"Kau okay tak ni?" Aqilah memandang wajah Rina yang ditutupi dengan purdah hitam itu di sebelahnya. Mereka baru saja selesai membuat permohonan fasakh terhadap Haikal di bangunan mahkamah syariah seperti yang dirancang seminggu yang lalu. Sejak keluar daripada bangunan itu Rina masih mendiamkan diri sehinggalah mereka sudah berada di dalam kereta.
"InsyaAllah, aku okay saja." Rina cuba menghilangkan kerisauan Aqilah dengan berpura-pura gembira. Bukannya dia menyesal membuat keputusan itu tetapi mungkin itu adalah lumrah seseorang jika sedang di dalam proses penceraian. Walau apapun bukan hanya dirinya dan Haikal yang terlibat sahaja tetapi Qalifh turut terlibat sama dalam perkara ini.
"Jangan risau okay, semuanya akan baik-baik saja. Kau akan bebas tidak lama lagi, Rina. Kau harus mulakan hidup baru dan membina kebahagiaan bersama Qalifh. Sekarang, kita ke hospital dulu. Kau demam panas ni sejak dari semalam, jadi kita rawat sakit kau dulu baru kita balik ke rumah." Aqilah menekapkan belakang tapak tangannya ke dahi Rina yang masih panas sejak daripada semalam.
"Aku baik-baik saja, tak payah susah-susah hantar aku ke hospital." Rina menolak lembut kerana tidak mahu menyusahkan sahabatnya itu. Sudah terlalu banyak Aqilah membantunya sehingga dia berasa segan sendiri untuk menerima pertolongan sahabatnya itu lagi.
"Banyaklah kau punya menyusahkan. Jangan nak mengada-ngada, jom aku hantar ke hospital. Kau ni memang degil betul sejak dari dulu. Kalau sakit liat betul nak ke hospital. Apa yang kau takut sangat dengan hospital tu? Entah-entah Qalifh lagi berani daripada kau." Aqilah membebel seperti kebiasaannya. Rina hanya menggelengkan kepala sambil ketawa kecil.
Mereka tiba di hospital swasta tempat di mana Aqilah sering pergi mendapatkan rawatan jika dia jatuh sakit. Aqilah menguruskan pendaftaran untuk Rina sehingga Rina masuk ke dalam bilik doktor apabila namanya dipanggil. Aqilah tidak ikut sama masuk ke dalam kerana dihalang oleh Rina. Akhirnya dia hanya menunggu di luar sambil bermain telefon dan menjaga Qalifh disisinya yang sedang bermain sendirian. Aqilah melihat jam tangannya, lama juga Rina di dalam sana. Sudah sepuluh minit gadis itu di dalam bilik doktor dan tidak keluar-keluar lagi. Adakah demamnya begitu teruk?
Aqilah baru saja berdiri mahu melihat keadaan Rina di dalam bilik doktor itu tetapi Rina terlebih dahulu sudah keluar. Aqilah segera mendekati Rina kerana ingin tahu apa saja yang dikatakan doktor tentang kesihatan wanita itu.
"Doktor cakap apa?" Aqilah bertanya risau apabila melihat Rina melangkah keluar tidak bermaya.
"Biasalah demam teruk! Dia suruh aku makan ubat dan berehat. Jangan stress dan sentiasa di dalam keadaan tenang. Aku kurang darah." Rina memberitahu Aqilah apa yang doktor katakan kepadanya.
Mereka menuju ke kaunter pembayaran untuk menebus ubat-ubatan Rina. Rina menolak ketika Aqilah menawarkan diri untuk membayar ubat-ubatan itu. Dia masih ada duit di dalam banknya pemberian Tan Sri Mansur setiap bulan sebagai belanja hariannya. Rina mendapatkan semula kad banknya yang baru setelah melaporkan kad pengenalan dan kad banknya hilang walaupun sebenarnya semua kadnya itu berada di rumah Tan Sri Mansur. Dia lebih rela bersusah payah mendapatkan kad itu daripada harus ke rumah Tan Sri Mansur.
"Oh my god!" Tiba-tiba terdengar suara seorang wanita yang tidak jauh daripada mereka.
Rina dan Aqilah sama-sama menoleh ke arah wanita yang menjerit itu. Ternyata Qalifh terlanggar wanita yang berambut perang kekuningan dan berpakaian agak terdedah itu sehingga wanita itu marah. Rina segera mendapatkan Qalifh dan meminta maaf bagi pihak anaknya. Memang salah dia juga kerana membiarkan Qalifh berlari-lari di tempat awam tanpa pengawasan.
"Aqilah?" Wanita itu menyeru nama Aqilah.
"Areen?" Mereka berkata serentak. Sudah banyak perubahan pada wanita itu. Gayanya masih sama seperti dahulu cuma semakin seksi dan lebih terdedah, rambutnya sudah diwarnakan dan wajahnya sudah disolek tebal menambahkan lagi kecantikan wanita itu.
"Rina Altafunisa?" Areen bertanya agak terkejut melihat wanita berpurdah di sebelah Aqilah yang menyebut namanya. Baru dia perasan sepasang mata bewarna coklat itu adalah milik wanita yang tidak dibencinya.
"OMG! Wow! I can believe we meet again like this. He is your son? Oh, ini ke anak yang tak berbapa tu kan?" Areen bertanya celupar dengan senyuman yang tersungging di bibirnya. Dia memang sengaja mahu menyakitkan hati Rina. Dia masih tidak boleh melupakan wanita itu yang dianggap sebagai perampas.
Rina segera menutup telinga Qalifh apabila mendengar kata-kata hinaan daripada Areen itu. Masih sebegitu marahkah Areen kepada dirinya hanya disebabkan seorang lelaki? Apakah selama ini persahabatan mereka itu tiada ertinya sehingga Areen begitu dendam dengan dirinya. Rina menutip kertas yang jatuh di lantai dan melihat isi kandungan keras itu sebelum dirampas dengan kasar oleh Areen dengan wajahnya yang memerah.
"Areen apa khabar?" Rina bertanya lembut walaupun terasa dengan kata-kata Areen yang kasar itu tadi. Dia memujuk hatinya agar bersabar.
"Like you can see right now, I'm good and doing well in my life. How about you? Already have a father for your son?" Areen masih tidak mahu berhenti daripada menyakitkan hati Rina. Dia masih berdendam dengan wanita itu. Disebabkan oleh Rina, cintanya tidak dibalas oleh Aqil.
"Watch your dirty mouth, Areen. Back off." Aqilah mula hilang sabar dengan perangai Areen yang tidak berubah itu. Semakin marah dia dibuatnya apabila Rina hanya diam walaupun dihina oleh Areen seperti itu. Kalau dirinya yang dihina sudah pasti mulut celupar Areen itu mendapat penampar.
"Aqilah, aku tak fahamlah dengan kau ni. Kau tak malu ke berkawan dengan orang macam ni? Dia ini Munafik. Tak reti cermin diri dulu sebelum nak tunjuk baik depan orang." Areen berjalan selangkah ke arah mereka dan bercakap dengan nada perlahan dengan cara yang menjengkelkan.
"Babe? What's going on?" Kedengaran suara lelaki di belakang Areen tiba-tiba. Mereka bertiga menoleh serentak.
Haikal membulatkan matanya apabila dia yakin wanita berpurdah itu adalah Rina Altafunisa memandangkan Qalifh berada di sisi wanita itu. Sudah hampir seminggu dia dan Tan Sri Mansur mencari dimana keberadaan Rina tidak disangka dia akan menjumpai wanita itu di hospital.
Adakah Rina sakit atau anaknya yang sakit? Siapa pula wanita di samping Rina? Dimana pula Aqil yang menyembunyikan mereka? Semua persoalan itu bermain di fikiran Haikal tetapi tidak terluahkan kerana ada Areen di sisinya.
"Nothing. Let's go." Suara Areen tiba-tiba bertukar lembut dan manja di hadapan lelaki itu tidak seperti tadi yang penuh menjengkelkan ketika berbicara dengan Rina dan Aqilah. Areen merangkul lengan Haikal mahu mengajak lelaki itu berlalu daripada situ kerana tidak mahu Haikal mengenali mereka terutamanya Rina Altafunisa tetapi Haikal masih tidak mahu berganjak.
"You know them?" Haikal bertanya kelihatan sedikit resah. Mungkin tidak mahu Areen tahu bahawa di hadapan mereka itu adalah isteri dan anaknya. Haikal melirik ke arah mereka dan melihat Qalifh sudahpun bersembunyi di belakang Rina kerana takut kepada dirinya. Mungkin anak kecil itu masih trauma atas apa yang dilakukan oleh dirinya terhadap Rina.
"Oh, they are my old friends, honey." Areen menjulingkan matanya ke atas kerana terpaksa juga memperkenalkan mereka kepada Haikal.
"Oh really? Hi, I'm Haikal Tan Sri Mansur." Haikal menghulurkan tangan dihadapan Rina tetapi tangannya tidak disambut oleh wanita itu.
"In Islam there are no skin touch between a girl and a man without any relationship between them. It’s call Haram! So excuse us, we need to leave. Nice to meet you." Aqilah menjawab bagi pihak dirinya dan Rina sebelum dia mendukung Qalifh yang ketakutan dengan lelaki itu dan menarik Rina agar berlalu daripada situ.
"Berlagak suci!" Terkeluar ayat sinis daripada mulut Areen apabila melihat Rina dan Aqilah berlalu daripada situ.
"What do you mean by that?" Haikal memandang Areen dengan wajah yang sedikit berkerut kerana tidak menyangka Areen juga mempunyai sifat mengutuk di belakang orang tersebut. Selama ini dia menyangka Areen gadis yang lembut dan manja.
"I really don't want talk back about her. Let's go." Areen tidak mahu bercakap mengenai Rina kerana tidak mahu merosakkan emosinya itu.
"Babe, I'm really sorry but I need to go right now. You balik sendiri naik teksi. Malam ni kita jumpa di tempat biasa." Haikal berlari meninggalkan Areen sendirian di situ.
"What the hell! Haikal!!!" Areen menjerit memanggil nama Haikal yang meninggalkan dirinya sendiri di situ tetapi Haikal langsung tidak menoleh memandangnya. Areen mendapat teguran daripada jururawat yang berada di situ agar memperlahankan suaranya kerana mengganggu pesakit yang lain. Areen menghadiahkan sebuah jelingan maut kepada jururawat yang menegurnya sebelum turut berlalu pergi. Kakinya yang memakai kasut tinggi memang sengaja dihentakkan kuat-kuat kerana tidak puas hati ditegur oleh jururawat yang bertugas di situ.
Aqilah memandu hampir setengah jam menuju balik ke rumahnya tanpa disedarinya ada sebuah kereta mengikuti mereka. Aqilah dan Rina memimpin Qalifh masuk ke dalam rumah selepas mengunci pintu pagar utama. Aqilah sering mengunci pagar itu walaupun mereka berada di dalam rumah kerana dia mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan dia tinggal sendirian sebelum Rina tinggal bersamanya. Kini dia sudah terbiasa melakukan perkara itu bahkan dia mengingatkan Rina berkali-kali agar sentiasa mengunci pagar dan pintu rumah sewaktu ketiadaannya.
Di dalam rumah, Rina duduk termenung di ruang tamu seperti memikirkan sesuatu sehingga dia tidak mendengar apa yang Aqilah bebelkan itu. Qalifh juga sudah menuju ke hadapan television untuk menonton kartun kegemaraannya.
"Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?" Aqilah menepuk bahu Rina yang duduk disisinya apabila melihat Rina yang diam tidak memberi respon kepada kata-katanya.
"Apa dia? Maaf aku tak beri perhatian kau cakap apa." Rina yang terkejut memandang ke arah Aqilah yang sudah membuka tudung yang dipakainya disebabkan terasa panas diluar sana yang membahang.
"Kau kenapa? Sejak daripada hospital tadi termenung je. Kau tak payah fikirkan Areen tu sangat. Dia dari dulu memang dengkikan kau samalah macam isteri Si Syahiran itu. Apa yang mereka tak puas hati sangat pada kau pun aku tak tahu." Aqilah menggelengkan kepala.
"Qila, sebenarnya lelaki tadi..." Rina berhenti sebentar berfikir bagaimana mahu menyusun ayat memberitahu Aqilah.
"Lelaki mana? Teman lelaki Areen tadi yang berlagak orang putih itu ke? Kenapa dengan dia?" Aqilah menunjukkan wajah jengkel apabila terbayang wajah teman lelaki Areen. Memang sepadan dengan Areen sama-sama menjengkelkan.
"Dia...Amirul Haikal. Suami aku. Ayah Qalifh." Rina bercakap perlahan hampir tidak kedengaran.
"Apa? Kau cakap apa? Cakap sekali lagi apa yang kau cakap tadi?" Mata Aqilah sudah mencerlung memandang Rina apabila mendengar kata-kata sahabatnya itu.
"Dia suami aku, Aqilah." Rina menjawab lemah.
"What? Kenapa kau tak cakap dengan aku? Kalau aku tahu tadi sudah lama aku heret dia ke balai polis biar membusuk di penjara." Aqilah bangun dari duduknya sehingga membuatkan Rina dan Qalifh memandang ke arahnya. Qalifh segera berlari ke pelukan Rina kerana takut dengan Aqilah yang marah tiba-tiba.
"Aqilah, janganlah macam ni. Kasihan pada Qalifh." Rina melirik ke arah Qalifh yang sudah memeluk Rina. Sejak daripada kejadian di rumah Tan Sri Mansur, Qalifh mudah takut apabila dia terkejut. Rina tidak mahu anaknya itu mengalami trauma pada usia yang sangat muda.
"Maafkan, aunty Qalifh." Aqilah duduk semula menenangkan dirinya. "Jadi sekarang lelaki tak guna tu ada hubungan dengan Areen?" Aqilah bertanya cuba mengawal suaranya daripada perasaan amarah apabila melihat Qalifh sudah kembali ke hadapan television semula.
"Stop calling him like that in front Qalifh, Aqilah. Dia tak perlu tahu sikap ayahnya itu." Rina memberikan amaran kepada Aqilah agar tidak menyebut perkataan 'lelaki tak guna' dihadapan Qalifh kerana tidak mahu anaknya itu turut memanggil Haikal dengan panggilan yang sama pada masa akan datang.
"Sorry, my bad. So, Areen tahu ke tak kau isteri...dia?" Aqilah mengulangi pertanyaan semula dan agak keberatan untuk menyebut nama Haikal jadi dia hanya menggantikan dengan panggilan 'dia'.
"Tak, aku tak rasa dia tahu. Kalau dia tahu tidak mungkin dia akan berkata seperti tadi." Rina yakin Areen tidak mengetahuinya kerana jika Areen tahu pasti wanita itu sudah mengamuk sama seperti dahulu ketika Areen mendapat tahu bahawa Aqil menyukai dirinya.
"Baguslah. Sekurang-kurangnya kau sudah menuntut fasakh. Aku tak sanggup kalau kau bermadukan Areen tu pulak. Entah apa yang dia buat kalau dapat tahu kau isteri kepada lelaki itu." Aqilah berasa lega apabila Areen tidak mengetahui hubungan mereka.
"Aku harap semuanya cepat selesai dan mereka boleh berkahwin dengan segera." Rina mendoakan. Ada sesuatu yang lain bermain difikirannya ketika itu tetapi dia tidak mahu memberitahu Aqilah. Biarlah perkara itu mejadi rahsia.
Share this novel