Bab 6

Young Adult Completed 7336

"Suhaila!" Nyaring satu suara memanggil gadis remaja itu.

Suhaila yang dipanggil namanya - dengan genggaman pada bahu Mawar yang masih belum dilepaskan - menelengkan kepalanya sedikit ke kiri. Automatik matanya dijulingkan tanda geram.

"Jom balik! Ibu dah habis mesyuarat." Tegas suara cikgu Haizi mengajak anak daranya itu pulang ke rumah. Melihatkan kelakuan anaknya itu saat ini menimbulkan kebimbangan.

"Yalah!" balas Suhaila dengan lantang seraya melepaskan bahu Mawar daripada genggaman terlebih kuatnya tadi.

Cikgu Haizi berlalu dari situ terlebih dahulu. Dia mula merasa serba-salah terhadap pelajar baru itu atas tingkah laku anaknya. Dia berazam akan memastikan pelajar baru itu baik-baik saja di bawah pengawasannya kelak.

Suhaila dan tiga rakannya yang masih tidak berganjak dari situ. Mereka kekal mengelilingi Mawar bagaikan sekumpulan dubuk yang mengelilingi mangsanya.

"Kau jangan ingat kau dah selamat," ujar Suhaila sinis sebelum dia berlalu pergi mengikut jejak ibunya. Dia melagakan bahunya kepada belakang bahu Mawar dengan kuat sekali sehingga terdorong ke depan Mawar jadinya.

Mengikuti langkah ketua mereka, tiga orang itu berlalu meninggalkan Mawar di situ dengan jelingan tajam. Derapan kaki mereka melangkah pergi bergema di dalam corong telinga Mawar.

Apabila dia sudah berasa lebih tenang, dia meneruskan niatnya tadi - hendak memulangkan sabun dan berus yang dipinjamnya daripada tukang pembersih sekolah.

Fikirannya mula berkecamuk.

Langkah yang diambil semuanya disertai beban mental. Mawar cuba menerima kemungkinan besar yang dia, tidak dapat tidak, perlu berterusan berhadapan kejadian seperti ini sepanjang tahun, sehinggalah habis SPM nanti.

Dia tahu, tiada gunanya menentang sekumpulan pembuli seperti itu secara bersendirian. Dia perlu lebih licik, cerdik dan sabar menangani kegiatan membuli mereka pada masa hadapan nanti kiranya dia tidak mahu terus diganggu seperti ini.

Setelah selesai memulangkan barang-barang tadi, Mawar mengambil begnya di dalam kelas lalu melangkah keluar ke arah pagar sekolah - tempat dia menunggu Mak Ngah semalam.

Awal pagi tadi sudah Mak Ngah maklumkan bahawa hari ini dia akan menjemput Mawar lewat sedikit daripada semalam kerana ada hal penting yang perlu diuruskan.

Mawar tidak kisah.

Saat bersendirian ini akan dia gunakan untuk merangka strategi untuk mempertahankan dirinya sendiri.

Mawar bukan pengalah.

Mawar bukan pecundang.

***

Sampainya dua beranak itu di pekarangan rumah, Suhana masih memerhati gelagat Mawar yang tak ubah bagaikan mawar yang sedang layu tatkala anak saudaranya itu melangkah keluar daripada perut kereta.

Rasa bimbangnya menjerut.

"Mawar, kamu okey? Mak Ngah tengok layu semacam je berjalan nak masuk rumah. Biasa orang seronok balik rumah lepas habis sekolah. Lain pula kamu ni." Suhana geli hati sendiri.

Asalnya tadi, dia hanya ingin bertanya soalan ringkas. Namun, naluri keibuannya membuatkan soalan ringkas itu bertukar menjadi bebelan jua pada akhirnya.

'Macam nilah tertekannya arwah mak nak mengajar aku dengan kak Rohana dulu agaknya...' rerdetik hati Suhana rawak. Rasa geli hati berselang hiba mencengkam apabila teringatkan arwah kakaknya itu.

"Tak ada apa-apalah, Mak Ngah. Mawar okey," nadanya Mawar cuba ceriakan agar kekusutan mindanya tidak dikesani oleh wanita bujang berusia awal 40-an itu.

"Okey. Untuk kali ni saja, Mak Ngah percaya," balas Suhana penuh curiga. Matanya mencerlung ke arah Mawar, namun dia tidak akan memaksa anak saudaranya itu untuk bercerita.

Dia yakin, bila Mawar sendiri mahu bercerita, gadis remaja itu pasti akan datang kepadanya dengan rela hati. Dan pada saat itu, dia akan mendengar dengan sepenuh perhatian dan menghulurkan sokongan.

"Ni dah nak pukul 4:00 ni. Kamu dah solat Zohor tak?" soal Suhana sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam. Langkah keduanya terhenti seketika.

"Lagi sepuluh minit je tinggal. Tak sempat ni nak solat zohor." Mawar cuba berhelah.

Suhana yang mendengar jawapan cerdik anak saudaranya itu langsung tidak termakan helahnya. "Tak ada maknanya. Pergi solat cepat. Mawar kata hari tu nak berubah jadi anak solehah, kan?" soal Suhana tegas.

Mawar menjuih sedikit.

Nyata helahnya hendak memerangkap Mak Ngah dengan rasa bersalah tadi tidak menjadi. Dengan hati yang berat, perintah tegas Mak Ngah itu dia turuti jua.

Dia segera melangkah masuk ke dalam bilik seraya menukar baju. Tatkala dia mula melangkah ke bilik air di sebelah dapur untuk mengambil wuduk, diperhatikannya Suhana yang sedang hendak mula memasak.

"Nak tolong apa-apa tak, Mak Ngah?" tanya Mawar prihatin.

"Pergi solat dulu. Nanti baru tolong." Suhana berjaya mengesan taktik berdalih yang Mawar gunakan untuk mengelak daripada mendirikan solat.

Mawar tersenyum serba salah kerana taktiknya dapat dikesan oleh Mak Ngah. Bagaikan lipas kudung, dia meluru masuk ke bilik air.

Usai dia mengambil wuduk dan hendak kembali ke biliknya, dia ditegur Suhana sejenak. "Nanti lepas solat. Doakan arwah mak ayah, doakan Mak Ngah, dan mengadu dekat Allah tentang masalah yang Mawar hadap dekat sekolah," pesan Suhana ikhlas.

Mawar tertunduk. Dia benar-benar tersentuh dengan kata-kata Mak Ngah itu. Meski dia tidak mengerti apa yang dia dapat dengan mengadu kepada Allah, dia mengangguk mengiakan pesanan ibu saudaranya itu.

Terima kasih setinggi bangunan KLCC kerana korang sudi luangkan masa membaca cerita ni. Nantikan kemas kini seterusnya. (⁠っ⁠.⁠❛⁠ ⁠ᴗ⁠ ⁠❛⁠.⁠)⁠っ

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience