Aku tak tipu kau. Sudahlah, kita lupakan dulu hal tu. Sekarang aku nak tahu pasal kau pula.” Pinta Khairul.

Aku menghirup sampai habis jus epalku. Namun tiba-tiba telefon bimbitku berirama menerima panggilan masuk, entah daripada siapa. Aku memberi isyarat supaya Khairul menunggu sebentar untuk aku menjawab panggilan itu.

“Hello,” ucapku sebaik sahaja menjawab panggilan itu.

“I kat coffee house with my old friend.”Jawabku membalas soalan pemanggil yang bertanyakan dimana aku berada kini.

“I nak balik dah sekejap lagi. I will call you tonight.. daa..” Aku mematikan talian. Telefon bimbitku aku simpan kembali ke dalam beg tanganku.

“Sorry, Rul. My fiancee tadi.” Aku tersenyum ke arah Khairul. Khairul tampak agak terkejut.

“Tunang kau, Yana?” Dia menyoal terus.

“Ya. Kenapa?” Aku agak hairan dengan pertanyaannya.

“Ni kau tengok ni, gambar aku bertunang tahun lepas.” Lekas saja aku mencapai kembali telefon bimbitku dari beg tanganku.

Aku membuka gambar pertunanganku dari fail dalam telefon bimbitku. Gambar aku duduk seorang diri diatas pelamin kecil sambil memegang bunga tangan. Aku tunjukkan kepada Khairul. Aku lihat lama Khairul meneliti gambar itu. Aku ambil kembali telefonku dari tangan Khairul.

“Eh, tengok lama sangat, kenapa?” Aku menyoal.

“Yana, kau pun penuh kejutan, ya? Aku ingat aku yang buat kau terkejut tapi ternyata aku balik yang terkejut.” Khairul ketawa. Tampak merah merona diwajahnya.

“Rul, aku bukan saja nak buat kejutan. Itu kenyataannya. Tapi kau memang buat aku terkejut sangat-sangat. Kita kenal setahun lamanya, Rul. Sikit pun aku tak tahu yang aku ni berkawan dengan suami orang! Kalau isteri kau cari aku masa tu kemudian dia salah sangka.. habislah aku masa tu, kan? Mesti kena serang.” Aku menduga-duga perjalanan hidupku.

“Eh, mengarutlah kau ni. Takkan jadilah macam tu.” Khairul menyangkal.

“Eh, aku dah lambat ni. Baru teringat aku ada hal petang ni. Bagi sini nombor telefon kau, Rul. Nanti aku telefon kau.” Aku bersedia dengan telefonku untuk menyimpan nombor telefonnya.

“Nombor aku?” Khairul tampak kehairanan. Aku rasa pelik.

“Ha, yelah. Nombor telefon kaulah. Eh, tak boleh ke? Kau ni artis ke tak boleh suka-suka bagi nombor telefon dekat orang?” Aku hampir ketawa. Khairul hanya tersengih.

“Saja usik kau. Bagi sini telefon kau biar aku taip sendiri nombor telefon aku.” Dengan pantas Khairul mengambil telefon bimbitku dari tanganku.

Aku cuma memerhatikan tingkah lakunya. Khairul tampak sedang menekan-nekan butang ditelefon bimbitku.

“Okay, nah. Aku dah send message ke nombor aku jadi automatik kau dah dapat nombor aku. Okey, jaga diri baik-baik. Nanti kita jumpa lagi, ya?” Khairul berkata sambil menyerahkan telefonku kembali. Dia tersenyum lebar memandangku.

Aku mengambil tisu yang terdapat diatas meja. Aku terus mengelap ke seluruh telefon bimbitku. Khairul hairan.

“Eh, kau ni pembersih betul! Beriya kau lap telefon kau ni. Baru beli ke?”Khairul tersenyum-senyum.

“Taklah. Aku nak hapus bukti.”

“Ha? Bukti apa?” Khairul hairan.

“Tunang aku akan check nanti, jadi aku mesti hapuskan kesan-kesan cap jari kau pegang handphone aku tadi.” Beriya-iya aku mengelap telefon bimbitku. Khairul merenungku.

Aku sudah tak mampu lagi menahan tawaku. Terus aku ketawa dengan riangnya.

“Aku main-main jelah! Kau ni, takkanlah tunang aku psiko sangat sampai macam tu.” Aku geli hati melihat wajah Khairul yang benar-benar kehairanan tadi.

“Kau ni main-mainlah! Risau aku tadi.” Khairul membalas.

“Kau ni muka cuak pun tetap handsome, ya?” Aku ketawa kecil.

“Ehem, ehem.. baru tau ke?” Khairul tiba-tiba membetul-betulkan bajunya, gaya gentleman konon.

“Hmm, ni yang menyampah ni. Kau ni pantang dipujilah. Sudahlah, aku blah dulu. Jumpa lagi nanti.” Cepat-cepat aku bangun ingin beredar ke arah kaunter pembayaran. Khairul cuma ketawa sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Eh, Yana.” Khairul tiba-tiba memanggilku sambil bangun dari kerusi. Terhenti langkahku dan aku segera menoleh kearah Khairul.

“Tak apa, aku belanja kau. Dah lama aku tak belanja kau, kan?” Khairul bersuara sambil tersenyum manis.

“Betul ke ni?” Aku bertanya untuk kepastian. Khairul yang masih tersenyum mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Okay, thanks. Bye!” Aku melambaikan tanganku ke arah Khairul sambil segera menuju ke arah lif yang berada tak jauh dari pintu masuk restoran itu.

“Sayang!” Tiba-tiba aku terdengar suara perempuan dibelakangku. Aku buat tak tahu saja dan terus menekan butang lif dan menunggu pintu lif terbuka.

“Bila you balik? Lamalah tak jumpa you. Rindu sangat!” Ohh, gedik sungguh suara itu. Aku pantas menoleh ke belakang untuk melihat siapa gerangannya.

Hampir terlopong mulutku apabila melihat Khairul dipeluk erat oleh seorang wanita seksi.

Amboi amboi, manjanya! Dikhalayak ramai pula tu. Memang tak sesuai! Aku lihat Khairul semacam merelakan saja dirinya dipeluk wanita itu. Khairul tahu aku memerhatikannya dan dia cuma tersengih memandangku.

Ting! Pintu lif sudah terbuka dan dengan segera aku masuk ke dalam lif. Sebaik sahaja pintu lif tertutup, aku menggenggam erat tangan kananku dan aku lekapkan ke dadaku.

Kenapa aku terkesima dan jantungku berdegup kuat sangat ni? Adakah aku terkejut sangat dengan apa yang aku lihat tadi? Perasaan yang pernah aku alami dulu nampaknya mekar kembali kini.
Aku sukakan Khairul?

“Beep, beep..” Tiba-tiba telefon bimbitku berirama dan bergegar menandakan mesej masuk. Aku segera meneliti telefon bimbitku yang aku gemgam sedari tadi. Mesej dari Khairul.

Khairul sudah setkan namanya sendiri ketika menyimpan nombor telefonnya tadi ke dalam telefonku.

'Cepat sangat kau blah, yang tadilah ex-wife aku.'
Jantungku kembali berdegup pantas membaca mesej itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience