Bab 4:Saat Bisikan Menguasai

Mystery Series 181

Hari-hari sudah berlalu,setiap hari dia dihantui wajah lelaki misteri itu.

Malam itu Haris kembali dihantui oleh mimpi yang sama. Wajah lelaki itu akhirnya muncul dengan jelas—setiap butiran garis rahang, sorot mata yang kelihatan putus asa, dan riak wajah yang seperti meminta tolong. Namun, mimpi itu turut disertai dengan pekikan tajam, menusuk telinga, membuat Haris terbangun dengan sakit kepala yang berdenyut-denyut.

Seperti biasa, Haris menyediakan sarapan ringkas—nasi dengan telur goreng. Makanannya dibiarkan separuh tidak bersentuh, kerana fikirannya telah dikuasai oleh wajah dari mimpi itu. "Aku kena selesaikan lukisan ni," bisiknya.

Dengan tekad yang bulat, dia memulakan kerja di hadapan kanvas. Setiap sapuan kuasnya begitu penuh tenaga dan emosi. Berjam-jam dia melukis, hingga lupa waktu. Rasa penat mula menyengat tubuhnya, namun dia tidak peduli. Sendi-sendi lengannya terasa sakit, tetapi Haris terus berusaha menyelesaikan lukisan itu. "Hanya ini satu-satunya cara aku dapat jawapan."

Akhirnya, lukisan itu siap. Lelaki dari mimpinya kini terpampang jelas di atas kanvas. Namun, perasaan lega itu hanya sementara. Ada sesuatu yang masih kurang. Wajah lelaki itu seolah-olah hidup, tetapi tanpa jawapan. Haris duduk termenung, merenung karya yang dia rasa tidak sempurna.

Sementara itu, di pejabat, Rina sedang berbincang bersama dua rakan detektifnya. Topik mereka—kes penyeludupan lilin aroma dadah beberapa tahun lalu. Kes itu dahulu gagal diselesaikan, tetapi kini tanda-tanda organisasi tersebut kembali muncul. Selesai berbincang, Rina merasa fikirannya melayang ke arah Haris. "Dia makin tak stabil sejak akhir-akhir ni," gumamnya dalam hati.

Rina memutuskan untuk menjenguk Haris. Sebelum itu, dia menghubungi Fahri untuk menemaninya. Seperti biasa, Fahri hanya memberikan jawapan santai, "Boleh, asalkan aku tak kena masak nasi lemak kau tu."

Rina tergelak kecil, tetapi tetap membeli nasi lemak kegemaran Haris dan air cendol di gerai berhampiran. "Mungkin ini boleh menceriakan dia," fikirnya.

Setibanya mereka di rumah Haris, suasana di dalam studio kelihatan tegang. Suara pekikan tiba-tiba bergema dari dalam. Rina dan Fahri memandang satu sama lain dengan raut cemas.

"Haris! Haris! Buka pintu!" Rina mengetuk kuat, tetapi tidak ada jawapan.

"Biar aku cuba," Fahri menawarkan diri. Dia menekan tombol pintu dan ternyata tidak berkunci. Mereka segera masuk dan mendapati Haris sedang berteriak seperti dirasuk.

"Astaghfirullah, kau ni kenapa, Haris?!" Fahri mendekatinya, cuba memegang bahu Haris yang kelihatan kaku dan penuh ketakutan. Haris menggeleng-gelengkan kepalanya, seolah-olah cuba mengusir sesuatu yang tidak kelihatan.

Rina membaca beberapa ayat al-Quran dengan harapan dapat menenangkan Haris. Setelah beberapa saat yang mendebarkan, Haris akhirnya kembali tenang. Peluh menitik di dahinya, matanya tampak kehilangan cahaya.

"Aku tak tahan lagi... aku rasa aku dah gila," Haris bersuara lemah.

"Haris, dengar sini. Kau bukan gila, cuma tekanan aje. Semua orang ada masa susah," Rina cuba menenangkannya. "Kalau perlu, kita jumpa ustaz. Dia boleh bantu."

Namun, Haris menolak mentah-mentah. "Aku tak perlukan ustaz. Aku cuma perlukan jawapan."

Setelah Haris mulai tenang, mereka duduk bersama di ruang tamu. Haris makan nasi lemak yang dibawa Rina sambil menyeruput air cendolnya. Fahri, dengan gaya santainya, mula melontarkan jenaka untuk menceriakan suasana.

"Weh Haris, kau ni makin hari makin macam pelukis zaman Renaissance. Muka berhabuk, rambut kusut masai, pastu nampak macam tak mandi seminggu. Jangan-jangan kau guna minyak masak kat kepala kau tu?"

Rina hampir tersedak mendengar jenaka Fahri. Haris, walaupun senyap, akhirnya tersenyum kecil.

"Aku rasa kalau lukisan kau ni boleh bercakap, dia mesti komplen. 'Wei Haris, kenapa muka aku nampak sugul macam kena reject loan bank? Lukis la aku tengah senyum sikit.' Kau ni asyik drama je," Fahri menyindir sambil membuat ekspresi lucu meniru wajah lelaki dalam lukisan Haris.

"Kalau kau pelukis, lukisan kau mesti semua gambar makanan," balas Haris perlahan tetapi penuh sarkastik.

"Eh, betul la! Kalau aku lukis nasi lemak, confirm masterpiece!" Fahri ketawa sambil menepuk paha.

Di tengah suasana santai itu, Rina mendekati lukisan Haris yang tergantung di studio. Dia mengamati wajah lelaki yang terpampang jelas. Ada sesuatu yang tidak kena.

"Aku rasa aku kenal lelaki ni..." kata Rina tiba-tiba, memecah tawa mereka.

Haris dan Fahri segera memandangnya. "Kenal? Siapa dia?" tanya Haris dengan penuh minat.

"Aku tak pasti. Tapi aku rasa dia pernah terlibat dalam kes-kes lama yang aku siasat. Wajah dia macam familiar... cuma aku tak dapat ingat."

Ketika mereka masih cuba memahami situasi tersebut, terdengar suara pekikan kuat dari rumah sebelah. Jeritan seorang lelaki dan wanita bergema, diiringi bunyi barang dilemparkan dan makian yang kuat.

"Apa pula drama kat rumah sebelah ni?" Fahri mengangkat kening sambil menjeling ke arah dinding.

"Jiran kau gaduh lagi ke, Haris?" Rina bertanya dengan nada risau.

Haris mengangguk kecil. "Selalu je gaduh. Tapi kali ni macam over sangat."

"Aku rasa aku tahu sebab dia gaduh," Fahri tiba-tiba bersuara dengan nada serius, membuatkan Rina dan Haris menoleh ke arahnya.

"Kenapa?" Rina bertanya penuh ingin tahu.

"Sebab jiran kau ni mesti tak cukup cendol. Kalau aku bagi resipi aku, confirm selesai masalah!" Fahri berkata dengan wajah penuh keyakinan, sebelum ketawa sendiri.

Rina hanya mampu menggeleng kepala sambil tersenyum sinis.

Jeritan dari rumah jiran semakin kuat. Kali ini disertai dengan bunyi kaca pecah. Rina akhirnya berdiri. "Kita kena tengok. Kalau ada apa-apa, kita tolong."

"Eh, biar je la. Diorang gaduh, bukan kiamat," Fahri cuba mengelak, tetapi Rina sudah melangkah keluar. Dengan rasa malas, Fahri dan Haris akhirnya ikut serta.

Mereka bertiga tiba di hadapan pintu rumah jiran yang tertutup rapat. Jeritan masih terdengar dari dalam. Fahri mengetuk pintu dengan penuh gaya. "Hello! Delivery nasi lemak special untuk abang dan kakak!" katanya dengan nada ceria.

Jeritan tiba-tiba terhenti. Suasana menjadi sunyi sejenak, sebelum pintu dibuka sedikit. Seorang lelaki berwajah tegang muncul.

"Apa kau nak?!" dia bertanya kasar.

"Kami cuma nak tengok kalau semua okey. Bunyi macam rumah kau ni tengah buat audition untuk filem aksi," jawab Fahri selamba.

Lelaki itu mengerutkan dahi. "Tak payah sibuk. Hal kami, kami urus sendiri."

Namun, Rina yang tidak mudah gentar berkata, "Kami dengar bunyi kaca pecah. Kalau ada bahaya, kami boleh bantu."

Share this novel

User24572
2025-01-05 21:09:59 

best mcm ni knp tak ramai orang minat eh?apapun teruskn writing,sbb saya pembaca setia pertama awk.dr bab 1 sy dh suke


NovelPlus Premium

The best ads free experience