16 Terima Kenyataan

Family Series 57531

“Kau Puteh kan?”

Tok Teh tergamam. Lama dia tenung wajah penuh keriput di depan dia itu. Opah tak akun kalah. Dia balas tatapan Tok Teh dengan lebih tajam.

“Ya, saya Puteh. Tapi saya tak kenal kau. Bagaimana kau tahu nama saya?” Tok Teh menyoal opah.

“Eleh, tak kenal konon! Ini Murni, kawan sekampung kau, Puteh. Kau tu orang kampunglah Puteh. Nasib kau je baik, kena kahwin orang kaya dan terus jadi kacang lupakan kulit! Kau nak tunjuk kau kaya ke sampai bawa besi buruk tu datang rumah saya hah?”

Amboi orang tua ni, besi buruk katanya? Terjuih bibir Tok Teh mendengarnya.

“Ewah… kau jangan cakap sembarangan ya! Saya tak pernah jejak kaki di sinilah, kau ni dah nyanyuk agaknya! Besi buruk dekat luar tu namanya helicopter, saya bukan nak menunjuk tapi cucu saya yang cadangkan naik benda tu sebab risau badan saya ni tak tahan dengan perjalanan yang jauh.”

“Kau tak pernah jejak kaki dekat sini ya? Kau tunggu sat! Tunggu kau Puteh!!!” Opah bingkas bangun lalu bergegas keluar menuju ke rumah Jiah. Terpinga Tok Teh memandang.

“Eh? Kau nak ke mana pula tu? Hey! Saya ada nak… urgh! Apa kena orang tua tu Rhett?” Marak mata Tok Teh memandang Rhett yang sedang duduk macam cacing kepanasan di sebelahnya.

“Rhett!” Tok Teh menampar paha Rhett bila lihat Rhett langsung tak tumpukan perhatian. Bebola mata Rhett asyik meliar, seolah sedang mencari seseorang.

“Ya, tok!” Rhett menjawab laju kerana terkejut.

“Kau ni dah kenapa? Sejak mulai kita sampai kau nampak gelisah dan tak fokus!” Rhett berdeham. Tak sangka nenda nampak keresahan dia. Dia sudah cuba berlagak seperti biasa, tetapi entahlah. Tempat itu, persekitaran itu… semuanya tentang kampung itu… buat dia rasa nak mati! Rindu mengasak jiwa. Ya Tuhan! Rhett meraup wajah. Bagaimana mahu memujuk hati?

“Maaf, tok…” Rhett menjawab lemah. Dia cuba fokus supaya Tok Teh tidak merasa curiga.

“Opah mana?” Tanya Rhett bila sedar opah sudah tiada di situ. Kepala dipusing, cuba mencari kelibat opah.

“Tu yang tok tak faham tu. Lepas orang tua tu marah-marah pada tok, dia blah macam tu je! Dah nyanyuk dah opah tu, Rhett. Kesian… kurang vitamin otaknya tu, maklumlah tinggal di tempat terperosok macam ni, apa pun tiada!”

Rhet berdeham lagi, agak kasar bunyinya seiring jelingan tajamnya ke arah Tok Teh.

“Jangan cakap macam tu tok, tak baik. Opah tu masih sihat.” Bela Rhett, kurang senang dengan sikap Tok Tehnya. Laju Tok Teh buang muka dengan muncung ditarik sedepa.

“Kau tengok Jiah! Meh sini, tengok si Puteh ni! Dia kata kita nyanyuk? Ini Puteh kan?”

Tiba-tiba opah muncul dari pintu belakang rumah, menarik nenek Jiah bersamanya. Terpinga-pinga Rhett memandang. Tok Teh menarik wajah masam mencuka melihat kemunculan dua wanita tua itu.

“Eh, betullah. Itu Puteh, kawan sepermainan kita dulu.” Nenek Jiah menjawab setelah beberapa saat meneliti Tok Teh dengan mata disepetkan.

“Kan?! Dikata pula kita ni nyanyuk? Ini siapa Puteh? Kembar kaukah?!” Opah mara mendekat lalu meletakkan sekeping gambar hitam putih di depan Tok Teh. Gambar yang dia ambil di rumah Jiah tadi.

