Chapter 27

Mystery Completed 14818

Bab 27

Ingatannya kembali bekerja. Keringatnya terus mengucur dan mengalir laju. Dia sudah ingat segala yang berlaku.

Leo termenung panjang. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bingung. Ke manakah langkah harus di bawa? Tidak mungkin dia akan kembali ke perkampungan orang asli itu. Di situ bukan tempatnya lagi… Dia tidak ingin menempah maut. Perus yang membencinya setengah mati, tidak mungkin akan berdiam diri sekiranya dia kembali.

Ke mana dia harus pergi?

Lewat tengah malam, Leo perlahan-lahan merangkak naik ke rumah Mak Upeh. Dia terus berjalan perlahan menghala ke tempat tidur. Telinganya menangkap bunyi dengkur Mak Upeh yang tertidur lelah. Leo meraba-raba dalam kegelapan malam. Dia mencari kotak kasut, tempat dia menyimpan wangnya.

Tiba-tiba dia terlihat seberkas cahaya pelita datang dari arah belakangnya. Leo terkejut, segera dia menoleh. Dilihatnya Mak Upeh sudah pun terbangun. Wanita tua itu sedang memegang pelita, mata tuanya tertinjau ke arah tubuh Leo yang terbongkok-bongkok mencari surat yang hilang.

“Leo?” seru Mak Upeh perlahan.

“Shhh…” Leo meletakkan jari telunjuknya di bibir.

“Kau balik cu? Aku ni bermimpi ke?”

“Tak. Nenek tak bermimpi. Memang aku balik,” jawab Leo.

“Apa dah jadi pada kau cu?”

“Perus mahu membunuhku. Aku mesti pergi dari sini.

“Jangan pergi tinggalkan nenek, Leo!”

“Aku terpaksa pergi nek. Terpaksa. Walau pun aku tidak ingat semuanya, tapi aku sudah tahu siapa diri aku yang sebenar. Tempatku bukan di sini.”

Mak Upeh terduduk mendengar penjelasan Leo. Dia tidak berkata apa-apa. Hanya menangis.

“Percayalah, aku faham perasaan nenek. Aku faham apa yang nenek takutkan. Tapi aku ada kehidupanku sendiri ke kota. Aku sebenarnya takut hendak hidup sendiri di sana. Aku dah tak biasa dengan hidupku yang dulu. Tapi aku tetap juga kena pergi mencari keluarga aku yang sebenar… ayahku!”

Mak Upeh bergerak ke arah tempat tidurnya. Dari bawah pangkin dia mengambil sebuah kotak sederhana besar. Dia membuka kotak itu lantas mengeluarkan sebuah beg sandang berwarna hijau. Beg sandang itu sudah amat buruk, berabuk dan kotor.

“Beg ni kepunyaan kau, cu. Di dalamnya adalah barang-barang kepunyaan kau. Sepuluh tahun nenek simpan, merahsiakan semuanya dari pengetahun kau.”

Leo tergamam. Dia benar-benar terkejut apabila Mak Upeh memberitahu, sepuluh tahun wanita tua itu telah menyimpan beg kepunyaan Leo. Dia menghulur tangan untuk menerima beg tersebut dari Mak Upeh. Dia memeluk Mak Upeh sekali lagi. Kemudian Leo terus terjun ke tanah lantas menghilang diri dalam kegelapan malam.

Sepanjang malam Leo berjalan dalam kegelapan. Begitulah hidupnya selama ini. Namun kini kenangan perlahan-lahan kembali mengisi relung otaknya. Dia mulai ingat satu persatu segala yang terjadi.

Dia berusaha mencari jalan untuk kembali. Hanya sepotong nama dan seraut wajah yang bermain dalam mindanya kini. Amalina!

Dia harus pergi ke Kuala Lumpur mencari Amalina. Kini dia ingat siapa dirinya. Nama sebenarnya Muhammad Zakuan. Muhammad Zakuan bin Omar. Leo mendongak ke langit. Segaris sinar mulai tampak di dada langit yang gelap. Sinar itu kian lama kian membesar. Lantas langit yang tadi gelap mulai cerah, menampakkan wajahnya yang biru jernih.

Leo duduk di pondok menunggu bas tidak jauh dari situ. Dia mulai menyelongkar isi beg sandangnya. Terdapat sebuah buku peta, buku catatan dan dompet. Dengan pantas Leo membuka dompetnya. Tiada apa-apa di dalam dompet itu. Jauh sekali duit. Barangkali duitnya sudah hilang, ataupun digunakan Mak Upeh bagi mengubati dirinya. Di dalam dompetnya juga terdapat sekeping kad pengenalan. Dia tersenyum sendiri kala melihat wajahnya yang muda remaja.

Berambut pendek dan kemas. Rambut di tepi telinga dicukur tipis. Dagunya licin dan bersih. Matanya merenung lembut dan bibirnya tersenyum.

Leo meraba-raba gambarnya sendiri. Gambarnya ketika berusia 18 tahun. Alangkah berbezanya. Dia tahu kini dia bukan lagi Muhammad Zakuan yang dulu. Kini dia adalah Leo… Dia meraba-raba dagunya yang ditumbuhi dengan rerambut kasar. Kemudian dia mengusap kepala dan rambutnya yang panjang menghurai mencecah bahu. Agh! Bisik hati Leo… Apakah dia akan kembali mengubah imejnya? Menjadi Muhammad Zakuan yang naif? Atau menjadi Leo yang agresif, tidak takut kepada apa-apa pun! Di hutan itu dia adalah jaguh. Hutan dan binatang-binatang buas tidak dapat mengalahkannya. Sudah dua kali dia tercampak dan terdedah kepada serangan binatang buas, tetapi dia dapat keluar dengan selamat.

Apakah dia hanya akan tewas di hutan batu?

Baru seminggu Affendi pulang setelah berada demikian lama di luar negara. Secara tidak sengaja dia terserempak dengan Airiel. Pertemuan tidak disangka-sangka di lapangan terbang itu membuat dia bertemu kembali dengan Kamal dan Zamri.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah hubungan Affendi dan Airiel?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience