BAB 6

Romance Completed 10273

Sahli merenung tajam, tepat pada mataku. Jantungku mula berdegup laju. Sekali lagi pipiku membahang. Aduh! Geram pula aku dengan keadaan diriku ini. Tolonglah jangan kalut sangat!

“Aku harap kau akan faham apa yang aku nak cakap ni.” Sahli berjeda seketika sebelum dia kembali menyambung bicaranya. “Aku tak bersedia dengan apa yang jadi pada kita ni. Aku betul-betul tak sedia nak jadi suami apatah lagi suami pada kau yang jauh lebih baik dari aku. Aku tahu, ilmu agama kau lagi tinggi dari aku. Kita terlalu muda untuk pikul tanggungjawab ni.”

“Then, kenapa kau tak tolak? Kenapa kau terima?” Nada suaraku agak tinggi melampiaskan rasa marah yang tertanam dalam jiwa. Dengan berani, aku menentang pandangannya. Namun tidak lama. Aku kembali tertunduk kalah.

“Aku tak diberi peluang untuk bela diri sendiri. Keluarga aku terlalu tegas. Aku ada cita-cita dan kau sendiri tahu apa yang aku nak dalam hidup aku. Aku rasa pernikahan kita ni sedikit sebanyak dah ganggu hidup aku.”

Di kala ini, hati aku bagai dirobek mendengar kata-kata Sahli. Bercakap tanpa tengok kiri kanan. Aku ini pencintanya dalam diam! Aku pernah menyimpan angan-angan untuk menjadi suri di hatinya. Tolonglah sedar wahai Sahli!

“Kalau macam tu, kita cerai ajelah! Apa yang susahnya?”

Aku terkedu apabila laju Sahli menghampiriku. Anak matanya tajam menikam anak mataku. Gerun melihat wajahnya saat ini. Hampir sahaja dia mengangkat tangan, mahu menampar pipiku. Pandangan kami bertaut lama sehinggalah dia terduduk lesu di lantai. Agak lama juga dia mendiamkan diri. Aku pula terkaku di atas katil. Ya Allah, apa yang harus aku buat? Sesunggunya aku sedang buntu!

“Macam nilah Sahli, kau ikut aje apa yang aku cakap ni. Aku tahu kau tak pernah ada perasaan pada aku. Dan aku tahu perkahwinan ni takkan ke mana. Lepas ni kita hidup macam biasa, macam sebelum ni. Tak ada apa yang berubah. Lagipun cuti semester dah nak habis. Aku tak nak perkahwinan ni ganggu pelajaran aku. Kau belajarlah bersungguh-sungguh, capai cita-cita kau tu. Aku takkan kacau hidup kau dan aku harap kau pun takkan kacau hidup aku.” Hatiku bagai sedang dihiris belati tajam. Pedih! Aku hanya perempuan biasa. Mengharapkan perkahwinan ini yang pertama dan yang terakhir dalam hidup. Lebih-lebih lagi aku dinikahi oleh seseorang yang kusayangi sejak zaman sekolah lagi. Tetapi apa boleh buat. Dia tidak mencintaiku.

“Lepas habis belajar?” Soalan Sahli membuatkan aku memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku. Hanya ada dua kemungkinan. Samada aku masih bersamanya atau kami berpisah.

“Kita berpisah. Aku tahu nanti kau mesti akan ada pilihan hati. Masa tu mesti keluarga kita akan faham. Dan, aku harap kau boleh rahsiakan perkara ni dari kawan-kawan kita. Aku tak mahu diorang tahu tentang hal memalukan ni.” Tegas sahaja jawapanku. Aku sudah malas mahu mendera perasaan sendiri. Sudahnya, aku terus menyelubungi diri, menyambung tidur dengan hati yang sakit.

“KAU fikir apa ni Fina?” Suara Hafizah memeranjatkan aku. Berkecai terus lamunan panjangku.

“Lagi beberapa hari nak balik rumah, sabarlah. Takkan lari rumah di kejar.” Hafizah berlawak. Aku hanya tersenyum hambar. Lagi beberapa hari aku akan pulang ke rumah. Bermakna, lagi beberapa hari aku akan menjadi janda. Janda? Yalah, aku dan Sahli sudah membuat keputusan untuk memutuskan ikatan perkahwinan yang sudah berusia setahun dua bulan ini. Semenjak cuti semester di mana aku dinikahkan dengan Sahli, hubungan kami mulai terjejas. Kami sudah terputus hubungan. Dia tidak lagi menghubungiku seperti sebelum kami berkahwin. Aku pun tidak mencuba untuk menghubunginya. Biarlah. Takut nanti sukar untuk aku lepaskannya.

Jika pulang bercuti pula, kami tinggal di rumah masing-masing. Tidak ada pula bayangnya datang menjengahku di rumah. Langsung tidak menghubungi aku! Suami apa macam tu?! Eh, kenapa aku marah pula? Bukankah sudah dikhabarkan kepadaku bahawa dia tidak bersedia? Ya, dia tidak bersedia. Aku pula, menghitung hari aku bakal diceraikan. Hmmm…

Setahun dua bulan berlalu, tidak pernah memadamkan rasa cintaku pada Muhammad Sahli bin Tirmizi. Perasaanku padanya tetap sama sebagai mana aku menyayanginya dahulu. Hanya dia sahaja yang tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu. Berpisah dengan orang yang kita kasihi itu memang memeritkan! Berpisah sebelum sempat aku menikmati kasihnya. Ah, biarlah! Biar hilang cinta manusia tetapi jangan sesekali kehilangan cinta Allah. Itu yang lebih penting!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience