BAB 5

Family Completed 10579

Hmm…. aku mengeluh panjang. Hanya mampu menggeleng kepala mendengar luahan Fasha. Niat di hati mahu marah Fasha kerana suka memperkotak-katikkan kebaikan aku. Alih-alih….. aku pula yang rasa kasihan dengan Fasha. Sikap mudah kasihan yang tersemat di dalam diri aku memang sukar untuk dihakis.

Tanpa sengaja aku terlihat sekeping kad yang terkeluar sedikit dari dalam fail milik Fasha. Serta merta lirikan mataku menjadi tajam. Aku memang kenal dengan jenis kad sebegitu. Dengan wajah yang penuh dengan persoalan, aku memandang Fasha. Keningku hampir bertaut. Tergamam Fasha melihat reaksiku.

“Kau…. kau berhubung lagi dengan dia ya??” satu pertanyaan padu berbaur amaran aku tujukan khas buat Fasha sahabatku tersayang. Fasha menekup mulutnya sendiri sambil memasukkan bucu kad yang terkeluar ke dalam fail.

“Sorry…… dia yang bagi kad ni. Aku ambil je. Kau tau tak dilah, kalau aku kata aku tak ada duit kan, nanti dia bank in kan duit ke dalam akaun aku,” tanpa rasa bersalah juga Fasha menuturkan kata-kata itu.

Darah aku kembali berderau. Elok tadi aku merasa kasihan dengan Fasha, sekarang perasaan marah kembali bertandang dek sikap Fasha yang selalu buat aku pening kepala. Masalah Fasha yang utama, dia suka melayan lelaki lain.

Paling tepat sekali suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain untuk kepentingan dirinya… termasuk mengambil kesempatan ke atasku. Sudah berbuih mulut aku menegurnya. Tapi sekejap sahaja Fasha sedar, lepas itu, buat lagi perangai lama. Alahai Fasha….. apalah nak jadi dengan kau ni.

Aku tahu kad itu diterima daripada Dr. Mazlan. Pensyarah di fakulti kami. Dr. Mazlan memang kaya raya. Kebetulan Dr. Mazlan tertarik hati dengan pelajarnya sendiri….. siapa lagi kalau bukan dengan Fasha yang cantik jelita. Fasha yang suka mengambil kesempatan pun melayan sahaja. Keputusan exam selalu A. Assignment A. Sukalah Fasha.

Fasha lupa diri. Dia lupa akan status dirinya. Dia lupa tunang dan keluarganya. Yang menjadi mangsanya aku. Aku yang terpaksa memendam segala rahsianya. Bodohkah aku??

“Fasha, dah berapa kali aku pesan kat kau. Jangan layan Dr. Mazlan tu. Dia pun bukannya bujang lagi. Dah tua pun. Empat puluh lebih dah umur dia. Anak dah berderet. Nanti kalau isteri dia dapat tau… habislah kau. Tunang kau lagi tu….. apa yang kau nak sebenarnya ni Fasha?” aku betul-betul tidak faham dengan perangai Fasha. Sejak akhir-akhir ini sikap liarnya semakin menjadi-jadi.

“Isteri dia dah call aku hari tu. Tanya apa hubungan aku dengan suami dia. Aku cakaplah tak ada apa-apa. Cuma hubungan student dengan lecturer. Aku dah cakap kat Dr. Mazlan, jangan tulis perkataan sayang la honey la dalam SMS dia,” bongkar Fasha. Juga dengan selambanya. Pening aku. Fasha yang buat hal aku pula yang pening.

“Kau jangan sampai Ikram call aku lagi kata aku tak pandai jaga kawan pulak. Tak pasal-pasal kena marah free,” satu lagi amaran aku berikan buat Fasha.

“Iya…. aku tak contact Dr. Mazlan lagi. Lepas ni aku akan senyap je. Kau jangan risaulah. Aku tau apa aku buat. Ok?” Pujuk Fasha.

Tajam aku memandang wajah Fasha. Ingin membayangkan yang aku benar-benar serius tidak mahu dia mengulangi kesilapan. Tapi hampeh….. aku tahu dia tidak akan berhenti. Aku faham sangat dengan sikapnya.

Fasha ini ada satu kebolehan. Dia cukup pandai berpura-pura…. cukup pandai memancing simpati orang lain. Kalau jadi pelakon memang boleh menang anugerah pelakon wanita terbaik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience