Bab 60 : Penyelamat

Romance Series 403831

Dengan penuh rasa marah, pintu kaca klinik itu di buka. Siapa sangka, sebaik roller shutter dibuka sepenuhnya, mereka berdua disapa satu suara yang mewakili sekumpulan manusia berpakaian rasmi dengan ves hitam lengkap berlogo, serta sudah bersiap sedia menunjukkan kad kuasa mereka sebagai penguatkuasa pencegahan maksiat. Pada waktu itu Idris tahu, dia sedang berada dalam masalah yang besar. Wajah Anis Rumaysa terimbas di fikiran.

'Sayang, I'm so sorry!' Bisik hati Idris yang sudah boleh menjangkakan nasib perkahwinannya selepas ini.

"Assalamualaikum encik. Maaf kami datang mengejut begini. Baru sahaja pegawai kami mahu mengetuk pintu, encik dah buka pintu. Boleh kami lihat kad nikah?" Tegur satu suara yang tidak dapat dilihat oleh Idris siapa empunya.

"Tak ada." Jawab Idris.

"Tak ada, sebab tak bawa, atau tak ada, sebab tk nikah lagi?" Tanya suara itu lagi.

Kali ini, seorang lelaki maju ke hadapan mendekati Idris.

"Ni sepupu saya. Kami memang tak nikah. Saya dah kahwin. Isteri saya di rumah dengan mentua saya. Kalau encik nak tengok juga kad nikah saya, ada. Tapi bukan dengan dia." Tak perlu banyak berdalih, Idris terangkan sahaja perkara yang sebenarnya.

Kad nikah bertukar tangan. Pegawai itu menunduk membaca maklumat yang tertera pada kad itu. Betul, gambar wanita yang menjadi isteri Naail Idris pada kad itu adalah wanita yang berbeza dari wanita yang berdua-duaan dengan Idris ini. Kad itu dipulangkan kembali kepada Idris.

"Jadi apa yang encik lakukan berdua-duaan dengan cik ni?" Tanya pegawai itu lagi.

"Kami berbincang hal pengurusan klinik." Jawab Idris jujur.

"Malam-malam macam ni? Kenapa tak tunggu esok je, waktu ramai orang ada sekali, waktu klinik beroperasi?" Tanya satu suara lain dengan nada yang sinis.

"Jangan gunakan nada yang kurang ajar ye encik. Saya masih lagi belum disabitkan bersalah. Kalau encik tanya baik-baik, saya sedia memberi kerjasama."Jawab Idris.

Pegawai itu menjeling rakannya yang terlanjur berkurang ajar dengan Idris tadi. Pantas sahaja rakannya mengangkat kedua tangan tanda dia mengalah kepada Idris.

"Maafkan rakan sekerja saya yang tersalah cakap tadi. Tapi betul apa yang dia tanya, kenapa tak berbincang waktu siang? Waktu malam, lelaki perempuan tanpa ikatan berdua-duaan, menimbulkan fitnah." Jelas pegawai itu.

"Masalah pengurusan bukan timbul mengikut jadual encik. Saya mengaku ini adalah salah saya. Tapi kami tak buat apa-apa yang salah. Kami hanya sekadar berbincang." Hurai Idris.

"Tapi pihak kami dah tiga hari berturut-turut mendapat aduan yang ada lelaki perempuan bersekedudukan di dalam klinik ini setelah tamat waktu operasi klinik. Macam mana encik nak terangkan keadaan itu, dan macam mana encik nak buktikan encik tak bersalah berdua-duaan dengan perempuan ini sedangkan encik dah berkahwin?"

Idris mengurut pelipis kanannya. Betul juga apa yang dikatakan oleh pegawai itu. Bagaimana untuk dia membuktikan bahawa dia tidak bersalah? Kalau lah Ilias dan Syaikila menemaninya tadi. Arghhh, sudah terlambat penyesalan ini!

"Ermmmm, saya pun tak tahu bagaimana..."

"Bos!" Panggil satu suara dari dalam klinik.

Idris pantas berpaling. Kesemua mata yang ada turut memandang ke arah dalam klinik, menunggu munculnya empunya suara yang memanggil Idris tadi.

"Aduhhh! Aduhhh, sakitnya dahi saya." Omel Ilias yang kepalanya terhantuk pada tiang roller shutter yang terletak di tengah-tengah pintu kaca itu sewaktu dia kelam-kabut menuju ke luar.

"Ilias?" Panggil Idris, namun entah kenapa nadanya berbunyi seperti dia sedang bertanya apakah yang dilakukan oleh Ilias di klinik pada waktu begini.

"Sorry bos, saya sakit perut tadi. Lama pulak dalam bilik air." Balas Ilias.

Turut sama keluar dari klinik di belakangnya ialah juru x-ray klinik mereka, Zuhayr, dengan rambut panjangnya yang lurus dua jengkal dari paras bahu yang di lepas bebas. Sekali pandang dari belakang, tak ubah seperti seorang perempuan. Apatah dengan badannya yang kurus keding, ditambah pula dengan kulit cerahnya itu. Sempurna.

Namun jika dipandang dari hadapan, lelaki pun boleh melarikan diri tanpa menoleh dua kali apabila melihatkan misai dan kumisnya yang dijaga rapi. Kemas bagi lelaki yang suka membela rambut yang panjang.

"Awak siapa? Buat apa dekat sini?" Tanya pegawai itu.

"Saya Ilias. Saya doktor dekat sini. Encik Idris ni bos saya. Ni pulak Zuhayr, dia kerja sebagai juru x-ray disini. Dekat dalam ada Syaikila dengan Damia. Saya rasa mereka tak sedar bos dah keluar ni. Mesti tengah seronok tengok drama Korea lah tu." Terang Ilias panjang lebar.

Riak wajah pegawai itu berubah. Namun bagi Idris, dia terasa lega secara tiba-tiba.

"Kami dapat mesin x-ray baru empat hari lepas. Kami berempat berkampung dekat klinik sebab nak teman Zuhayr pasang dan cuba mesin itu untuk kali terakhir malam ini. Esok sebelum klinik di buka, mesin itu perlu lah sudah bersedia untuk menerima kedatangan pesakit." Terang Ilias.

Zuhayr mengangguk laju mengiyakan apa yang diterangkan oleh Ilias.

"Baru malam ni je kami berempat. Sebelum ni dah tiga malam saya dengan Ilias je yang ada dekat klinik. Kami tidur dekat sini, cuma keluar sekejap-sekejap je untuk merokok." Balas Zuhayr perlahan, cuak kerana dia tahu Idris tidak gemar dengan tabiatnya yang satu itu.

Kata Idris, ironi betul Zuhayr yang bekerja di klinik, namun tidak menghargai nyawa sendiri dengan menyedut asap dari rokok yang mengandungi pelbagai bahan kimia yang merbahaya masuk ke paru-paru. Membakar duit pun, iya juga.

Kumpulan penguatkuasa itu memandang Zuhayr dari atas ke bawah berkali-kali. Zuhayr yang memahami maksud pandangan itu cuma membatukan dirinya. Malas melayan stigma masyarakat apabila melihat lelaki berambut panjang. Rambut dia, suka hati dia lah!

"Haram bagi lelaki menyerupai wanita. Apatah lagi, boleh menimbulkan fitnah pula tu. Bukan saya yang cakap, baginda Rasulullah S.A.W. yang cakap. Seeloknya potong sikit rambut tu, kalau nak simpan panjang pun, jangan bagi terlampau panjang sehingga menyerupai rambut wanita. Berdosa. Tak pasal-pasal kami dapat aduan dan bertindak berpandukan maklumat yang salah."

Ceramah percuma malam ini dari penguatkuasa pencegahan maksiat. Zuhayr sudah memuncungkan bibirnya memikirkan rambut yang dijaga bertahun lamanya perlu dipotong ke paras yang lebih sesuai dengan jantina ya sebagai lelaki.

"Dah lewat sangat ni. Rasanya elok kita bersurai dulu. Sambung kerja nanti lah Yas, Hayr." Arah Idris sambil memandang kearah Paweena.

"Kau pun balik sekali. Mulai esok tak payah datang klinik dah." Sambung Idris dengan nada yang kasar.

Paweena mencebik geram. Sepanjang perbincangan Idris dan pihak penguatkuasa tadi, kemarahannya mula memuncak memandangkan idea lapuk milik rakan subahatnya ini terbukti tidak boleh dipakai.

"Fine! Anggap je kita dah bukan keluarga." Balas Paweena pula.

"Dengan segala hormatnya, permintaan itu diterima." Balas Idris lagi.

Paweena yang bertambah bengang menghentak beg tangannya pada lengan Idris sebelum dia berlalu mendapatkan keretanya. Idris menghela nafas lega. Alhamdulillah, kali ini Allah menyelamatkan dia serta rumahtangganya.

*****

"Ilias!" Seru Idris.

"Ya bos, ada apa?" Tanya Ilias yang pantas menyahut.

"Bukan ke tadi awak dengan Syaikila dah balik tadi?" Soal Idris dengan penuh rasa ingin tahu.

"Memang kami dah nak balik sangat-sangat tadi. Rasanya Syai pun dah hampir separuh jalan nak sampai rumah waktu dia call saya tadi. Zuhayr yang telefon Syai dulu." Terang Ilias.

Pandangan Idris beralih kepada Syaikila.

"Zuhayr buat apa dekat klinik sampai waktu macam ni pun tak balik lagi? Dia cakap apa dekat awak, Syai?" Tanya Idris sambil memandang ke arah Zuhayr yang sudah memaparkan riak resah.

"Errr..."

Syaikila masih terfikir bagaimana perlu dia maklumkan pada Idris kerana secara tidak langsungnya pasti Idris akan mengetahui bahawa Zuhayr telah hampir seminggu menumpang tidur di klinik kerana telah dihalau oleh tuan rumah sewanya. Memahami kesulitan Syaikila bercerita, Zuhayr cepat-cepat bersuara.

"Saya keluar merokok dekat belakang dalam pukul 10.45 tadi. Saya nampak van putih yang mereka naik tu lalu, pusing-pusing dah dua tiga kali. Sebab tu saya terus telefon mereka semua ni. Biar ramai-ramai datang dan ada dalam klinik. Saya rasa tak sedap hati.

Saya ingatkan tu sindiket van putih yang suka pecah masuk dan curi barang dekat kedai orang. Sebab selalunya kalau van tu pusing-pusing, mereka tengah usha line nak pecah masuk kedai. Rupanya bukan sindiket, tapi penguatkuasa." Terang Zuhayr.

"Maaf bos, sebenarnya saya dah dekat seminggu tumpang tidur dekat surau klinik. Saya kena halau dari rumah sewa sebab ketua yang kumpul duit rumah sewa tu tak bayar sewa.

Dah dekat tiga bulan duit rumah sewa kami tu dia gunakan untuk keperluan peribadi. Maaf bos, saya dah cari bilik sewa lain tapi masih tak dapat lagi. Tapi saya dah beritahu Dr. Khalisah. Dia cakap okey asal jangan bos tahu." Cerita Zuhayr.

Idris mengeluh, dalam ketidakjujuran pekerjanya, Zuhayr itu, terselit hikmah buat dirinya.

"Tak apalah, nanti saya sewakan tingkat atas ni untuk dijadikan hostel awak dan Ilias. Itu pun kalau Ilias nak lah." Maklum Idris.

"Eh tentulah nak bos. Jimat duit saya bayar rumah sewa. Terima kasih banyak-banyak bos sebab memahami yang saya kena berjimat demi nak kumpul duit untuk kahwin." Laju sahaja Ilias membalas.

"Zuhayr, nanti kalau awak suspek apa-apa hal yang mencurigakan, tolonglah beritahu saya dulu. Kalau saya jauh, beritahu polis. Jangan bahayakan diri awak dan kawan-kawan awak. Saya tak nak apa-apa yang buruk terjadi pada kamu semua. Kamu pun ada keluarga. Kena fikir perasaan keluarga jugak. Faham?" Soal Idris sambil melihat satu demi satu wajah para pekerjanya.

Kesemuanya mengangguk perlahan, tanda faham.

"Terima kasih banyak-banyak tolong saya malam ni. Selamatkan rumahtangga saya." Ucap Idris dengan penuh keikhlasan dan kesyukuran.

"Kalau banyak kali sekali pun, saya memang akan selamatkan encik. Sebab saya suka isteri encik. Semoga encik dan puan bahagia sampai bila-bila." Balas Syaikila.

Idris mengangkat kening. Ini perkara baru yang sampai ke telinganya.

"Puan pernah tolong saya masa dia datang klinik dengan encik hari tu. Sampai bila-bila saya akan ingat pertolongan dia." Sambung Syaikila.

"Tolong apa?"

"Adalah. Rahsia."

Idris menggeleng kepala. Jumpa sekejap pun dah boleh jadi kawan?

Enjoy reading! :) Hai kepada pembaca baru yang sudi follow N. Selamat berkenalan ya ;) Kepada pembaca yang donate coins, terima kasih banyak-banyak. Semoga Allah membalas dengan rezeki yang melimpah ruah dan berganda-ganda aamiinn. Maaf ya N tak sempat sikit nak balas komen. Insya Allah cuti sekolah ni N boleh bertenang dan balas mesej serta komen-komen. Sayang semua pembaca ketat-ketat <3 Love, N

Share this novel

norsila
2022-02-20 02:10:18 

huuuu cm tu cirtanya...


NovelPlus Premium

The best ads free experience