BAB 5

Family Completed 7198

MATA bundar Adra memandang sekeliling. Kini, suasana dah berubah. Tapi, airmatanya tetap tak mahu kering. Semasa berada di rumah Kax, layanan mama baik walaupun terasa dinginnya. Jika dia tak tunduk pada nafsu, tidak dia di sini menyusahkan orang. Bila terdengar mama mencadangkan pada Kax agar dia keluar daripada rumah itu, hatinya tersayat lagi. Andai keluarga sendiri campak dia merata, kenapa nak harapkan orang luar?

Tapi, mama tak kejam. Kerana mama dia dah kerja. Dia bahagia biarpun lelah dengan gaji tak seberapa. Malah kerap dibuli oleh pekerja lama. Tak apalah kalau ini permulaan hidup yang baik.

Adra tunduk memeluk lutut di bilik stor setelah penat mengerah tenaga membersih peralatan memasak. Saat menyentuh pipinya yang basah, airmata ini mengingatkannya pada kesukaran dia memujuk hati untuk keluar daripada rumah Kax.

Matanya memandang pintu yang terkatup rapat. Bagai terdengar ketukan mama tempoh hari. Lalu, wajah itu muncul tanpa riak.

“Boleh kita cakap?” Mata mama jatuh tepat pada anak mata bundar milik Adra. Anak mata baru lepas menangis. Adra cantik dan sopan tapi siapa sangka, gadis ini pernah terlanjur dan melahirkan anak. Sayangnya. Masa depan, pelajaran dan keluarga…

“Adra, aunty bukan nak halau Adra dari rumah ni tapi Adra pun mesti faham. Dalam rumah ni ada anak bujang dan Adra bukan muhrim untuk Kaxarudin. Apa-apa je boleh jadi. Bukan tak percaya tapi lebih baik aunty hati-hati,” luah mama tenang.

Adra dah berubah. Adra solat, menutup aurat dan ada masanya menangis sendiri. Tapi, syaitan itu tak pernah lelah menghasut. Boleh jadi anak dia yang tewas. Dia tak mahu tu.

“Adra…” seru mama bila Adra diam memandang lantai. “Aunty bukan tak suka kamu. Jangan salah faham. Aunty nampak kamu berubah dan betul kata Kaxarudin, kamu pernah silap tapi kitalah – keluarga dan masyarakat yang perlu bagi ruang dan peluang. Tapinya, Kax tu lelaki. Kita tak tahu apa yang terlintas dalam kepala dia biarpun dia anak aunty. Aunty tak nak…” Kata-kata mama terhenti. Dia ketap bibir. Berat nak luah apa yang ditelah.

“Aunty risau saya dan Kax terlanjur?” soal Adra separuh berbisik. Pedih nak katakan tapi dia perlu sebagai peringatan pada dirinya yang pernah silap.

Mama tertunduk. Tiada reaksi tapi itulah yang risaukan. Dia masih prejudis pada Adra biarpun anaknya, terlalu optimis. Manusia – sering tunduk pada nafsu.

“Aunty jangan risau.” Adra senyum memegang tangan mama. “Saya akan keluar. Saya dah cukup bertuah jumpa Kax dan aunty. Kax bawa saya keluar daripada jalan buntu. Dia selamatkan saya daripada jalan gelap. Saya tahu saya tak layak untuk terima kebaikan daripada Kax dan aunty. Aunty bagi makan pakai, tempat tinggal dah cukup baik. Saya syukur sangat, aunty… tak terbalas jasa aunty dan Kax…” Airmata Adra kembali mengalir, biarpun dalam senyuman. Sempit dadanya.

Agaknya, selamanya dia akan dihukum, dipandang serong. Tapi, dia tak mahu jatuh lagi. Kax dah bawa cahaya dan dia akan jaga kecerahan itu biarpun sukar. Dia akan berusaha. Wajah mama nampak serba salah. Tapi, demi kebaikan dia perlu bertegas.

“Nah…” Sekeping kad diletakkan atas tangan Adra. “…aunty dah carikan kamu kerja. Dekat restoran kawan aunty. Dia nak pakai orang. Kamu boleh kerja dekat sana dan tinggal di rumah yang disediakan. Buat masa ni, kerja je dulu. Jaga diri, jangan ulang apa yang dah pernah jadi. Yang penting, jangan tinggal solat dan teruslah berdoa. Sekali dah jadi tu, kesan selamanya,” pesan mama.

“Ya….” Adra angguk. Memang sekali cukuplah untuk selamanya. Dia pun tak ingin lagi dijadikan alat pelepas nafsu. Kesannya sangat mendalam. Hingga dibiarkan sebatang kara sebelum waktunya. Teringatkan bayi yang telah tiada. Mujur Allah bawa pergi di awal usia, jika tidak bagaimana kesannya, dia sendiri tak mampu fikirkan.

Hikmah semua tu. Jauh di sudut hati, kesepian dan kesedihannya mewujudkan rindu yang menggebu pada lelaki itu.

Biarpun berat hatinya hendak meninggalkan tawa dan nasihat Kax yang sentiasa mendamaikan resah, dia harus pergi dan dia tahu, Allah sentiasa menemani jalannya.

Padan muka aku. Memang layak dilayan begini. Menjadi hamba. Bodohnya dia menyerahkan segala yang tak perlu pada jantan yang mencintai sekadar pada kata dalam usia yang muda. Dibuang daripada universiti, dihantar ke rumah perlindungan, kehilangan bayi dan keluarga juga kawan-kawan. Itu perkara lalu dan sekarang dia terus melangkah.

Saat dia jumpa Kax, dia yakin ada sinar kerana Kax sudi membantu tapi kata-kata mama benar. Dia perempuan yang rosak. Rosak segalanya. Dia pegang selendang yang dipakai. Dia berubah ke arah kebaikan tapi masyarakat malah keluarga sendiri payah nak terima perubahan. Kenapa mahu direnung pada titik hitam sedangkan dia sedang menghamparkan sebidang kain putih demi memulakan kehidupan baru?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience