"Mak ada rasa sesuatu yang pelik tak tentang Saraa?" tanya Adam secara tiba-tiba kepada Mak Minah.
"Pelik? Maksud kamu?" soalan berbalas dengan soalan.
"Entahla. Adam rasa macam Saraa tu ada agenda tersendiri. Kalau tak, takkanlah dia tiba-tiba je memunculkan diri semula, kan?" Adam meluahkan rasa kecurigaannya.
"Ish kamu ni Adam. Kenapa fikir yang bukan-bukan ni? Kalau dia dengar macam mana? Suka hati diala nak balik sini, inikan kampung dia," marah Mak Minah.
"Adam bukan nak fikir bukan-bukan, tapi hati Adam ni kuat mengatakan yang ada sesuatu yang tak kena dengan dia,"
"Tak kena macam mana, Adam?" sampuk Saraa yang sedari tadi mendengar perbualan mereka.
Mak Minah dan Adam terkejut melihatnya mendekati mereka di meja dapur.
"Eh Saraa. Bukan Mak Minah dah suruh Saraa berehat dalam bilik Adam ke tadi?" Mak Minah cuba untuk mengubah topik perbualan.
"Saraa takde rasa penat pun jadi Saraa guna bilik tu untuk tukar pakaian je tadi. By the way, terima kasih ya kerana sudi tumpangkan Saraa untuk tidur di sini malam ni," Saraa tersenyum.
"Pak Mail kat mana? Saraa takde pun tengok dia dari tadi," tanyanya.
"Pak Mail kamu tu biasalah. Sibuk sangat dengan reban ayam dan kandang kambing dia tu. Petang nanti baru ada batang hidung dia kat rumah ni," jawab Mak Minah.
"Kau kenapa tengok aku macam tu?" Saraa memandang Adam yang masih lagi terkejut dengan soalannya awal tadi.
"Ta...takde apa-apa," jawabnya tergagap-gagap.
"Kau cakaplah kat aku apa yang tak kena dengan aku. Tak baik tau kau mengata aku dari belakang. Lebih baik kau bagitahu depan-depan,"
"A..aku tak tahu nak describe macam mana tapi aku rasa macam kau ada agenda tersendiri," Adam memberanikan dirinya untuk memberitahu perkara tersebut kepada Saraa.
Mak Minah hanya mendengar sahaja perbualan mereka tanpa menyampuk apa-apa.
"Ha kan bagus berterus terang macam tu,"
"Maafkan aku sebab fikir yang bukan-bukan terhadap kau. Kau baru aje balik tapi aku dah nak syak macam-macam,"
"Eh tak payah mintak maaflah. Betullah sangkaan kau tu. Selain daripada aku nak membalas jasa-jasa baik Maklang, Maksu dan Paksu, aku ada lagi satu sebab lain," ujar Saraa selamba.
"Sebab lain? Sebab apa?" Adam mengerutkan dahinya. Mak Minah pula memandang wajah Saraa dengan pelbagai soalan di mindanya.
"Aku nak diorang sedar akan kesilapan diorang," wajah Saraa berubah menjadi serius. Matanya terpancar sinar kemarahan.
"Kesilapan apa, Saraa? Mak Minah kurang faham lah. Kalau Saraa nak balas jasa baik mereka, jadi apa kesalahan yang mereka dah buat kat Saraa?" Mak Minah mula menyuarakan ketidakfahamannya.
"Takpe kalau Mak Minah tak faham. Saraa tak perlukan sesiapa untuk faham pun. Biar Saraa yang uruskan hal ni sendiri,"
"Kau jangan buat benda gila, Saraa," pesan Adam seakan-akan dapat mentafsir makna tersirat di sebalik kata-kata Saraa.
Saraa tersenyum sinis mendengarnya.
"Kau jangan risau. Mereka tu kan keluarga aku, takkanlah aku sanggup nak buat benda-benda yang tak baik kat diorang,"
'Aku nak diorang rasa apa yang aku pernah rasa je' bisiknya dalam hati.
"Baguslah kalau macam tu," Adam menghembus nafas lega.
"Tapi aku perlukan pertolongan kau sikit, boleh?"
"Tolong apa?"
"Aku nak kau pergi kat sana dan bagitahu kat diorang yang aku nak pindah masuk dalam rumah tu balik,"
"Oh boleh je. Lepas asar nanti aku pergi sana, ya," Adam mengenyitkan matanya kepada Saraa.
"Eee kenapa kau kenyit mata kat aku? Mak Minah tengok anak bujang Mak Minah ni," adu Saraa kepada Mak Minah sambil tertawa.
"Dia nak memikat kamu tu, Saraa," sakat Mak Minah.
Hilai tawa mereka bertiga memeriahkan suasana dapur yang sunyi.
...
"Assalamualaikum," ucap Adam di beranda rumah pusaka milik keluarga ayah Saraa.
"Waalaikumsalam," Sufrina membuka pintu.
"Eh kenapa abang Adam datang ni?"
"Ayah Suf ada tak?"
"Ada,"
"Boleh panggilkan untuk abang?"
"Boleh. Sekejap ya,"
Sufrina terus masuk ke dalam untuk memanggil ayahnya.
"Ye Adam? Ada apa panggil pak cik ni?" tanya Paksu mendekati Adam.
"Pak cik, saya nak bagitahu sesuatu ni," ujar Adam tenang.
"Saraa dah balik. Dia suruh saya pergi sini untuk bagitahu kat pak cik sekeluarga bahawa esok dia akan pindah masuk kat sini semula,"
Wajah Paksu segera merona merah. Dia teringat akan peristiwa Saraa yang telah menjatuhkan air mukanya depan keluarga ketua kampung kampung sebelah dengan melarikan diri dari rumah kerana tidak mahu dirisik.
"Buat apa dia nak balik sini?! Nak buat masalah baru lagi??! Tak, aku tak izinkan dia balik sini lagi!" nada suaranya meninggi.
"Abang, kenapa bising-bising ni?" tegur Maksu mendekati suaminya.
"Kenapa ni, Adam?" dia memandang wajah Adam memohon penjelasan.
"Saraa nak tinggal kat sini semula," jawab Adam ringkas.
"Sa..Saraa dah balik?" Maksu terkejut mendengarnya.
Adam hanya mengangguk.
"Bila dia nak balik sini semula? Biar mak cik kemaskan bilik untuk dia," Maksu tersenyum kegembiraan.
"Ah! Aku tak izinkan dia balik sini!" tengking Paksu.
Senyuman manis Maksu pudar dibuatnya.
"Kat mana dia sekarang ni?!"
"Kat rumah saya," jawab Adam.
"Bawak aku pergi rumah kau sekarang ni. Aku nak jumpa dia," arah Paksu.
Adam teragak-agak hendak membawa Paksu untuk berjumpa dengan Saraa. Dia takut akan berlakunya kekecohan.
"Buat apa kau tercegat kat sini lagi?! Jomlah!" marah Paksu.
"Abang, tak payahlah berkelakuan macam ni. Biar je lah Saraa duduk dengan kita," Maksu memegang lengan suaminya itu untuk melarangnya daripada menimbulkan sebarang kekecohan.
"Ah, kau diam!" Paksu menepis pegangan tangan Maksu.
"Jom Adam,"
"Aaaa ba..baiklah,"
...
"SARAA! SARAA! KELUAR KAU!" jerit Paksu di hadapan rumah Adam.
"Eh Arman, buat apa kau terpekik-pekik kat depan rumah aku ni?" tegur Pak Mail yang keluar dari rumahnya kerana mendengar jeritan Paksu. Mak Minah juga keluar untuk melihat apa yang terjadi.
Jeritan Paksu itu juga telah menarik perhatian jiran tetangga yang lain.
"SARAA MANA SARAA?!! SURUH DIA KELUAR SEKARANG JUGAK,"
Saraa yang tertidur di bilik Adam terbangun apabila mendengar ada seseorang menjerit dengan menyebut namanya. Dia terus menjenguk keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dia agak terkejut apabila melihat rupa-rupanya Paksu yang terjerit-jerit di hadapan rumah Adam sambil memanggil namanya, namun tidak lama kemudian dia mula tersenyum sinis kerana telah mendapat idea untuk memalukan bapa saudaranya itu.
"Hai Paksu! Kenapa Paksu terpekik-pekik kat depan rumah Adam ni? Paksu nak jemput Saraa ke? Tapi kan Saraa kata Saraa nak balik esok," ujar Saraa keriangan untuk menyakitkan lagi hati Paksu.
"Hey, Saraa! Kau dengar sini, AKU TAK IZINKAN KAU UNTUK DUDUK DENGAN KAMI SEKELUARGA LAGI! FAHAM?!"
Senyuman Saraa semakin lebar mendengar kata-kata Paksu.
"Kenapa Paksu tak izinkan pulak? Saraa ada mintak keizinan Paksu ke? Takde kan? Saraa suruh Adam bagitahu je. Lagipun Paksu takde hak nak halang Saraa sebab rumah tu rumah pusaka keluarga arwah ayah. Semua ahli keluarga arwah ayah ada hak untuk duduk kat rumah tu. Paksu ni orang luar je sebab Paksu takde sebarang pertalian darah pun dengan ayah Saraa. Faham?" jelas Saraa tenang dengan senyuman.
"Betul tu, Arman," sokong Mak Minah.
Paksu mengetap gigi mendengarnya. Dia tidak dapat menafikan kebenaran kata-kata Saraa itu.
"Macam nilah, daripada Paksu memalukan diri Paksu sendiri di hadapan semua jiran tetangga kat sini, lebih baik Paksu balik dan bagitahu kat Maksu supaya kemas bilik arwah ibu dan ayah Saraa. Saraa nak bilik tu tau, bukan bilik lain," ujar Saraa sinis.
Paksu melihat kawasan di sekelilingnya. Dia mula tunduk menahan malu kerana terdapat beberapa penduduk kampung yang memerhatikan tingkah lakunya sedari tadi.
"Adam, hantar pak cik balik. Sekarang!" arahnya kepada Adam.
Saraa tersenyum puas melihat wajah Paksu yang merah menahan malu.
'Permulaan yang bagus, Saraa!'
...
"Abang, macam mana tadi?" tanya Maksu sejurus Paksu duduk di ruang tamu.
"Kau kemaskan bilik arwah Along. Anak buah kesayangan kau tu nak bilik tu,"
"A..abang izinkan dia duduk dengan kita?" Maksu mula menguntum senyum.
"Kalau aku tak izinkan pun, dia tetap akan duduk dengan kita. Inikan rumah pusaka kau sekeluarga, aku ni orang luar je. Aku takde hak atas rumah ni," kata-kata Saraa masih terngiang-ngiang di telinganya.
"Apa maksud abang?" Maksu hairan mendengar kata-kata suaminya.
"Takde apalah! Kau kemaskan je bilik tu untuk dia!" marah Paksu.
"Hmm baiklah,"
Share this novel