Rhett memanjangkan leher untuk melihat. Gambar tiga remaja perempuan belasan tahun di dalam bendang, sedang tergelak keriangan. Tok Teh menjeling gambar tersebut sebelum melepaskan deham yang jelas kedengaran sumbang.

“Mana saya tahu.” Jawab Tok Teh lalu pura-pura memandang sekeliling.

“Tok, tok asal kampung ni ke? Wah! Tak sangka betul!” Rhett menyampuk. Gambar di atas lantai sudah berada di tangan Rhett. Dia yakin salah seorang dari remaja di dalam gambar tersebut ialah toknya. Wajah saling tak tumpah terutama senyuman itu. Sebijik betul dengan Tok Teh.

“Wah, yang ni mesti opah dan di sebelah ni lagi nenek Jiah kan?” Rhett bersuara lagi sambil tersengih memandang gambar tersebut.

“Ehem! Dah, bukan itu tujuan tok datang ke sini, Rhett!” Kasar Tok Teh menyergah. Rhett cepat-cepat meletakkan kembali gambar tersebut di atas lantai.

“Mardhiah… maksud saya arwah Mardhiah…” Ada getar pada suara Tok Teh. Rhett terus tertunduk. Rasa pilu kembali menyentap sukma.

“Mardhiah?” Berkerut dahi opah. “Siapa Mardhiah?”

Tercengang Rhett dan Tok Teh memandang opah.

“Arwah tu anak kau kan?” Tanya Tok Teh sedikit keliru. Dia pandang Rhett dengan dahi berlapis kasar. Apa cucu dia dah silap bagi maklumat ke?

“Mardhiah tu anak kaulah!” Nenek Jiah menyenggol opah. “Lepas kahwin kan dia bertegas mahu tukar nama kepada Dhiah Maisarah. Kau tak ingat ke?”

“Owh, maksud kau arwah Dhiah, anak aku.” Opah terangguk-angguk, mulai mengerti.

Rhett kembali tertunduk. Baru sebentar tadi harapan berbunga, bila dengar kata-kata nenek Jiah, dia kembali terhenyak. Putus harapan! Sikit lagi mahu gelap pemandangannya ketika itu.

“Ya, Dhiah…” Suara Tok Teh kembali bergetar. Wajah dijatuhkan. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Bila-bila masa akan bergolekan jatuh ke pipi. “Dia pernah bekerja di rumah saya suatu waktu dahulu.”

Opah diam, gigih dia mendengar sambil terangguk-angguk.

“Dhiah… jatuh cinta dengan Razif, anak saya. Tak, mereka saling mencintai. Tapi masa itu, Razif sudah bertunang dengan pilihan saya dan suami. Saya usir Dhiah.”

Opah masih diam dengan pandangan terpaku tepat ke wajah Puteh. Sabar dia menunggu hingga cerita Puteh dihabiskan.

“Saya usir Dhiah sebaik sahaja saya dapat tahu yang dia mengandung. Anak saya mengaku itu anaknya dan dia mahu bertanggungjawab. Tetapi saya tak nak. Saya pisahkan mereka.” Tok Teh mulai teresak-esak.

“Saya menyesal! Murni… maafkan saya Murni! Saya berdosa!” Tok Teh berlutut di depan opah lalu menangis. Kaki opah dipegang dan Tok Teh merayu-rayu memohon kemaafan. Rhett memaling wajah, tidak sanggup melihat adegan memilukan itu.

“Jadi… kau rupanya yang buat anak aku terseksa dan hampir mati dilanggar kerana mahu bunuh diri selepas kau halau dari rumah kau. Kau memang kejam, Puteh!”

“Maafkan saya, Murni! Saya terlalu ikut hati. Saya terima semua caci maki kau, Murni. Tapi, izinkan saya jumpa anak Razif dan minta maaf. Saya dengar dari Rhett anak itu dah dewasa dan sangat cantik budaknya, pasti secantik Dhiah. Izinkan saya tebus semua kesilapan saya terhadap anak itu, Murni.”

