JUWITA banyak mendiamkan diri. Malah dia terpaksa meminta tempoh dari Tuan Mansur untuk menemukan mereka. Bukan kerana dia tidak bersedia tetapi bersediakan ibunya apabila berdepan dengan mereka nanti setelah apa yang dilalui oleh ibunya.
"Iissh... salam mana salam?" perli Junaida. Hampir saja dia menjerit apabila bertembung dengan Juwita yang baru pulang. Namun perlian Junaida tidak mendapat sebarang reaksi dari Juwita.
Juwita seakan berada dalam dunianya yang tersendiri. Badan di rumah tetapi fikiran dan jiwanya melayang entah ke mana.
Sudah lama Junaida tidak melihat Juwita begitu. Dia hanya akan jadi seperti itu apabila berdepan dengan masalah besar dan jiwanya tidak tenang.
Segera Junaida mendapatkan ibunya yang sibuk berkebun di belakang rumah.
"Ibu..." sapa Junaida lembut. Bimbang tegurannya memeranjatkan Zaitun yang sedang kusyuk menyediakan bahan-bahan untuk masak makan malam.
"Ye sayang... ada apa?" Zaitun dapat mengesan sesuatu dari cara Junaida memanggilnya.
"Bu... Ida rasa kak long ada masalah. Cuba ibu tanya. Ida tegur pun dia buat tak tahu je bu." Zaitun meletakkan pisau di atas meja seraya memandang tepat ke wajah Junaida.
"Biar Ida yang siapkan semua ni. Ibu pergilah. Tengok macam berat sangat masalah kak long tu." Zaitun akur. Dia segera melangkah menuju ke bilik Juwita.
Berkali-kali dia mengetuk namun tiada jawapan. Zaitun semakin gelisah. Diketuknya sekali lagi. Namun hampa. Tombol pintu dipulas perlahan. Tak berkunci. Dia berasa sedikit lega.
Kelihatan Juwita yang sedang termenung di tepi katil. Entah apa yang mengganggu fikiran anaknya itu sehinggakan langsung tidak menyedari kehadirannya.
"Ju..." Bahu Juwita disentuh lembut. Tersentak Juwita dibuatnya.
"Ibu... terperanjat Ju tau." Dia ketawa kecil demi menutup rasa gugup di hati. Dadanya diurut perlahan akibat terkejut.
"Lama ibu ketuk tapi Ju tak sahut pun. Ibu masuklah. Ida cakap Ju buat tak tahu je dengan dia. Ju ada masalah ke?" Zaitun menyoal lembut. Juwita menghela nafas berat.
"Ju okey, bu. Letih sikit je." Zaitun tersenyum. Dia seorang ibu. Dia tahu bila anaknya berbohong.
"Ju, tak baik menipu tau. Zai cakap Ju keluar lepas lunch sampai petang tak masuk office. Dia singgah sini tadi hantarkan barang Ju yang Ju kirim dari Nana." Juwita tepuk dahi. Hampir dia terlupa akan keberadaan Zailani.
Ish... kurita ni pun. Mulut tu main nak lepas cakap je. Tapi nak salahkan dia pun tak boleh. Juwita garu hujung kening kirinya seraya tersengih.
"Ju ada kerja dekat luar tadi bu." Zaitun memandang tepat kearah anak mata Juwita. Mencari kebenaran akan kata-kata Juwita.
Zaitun menghela nafas panjang apabila Juwita melarikan pandangan matanya. Benar Juwita menyembunyikan sesuatu.
"Tak apalah kalau Ju tak nak terus terang dengan ibu. Siapalah ibu ni, kan?" Zaitun buat ayat pasrah.
Nilah Juwita tak suka. Zaitun sering bermain dengan emosinya sehingga Juwita mengalah. Selagi tak mengalah, selagi tulah dia terus mendera perasaan Juwita.
Belum masuk Zaitun protes tak nak bercakap dengannya selagi dia tidak menceritakan hal yang sebenar.
Juwita capai tangan Zaitun. Diusap lembut sebelum diraih dan diciumnya lama.
"Maaf bu. Ju tak ada niat nak tipu ibu. Ju tak tahu macam mana nak mulakan." Suara Juwita sayu.
"Tak apa. Ju mandi. Rehat dulu. Nanti lepas makan malam kita sembang boleh? Ke Ju masih nak berahsia dengan ibu?" Juwita terdiam.
Lama dia memikirkan patut atau tidak dia ceritakan kepada Zaitun.
"Boleh. Tapi Ju pun nak ibu jujur dengan Ju nanti." Zaitun terkedu. Apa pula yang berlaku sehingga Juwita memintanya untuk berlaku jujur.
"Ju pergi mandi. Ibu nak masak. Nanti dah siap, terus turun ye." Zaitun melangkah meninggalkan Juwita.
MAKAN malam terasa sunyi. Junaidi dan Junaida saling berpandangan.
"Ehem..." Junaidi berdehem. Menarik perhatian Juwita dan Zaitun.
"Kau apahal? Tercekik ke apa?" tegur Juwita. Dia sendiri terasa canggung dengan suasana sunyi dimeja makan mereka.
"Rasa macam makan kat tanah perkuburan pulak." Tersedak Zaitun dibuatnya.
Juwita segera menghulurkan air kepada Zaitun. Belakang Zaitun diusap lembut.
"Idi! Tak lawak pun cakap macam tu. Tengok apa Idi dah buat. Kesian ibu." Marah benar Juwita dengan sikap Junaidi. Melawak tak kena tempat.
"Maaf ibu." Junaidi tertunduk. Dia serba salah. Nasi di dalam pinggan dikuisnya.
"Dah tu. Makan cepat. Ibu ada perkara nak bincang dengan kak long lepas ni." Mereka semua memandang Juwita serentak.
Juwita tarik nafas panjang. Dia dah habis fikir. Macam mana pun, dia harus selesaikan perkara ini. Sebagai permulaan, dia ingin tahu kisah yang sebenar.
Usai makan, Junaidi dan Junaida sama-sama mengemas meja makan. Pinggan mangkuk dicuci oleh Junaidi, manakala Junaida membersihkan dapur.
Juwita siap membancuh satu jug jus oren lalu dibawa ke ruang tamu. Zaitun sudah menunggu di sofa.
"Ibu, kita duduk dekat depan nak? Ambil angin sikit," usul Juwita mendapat anggukan dari Zaitun.
"Ibu, Ju tak nak berselindung dengan ibu. Tapi Ju minta maaf dari ibu andai permintaan Ju untuk jujur dengan Ju menyinggung hati dan perasaan ibu." Juwita menggenggam erat jemari Zaitun saat mereka duduk di meja yang terletak di halaman rumah mereka.
Zaitun tersenyum lalu mengusap lembut tangan Juwita. Inilah anak yang telah banyak berkorban untuknya. Pipi kanan Juwita diusap lembut.
"Tanyalah Ju. In shaa Allah ibu akan jujur dengan Ju. Selama ni pun, ibu tak ada apa nak rahsiakan dari Ju." Zaitun mengoyak senyum.
"Ibu, kenapa ibu berjauhan dari keluarga ibu?" Lancar sekali soalan itu keluar.
Zaitun tergamam. Tidak menyangka itu yang akan dibahaskan oleh Juwita. Wajah Zaitun berubah mendung.
"Tak apalah kalau ibu tak nak cerita. Tapi bila ibu dah bersedia untuk cerita, ibu bagitahu Ju." Juwita meneguk jus oren. Entah mengapa dia terkilan.
Sampai bila Zaitun ingin memendam. Dia juga berhak tau mengapa ibunya menjauhkn diri dari keluarga sendiri.
Zaitun menyeka sekilas air mata yang hampir jatuh. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menceritakan kepada Juwita.
Namun dia sedar, Juwita perlu tahu kebenaran. Juwita perlu kenal siapa sebenarnya ahli keluarga mereka. Tapi masihkah ada tempat buat Zaitun dalam keluarga itu lagi?
"Ju betul-betul nak tahu?" Zaitun bersuara setelah agak lama mendiamkan diri. Juwita memandang tepat ke arah Zaitun. Hanya anggukan sebagai jawapan.
"Panggil adik-adik sama. Biar semua tahu. Takkan ada rahsia lagi." Akhirnya Zaitun membuat keputusan. Juwita akur. Dia masuk ke dalam lalu memanggil adik-adiknya.
Tercengang masing-masing memandang wajah Zaitun yang berubah mendung.
"Ibu jangan paksa diri kalau ibu tak nak cerita. Ju minta maaf, ibu." Juwita dihimpit rasa bersalah melihat Zaitun yang dirundung sedih.
"Tak apa. Malam ni biarlah tiada rahsia lagi. Ibu nak anak-anak ibu tahu segalanya." Zaitun tersenyum manis. Cuba menyingkir perasaan sedih yang bertamu di hatinya.
Rindu...
Itulah yang dirasakan kini. Andai saja dia dapat mengubati kerinduan ini. Pasti dia berasa lebih bahagia.
Share this novel