Bab 74 : Suami Kita?

Romance Series 403934

Berpura-pura tidak mengenali isteri sendiri yang paling dirindui dan disayangi itu adalah perkara yang sangat sukar untuk dilakukan bagi Idris. Setelah beberapa bulan tidak bertemu mata dengan Rumaysa, harapannya adalah untuk disambut oleh isteri dengan pelukan serta senyuman manisnya.

Namun ternyata kemelut yang melanda tidak mengizinkan itu berlaku kepada mereka. Malah tatkala Anis Rumaysa melangkah masuk dan duduk menunggunya keluar dari bilik air di bilik wad kelas pertama itu, dapat dia lihat lingkaran gelap di bawah mata isterinya. Mata yang cantik itu juga kelihatan sedikit membengkak, mungkin dek kerana tangisannya.

Tidak sampai hati untuk mengusik Rumaysa, namun pada waktu itu dia tiada pilihan. Tidak lain tidak bukan, kerana ada seseorang yang berdekatan dengan dia adalah merupakan mata-mata bagi orang yang pernah menculik dirinya. Siapa? Belum dapat dikenalpasti lagi.

Sehinggalah keadaan Rumaysa teruk begini setelah kemalangan yang menimpanya, dalang di sebalik semua ini masih belum dapat ditangkap lagi. Walaupun Sabrina dan orang-orangnya juga berusaha lebih dari biasa. Nyatanya, menjadi 'suami' Sabrina Mulder juga masih belum mampu menghalang orang yang berniat jahat dari terus-terusan mencederakan Rumaysanya.

"Suami Anis, Anis dah siap check up. Boleh ambil dia sekarang." Panggil jururawat yang bertugas di klinik kesihatan itu sekaligus mematikan lamunan Idris akan kisah silam.

Idris segera berjalan menuju ke bilik bernombor 4 itu. Kerusi roda Anis ditarik keluar dengan perlahan. Walaupun sudah boleh berjalan dengan bertongkat, dia suka memanjakan Anis Rumaysa begitu.

"Terima kasih nurse!" Ucap Idris sambil memberi senyuman kepada jururawat bilik itu.

Anis masih begitu. Tidak bercakap dengan dia melainkan dengan nada yang marah-marah atau sedikit keras. Tak apa, dia masih mampu bersabar dan menerimanya.

"Sayang ada nak makan apa-apa tak? Kita boleh singgah dulu sebelum balik."

Anis menggelengkan kepalanya.

"Nak balik, nak tidur." Kebetulan, hari ini adalah hari pertama dia kembali semula ke sekolah, jadi rutin hariannya sudah kembali semula kepada bangun awal pagi.

Pukul 2 petang pula dia perlu ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan kandungan yang sudah hampir berusia tujuh bulan.

"Okey. Tak apa, kita balik. Makan apa yang mak masak, kemudian sayang boleh rehat dan tidur."

Tipu kalau dikatakan dia tidak tersentuh dengan kebaikan Idris. Namun sakit ditipu lebih kuat rasanya dari segala kebaikan yang Idris pamerkan.

"Kau dengan Idris tak okey lagi ke Nis?" Bibah yang bertandang ke rumah Anis petang itu bersama Laksa Thai yang dibeli di gerai jualan sahabatnya di Taman Tas.

"Okey je. Biasa-biasa." Jawab Anis perlahan, selang beberapa saat kemudian, sesudu laksa yang diidamkan disuap ke mulut.

Sedap!

"Jangan lama sangat tak bercakap dengan dia. Nabi Muhammad S.A.W. ada pesan, tak baik tau bergaduh lebih dari tiga hari. Nak pulak kalau dengan suami, isteri atau ahli keluarga sendiri." Pesan Bibah.

"Semua orang nak sebelah kan dia yang dah terang nyata menipu aku. Nampak macam aku pulak yang salah dalam hal ni. Bagus betul."

"Bukan macam tu. Cuma, bila orang dah berubah, dah balik ke pangkal jalan, menjadi satu kewajipan bagi kita saudara sesama Islam ni untuk raikan kejayaan saudara kita berjihad melawan nafsu dia. Terutama bila orang itu adalah suami kita." Sambung Bibah.

Anis mengangkat keningnya.

"Suami kita? Kau jangan macam-macam Bah." Anis mengulang semula ayat Bibah itu tadi.

"Suami kita? Alaaaa, maksud aku suami kau lah. Tapi tadi tu aku bercakap secara general lah. Alahhhh, kau faham kan? Kau jangan nak putar belit ayat aku pulak. Tak ada maknanya aku nak bermadu dengan kau. Seremmmm!" Terang Bibah tergagap-gagap.

Gila tak panik bila bercakap dengan budak yang ambil pengkhususan dalam bahasa ni. Satu perkataan mampu memberi seribu makna yang berbeza buat mereka. Padahal, pemilihan kata-kata itu tidak mempunyai apa-apa maksud yang pelik pun. Over-thinking!

"Eh tapi kan Nis..." Bibah mencuit lengan Anis supaya memfokuskan pandangan padanya.

"Apa? Cakap jelah. Kan dengar pakai telinga, bukan mendengar dengan mata." Terganggu dengan cuitan Bibah tadi, Anis membalas dengan nada yang sedikit geram.

"...dalam kau marah-marah dekat suami kau tu, sayang jugak eh kau dekat dia. Terus keluar taring kau tadi masa aku tersalah cakap. Rawrrrrr gitu," Bibah sempat mengusik Anis yang pipinya susah mula memerah menahan malu diusik begitu.

"Dah lah, sibuk je. Nak makan pun tak senang." Omel Anis.

"Udah-udah lah merajuknya. Cuma kau berbaik je dengan dia. Cakap dari hati-ke-hati. Cuba tanya apa sebab dia buat macam ni. Kalau sebab dia tu beh diterimapakai, maafkan lah dia. Agak-agak tak boleh terima, kau dera je lah dia. Jangan bagi dia bahagia.

Buang masa lah gaduh-gaduh ni. Banyak sangat gaduh dengan dia, karang esok-esok kau beranak, haaa anak kau muka sebijik dia. Masa tu berganda-ganda sakit hati kau. Elok kau yang mengandung bawak perut penat-penat dengan kaki yang pernah patah ni, muka sebiji dia pulak. Baik kau bermanis muka. Senyum je tengok cermin tu. Barulah manis kau turun ke anak kau." Pujuk Bibah.

"Tengoklah macam mana." Pendek sahaja balasannya.

"Jangan lama sangat nak tengoknya. Anak Cik Esah yang baru je balik dari oversea tu aku tengok dok usha-usha je laki kau tu. Haaaa, bukan main lagi gedik dia nak mengorat. Bahri pun dia nak try tau. Aku hangin betul! Macam tak ada lelaki lain dalam Kampung Lubuk Puyu ni." Bebel Bibah.

"Dah tahu ke siapa yang jadi sumber maklumat tu?" Soal Idris.

Sabrina hanya menggeleng.

"Jadi, orang yang langgar Rumaysa pun masih belum dapat dikenalpasti?" Teka Idris.

Sabrina mengangguk pula.

"Kenapa kau tak nak beritahu aku siapa yang culik kau masa dekat London? Mungkin mereka yang terlibat dengan kemalangan tu. Kau jugak yang cakap, mereka nak paksa kau kembali bekerja dengan mereka."

"Entah, tapi aku rasa bukan mereka. Kalau mereka nak gunakan Rumaysa untuk paksa aku, mereka boleh buat semua tu dari awal lagi. Bukan dengan larikan aku dulu lepas tu pulang balik pada kau lepas kau sebarkan berita bakal suami kau kena culik. Aku rasa dalam hal ni orang lain yang terlibat. Dekat dengan kita tapi bukan dari dunia gelap kita." Simpul Idris.

"Masalahnya, siapa?" Bentak Sabrina yang makin kurang tahap sabarnya.

"Aku rasa..." Idris sedikit berbisik dengan Sabrina meskipun tidak begitu dekat kedudukan mereka.

Anis yang baru sahaja keluar dari bilik dengan bertongkat terkedu melihat situasi itu di depan mata. Terus sahaja dia memusingkan badan untuk kembali semula ke bilik.

'Adik beradik susuan tak adik beradik susuan, jarak tu jagalah sikit. Kan lain jantina!' Bentak batin Anis.

"Anis, errr..." Sabrina tergagap mahu meneruskan kata-katanya.

Idris yang tadinya membelakangi Anis turut terpana. Habislah!

Enjoy reading! :) Terima kasih tau untuk doa-doa semua orang T_T. Terima kasih jugak sebab masih sudi luangkan masa untuk cerita ni. N cuba habiskan secepat mungkin ya. Lepas tu kita beralih ke cerita baru pula. Love as always, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience