BAB 1

Romance Completed 4092

JAM baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku masih sibuk melayan kerenah pelanggan yang datang tanpa henti sejak tadi. Tidak cukup tangan aku dibuatnya. Macam-macam perangai ada. Mujurlah aku ini jenis orang yang cekap buat kerja walaupun badan aku gemuk. Aku tidak menafikan itu semua. Malah, kadang-kadang ada pelanggan yang menafikan kecekapan aku semasa bekerja.

Mereka sering menganggap aku ini lambat melaksanakan tugas yang diberikan. Namun, setelah melihat sendiri kepantasan aku ketika bekerja, baru mereka senyap tanpa berani mengulas apa-apa. Ha, baru tahu siapa diri Yasmin sebenarnya. Ini Yasminlah…siapa yang tak kenal aku?

Beberapa minit kemudian, suasana kembali sunyi seperti sediakala. Aku menarik nafas lega sedikit. Dapatlah aku berehat sekejap untuk melepaskan lelah. Tidak aku nafikan, tubuh aku agak letih sejak kebelakangan ini. Mungkin ini semua ada kaitan dengan pertambahan berat badanku yang mendadak naik secara tiba-tiba. Biasalah orang gemuk macam aku ini. Buat kerjanya sedikit, tapi penatnya mengalahkan orang memikul kayu balak. Padahal, bukan teruk sangat pun kerja yang aku buat.

Sedang leka berkhayal seorang diri, tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran dua pasangan kekasih yang asyik berpimpin tangan sebelum duduk di sebuah meja berhampiran dengan tempat aku berehat. Tingkah mereka yang kelihatan agak mesra itu amat menjijikkan aku.

Menyampah pula apabila menonton aksi kurang sopan si gadis yang tergedik-gedik macam betina miang. Mahu tidak mahu, aku terpaksa melayan mereka berdua. Sudah menjadi tugasku melayan setiap pelanggan yang berkunjung ke gerai ini.

“Maaf, Encik. Nak minum apa?” soalku lembut.

Aku memandang tepat wajah mereka berdua sambil memegang pen serta sehelai kertas untuk mengambil pesanan. Mereka hanya berdiam diri tanpa bersuara. Sesekali, gadis itu melihat tubuhku berulang-ulang kali dari atas sehingga ke bawah. Tingkahnya seperti hairan sahaja melihat potongan tubuhku yang gemuk dan agak hodoh pada pandangan matanya.

“Beri I Nescafe Ais satu,” pintanya dengan suara manja seperti dibuat-buat. Menyampah betul aku mendengarnya. Meluat. Kemudian dia memandang pula muka teman lelakinya. “You nak apa pulak, B?”

“Emmm…I nak milo panas. Kalau boleh, buat tu biar sedap sikit, ya. I takut nanti, tak ada selera pulak I nak minum.”

Berlagak betul mamat poyo itu ketika membuat pesanan. Wajahnya kelihatan serius sahaja memandangku. Macamlah hensem sangat. Eleh… bukannya susah sangat pun buat milo panas itu. Kacang saja bagi aku. Dah nama pun minuman kegemaran aku, mestilah aku pandai membuatnya.

“Okey…itu saja ke? Makan tak nak?” Aku bertanya lagi.

Aku lihat mereka berdua sedang berbisik-bisik antara satu sama lain. Entah apa yang dibualkan agaknya. Macam penting sahaja aku tengok. Biarlah mereka nak buat apa pun. Bukan ada kena mengena dengan aku. Mungkin mereka sedang berbincang nak makan apa. Aku mula membuat andaian sendiri.

“I dengar kat sini, nasi lemaknya sedap. Teringin juga I nak try.”

“Memang betul, cik. Kalau awak nak cuba, pergilah ambil sendiri. Biasanya orang yang datang sarapan kat sini, mereka akan ambil dulu sebelum duduk. Dah nama pun buffet,” ucapku perlahan.

Aku sengaja berbuat begitu untuk melihat sejauh mana reaksi mereka berdua. Apa yang aku katakan itu sememangnya betul. Konsep gerai ini adalah buffet. Jadi, mahu tidak mahu, mereka perlu meringankan kaki untuk mengambil sendiri sarapan pagi yang mereka mahu.

“Hai, macam tu sekali ke you layan customer? Tak boleh ke kalau you yang ambilkan untuk kami berdua.”

Kali ini suara lelaki yang berada di hadapanku itu sudah berubah nada. Barangkali dia rasa tercabar apabila aku menyindirnya.

Ala, bukannya susah sangat nak ambil sarapan. Dekat saja dengan meja yang mereka sedang duduk sekarang. Cuma beberapa langkah, sudah sampai ke ruang hadapan yang menempatkan juadah sarapan pagi.

“Boleh juga. Nanti dulu, ya. Excuse me…”

Akhirnya aku berlalu dari situ sebelum menuju ke ruang dapur. Malas nak bertegang urat pagi-pagi macam ini. Tak pasal-pasal nanti, jadi benda lain pulak. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, baik aku buat kerja dahulu. Sudah menjadi kebiasaan, aku akan membuat minuman secepat yang boleh. Takut juga sekiranya mereka merungut kerana terpaksa menunggu agak lama.

Selepas siap membuat minuman, aku mengambil dulang kecil yang berada di situ lalu menuju ke ruang hadapan. Aku tak lupa juga mengambil dua pinggan nasi lemak seperti yang dipesan oleh pasangan kekasih itu tadi. Apabila tiba di meja mereka, aku pantas meletakkan pesanan itu dengan hati-hati.

Entah di mana silapnya, tidak semena-mena kakiku tersadung bucu meja sehingga aku hilang kawalan. Akhirnya, cawan yang berisi milo panas itu tertumpah pada baju si jejaka. Apa lagi, mengamuk sakanlah singa jantan itu apabila bajunya basah lencun akibat kecuaian aku yang tidak disengajakan itu. Aku kalut sebentar melihat insiden tersebut tanpa boleh berbuat apa-apa. Kejadian itu berlaku terlalu pantas.

“Opss..sori, sori. Saya tak sengaja tadi,” ucapku jujur.

Moga-moga, lelaki kacak itu sudi memaafkan kesalahan aku. Sememangnya aku tidak berniat untuk mengotorkan bajunya. Sudahlah baju yang dia pakai berwarna putih. Aku tengok, baju dia pun dah berubah menjadi warna milo. Alamak, mampus aku kali ini. Tak pasal-pasal, aku kena sembur dengan dia selepas ini. Dadaku mulai berdebar tidak keruan memikirkan kemungkinan yang akan berlaku padaku sebentar lagi.

“Hei, kau ni dah buta ke? Mata kau letak kat mana, hah? Habis baju aku basah tau. Kau ni tahu buat kerja ke tak,” marahnya lagi.

Aku terpaksa memekakkan telinga menahan kemarahannya yang masih belum reda itu. Dalam situasi tegang begini, aku perlu banyak bersabar kerana semua ini berlaku atas kecuaian aku sendiri. Aku lihat, girlfriend dia pun berang apabila menyedari baju kekasihnya basah akibat kesilapan aku.

“Sudahlah, B. Baik kita balik aje. I tak ada mood nak makan kat tempat low class macam ni. Lebih-lebih lagi apabila tengok muka budak perempuan gemuk tu. Rasa macam nak pijak aje kepala dia,” ujar gadis itu selamba tanpa mempedulikan perasaan aku ketika ini.

“Mana boleh macam ni. Senang-senang aje I nak maafkan kesalahan budak gemuk tu. Sekurang-kurangnya, I nak balas dendam kat dia. Biar dia tahu diri sikit.”

Marah benar lelaki itu pada diriku. Walaupun sudah berkali-kali aku meminta maaf, namun tidak sedikit pun melenturkan hatinya yang keras bagai batu konkrit itu. Entah apa rencana jahat yang ingin dia buat pada aku. Aku masih tercegat berdiri memandang wajahnya tanpa berkelip. Aku benar-benar menyesal atas kelalaianku tadi.

“You nak buat apa, B?” soal gadis itu lagi, agak pelik melihat tingkah kekasihnya itu.

“You tengok ajelah nanti,” ucapnya kuat sebelum bangkit dari tempat duduknya. Kemudian, dia mengambil cawan yang berisi Nescafe Ais lalu menyimbahkan ke tubuhku tanpa sempat aku mengelak. Akibatnya, habis baju aku basah. Aku lihat, dia sudah ketawa berdekah-dekah seperti baru meraikan satu kemenangan yang besar. Dia ingat, aku ini badut ke sampai tergelak-gelak macam orang gila.

Selepas berpuas hati mengenakan aku, mereka berdua segera berlalu pergi tanpa membuang banyak masa. Aku pula masih terkebil-kebil melihat pemergian mereka dengan perasaan berbuku di dada. Entah kenapa, aku seakan cemburu apabila melihat mereka berpimpin tangan menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari situ. Kereta Honda Jazz milik lelaki itu akhirnya meluncur laju meninggalkan aku seorang diri di sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience