3 Naqil vs Nisa

Romance Completed 441551

KALI ketiga pujukan lemah lembut itu kedengaran, namun masih sahaja Puan Sharifah Hamnah menggeleng. Hatinya sudah terlalu tawar, sakit dan terluka. Kerana kesakitan itu jugalah yang membuatkan rasa hormat dan percaya pada suaminya hilang, hilang tak kembali.

Dia sendiri tidak pasti, adakah Syed Ibrahim benar-benar sakit dan sudah berubah? Atau semua itu hanya lakonan semata-mata? Kali terakhir bertentang mata dengan suaminya adalah ketika berlangsungnya majlis perkahwinan Fatin. Itupun sekadar melihat dari jauh. Jika Syed Ibrahim ada menegur atau paling tidak pun mengukir senyum buatnya, barangkali hatinya tidak akan sesakit ini. Namun, jangankan menegur atau tersenyum, menoleh pandang pun lelaki tua itu tidak berapa sudi.

"Ma, saya merayu sangat pada mama. Tolonglah ma. Datang sekejap tengok papa. Papa perlukan mama sangat-sangat. Sekarang ni, papa betul-betul dah menyesal dah, ma." masih gigih Tuan Hayrill Iskandar mengungkapkan rayuannya. Tubuhnya ketika itu sedang berlutut tepat di hadapan Puan Sharifah Hamnah.

"Kamu merayulah macam mana sekalipun Hayrill, pendirian mama tak akan berubah. Hati mama...dah lama mati untuk papa kamu. Kalau mama tak fikir keadaan kami yang sudah tua ni, dah lama...mama minta cerai. Tapi mama tahu, papa kamu tu takkan mahu lepaskan mama." ujar wanita tua itu dengan perlahan namun kedengaran amat tegas nadanya.

"Sebab papa masih sayangkan mama. Papa sayangkan mama sangat-sangat. Bagi papa peluang sekali lagi, ma."

"Kalau dia sayangkan mama, sayangkan keluarga kita ni, dia tak akan buat macam tu. Disebabkan papalah, Hazura..."

Laju Tuan Hayrill Iskandar memanggung wajah sebelum pantas mengerat kata-kata ibu tirinya, "Ma, orang tu dah bahagia dah dengan kehidupan baru dia. Yang lepas tu, biarlah lepas. Saya tak nak ingat lagi dah. Jangan bawa nama dia dalam...masalah keluarga kita." teramat sayu lontaran nada lelaki itu.

"Hayrill..."

"Mama fikirlah baik-baik. Papa perlukan mama. Datanglah ma, biar sekejap. Jangan sampai badan papa tu dah kaku tak bernyawa, baru mama nak pergi jenguk. Maafkan saya, saya tak berniat pun nak mengajar mama, tapi ini nasihat sebagai seorang anak. Saya minta diri dulu." Tuan Hayrill Iskandar bangkit, setelah mencapai tangan Puan Sharifah Hamnah untuk disalami. Allah sahaja yang tahu, betapa dia menyayangi wanita tua itu tanpa mempedulikan status sebenar hubungan darah mereka.

**********

Hazura memicingkan mata seketika bersama sehembusan tarikan nafas lantaran mahu menenangkan dirinya.

"Ingat pesan ummi. Jangan degil, jangan nakal, jangan buli kawan, jangan panjat. Faham?!" Hazura kemudiannya berdiri bercekak pinggang, dengan mulut yang tak sudah menghamburkan amaran kecil buat anaknya. Wanita itu paling bimbang jika Naqil membuli. Memanglah tidak teruk, tetapi tetap sahaja membuli namanya.

Bersama senyuman nakal, comel dan raja, Naqil pula setia mengangguk. Sempat juga melompat terkinja-kinja di hadapan pagar sekolah itu sambil-sambil memasang telinga.

"Angan anjat! Angan akal!" ulang Naqil sambil tersengih-sengih. Tingkah itu benar-benar membuatkan Hafiz merasa gemas.

"Alaa, sayang pak cik ni. Belajar rajin-rajin tau? Anak lelaki mesti kuat, jangan lemah. Macam siapa?"

"Acam Tupeman!" laju Naqil menjawab sambil membuat aksi tangan melangit, sempat juga berlari setempat.

"Pandainya dia lari! Melompat pun pandai. Kuat sangat macam superman!" Hafiz memuji sambil mengusap kepala anak saudara dengan penuh rasa sayang.

Hazura pula hanya mampu mendengus, sakit hatinya melihat, namun mahu membebeli Hafiz, dia sudah tiada masa lagi. Tunggu sahajalah nanti di dalam kereta, siap!

Setelah berlambaian tangan dengan ibu dan bapa saudaranya, Naqil terus menuruti langkah seorang guru yang sedang memimpinnya untuk masuk ke dalam kawasan taska.

Kasut yang tersarung pada kaki ditanggalkan lalu disimpan ke dalam rak yang sudah ditandakan dengan namanya, dan setelah itu Naqil segera bergerak ke arah pili air untuk mencuci tangannya pula. Tingkahnya yang lancar dan spontan tanpa perlu diarahkan itu sempat membuatkan para guru melopong bangga. Bijak sungguh! Sudahlah comel!

"Wah, pandainya dia! Naqil kenal nama Naqil sendiri?" soal Hanim setelah memuji ikhlas.

"Andai! N A Q I L - I S K A N D A R...Aqil!" anak itu menjawab dengan sangat yakin. Serentak dengan itu juga para guru langsung bercurian ketawa.

"Naqil sayang, bukan Aqil." Norlia mencelah sambil mengusapi kepala anak nakal itu.

Pada mulanya, masing-masing merasa gerun memikirkan seperti apa makhluk kecik yang bernama Naqil Iskandar itu nanti. Namun setelah melihat kebijaksanaannya, hati yang kacau kini sudah sedikit terubat.

"Naqil ikut Cikgu Shaza ya? Jangan nakal-nakal tau?"

"Tak oleh anjat! Ummi marah!" sempat lagi anak itu mengulang amaran ibunya tadi. Sudahlah seolah-olah ditujukan khas kepada para gurunya, lalu, sekali lagi keadaan menjadi riuh dengan gabungan tawa para insan dewasa.

"Tau pun, jangan panjat-panjat tau? Nanti jatuh, sakit." Shaza menyambung. Botol air dikeluarkan dari dalam beg Naqil, sebelum dihulurkan kepada anak kecil itu.

"Minum air sikit ya? Biar sihat."

Naqil mengangguk, juga akur pada arahan Shaza. Namun, baru sahaja Shaza mahu bergerak ke arah lain, Naqil pula memanggilnya semula.

"Titer, titer! Acik ata oleh anjat! Acam...Tupeman!" serentak dengan itu, Naqil berdiri sebelum merayau ke sana ke sini tanpa mempedulikan arahan para gurunya lagi.

"Naqil, duduk. Tengok, kawan-kawan semua duduk." Shaza menegur, dia bimbang jika anak itu akan terjatuh kerana pergerakan Naqil ketika itu semakin sahaja laju.

"Nanak! Acik ata oleh anjat!" Naqil tetap melawan sekaligus memperlihatkan sisi nakalnya yang sebenar. Semakin laju dia berlari, semakin kuat dia mengekeh riang sehingga membuatkan para guru mula memicit dahi sendiri.
Rupa-rupanya, seperti itulah perangai sebenar anak yang bijak dan comel itu!

"Aduh, pening aku Lia. Jomlah kita ajak budak-budak ni menari! Kelas kau dengan aku, gabung kejap erk?" Shaza membuat usulan yang dirasakan paling bijak. Ketika itu, hanya mereka berdua sahaja yang menjaga kelas bawah kerana pembantunya pula sedang mengambil cuti sakit.

"Boleh, boleh. Tapi tunggu kejap. Aku pergi ambil drakula kecil tu dulu. Lambat pula dia sampai hari ni." ujar Norlia sebelum bergegas menuju ke luar sebaik sahaja melihat kereta Tuan Rafique berhenti tepat di hadapan pagar sekolah itu.

**********

Tuan Rafique melirik geram lagi ke arah isterinya yang sedari tadi sibuk menghias wajah. Tidak cukupkah waktunya bersiap di rumah sehingga perlu menyambung lagi di dalam kereta?

"Apasal you tengok i macam tu? Tak cukup ke yang malam tadi?" selamba Fatin menegur, membuatkan Tuan Raqifue langsung terkekeh kemiangan, spontan juga otaknya melencong ke lain.

"Tengok isteri sendiri pun salah? Ke baby lagi suka kalau lelaki lain yang tengok muka baby tu? Sampai tak sudah-sudah nak bermakeup bagai!" Tuan Rafique mula merungut. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menekan pedal brek secara mengejut, biar rosak semua solekan isterinya.

"You...jealous erk sayang? Alaaa, jealouslah tu!" kini, giliran Fatin pula yang mengekeh, malah nadanya juga kedengaran jauh lebih nakal dan menyakitkan hati.

"Mestilah jealous! Dah wife i sendiri melebih-lebih pula cantik kat luar? You nak pergi mana sebenarnya, baby? Dating?! Dengan siapa?!" kedengaran lembut, kelihatan tenang namun Fatin tahu, suaminya sudah mula naik angin.

Fatin mengeluh. Gincu bibir bersama bedak padat yang sedang dipegang kembali disimpan ke dalam beg tangannya. Walaupun dia nakal, tetapi untuk membiarkan seorang suami itu merajuk, dia tidak rela.

"Hubby lupa ke? Hari ni baby kena datang ke majlis perasmian butik Datin Surihani tu? Mestilah nak kena cantik-cantik. Nanti kalau orang tanya baby ni isteri siapa, hubby juga yang dapat nama kan?" Fatin memujuk dalam nada yang menggoda dan mengada-ada.

"Dapat namalah sangat! Merah sangat tu. Dah, dah. Kalau hubby tengok baby masih nak bermakeup lagi, siap!" Tuan Rafique menjeling sebal.

"Tak makeup lagi dah. Dah simpan dah ni ha. Ishh, tu pun nak marah." Fatin mencebik manja lalu mencapai tangan suaminya untuk dibawa erat ke dada. "Hubby, nanti baby off phone tau? Kalau baby tak jawab call atau mesej, tau-tau je lah erk?"

"Habis majlis tu nanti, on balik phone baby tu. Jangan lupa!"

"Tahu." Fatin tersenyum gedik sebelum bergesel kepala pada bahu suaminya berkali-kali.

**********

Tuan Hayrill Iskandar bergegas turun dari dalam keretanya sebaik sahaja tiba tepat di hadapan pusat jagaan Nisa. Hati matang usia itu bingung memikirkan keadaan anak saudaranya setelah diberitahu oleh Tuan Rafique tentang kejadian yang telah menimpa anak saudaranya.

Kedatangan Tuan Hayrill Iskandar ketika itu seakan-akan sedang ditunggu oleh para guru di hadapan pintu utama pusat jagaan itu. Nisa pula langsung merengek manja sebaik sahaja melihat kemunculan bapa saudaranya.

"Ma...maaf encik, sebab menyusahkan." Norlia yang duluan bersuara meski jantungnya ketika itu bagai sudah mahu meletup.

"Tak apa, kebetulan saya...tak sibuk sangat. Parents Nisa tak dapat datang." ujar Tuan Hayrill Iskandar.

Norlia mengangguk, hal itu sememangnya sudah mereka sedia tahu.

"Maafkan saya, sebab terlalai. Nisa digigit pada bahagian telinga kirinya. Dah sapu ubat, tapi masih ada lebam." Norlia memulakan kata. Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya dia ketika itu. Namun Norlia tahu, dia perlu memberi penjelasan kepada Tuan Hayrill Iskandar kerana semua itu, salahnya juga.

"Yang gigit Nisa, budak yang mana satu, cikgu?" soal Tuan Hayrill Iskandar sambil menunduk tubuh untuk mendapatkan tubuh kecil anak saudaranya.

"Naqil Iskandar...Budak baru kat sini, encik. Baru je masuk pagi tadi." ujar Norlia, sesekali menunduk ketakutan.

"Naqil Iskandar?" entah mengapa perasaan Tuan Hayrill Iskandar berdebar-debar ketika mendengar dan menyebut sebaris nama itu.

"Kami betul-betul minta maaf, kami..."

"Assalamualaikum." ayat keterangan Norlia terhenti saat kata-kata itu dicelah oleh sapaan lembut Ustazah Jumiah.

"Waalaikumsalam, ustazah." para interlokutor itu menjawab berjemaah, juga dalam perasaan yang gementar. Hanya Tuan Hayrill Iskandar sahaja yang mampu menjawab salam dengan senyuman senang.

"Encik ni, Pak Cik Nisa kan?" soal Ustazah Jumiah dengan nada yang lemah lembut seperti selalu. Meski tahu yang dirinya sedang berdepan dengan satu masalah yang agak besar, tetap sahaja wanita itu bijak menampilkan dirinya yang tenang dan ayu.

Laju Tuan Hayrill Iskandar mengangguk. "Ya, Ustazah. Mommy dengan Daddy Nisa tak dapat datang. Mereka sibuk sangat." ujar Tuan Hayrill Iskandar sebelum diam buat seketika. "Boleh saya tahu apa sebenarnya yang dah berlaku, Ustazah?"

"Cikgu Shaza, Cikgu Norlia, boleh jelaskan? Dengan jujur ya? Allah sentiasa perhatikan kita." seperti biasa, seorang Ustazah itu akan mengarah tenang, bersama segaris senyuman, tidak pernah dilupakan juga dengan kata-kata yang berunsurkan nasihat.

"Se...sebenarnya macam ni. Tadi...tadi..." Norlia tiba-tiba sahaja teresak sebelum habis lagi ayatnya dilengkapkan manakala Shaza yang turut berasa gentar juga laju menundukkan jemala.

"Cikgu jangan menangis. Saya tak marah pun, saya cuma nak tahu. Senang sikit saya nak tolong explain pada parents Nisa nanti. Jangan nangis ya?" bagai mahu terlepas jantung Norlia saat mendengar pujukan indah Tuan Hayrill Iskandar. Nadanya, auchhh...sangat menggoda! Baru ketika itu dia tersedar akan ketelanjurannya menangis di hadapan seorang lelaki hensem; insan yang dia minati dalam diam. Ah, malu!

"Maaf!" Norlia menunduk sekali. "Tadi tu, kelas toddler dengan...N1 bergabung. Ada aktiviti music and movement. Nisa tak nak ikut, dia berjalan-jalan perhatikan kawan-kawan dia je. Saya...saya ingat tak apa, jadi saya biarkan je sebab masih lagi dalam kawalan mata saya. Masa nampak Naqil nak panjat meja, dia pun nak ikut tapi Naqil tak bagi."

"Budak berdua tu sempat bergaduh, Ustazah. Naqil kata; angan anjat, angan anjat! Anti atoh!" Shaza mencelah sebelum tertawa tanpa dapat menahan.

"Maksudnya; jangan panjat, jangan panjat nanti jatuh." Ustazah Jumiah ikutan tertawa, Tuan Hayrill Iskandar pula turut tersenyum. Para malaikat kecil sememangnya selalu menghiburkan!

"Sebab marah Naqil tak nak bagi dia naik, Nisa gigitlah tangan Naqil. Maaf Ustazah, encik. Kami tak sempat nak tahan." tambah Norlia sebelum menunduk ampun berkali-kali. "Naqil terkejut masa Nisa gigit dia sampai dia jerit; titer, titer, adik makan Aqil! Lagi sekali belum sempat kami halang, Naqil pun gigitlah telinga Nisa balik."

"Ohh..." Tuan Hayrill Iskandar mengangguk faham, juga bersama sisa senyuman. "Ada kesan tak gigitan Nisa kat tangan Naqil tu?"

"Ada, agak lebam juga tapi kami dah sapu ubat dah." jawab Norlia.

"Kat mana Naqil sekarang?" soal Ustazah Jumiah sambil melirik ke ruangan dalam, perbuatan itu juga ditiru oleh Tuan Hayrill Iskandar. Tidak tahu kenapa, tetapi hati lelaki tua itu amat tertarik dengan nama yang telah disebut berkali-kali oleh para guru tadi.

"Tengah menangis, cari ummi dia. Kami dah pujuk dah Ustazah, tapi dia berkeras tak nak masuk dalam. Cikgu Hanim tengah awasi dia kat luar tu." Shaza menunjuk ke arah belakang.

"Dah telefon Ummi Naqil?"

"Dah, Ustazah. Tapi tak berangkat. Kami dah cuba banyak kali dah."

"Tak apa, rasanya saya ada nombor telefon restoran mereka tu. Biar nanti saya sendiri yang akan hubungi dia." Ustazah Jumiah tersenyum nipis, juga dengan perasaan yang sedikit lega.

"Ustazah, boleh...boleh saya jumpa dengan Naqil? Saya nak tengok tangan dia yang dah kena gigit tu tadi." soal Tuan Hayrill Iskandar teragak-agak. Teragak-agak lantaran bimbang permintaannya akan dihalang. Entah mengapa, hatinya amat tertarik dengan sebaris nama indah itu.

'Minta-mintalah Ustazah ini akan berkata 'ya, boleh.'

Ustazah Jumiah mengangguk. "Mari, encik. Naqil tengah merajuk kat belakang tu." pelawa Ustazah Jumiah sebelum duluan mengatur langkah.

"Aqil nak ummi! Aqil nak ummi! Tak nak school baru! Adik tu makan Aqil, adik makan Aqil!" dari kejauhan, dua pasang telinga dewasa itu sudah mendengar esakan sayu seorang kanak-kanak lelaki; semakin dekat, semakin sahaja lantang.

"Tu, Naqil Iskandar. Comel budaknya." Ustazah Jumiah tersenyum sambil menunjuk ke arah Naqil yang sedang berdiri menghadap ceruk dinding.

"Naqil sayang..." Ustazah Jumiah memanggil dengan lembut. "Ada uncle ni nak periksa tangan Naqil. Sini sayang..."

"Titer, Aqil nak ummi! Aqil nak Acik!" Naqil mula mengalihkan arah rengekannya. Tubuhnya dipusingkan, sekaligus menjadi wajahnya kini tepat terhala ke arah dua insan di hadapan.

Tuan Hayrill Iskandar pula seakan-akan terpaku setelah itu. Dia dapat merasakan, ada sesuatu dengan kanak-kanak itu, tetapi apa? Entah mengapa, wajah Naqil seolah-olah begitu dekat dengan hatinya apalagi saat mata mereka saling bertentangan.

"Aqil nak ummi! Ummi!" esakan Naqil semakin keras ketika melihat susuk asing yang sedang mendukung lawan kecilnya. Mungkin kerana menyangka yang lelaki itu adalah bapa kepada Nisa yang hendak memarahinya. "Aqil nak ummi! Aqil nak ummi! Akut, akut! Ummi, Acik, ab...abah!"

"Naqil..." Ustazah Jumiah menunduk, sebelum menarik Naqil ke dalam pelukannya. Dia tahu Naqil takut. "Uncle tu cuma..."

"Ustazah," Ustazah Jumiah menoleh ke belakang ketika ada suara yang memanggil. "Ummi Naqil Iskandar nak bercakap dengan Ustazah." ujar Hanim sambil menghulurkan telefon kepada majikannya.

Terima kasih untuk komen, ncoins dan sokongan kasih sayang kamu semua. Muahh!

Share this novel

Rimatanti Rasyid
2022-06-13 12:23:36 

macam mana tu, sy tk paham.. mmg nk baca dn nk beli tapi mmg sy tk reti lh

Rimatanti Rasyid
2022-06-13 01:34:18 

mcm mana nk baca ni, nk beli mcm mana caranya ni ye, ceritenya best tapi tk tau mcm mana caranya nk buka lock tu

NorFatin
2022-06-10 13:52:35 

knpa tibe2 lock ni,, admin unlock la balik


NovelPlus Premium

The best ads free experience