AKU bukan suka sangat tempat yang ada ramai orang. Lebih rela aku menyendiri tak bergaul dengan sesiapa pun. Menjadi kera sumbang bukanlah suatu perkara yang salah bagi aku. Malah ia dapat menjauhkan diri dari terpalit dengan pelbagai masalah yang di cipta oleh orang sekeliling.
Ini berdasarkan pengalaman sendiri. Bayangkan bila kita bertemu dengan rakan-rakan yang kita kenal pun sudah macam-macam perkara yang memeningkan kepala timbul. Ada pulak rakan yang jenis suka mengambil kesempatan dan bersikap oportunis malah tidak sensitif kerana mereka memang kurang matang dan gemar mementingkan kesenangan diri di atas usaha orang lain sejak sekian lama dan enggan berubah.
Itu bukan masalah aku. Apa sebab aku perlu bagi mereka kesenangan? Sebab muka-muka ini jugak yang menghilangkan diri apabila tahu kita dalam kesusahan. Dan muka-muka itu juga yang pandai meminjam dan berhutang seolah-olah mereka menerima sedekah yang tidak perlu di bayar.
Aku sudah lama 'cabut lari' setiap kali ternampak golongan spesis macam ni. Aku tak mahu parasit ini menempel ke dalam hidup aku dan sewenang-wenang mahu menyedut kesenangan.
Tinggal dengan orang-orang yang tidak di kenali pun timbul masalah juga. Pernah aku menyewa bilik di sebuah rumah teres. Penyewa lain aku kenal-kenal macam itu je. Bertegur sapa seperti biasa. Masing-masing tak nampak macam orang bermasalah.
Sehinggalah aku perasan ada sesuatu yang tak kena. Simpanan makanan aku di dalam bilik sering berkurangan. Rupanya ada yang masuk ke bilik aku setiap kali aku keluar pergi bekerja. Mereka tak mencuri barang,tapi panjang tangan bab makan. Peti ais peribadi yang aku simpan dalam bilik rupanya menjadi sumber bekalan makanan buat mereka yang sudah biasa hidup sebagai parasit dalam senyap.
Ah lupakan tentang mereka. Aku sudah buat keputusan untuk tinggal menyendiri tanpa perlu berkongsi rumah dengan orang lain. Bukan di tempat yang ramai orang. Tempat yang jauh dari orang.
Di atas usaha pencarian yang aku jalankan,akhirnya telah menemukan aku dengan sebuah rumah yang terletak agak tersembunyi dan jauh dari kesibukkan kota dan terpelesuk di kawasan banjaran berbukit serta pokok-pokok yang sejuk dan malar segar.
----------------------------------------------
KEPULAN awan putih menompok gebu di langit biru. Hembusan anginnya sejuk nyaman dan damai. Tak pernah aku rasa tenang setenang di halaman rumah banglo murah ini. Tiada bunyi hiruk-pikuk kenderaan di jalanan mahupun suara orang-orang yang tinggal di kejiranan. Hanya aku seorang yang akan menghuni rumah ini.
"Betul ke awak nak sewa bilik dalam banglo ni? Tak takut ke tinggal sorang-sorang? kat sini rumah jiran-jiran pun agak jauh. Keliling rumah hanya ada pokok-pokok merimbun. Saya harap awak pernah terdengar cerita dari bekas-bekas penyewa banglo ni ya?" kata Pakcik Harun si tuan rumah sambil tersenyum.
Aku tertawa. Sudah tentu aku tahu cerita-cerita yang menyelubungi rumah banglo berkenaan.
"Kalau pasal dakwaan rumah banglo ni berhantu lah..ada penghuni ghaib lah...itu saya tak kisah sangat pakcik. Saya lebih kisah tentang penghuni manusia yang pelbagai ragam dan perangai hingga menyusahkan hidup orang lain. Saya lebih rela tinggal dengan hantu-hantu dan penghuni ghaib dalam rumah ni" kata aku.
"Kalau kamu dah tahu pasal rumah ni ada penghuni ghaib tu baguslah. Jangan kata pakcik tak bagitahu pulak ya?" kata Pakcik Harun.
"Eh pakcik jangan risaulah. Kalau betul-betul ada hantu ke apa... itu salah saya sendiri sebab berani sangat nak menyewa bilik sorang-sorang kat banglo ni"kata aku.
Persetujuan di capai. Setelah membayar deposit,pakcik tuan rumah itu terus berikan aku kunci dan tunjukkan bilik yang akan aku duduki.
