Bab 1 - Kenangan

Drama Series 122053

Splassh!!

"Euwww! Bau apa ni? Busyuknyaaaa!!!"

Bantai tiga orang pelajar lelaki itu ketawa terbahak-bahak sebaik saja salah seorang daripada mereka mengepit hidung dan membuat suara kepit. Mereka memandang jengkel pada seorang pelajar perempuan yang sedang terjelopok di hadapan mereka itu.

Habis basah kuyup uniform sekolah pelajar perempuan tersebut dek disimbah dengan air cucian tandas. Terpisat-pisat dia menyapu wajah membuang sisa air kotor itu dari wajahnya. Dengan mata yang berkaca, dia memandang tiga orang pelajar lelaki tersebut.

"Alamak, dia buat dah muka sememeh dia tu. Ni yang aku menyampah ni. Eyy, perempuan ni kena juga dengan aku kang!" kata pelajar lelaki yang awal-awal mengejeknya tadi.

Baru saja dia mengacah hendak memukul gadis itu, kawannya yang berada di tepi sudah menghalang. Redup mata beriris tajam itu memandang ke arahnya membuatkan dia berdecih kesal dan terus berpaling ke arah lain. Mata redup nan tajam itu kembali menatap gadis di hadapannya ketika ini.

Bibirnya mengherot senyuman sinis. Dia menapak mendekatkan dirinya lalu perlahan-lahan bertinggung di hadapan gadis itu. Dia menopang dagu melentokkan sedikit kepalanya. Jarinya yang bebas itu menyisir sedikit helaian rambut yang sudah basah dan kusut itu.

"Best mandi?" soalnya namun tidak direspon oleh gadis itu. Bibirnya makin galak tersenyum sinis apabila melihat mutiara jernih jatuh di pelupuk gadis itu dan badannya sedikit menggigil. Senyuman sinisnya tadi kini berubah menjadi cebikan.

"Aww. Kesiannya my Darling menggigil. Sejuk ya? Nak pinjam sweater Hadi ke?"

"Nak kena penyepak ke, Syah?"

Lelaki itu sekadar tertawa halus. Langsung tidak ambil peduli dengan jelingan dan ugutan dari kawannya itu. Matanya galak menatap gadis di hadapannya ini dari tadi tidak berhenti mengalirkan air mata. Dia berhenti bertinggung lalu berdiri menggosok-gosok belakang tengkuknya.

"Sorry Darling. Hadi tak bagi pinjam so I tak boleh buat apa-apa. Hmm." katanya dengan nada suara yang sengaja dibuat sedih. Dia tersenyum sinis kemudiannya saat pelajar perempuan itu mula bersuara.

"Kau menyebalkan! Aku akan pastikan kau tunduk dengan aku suatu hari nanti!" bentaknya cuba menguatkan diri. Lelaki yang memanggilnya 'Darling' itu menjongket kening. Kedua tangannya diseluk ke dalam poket seluar.

"Naik muak aku dengar kau cakap benda sama tau? Mana? Mana kau punya semangat nak tundukkan aku tu? Sampai sekarang aku tak tertunduk pun dengan kau? Kau yang makin tunduk dengan aku, Darling." ujarnya tenang.

Senyap. Tiada sebarang suara selain dari bunyi seduan tangis kecil gadis itu. Lelaki itu mengeluh dan menggeleng kepala perlahan.

"Buktikan dulu baru berkata ya, Darling? Jangan cakap je. Buktikan dulu. Dah pergi tukar baju kau tu. Eh kejap, kau mana ada baju ganti. Baju sukan kau aku dah campak kat belakang sekolah suruh Wak Jamal bakar sekali dengan sampah-sampah lain. Sorry~ kau belajarlah dengan bau-bau busuk macam tu. Aku masuk kelas dulu. Tata~"

Dia melambai dan terus mengorak langkah meninggalkan kawasan belakang sekolah itu diikuti dua rakannya lagi. Sempat salah seorang rakannya tadi mengambil baldi tadi dan ditelangkup pada kepala gadis itu. Terbahak-bahak dia mentertawakan gadis itu dan berlari mengejar kawannya.

Gadis itu terus mencampak baldi tersebut dan makin galak menangis dek terhiris dengan perbuatan dan kata-kata lelaki tadi. Bibirnya diketap kuat. Tangannya mencengkam erat kain sekolahnya yang masih basah itu. Perlahan-lahan dia berdiri dan menyeka air matanya.

Kata-kata yang sering diperkatakan itu disemat sebaik mungkin di dalam hati. Suatu hari nanti, dia akan pastikan kata-katanya itu akan terbukti di hadapan lelaki itu. Lelaki itu akan tunduk pada dirinya dengan tangannya sendiri.

DIAN Armila merenung tapak tangannya sendiri. Hampir sejam dia merenung kosong pada tapak tangannya itu sehingga membuatkan rakan sekerjanya yang berada di sebelah sudah berasa hairan dan pelik. Ditepuknya belakang gadis itu. Terus tersedar ke alam realiti dibuatnya.

"Apa?" soalnya dengan muka tidak bersalah. Tanpa sengaja ia mengundang seperempat urat kecil di dahi rakannya itu. Ditepuk sekali lagi belakang gadis itu dengan fail nipis yang kebetulan berada di dalam genggaman.

"Kau tu yang kenapa? Termenung tengok tapak tangan sendiri. Nak jadi penilik nasib pula dah ke?" soalnya berkerut kening lalu terus mengambil tempat duduk di hadapan rakannya itu.

Dian tersengih sedikit dan menggeleng perlahan. Dia kembali menyambung melakar lakaran kasarnya pada kertas A4 tersebut. Rasa hendak memaki diri sendiri pula bila kenangan 'manis' itu kembali diputar semula.

"Haihh Kak Azi ni... Sesedap hati dia je suruh kita yang ambil alih projek kali ni. Dahlah client kali ni cerewet!" keluh rakannya lalu bersandar di kerusi meja makan kafe Starbucks itu. Dian tergelak kecil.

"Kerja Nana oi. Hadap jelah." katanya tanpa mengangkat wajah. Tangannya ligat bergerak menggaris sana sini kemudian dipadam sedikit apabila ada sedikit kecacatan pada lakarannya. Sesekali matanya melorot naik melihat komputer ribanya yang sedang memaparkan beberapa imej yang boleh menjadikan sebagai sumber pada plan yang dihasilkan.

Bekerja sebagai pereka landskap atau landskap tanaman tidaklah semudah mana yang disangkakan. Sehabis boleh pereka akan memberikan yang terbaik buat pelanggannya meskipun ada sesetengah daripadanya agak cerewet. Orang kata kalau hendak perniagaan kita maju dan berjaya, kepuasan pelanggan adalah salah satu perkara yang perlu dititikberatkan.

Jadi, hendak tak hendak, turutkanlah jua permintaan pelanggan supaya organisasi yang ditubuhkan oleh senior mereka itu akan semakin maju dan berkembang dengan jayanya.

"Nak juga ke letak fish pond, Dian? Tak ke rasa macam ruangan kat yard dia tu nanti jadi sempit?" tanya Raihana atau lebih mesra dipanggil Nana dengan nada sedikit bosan. Dian pasti, kawannya itu sudah mula berura-ura untuk berhenti memegang pensil dan menatap skrin komputer ribanya lagi. Dengan dugaan bau aroma kek dan segala kafein di dalam kafe ini, apa tak jadi malas orang tu.

"Hari tu aku ada tanya dia. Dia kata nak juga letak sebab nak seimbangkan. Tapi dia tak kisah nak buat kecil ke besar." jawab Dian lalu meletakkan pensilnya dan terus bersandar di kerusi melepaskan lelahnya.

"Kau confirm kan balik dengan dia. Ada aku letak kolam kecil pakej dengan berudu sekali dekat rumah dia karang." rungut Nana lalu menggapai minumannya dan disisip laju. Dian tersenyum herot dan menggelengkan kepala.

***

Pulang saja kerumah, dapat didengari oleh telinganya suara seperti kanak-kanak sedang terpekik, tertawa girang di dalam rumah. Salam diberi usai masuk ke dalam dan yakinlah dia bahawa anak-anak buahnya sedang seronok bermain di ruang tamu.

Pedulikan budak-budak tu. Biar mereka bermain sesama sendiri. Dia letih dan perlukan rehat secukupnya sebelum dikerah sebentar lagi bagi menyiapkan lukisan pelan yang tertangguh siang tadi. Kelibat sang ibu dicari. Terdengarlah dia akan suara seperti ibunya dan juga suara orang lain. Kakaknya mungkin.
Baru hendak mengorak langkah ke ruangan dapur, dirinya dipanggil oleh anak buahnya.

"Acik Ngah! Acik Ngah!" panggil anak buahnya yang paling sulung, Syukri, 7 tahun. Dian berhenti melangkah dan terus menoleh. Sebaik saja dia menoleh, tidak disangkakan yang anak buahnya itu mencampakkan sesuatu sehingga membuatkan dirinya terjerit terperanjat dan jatuh terduduk ke lantai.

"Warghh Ular! Ular!" teriaknya sambil menutup mata dan mengesot ke belakang dengan panik sekali. Anak-anak buahnya yang lain pakat mentertawakan dirinya sehingga membuatkan dia berhenti menjerit dan tersentak.

"Argh!" dia terjerit sedikit kuat apabila buka beg saja, penuh pelbagai mainan haiwan reptilia seperti ular, katak, lipas dan beberapa lagi mainan serangga bahaya penuh di dalam begnya.

Dalam masih menekup wajah tanda takut, tertangkap suara-suara sedang mentertawakan dirinya dari arah belakang. Perlahan-lahan dia menurunkan tangan dan menoleh ke belakang. Terlihat disitu tiga orang pelajar lelaki sedang berdiri di muka pintu belakang kelasnya dan galak ketawa.

Dia terketap bibir. Lebih-lebih lagi matanya tertancap pada seseorang yang sedang tersenyum sinis dan mengenyitkan mata ke arahnya. Buat sekian kalinya, dia terkena dengan lelaki itu.

"Bawa balik main dengan adik-adik tau, Darling. Bye." katanya dengan nada meleret dan terus mengajak dua orang rakannya lagi untuk beredar dari situ. Dia tertunduk sendiri dan melihat semula isi di dalam begnya. Tak guna. Bagaimana hendak dia membuang ular mainan itu sedangkan menjenguk ke dalam sedikit pun dia tidak berani.

"Syukri! Kenapa kenakan Acik Ngah?!"

Suara memetir itu menyentakkan Dian dari lamunanya. Sekali lagi, salah satu 'kenangan' itu bermain semula di fikirannya. Terkebil-kebil matanya apabila sedar kehadiran ibu dan kakaknya di ruangan tengah itu.

"Nakal ye cucu Nenek ni kenakan Acik Ngah dia? Nenek buang ular mainan dia tu baru tau!" ugut ibunya, Puan Khairiah pada cucu sulungnya itu. Cucunya itu awal-awal sudah terpekik terlolong dek telinganya dipiat oleh ibunya. Anak keduanya yang baru berdiri itu ditoleh.

"Ngah, baru balik?" sapanya. Dian menoleh dan mengangguk. Segera dia menyalam tangan berkedut itu menunjuk tanda hormat kepada ibunya. Matanya meliar mencari sang bapa pula yang dari tadi tidak kelihatan.

"Ayah ada dinner dengan kawan tempat kerja lama dia. Dekat pukul 7 tadi dia dah gerak dah." kata Puan Khairiah. Dian terangguk-angguk faham dan matanya mengerling semula pada anak buahnya. Mainan ular yang masih terletak di atas lantai diambil namun dipegang ekornya saja.

"Sebelum aku bakar mainan kau ni, kau simpan elok-elok. Kau terkejutkan Acik Ngah lagi tahulah nasib kau." katanya dengan giginya terketap menahan amarah dan mencampak terus mainan tersebut.

Tanpa memperdulikan pandangan ibu dan kakaknya, dia terus membawa langkah naik ke atas menuju ke bilik tidurnya. Beralih kembali situasi di bawah, kakaknya, Dayana Antasya terus menoleh melihat anak lelakinya.

"Ayok... Acik Ngah marah... tak tahu... Mama tak nak tolong..." sakatnya sambil menggoyang-goyangkan jarinya di hadapan anaknya namun tidak lama apabila lengannya ditepuk oleh Puan Khairiah. Tak padan dah jadi mak orang, menyakat dengan anak pun boleh.

Dian menghempas tubuhnya di atas katil sebaik saja masuk ke dalam bilik. Keluhan panjang dan kuat dilepaskan. Lengan kanannya dibawa naik melekap di dahinya. Keningnya berkerut sedikit.

Dia tidak faham. Selama 8 tahun dia menghilangkan pandangannya dari lelaki itu, baru hari ini dia terkenang semula akan memori-memori di zaman sekolahnya. Kenapa? Adakah ianya terkenang saja atau ada maksud disebaliknya?

50-50 sebagai kata putus. Boleh jadi ianya sekadar tiba-tiba teringat akan masa lalu dan boleh jadi ada petanda-petanda lain. Dia berharap itu adalah sekadar terkenangkan saja. Kerana kenangan yang kembali diputarkan itu adalah antara kenangan yang tidak mahu diingatinya sampai bila-bila.

Sedang leka dia termenung sehingga hampir terlelap, bunyi notifikasi yang masuk ke dalam telefon pintarnya mengejutkan dirinya. Telefon pintarnya digapai malas lalu dibuka. Terdapat dua mesej yang tertera di lockscreen nya.

'Dian, dah ada jawapan? Sebab akak nak kata putus Dian dalam minggu ni juga.' - Kak Azi

'Sebab dia kata minggu depan bos dia dah balik Malaysia. So dia nak keputusan Dian secepat mungkin.' - Kak Azi

Sekali lagi dia melepaskan keluhan. Telefonnya ditutup semula tanpa ada rasa hendak membalas mesej tersebut. Nanti-nanti sajalah dia balas. Dia terus bangkit dari pembaringan untuk membersihkan diri dan menunaikan ibadah.

Bersambung...

• [nota kaki] Untuk bab awal-awal novel ini byk imbas semula memori heroin. Harap kesemuanya faham jika ada sesetengah scene menunjukkan situasi berada di zaman persekolahan hero dan heroin.

hi assalamualaikum. jumpa lgi kita ya? ok cam korg tau, zen dh msuk institut so zen harap sgt2 dkt korg bersabar utk novel kalini sbb zen x janji akn update cpt mcm selalu. hrp ade yg sabar and fhmlah ya? so bacalah bab 1 ni dulu. klau kurg ke apa ke bgitau, nk kritik pun xpe ehekkk

Share this novel

Noriah Hj Liasnih
2021-07-25 22:57:31 

tq update...

Ainnan
2021-06-18 18:53:51 

bila nk update tk sabar ni

Noriah Liasnih
2021-04-08 22:19:00 

bila mau sambung ceta ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience