Bab 30
Mereka sedang minum petang di sebuah gerai sup di pinggir jalan di ibu kota. Ada pelbagai sup di sini. Sebut saja hendak sup apa dari sup daging hinggalah ke tulang, malah sup ekor dan lidah pun ada. Sup yang panas, pedas dan berbau wangi dimakan bersama roti kosong. Memang enak.
Gerai sup di pinggir jalan itu memang sudah terkenal sejak dulu, pengunjungnya ramai walaupun kerusi mejanya selalu tidak mencukupi. Ada sanggup makan sambil duduk di tepi tembok sahaja.
“Entahlah! Aku tak dapat berhenti berfikir tentang masalah orang tu. Dia memang pelik. Kadang-kadang aku rasa, masalah aku ni remeh temeh kalau dibandingkan dengan masalah dia.”
“Aku tak sangka kau ada masalah juga rupanya. Apa masalah gadis cantik macam kau ni? Aku nak juga dengar…” Kata Hashim sambil mengenyitkan matanya.
“Kan aku dah cakap, kau mesti suka dengar masalah orang tapi tak suka masalah tu menimpa kau kan?”
“Yalah! Siapa yang suka pada masalah! Tak payah fikirlah… baru tak ada masalah,” jawab Hashim.
“Kau cakap memang senang. Tapi masalah tu, selalu mengejar kita ke mana saja kita pergi. Baru-baru ni Airiel hantar pinangan pada keluarga aku. Aku suruh mak aku tolak aje, mentah-mentah. Masalahnya mak aku tak mahu. Mak aku suruh solat istikharah.”
Hashim ketawa.
“Kau buatlah solat istikharah?”
Amalina mengangguk.
“Jadi, muka siapa yang kau nampak? Ada nampak muka aku tak?” tanya Hashim sambil gelak-gelak kecil.
“Itulah masalahnya… Aku nampak muka orang lain!”
“Siapa?” tanya Hashim semakin teruja.
Amalina memerhati sekeliling, seolah-olah merasakan lelaki itu ada di mana-mana saja. Dia terasa seperti diekori setiap masa. Tetapi apabila memerhati sekeliling, sebenarnya tiada sesiapa.
Amalina menggigit bibirnya dengan kuat. Apakah dia akan memberitahu Hashim, siapa yang hadir di dalam mimpinya itu? Dia pun enggan percaya pada mulanya. Selepas solat istikharah pada jam dua atau tiga pagi, dia tidur semula. Setiap kali itulah dia bermimpikan Leo. Leo hadir dalam mimpinya… bersama senyuman dan tawanya yang mesra. Leo hadir dengan gayanya yang asli… Rambut panjang mencecah bahu dan wajah jernih bercahaya.
Dalam mimpinya Leo tidak pernah menuturkan sebarang kata. Hanya memandang dan tersenyum. Tiga kali berturut-turut dia melakukan solat istikharah, tiga kali juga bermimpikan wajah Leo. Dia tidak mahu mendirikan solat istikharah lagi. Dia sudah nekad, menolak pinangan Airiel. Dia sudah tidak punya perasaan pada Airiel. Kini apakah dia punya perasaan pada Leo?
“Yang pasti bukan kaulah!” jawab Amalina tidak ingin memberitahu rahsianya pada Hashim.
“Aku tahu, kita hanya kawan Alin! Aku sudah lama tahu,” jawab Hashim seperti merajuk.
“Shim, kau marah ke? Aku celupar sangat ke tadi?”
“Taklah!”
Hashim menggeleng.
“Jangan pedulikan aku. Aku tak kisah… Apa pun, aku tak ambil peduli sangat hal berumah tangga ni. Kalau ada jodoh kahwin sajalah. Kalau tak ada jodoh, aku tak kisah membujang sampai tua.”
Amalina merengus perlahan. Wajah Leo tergambar lagi di hadapan matanya. Dia termenung jauh.
Hashim menghabiskan sup dan minuman. Dia mencuit lengan Amalina.
“Cepatlah! Aku nak sambung kerja sampai pukul sembilan malam. Kau nak balik terus atau nak naik ke pejabat semula?”
Amalina menggeleng. “Nak baliklah! Penat… Kerja aku dah siap. Petang tadi dah masuk printing. Tak lama lagi buku pertama syarikat kita akan keluar.”
“Kata Tuan Syed nak buat pelancaran besar-besaran di hotel lima bintang.”
Amalina hanya tersenyum. Ada terselit sedikit rasa bangga. Dialah yang menulis tentang buku kehidupan liar tersebut. Nama tercatat di kulit buku itu. Dia juga sebagai jurugambar. Ah… Dia juga sempat merakamkan nama ‘Leo’ di dalam buku itu sebagai ucapan terima kasih kerana menolongnya mendapatkan gambar-gambar yang cantik lagi menarik.
Agh! Lagi-lagi nama Leo yang mengisi mindanya.
“Fendi…Tolong, tolong datang rumah uncle, segera!” seru lelaki itu dalam nada payah, sambil memegang dadanya yang terasa sesak. Dia terus meletakkan telefon bimbit ke tepi. Telefon itu jatuh ke lantai. Dia tidak peduli lagi, tidak kuasa hendak mencari.
Pandangannya tambah kelam. Hari ini dia terasa amat lemah sekali, tidak dapat bangun dari katil sejak pagi tadi. Sepanjang hari dia tidak terkedang di tempat tidur. Sudah seminggu pula tidak ke pejabat. Doktor sudah dihubungi oleh Suriati. Namun doktor itu tidak membuat apa-apa tindakan pun, jauh sekali menghantar dia ke hospital.
Ubat di atas meja kecil di sisi katil dicapai. Dia menelan ubat itu untuk mengurangkan rasa sesak dalam dadanya. Namun ubat itu tidak mampu lagi menolongnya supaya menjadi lebih sihat seperti selalu.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Amalina tetap menunggu Leo seperti yang ditunjukkan dalam mimpi?
Share this novel