Aku benar-benar puas hati. Rumah itu di jaga dan di selenggara dengan baik sekali. Di dalamnya ada ruang tamu lengkap dengan televisyen dan pemain DVD.
Bilik air dan dapur juga bersih. Set pinggan mangkuk,periuk kuali dan peti ais semuanya ada di sediakan.
Maka sejak itu bermulalah kehidupan baru aku yang aman damai tanpa sesiapa pun yang ada di situ untuk membikin aku pening kepala,runsing dan tertekan lagi.
Seram langsung tidak wujud dalam diri aku. Hari terus berlalu dengan baik-baik sahaja. Tiada pula aku di ganggu oleh hantu-hantu yang kononnya menghuni di situ seperti di dakwa oleh bekas penyewa. Aku keluar pun untuk pergi kerja atau beli barangan dapur. Kebanyakan waktu aku di habiskan dekat rumah dengan menonton televisyen atau menghadap laptop.
Sehinggalah kira-kira sebulan kemudian. Malam tu lepas makan aku menonton tv di ruang tamu. Di sebabkan tak ada rancangan menarik jadi aku tutup tv dan masuk ke bilik. Baring-baring di katil sambil baca novel sehinggalah aku terlelap.
Tiba-tiba aku terjaga kerana terdengar bunyi sesuatu di atas siling. Aku mendongak je ke segenap siling di atas kepala aku.
Bunyi itu hilang.
Mulanya aku agak itu mungkin tikus mondok. Kemudian aku terlelap semula. Aku rasa dalam seminit dua je aku terlelap sebelum bunyi itu muncul semula.
Aku jadi hairan dan pelik. Kalau tikus pastilah galak bunyi ia berlari. Ini tidak,bunyi macam orang merangkak berhati-hati. Takkanlah ada pencuri masuk rumah pulak kot? Kalau pencuri pun kenapa dia nak masuk ikut dari atap dan menceroboh ikut loteng atau siling? Kat situ kan rapuh.
Aku jadi resah-gelisah lalu bangun dan ambil batang penyapu. Aku panjat atas kerusi dan tepuk-tepuk penyapu tu kat siling dengan harapan 'benda' itu akan pergi dan tidak mengganggu aku.
Mujurlah lepas itu tiada lagi bunyi.
Hari terus berlalu. Aku ingatkan itu sahaja gangguan yang berlaku. Rupanya banyak lagi. Waktu dinihari aku terjaga kerana terdengar bunyi air berdebur di flush dalam mangkuk jamban di bilik air. Bunyi benda berlari turun naik tangga,bunyi pinggan mangkuk berlaga kat dapur dan sebagainya.
Tipulah kalau kata aku tak seram langsung. Tapi aku percaya itu makhluk halus yang punya kerja. Lagipun pakcik tuan rumah kan dah pernah beritahu aku tentang hal ni. Jadi aku tak terkejut sangatlah. Setakat gangguan begitu aku tak kisah sangat pun. Paling-paling pun hantu tak macam manusia 'parasit' yang mahu hidup senang tapi pemalas. Aku lantakkan aja gangguan itu.
Dan ternyata aku benar. Benda-benda halus itu buat hal mereka sendiri je. Apalah sangat dengan bunyi-bunyian itu. Lama-lama aku pun terbiasa dengan sendiri.
Suatu malam aku baru pulang dari kerja bersama bungkusan mee goreng mamak yang ada aku beli. Di sebabkan mee goreng tu terasa hambar dan kurang menyelerakan,aku sekadar berjaya makan setengah.
Pinggan dengan baki lebihan mee itu aku letak kat sinki dapur. Mata pulak dah mengantuk. Aku ingat esok pagi sajalah aku buang lebihan mee tu dan cuci pinggan apa semua.
Aku masuk tidur.
Esok paginya ketika aku turun ke dapur untuk cuci pinggan,aku dapati lebihan mee malam semalam dah habis licin. Siapa pulak yang makan sisa tu?
Bila aku perasan tingkap dapur ternganga kerana aku terlupa menutupnya semalam, aku menarik nafas lega. Mungkin kucing liar mana entah masuk ke dalam rumah dan memakan sisa mee tersebut. Tapi hati aku tetap berasa ragu juga. Sejak bila kucing makan mee? Hish entahlah.
Lepas tu aku tinjau pula dalam bakul sampah. Kali ni aku yakin ada sesuatu atau seseorang yang makan sisa mee itu. Bukannya kucing liar seperti andaian awal yang aku buat. Buktinya?
Bagaimana bungkusan teh tarik yang aku minum dan buang ke dalam tong sampah malam tadi boleh tinggal kosong dan hanya tinggal plastik? Walhal ia masih lagi bersisa sewaktu di buang. Aku tak habiskan sebab manis sangat. Takkanlah kucing liar pandai sedut minum pakai straw? Tak lojik!
Nanti! nanti dulu.
Kulit limau pun ada dalam bakul sampah? yang ini paling mustahil kerana aku beli limau ni pun semalam juga. Tapi tak sempat nak rasa pun. Aku simpan dalam peti ais.
Aku pergi periksa dalam peti ais. Sah! memang plastik limau dah terbuka. Aku periksa lah stok makanan yang banyak aku simpan dalam tu. Aku ada beli sekatun air kopi tin. Tapi setin dua dah hilang.
Tuna dalam tin yang aku beli empat lima tin sebelum ni pun dah tinggal tiga tin je. Sebungkus roti pun ghaib entah ke mana. Coklat,gula-gula dan keropok jajan aku pun ada yang missing in action.
Aneh betul ni. Aku tinggal seorang diri je dalam rumah ni. Stok makanan aku berkurangan seolah-olah rumah ni di huni lebih dari seorang.
Aku rasa mungkin pakcik tuan rumah kot yang masuk sebab dia memang ada kunci rumah. Tapi aku tak lah tuduh dia yang amek apa-apa barang makanan aku yang hilang tu. Aku pun lantas menghubungi beliau.
Pakcik Harun menafikan yang dia ada datang ke sini apatah lagi masuk ke dalam rumah.
"Penghuni ghaib punya kerja lah tu kot..kikiki" kata Pakcik Harun di hujung talian siap ketawakan aku. Ceh!
"Pakcik dah bagitahu awal-awal...rumah tu ada penghuni ghaib. Sekarang ni macam mana? kamu dah takut ke?"
"Soal hantu tu saya dah beritahu pakcik yang saya tak takut langsung. Tapi yang hairannya mana ada hantu makan sisa mee,minum teh tarik dalam bungkusan dan buah limau dalam peti ais pakcik? roti,tuna dalam tin, jajan saya pun dia sapu sekali. Tapi dia tak sapu bersih. Dia amek sikit-sikit takut saya tersedar perbuatan dia kot. Hantu apa yang makan makanan manusia macam tu?"
"Ada kamu periksa seluruh rumah tu?kat dalam bilik-bilik lain?kat stor?"
"Tak ada pulak pakcik. Bilik-bilik lain pun tak pernah saya masuk walau sekali pun sejak saya tinggal sini. Stor pun tak pernah saya jenguk"
"Hish kamu ni. Cubalah periksa dulu. Kat sekitar luar rumah pun kena periksa sekali" kata Pakcik Harun.
Selesai berbual di telefon dengan tuan rumah,aku pun keluar dan memeriksa di sekitar halaman. Tiada apa-apa pun yang mencurigakan.
Tapi bila aku ke sebelah belakang rumah dan mendongak ke atap kajang dapur barulah aku terkejut bila mendapati ada pakaian siapa entah berjemur kat situ.
Ish...pelik... pelik...siapa pulak yang panjat ke atas bumbung banglo dan menjemur pakaian tu semua? Apakah ini ada kaitan dengan bunyi-bunyi gangguan yang muncul selalu di kala aku sedang tidur malam?
Aku dah mula rasa semacam dengan banglo sewa ni. Kemudian aku masuk ke dalam rumah. Kali ni aku memberanikan diri naik ke tingkat atas yang seumur hidup aku tak pernah tergerak hati nak buat begitu sejak aku tinggal di sini.
Dengan tangan terketar-ketar aku pulas tombol pintu sebuah bilik. Dengan mata terbeliak besar dan mulut ternganga aku tengok sampah-sampah tin minuman kopi,tuna,plastik roti dan keropok jajan aku bersepahan kat situ,siap ada ashtray dan puntung rokok. Dan ya rokok itu pun aku percaya di curi dari kotak rokok aku kerana jenama yang sama. Patutlah kadang-kadang aku terperasan juga macam rokok aku dah berkurangan sehingga aku menyangka diri aku yang dah semakin kuat merokok,rupanya tidak. Memang 'hantu' dalam rumah ni juga yang punya kerja.
