Bab 23
“Datuk Omar…” bisik Leo hampir tidak terdengar.
“Sebenarnya Datuk Omar tu bukanlah ayah kandung Irfan. Aku dengar sebenarnya dia adalah bapa saudara Irfan. Tapi Datuk tu dah anggap Irfan seperti anaknya sendiri. Jadi semua orang menyebut dia sebagai anak Datuk Omar.”
Leo mengangguk.
“Datuk Omar sendiri tidak ada anak?”
Amalina menggeleng. Memang dia tahu sejarah hidup Datuk Omar dan keluarganya. Sebagai wartawan, memang dia banyak menyimpan maklumat tentang lelaki yang berjaya dan berkarisma itu. Beberapa kali cerita Datuk Omar pernah menjadi cover story di majalah yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan tempat dia bekerja. Malah Amalina sendiri pernah mewawancara lelaki itu beberapa kali.
Memang lelaki itu terkenal. Sayangnya lelaki yang baik, berjaya dan berkarisma seperti Datuk Omar menyimpan satu kisah tragis.
“Anak lelakinya hilang di hutan sepuluh tahun lalu,” cerita Amalina.
“Dia dipercayai mati...” Amalina menyudahkan ceritanya dengan ringkas lalu terus bangun meninggalkan Leo.
Bekalan makanan masih banyak. Amalina mengambil keputusan untuk menyedekahkan makanan tersebut kepada orang-orang kampung, termasuk nenek Leo. Dalam perjalanan pulang, Amalina singgah di perkampungan orang asli itu.
Pilar tersenyum melihat Leo kembali ke kampung. Namun dia enggan melempar senyum pada Amalina. Leo memperkenalkan Amalina pada neneknya. Kemudian dia bergerak menghala ke tebing sungai tidak jauh dari rumah.
“Aku nak ke sungai,” kata Leo apabila Amalina bertanya.
“Okey, aku ikut.”
Amalina sambil mengikut Leo yang sudah bergerak menghala ke anak sungai tidak jauh dari rumah Mak Upeh.
“Di sini sungainya dalam sikit. Ada banyak batu-batu besar,” kata Amalina sambil memerhati sekeliling. “Sungainya juga lebih lebar dari Sungai Berakit.”
“Memanglah. Sungai ini datang dari Gunung Ais,” jawab Leo sambil menunjuk ke satu arah.
“Ya. Aku mendapat satu pengalaman yang menarik di situ,” ujar Amalina.
“Pengalaman yang takkan aku lupakan selamanya.”
Leo mengangguk.
“Aku juga, ada pengalaman pahit dan manis di situ,” katanya bagaikan teringat sesuatu, tetapi dengan cepat pula ianya lenyap begitu saja.
“Auchhh…” Amalina tergelincir, tanpa sedar dia telah berpijak di atas batu yang licin kerana keasyikannya memerhati Gunung Ais.
Dengan pantas dia berpaut pada pinggang Leo. Leo juga spontan menyambar tubuhnya agar tidak jauh terjerembab di atas batu. Dadanya berdebar kala tubuhnya bersatu dengan tubuh Leo yang tegap dan sasa itu. Betapa tegap dan kerasnya tubuh itu kala dia memautnya dengan kukuh, agar Amalina tidak terjatuh lantas tercedera.
“Sorry!” seru Amalina dengan cepat.
Namun Leo belum mahu melepaskannya. Wajah mereka begitu dekat, saling bertemu dan merenung ke dalam mata masing-masing.
“Mata kau… sangat menarik, mempesonakan hati aku, Amalina,” bisik Leo.
Suara Amalina tersekat di kerongkong. Lidahnya kelu buat beberapa ketika. Dia bagaikan menanti Leo melakukan sesuatu ke atas dirinya. Dia bagaikan terkena sengatan elektrik beribu-ribu watt, yang membuat dia kaku dan menyerah sahaja.
Bibir Leo hampir-hampir menyentuh bibirnya yang separuh terbuka, namun aksi itu terhenti. Lelaki itu cepat-cepat tersedar dari godaan yang menghantuinya. Dia melepaskan Amalina lantas berkata dengan cepat, “Maaf… Aku tak sepatutnya cakap macam tu dengan kau! Aku patut sedar siapa aku.”
Amalina pun seperti tersedar dari mimpi, dia menjauhkan dirinya dari Leo.
“Aku hampir-hampir jatuh tergelincir tadi… Terima kasih kerana kau dah menyelamatkan aku dari jatuh ke atas batu,” kata Amalina dengan cepat, cuba mengelak supaya Leo dapat mengurangi rasa bersalah yang tumbuh dalam hatinya.
Leo menyandarkan tubuh di salah satu batang pokok yang besar. Telinganya menangkap bunyi Pajero Amalina yang bergerak pergi. Bunyi kenderaan itu semakin sayup lantas hilang dari pendengarannya. Mama kau sudah pergi… kata Leo pada Hitam yang setia di sisinya. Dia tidak akan datang jumpa kita lagi… selama-lamanya! Hitam berbunyi… bising sekali. Ia seolah-olah faham apa yang dikatakan oleh Leo.
Air mata Leo menitis laju. Perpisahan terjadi jua. Perpisahan ini membuat hatinya kosong. Harapan dan impiannya hancur. Hidupnya terasa tidak bererti. Amalina tiada lagi untuk dipandang dan direnung meskipun dari jauh. Dia sudah kehilangan Amalina.
Bahu Leo bergerak-gerak. Dia menangis. Tidak pernah dia menangis seperti hari ini. Dia fikir, dia sudah lupa bagaimana hendak menangis dan merintih. Pun hari ini, hatinya terlalu pedih dan airmatanya jadi begitu murah.
“Kenapa kau balik ke sini? Aku fikir, kau dah ikut perempuan tu ke bandar,” sergah Perus sebaik sahaja dia melihat Leo yang melangkah longlai menghala ke rumah Mak Upeh.
“Kenapa pulak aku nak ikut dia? Tempat aku di sini.”
“Di sini bukan tempat kau, Leo! Kau boleh berambus dari sini bila-bila masa. Aku, keluarga aku takkan maafkan kau sebab kau menolak untuk menikahi Pilar. Sepatutnya kau dah nikah dengan Pilar.”
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang berlaku kepada Leo setelah Amalina pulang ke bandar?
Share this novel