BAB 1
HENING dan sepi menguasai padang kawad yang luas. Desiran angin bayu pantai berpusu-pusu datang menerpa wajah dan tubuh. Terasa damai menyapa jiwa namun ianya hanya sebentar cuma sebelum suasana yang hening itu disergah dengan suara yang melaung.
Seketika suasana menjadi riuh dengan bisikan-bisikan suara halus. Angin lembut yang menyentuh wajah membuat hati yang gusar disapa sedikit ketenangan. Best kalau healing di tepian pantai sambil melihat keindahan lautan yang menderu bunyi ombak. Deruan ombak adakala terdengar seperti alunan lagu yang membuai. Ada ketika deruan itu seperti menghempas, memukul pukulan ombak yang seperti sedang melepaskan kemarahan. Ombak dan pantai ibarat irama dan lagu. Sering bersama walau dihentam badai atau bayu lembut yang menyahut.
"Wira dan wirawati jalan tu cepat sikit. Terhegeh-hegeh macam tak makan nasi setahun. Jangan ingat ni macam dekat rumah! Saya tahu kamu semua terpaksa rela datang sini... tapi sekali lagi saya nak ingatkan kamu semua...bukan saya yang memilih kamu untuk datang ke sini. Ini adalah daripada pilihan menteri pertahanan kita. Sama ada kamu suka atau tidak...itu bukan masalah saya dan jurulatih. Kamu kena terima dengan hati terbuka dan saya juga berharap kamu semua boleh mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan di kem ni. Faham ke tidak apa yang saya cakap ni?!" Suara laungan KJ Naim yang bergema nyaring tanpa menggunakan microfon mematikan anganan Nufa.
Dahsyat tanpa guna pembesar suara pun. Suara itu boleh mencecah berkilo meter. Kalau gini lantunan suara. Segala hantu jembalang dalam hutan ni lari bertempiaran. Nufa tarik nafas dalam. Hari ini baru hari kedua dia berada di kem Summerset Resort. Nak hadap tiga bulan ke depan. Akhirnya Nufa hembus nafas pasrah. Tiga bulan bukan tiga hari, bukan tiga minggu. Oh masa cepatlah dikau bergerak. Hati Nufa mula memanjat sepotong doa.
"Skuad...skuad sedia. Senang diri." Jerit suara Syakila selaku ketua dorm wirawati kompeni Delta menerbangkan lagi lamunan Nufa. Apa ni Nufa. Sempat lagi eh kau berangan.
"Pukul dua tiga puluh minit petang. Semua wira dan wirawati diarahkan ke padang kawad. Dua tiga puluh minit kamu semua wajib ada kat sini. Siapa lambat. Bersedia kena denda!" Lagi suara deras KJ Naim menggegarkan lubang telinga. Tahi telinga pun boleh cair dengar suara kuat itu.
DORM 8 SERI ENDON...
Kelihatan wirawati sibuk membuat hal sendiri. Ada yang sedang kelam kabut menggosok baju celoreng biru, ada juga yang melenggang ala-ala miss world menuju ke bilik mandi yang disediakan di luar dorm.
"Nufa aku nak lelap jap tau. Pukul 2 nanti kejutkan aku."
Nufa angguk sekali sambil menghala kepalanya yang masih dibaluti tudung berwarna hitam ke arah Salsabila. Bibirnya menguntum senyuman nipis saat kenangan beberapa hari lalu menerjah ke benak. Salsabila yang pemurah dengan senyuman datang menyapa dan menghulur salam perkenalan. Dia yang lonely ketika itu terus menyambut salam perkenalan itu sambil berjabat tangan tanda memeterai satu ikatan persahabatan. Moga ikatan persahabatan yang baru terjalin ini berkekalan sampai bila-bila.
"Nufa Inshirah. Panggil Nufa je. Dari Kuantan. Awak?"
"Nama pendek Bella... Nama panjang Salsabila Suzaiman. Dari Besut Terengganu tapi saya cakap Kelantan walaupun IC saya 11. Nanti saya ajar awak cakap loghat Kelantan." Salsabila tersenyum.
Nufa yang ketika itu sedang memasukkan baju dan barangan ke dalam locker hanya senyum sekilas. Mahu terbelit lidahnya nanti nak cakap loghat Kelantan.
"Awak... Saya kan sebenarnya tak suka datang sini betullah apa yang KJ Naim tu cakap. Terpaksa rela. Siapa je suka... Baru dua hari dah kena tengking, kena marah... Awak nak tahu tak, masa mula-mula saya dapat tahu terpilih masuk PLKN ni. Seharian saya menangis. Melalak sampaikan mama saya ugut nak hantar balai polis. Lawak, kan?"
Nufa langsung tertawa kecil.
"Betul awak... saya tak suka hidup saya diatur. Sebab tu saya taknak duduk dekat asrama. Tapi last-last dapat masuk PLKN. Sadis betul." Sambung Salsabila lagi dengan senyuman manis.
"Weh Nufa. Apasal kau senyum-senyum ni?" Salsabila tepuk bahu Nufa. Tepukkan lembut itu menyedarkan Nufa dari lamunan singkat tadi.
"Kau cakap nak tidur."
"Tak jadilah. Aku baru ingat. Aku belum iron tudung. Jap eh aku nak iron tudung."
Salsabila duduk semula di katil sambil mencebikkan bibirnya. Nufa angkat wajahnya.
"Kenapa?" soal Nufa setelah melihat Salsabila kembali duduk di birai katil.
"Tengok tu. Bersusun-susun tengah tunggu turn nak iron baju. Ni yang aku tak suka. Kena menunggu. Leceh betul." Salsabila mengadu dengan cebikan nipis.
"Nah pinjamkan aku punya tudung."
"Takpa ke?" tanya Salsabila sambil menyambut tudung hitam daripada tangan Nufa.
"Kalau tak boleh aku tak bagi. Dah, jom kita bersiap. Kejap lagi nak ke padang kawad."
SEDAR tak sedar sudah masuk bulan ke tiga Nufa Inshirah menjalani latihan PLKN. Bererti lagi tiga minggu dia bakal melucutkan gelaran pelatih. Cepat sungguh masa bergerak. Terasa baru sahaja dia masuk ke kem ni dengan perasaan yang bercampur baur. Antara suka dan tak.
"Weh... Aku dengar minggu ni Komandan baru masuk." Suara Widya berbunyi di celahan mereka.
"Eh betul ke?"
"Betul... Kau tak dengar ke tadi Tuan Abdullah cakap minggu ni mungkin komandan baru masuk gantikan komandan lama."
Nufa hanya diam sambil mendengar coloteh Salsabila dan Widya bercerita. Dia malas mahu ambil peduli. Yang dia tahu dia tak sabar nak tamatkan latihan PLKN ni dengan jayanya.
"Harap-harap komandan baru kita tu nanti tak garang macam Tuan Abdullah." Lagi suara Widya berbunyi halus.
"Aku pun mengharapkan benda yang sama."
"Siapa nama komandan baru kita nanti?" Soal Salsabila didorong ingin tahu yang membuak.
"Aku dengar kj Naim cakap Tuan Ismail."
"Confirm misai lebat. Tebal hitam pekat. Dan perut mengandung 8 bulan."
Widya mengekeh sambil menolak bahu Salsabila. Lagaknya lucu sungguh dua makhluk itu mengata bakal komandan baru mereka. Kalau bab membawang bersemangat betul.
KAKI yang dibaluti kasut sukan dihayun selaju mungkin. Sambil tangan memegang perut yang terasa senak. Bibirnya turut beralun desis. Baru saja kakinya mahu melewati pagar dorm wirawati. Tak semena hujung kasutnya tersepak sesuatu. Yang pasti bukan batu.
Nufa tekur ke tanah. Wallet hitam dipandang sepi sebelum tubuhnya tunduk membongkok.
"Siapa punya ni?" Omel Nufa pada diri sendiri. Ketika itu hanya susuknya sahaja yang melewati kawasan itu. Itu pun atas dasar kecemasan. Masa riadah petang inilah perutnya buat hal.
Wallet hitam itu dibelek-belek sambil berfikir.
"Aku pegang dulu lah. Nanti lepas buang hajat ni aku bagi dekat jurulatih." Terus wallet itu dimasukkan kedalam poket seluar sukan hitamnya.
Selesai membuang hajat dalam sepuluh minit. Kaki Nufa mula terhayun ke pejabat kem. Untung saja dia tak perlu berjalan jauh. Pejabat itu berdekatan dorm wirawati.
Seusai memberi salam dan mengetuk pintu. Nufa langsung melangkah masuk setelah mendengar arahan dari dalam.
"Ada apa wirawati?" soal Tuan Abdullah sebaik nampak susuk Nufa berdiri di dalam ruangan pejabat.
"Tadi saya terjumpa dompet ni dekat pintu pagar dorm wirawati, tuan." Nufa berdiri tegak sambil menghulur wallet hitam itu kepada Tuan Abdullah.
"Awak ke dorm dalam waktu begini?"
"Saya sakit perut, tuan. Saya dah bagitahu Cikgu Yah untuk ke tandas wirawati."
"Awak dari dorm dan kompeni mana?"
"Dorm 8. Kompeni Delta tuan."
Tuan Abdullah mengangguk. Dompet hitam di tangan dibelek sekilas lalu.
"Nama awak siapa?"
"Nufa Inshirah, tuan."
Tuan Abdullah mengangguk-angguk.
"Okey awak boleh pergi."
"Terima kasih tuan." Nufa undur beberapa tapak ke belakang sebelum memusingkan tubuhnya membelakangi Tuan Abdullah.
"CHECK dulu. Kotlah budak tu ada terambil duit kau."
Ismail carik senyuman nipis sambil mengangguk.
"Complete."
"Yezza. Muka pun cun. Tak mungkin lah tangan panjang. Tak nak cuba nasib."
"Budak hingusan bro. Not my taste."
"Jangan cakap besar bro. Masa ni betullah hingusan, kolot, comot. Kau tunggu lima tahun mendatang. Confirm cantik habis."
"Tetap budak mentah bro. Bukan taste aku."
Tawa Tuan Abdullah meledak memenuhi ruang pejabat. Sahabatnya ini kalau tak sembang kencang. Memang bukan Ismail Al Haq lah.
"Anak aku dah masuk sekolah Is. Kau nak tunggu apa lagi?"
"Belum sampai seru."
"Seru pun kena cari. Tak boleh tunggu dia datang sendiri."
Ismail mendengar omelan sahabat baiknya itu sekadar saja. Malas dah nak ambil serius.
"Kepada wirawati Nufa Inshirah dari kompeni Delta sila ke pejabat sekarang. Ulang suara...kepada wirawati Nufa Inshirah dari kompeni Delta sila ke pejabat sekarang."
Nufa yang baru sahaja melabuhkan duduk nak bersembang. Tergamam serta merta ketika namanya bergema di pembesar suara.
"Nufa... kenapa weh Tuan Abdullah panggil kau ke pejabat?"
Bahu Nufa terjungkit sedikit. Dada sudah dipalu debaran keras. Berdenyut kencang rasa detak jantung.
Nufa seret kaki longlainya ke pejabat. Tanpa ditemani sesiapa. Dia membawa diri yang bergetar takut.
Pintu diketuk. Dan suara tegas Tuan Abdullah kedengaran dan mengarahkan supaya masuk.
"Nufa Inshirah."
"Saya tuan."
Debaran di dada Nufa semakin berantakkan ganas saat terlihat kelibat Tuan Ismail komandan baru kem Summerset Resort. Wajah yang kelihatan tegas, serius. Sedikit membuatkan jantung Nufa Inshirah berdetak dalam kadar yang sungguh laju.
"Awak yang jumpa dompet saya?" tutur yang lembut namun, terselit ketegasan yang tak mampu disangkal lagi.
"Saya tuan." Air liur ditelan lagi. Nufa semakin berdebar saat panahan mata yang sedikit tajam itu menusuk ke dalam anak matanya.
"Awak buka dompet saya?"
"Tak buka tuan. Selepas jumpa beg duit tu saya terus bawa ke pejabat."
"Boleh saya percaya kata-kata awak ni?"
Nufa balas tatapan terbersit sedikit tajam daripada lirikan mata Ismail dengan anggukkan.
"Betul awak tak selongkar wallet saya?"
"Betul tuan."
"Tak mungkin lah awak tak bukak langsung untuk tengok IC dekat dalam tu."
"Ya betul tuan. Saya tak buka. Saya tak ada niat langsung nak menyelongkar dompet kepunyaan tuan." Ekor mata Nufa mengerling Ismail.
"Kalau tak menyelongkar...macam mana duit saya boleh hilang? Awak menipu saya?"
Airmata Nufa mula bergenang di tubir mata. Nufa menggeleng berkali-kali. Menyakinkan tuduhan Ismail itu adalah tak benar sama sekali. Dia tak hamak pun nak mencuri duit. Dalam simpanan purse dua ratus ringgit tidak terusik. Sementara dalam diam Tuan Abdullah mengulum senyum.
"Gertak sikit-sikit dah la bro. Budak mentah tu." Bisik Tuan Abdullah ke telinga sahabatnya.
Ismail berdeham. "Awak tahu dalam wallet saya ni ada berapa jumlah duit?"
Lagi dan laju Nufa menggeleng. "Tak...tak tahu tuan."
"Dalam wallet saya ada dua ratus ringgit sekarang tinggal seratus lima puluh. Mana pergi lima puluh tu?"
"Sa...saya tak tahu. Sumpah saya tak ambil duit tuan."
"Awak yakin?"
"Yakin tuan." Nufa menahan empangan air mata dari pecah. Dadanya kala ini terasa begitu sesak. Sempit. 'Mama tolong Nufa. Nufa nak balik.'
Ismail seluk tangannya ke dalam poket seluar uniform. Sekeping wang RM50 dikeluarkan daripada saku tersebut.
"Hadiah untuk awak. Sebab awak jujur."
Nufa kemam bibirnya erat. Air matanya semakin laju berjuraian jatuh. Geram dipermainkan oleh Tuan Ismail.
"Dah la jangan nangis. Awak tak boleh cengeng. Saya gurau aje tadi. Nah ambik la. Ni hadiah daripada saya."
"Cakap hujan, panas, ribut petir tak takut. Takkan kena macam ni dah koyak. Mana semangat kental awak selama hampir tiga bulan awak jadi pelatih dekat sini?" ujar Tuan Abdullah tegas seperti hari pertama Nufa jejak ke kem ini.
Nufa tunduk. Setitis demi setitis air mata luruh menitik ke lantai. Duit yang terhulur ke arahnya tidak disambut. Hatinya pedih bercampur malu.
Wajah diangkat ketika tangannya dipegang Ismail. Not lima puluh itu diletak ke atas telapak tangan Nufa.
"Ini bayaran sebab awak jujur. Sebelum awak keluar dari pejabat ni. Lap air mata tu dulu. Nanti orang kata dan fikir lain pula." ujar Ismail perlahan namun terselit suara tegas.
"Te... terima kasih tuan." Duit digenggam. Geram. Sampai bila-bila dia tak akan maafkan Ismail Al Haq kerana menuduh dia mencuri.
Apa? Ingat aku tak ada rasa malu ke dituduh macam tu? Genggaman penumbuk digenggam kemas sepanjang kaki berhayun ke padang kawad.
Share this novel
best..dah hbs seksaan 3 bln hihihi