Aku dongak ke siling bilik. Salah satu dari petak siling itu terbuka. Ya aku pasti di situ lah 'pintu' mereka keluar dan masuk. Betul-betul di atas almari yang memudahkan mereka untuk turun ke bawah.
Berbekalkan lampu picit aku pun naik ke atas bangku sebelum memanjat ke atas almari dan menolak lapisan petak siling yang terbuka.
Apabila aku suluh ke dalamnya ternampak lah suatu laluan rahsia. Aku panjat dan merangkak-rangkak ikut laluan itu secara berhati-hati sambil menyuluh.
Aku jadi kagum pulak dengan sistem laluan di loteng atas siling tu. Berselekoh-selekoh laluannya. Itu telah membawa aku ke sebuah ruang tersembunyi di mana ada seorang lelaki sedang nyenyak tidur atas tikar.
Apabila di suluh-suluh dengan cahaya lampu picit aku,dia pun terjaga dan menggelabah. Dia menyilangkan tangan menutup wajahnya seperti ketakutan melihat aku yang sedang tergamam.
"Awak ni siapa? Apa awak buat kat dalam ruang laluan atas siling ni?" tanya aku.
"Maaf...maafkan saya Encik. Sa..saya dah lama tinggal sini. Tolonglah jangan apa-apakan saya.." katanya merayu.
"Jadi awaklah yang selama ni buat gangguan pelbagai bunyi dan curi bahan makanan saya dari peti sejuk tu kan? biasanya waktu saya dah tidur malam baru awak perlahan-lahan turun. Betul?"
Dia mengangguk.
"Kenapa tinggal kat atas ni?"
"Ka..kami tak ada pekerjaan dan wang. Kami boleh hidup setakat macam ni je lah"
"Di sebabkan kau tak ada duit nak duduk rumah yang senonoh dan beli makanan,barang makanan aku pulak yang kau rembat dan sanggup tinggal dalam ruang saluran loteng siling rumah macam ni?" Aku menyoal dengan sedikit marah.
Lelaki itu tertunduk-tunduk dan masih menyilang tangan di pancar sinaran lampu picit aku. Pakaian nya kotor tak pernah berbasuh. Baunya dahsyat sekali. Wajahnya hitam berdaki.
"Tadi kau cakap 'kami'? Maknanya ada lebih dari seorang lah ya?"
Lelaki itu mengangguk.
"Mereka tinggal kat ruang lain dalam sistem saluran loteng siling ni Encik"
Aku pun di bawa berjumpa dengan yang lain-lain. Empat orang semuanya termasuk lelaki tadi. Seorang lelaki dewasa lain tinggal kat ruangan siling berhampiran dengan bilik aku. Dia lah yang di tugaskan untuk menghendap aku untuk memastikan samada aku dah tidur atau belum sebelum mereka semua boleh 'berpesta' merembat makanan aku kat dapur atau menggunakan tandas.
Seorang lelaki tua pulak tinggal kat ruang atas bumbung. Aku tak pernah sangka kat atas tu ada ruang kosong rupanya malah boleh berlindung dari hujan kerana atap agak panjang. Lelaki tua itu lah yang menjemur pakaian kat atap kajang dapur tu.
Dua orang remaja adik beradik pula tinggal kat dalam loteng. Kesemua mereka tidak bekerja dan sanggup hidup sebagai parasit yang bijak mencuri apa-apa keperluan dari penghuni untuk meneruskan hidup.
Aku berasa hendak pengsan di buatnya. Punya lah selama ini aku berusaha melarikan diri dari parasit-parasit yang hidup berkeliaran di dalam masyarakat dari terus menumpang kesenangan orang kerana mereka adalah makhluk pemalas,rupanya di dalam rumah banglo sunyi-sepi yang ku sangkakan syurga dan jauh terpencil ini telah lama di huni oleh sekumpulan parasit manusia yang terevolusi menjadi lebih advance dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan menjadikan aku sebagai sumber mendapatkan keperluan mereka.
"Encik...Encik tak apa-apa ke ni?"
Empat orang penghuni misteri itu mengerumuni aku yang terbaring dengan wajah-wajah dan pakaian mereka yang kotor itu.
Pandangan aku terasa kabur. Kaki terasa lemah. Selepas itu semuanya menjadi gelap-gelita.
==TAMAT==
Share this novel