Bab 10
Kini mereka bercadang untuk mencari seorang lagi penyewa untuk bilik tengah tetapi jika tidak ada pun tidak mengapa. Kerana mereka berempat mampu membayar sewa apartment itu.
Kadang-kadang, sebagai manusia biasa, ada juga masa-masanya yang Zira tidak dapat tidur lena. Sama ada disebabkan oleh cuaca panas, mimpi buruk, teringat kampung halaman dan lain-lain lagi. Sama juga halnya dengan rakan-rakannya yang lain. Dan mungkin juga, sama sahaja dengan pembaca cerita ini.
Namun malam ini, Zira berasa agak pelik. Pengalaman yang dirasainya kini sudah lama tidak dialaminya. Dia sering mendengar tentangnya dan pernah mengalaminya dua kali di asrama sekolah.
Ya, malam ini Zira berasa seperti sedang melalui pengalaman yang sama. Pengalaman yang memang dibencinya sepenuh hati. Malam ini berasa seperti sedang dihempap! Oleh makhluk halus!
Dia amat waras tika ini dan dia tahu yang dia sedang berada dalam keadaan yang amat tidak selesa. Zira ingin membuka kelopak matanya tetapi biar bagaimanapun dia berusaha dia tetap gagal. Zira ingin memanggil Maria, namun lidahnya kelu. Dia ingin menggerakkan tubuhnya tetapi tubuhnya kaku. Dia ingin mengiring ke kanan atau ke kiri, juga tidak berjaya.
Saat ini, Zira hanya mampu berdoa agar Allah menolongnya. Dalam hati, dia berharap agar ibu dan ayahnya ada di sisi untuk membantunya.
‘Ya Allah, tolonglah aku. Hanya Engkaulah yang boleh membantuku.’
Zira masih lagi berlawan, kalau boleh dikatakan berlawan. Tubuhnya masih terkaku di atas katil. Baring menelentang. Kedua-dua tangannya berada di sisi tanpa dapat digerakkan walaupun seinci.
Kotak suara Zira mula mengeluarkan bunyi dengusan seperti kerbau disembelih. Sebenarnya dia ingin menjerit tetapi bibirnya seolah-olah digam dengan gam gajah. Zira berasa seperti sedang menggoyang-goyangkan kepalanya ke kiri dan ke kanan namun hakikatnya itu perkara itu hanya wujud dalam fikirannya sahaja. Sebenarnya, kedudukan tubuh Zira masih kekal seperti tadi. Tidak ada yang berubah.
“Ehmm… Ehmm…” Zira mendengus geram.
Takut sudah mula bertukar menjadi marah. Dia memaki-maki di dalam hati.
Zira meronta-ronta ingin melepaskan diri daripada apa sahaja benda yang sedang menghempapnya. Namun hakikatnya dia masih terbaring menelentang terkaku begitu sahaja.
Akhirnya marahnya sampai ke kemuncak. Maki hamun tadi sudah bertukar kepada ayat-ayat berbentuk cabaran.
‘Kalau kau berani, kalau kau hebat sangat, baik kau lepaskan aku! Kita beradu tenaga!!! Aku cabar kau!!!!!!” marah Zira dalam hati.
‘Cepat! Kalau kau hebat sangat! Kalau kau handal sangat! Kau lepaskan aku!’
Zira mencuba sedaya-upaya untuk membaca al-Fatihah. Dia tahu bacaaannya tunggang langgang tetapi Zira tidak berputus asa.
‘Walau apa pun, aku mesti terus berjuang,’ tekad Zira.
Zira mencuba menggenggam penumbuk. Dan kali ini, entah dari mana datang kekuatannya, Zira berjaya menggenggam penumbuk. Kini, dia mencuba untuk membuka matanya pula. Zira menggerak-gerakkan anak matanya ke kiri dan ke kanan berharap agar usahanya berhasil.
Dalam pada itu, hatinya terus membisikkan cabaran demi cabaran kepada makhluk yang sedang menghempapnya. Berselang-seli dengan doa kepada Yang Maha Berkuasa.
‘Argh...! Lepaskan aku!!!’
Akhirnya Zira berjaya menggerakkan kelopak matanya. Matanya kini terbuka luas. Serentak tangan kanannya mengacung ke atas dengan penumbuk yang kejap.
Saat itulah matanya melihat satu susuk tubuh berada kira-kira satu kaki terapung di atasnya.
“Sial kau setan! Lepaskan aku!!!” pekik Zira sekuat hati.
Makhluk itu ketawa mengeluarkan bunyi berdekah-dekah yang dalam. Daripada kedudukan terapung di atas Zira, tubuh makhluk itu bergerak ke kiri dan akhirnya berbaring di sebelah Zira.
Wajahnya yang hodoh itu kelihatan amat mengerikan dan senyuman yang dihasilkannya kelihatan sangat menggerunkan. Satu bola matanya bagaikan terkeluar dari soket. Hidungnya yang besar kelihatan amat mengerikan dengan seketul daging berlebihan berjuntaian di pipi.
Bibir atasnya kelihatan seakan-akan sobek sementara bibir bawahnya kelihatan cokelat kehitaman. Sesekali lidahnya yang merah kehitaman terjulur keluar seolah-olah mengejek Zira.
“Sial kau! Kau memang sial!” pekik Zira lalu terus menghunjamkan penumbuknya ke wajah makhluk itu.
Sekelip mata wajah itu hilang dan yang ada kini ialah wajah Maria sedang terbaring menelentang sambil tersenyum.
“Allahu-Akbar!!!”
Nasib baik Zira sempat menghentikan penumbuknya daripada terus mencium wajah Maria. Kalau tidak, lain yang hendak ditumbuk, orang lain pula yang menjadi mangsa.
“Celaka! Sial! Setan tak guna!!!” maki Zira lalu duduk.
“Astaghfirullahalzhim, Astaghfirullahalzhim.” Zira mengurut dada sambil beristighfar beberapa kali.
Dia menggeleng beberapa kali sambil mengurut dada. Tanpa disedari, air mata mula bertakung di tubir mata. Zira merenung rakan sebiliknya yang masih lena. Dia menggeleng lagi. Dalam hati, dia bersyukur teramat sangat kerana tidak melepaskan penumbuknya kepada Maria tadi.
“Ya Allah… tolonglah. Tolonglah kami. Selamatkanlah kami daripada gangguan makhluk jahanam tu. Ya Allah…” rayu Zira dalam tangisannya.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah imej yang dilihat oleh Emi pada akar-akar kayu itu?
Share this novel