Opah membuang wajah. Pipi yang mulai basah dikesat perlahan. Mudahnya meminta maaf kan? Sampai mati pun dia takkan lupakan bagaimana anaknya meneruskan hidup dengan jiwa yang mati akibat perbuatan wanita di hadapannya itu.

Mereka tidak tahu Dhiah hampir gila. Kandungannya hampir gugur akibat tekanan perasaan yang dia alami. Munculnya seorang lelaki yang baik hati dan rela mengahwini Dhiah demi menyelamatkan maruahnya, mencintai Dhiah dengan sepenuh hati hingga buat anaknya kembali tersenyum. Tapi, takdir tidak memihak! Kebahagiaan Dhiah tidak kekal lama. Semua yang dipinjamkan oleh Allah cuma sempat singgah sekejap dalam hidup anaknya itu. Akhirnya, setelah puas menderita… Dhiah pergi tinggalkan dia dan Deila untuk meneruskan kehidupan abadi di dunia lain.

“Mana anak Razif, Murni? Dia ada bersama kau selama ini kan? Saya dengar dialah yang jaga kau. Terima kasih, Murni. Kau telah didik cucu saya dengan baik sekali.”

“Deila memang anak yang baik. Dhiah sangat menyayangi anak itu. Begitu juga dengan suaminya. Dia sayangkan anak itu dengan sepenuh hati walau pun itu bukan anak kandungnya. Selain baik hati, Del juga bijak budaknya. Dia dapat tawaran belajar di universiti dan berkeras mahu pergi. Dia berjaya tamatkan pengajian dan mahu kejar impian. Dia nak sangat jadi ahli perniagaan yang berjaya. Malangnya, dia terpaksa balik dan jaga saya. Impian anak itu terpaksa dikubur. Tapi, Del tidak putus asa. Dia buka kedai runcit, jual makanan yang dia cipta sendiri. Del anak yang bijak Puteh… macam mana susah sekali pun, dia tak pernah mengeluh. Macam mana sakit sekali pun, dia tetap akan tersenyum. Dia tidak punya siapa-siapa di dunia ni, hanya saya. Walau pun saya bencikan kau kerana buat anak saya menderita, tapi Del tidak bersalah. Tak seharusnya dia terlibat dengan persengketaan dan dendam antara kita. Jadi, saya serahkan Del kepada kau jika berlaku sesuatu. Saya dah tua, bila-bila masa Allah akan panggil. Kau jagalah cucu saya tu baik-baik, Puteh… dia sudah terlalu banyak berkorban demi orang lain.”

“Saya janji, Murni. Saya akan jaga anak itu dengan baik.”

Tangisan mereka bersatu saat Tok Teh dan opah berpelukan. Hanya nenek Jiah yang memandang opah dengan riak wajah yang sukar dimengertikan. Rhett hanya tunduk sambil sesekali mengesat air mata. Dia benar-benar tersentuh dengan kata-kata opah.

Deila sudah banyak berkorban demi orang lain. Bertapa menyesalnya Rhett saat itu. Dia bakal jadi seperti papanya! Dia bakal merobek hati Deila dan bakal buat gadis yang dia cintai itu menderita, sama seperti ibu Deila yang menderita akibat perbuatan papanya.

Argh!!!

Mengapa begini pengakhirannya? Sungguh, dia masih terlalu sayang, terlalu cinta! Bagaimana dia mahu tukarkan rasa itu kepada rasa sayang sebatas adik beradik?!

“Opah! Opahhh!!!”

Panggilan dari arah pintu itu sontak buat Rhett menoleh. Pandangan bertaut dengan seseorang di ambang pintu. Dada dipukul badai taufan menggila!

Dalam menahan gelora, terpicing mata bila lihat Deila muncul bersama Amirul. Dua belangkas ni memang tak boleh berpisah ke? Rhett mendengus. Terbakar dengan api cemburu.

Tak! Rhett melepaskan keluh kesal. Tak seharusnya dia rasa cemburu. Dia harus belajar untuk terima kenyataan! Rhett menjatuhkan wajah. Menyembunyikan mata yang mulai hangat dan berkaca.

Dia kena melepaskan! Itu yang sepatutnya dia lakukan tapi… ya Allah! Dia tak mampu.

“Tok, saya keluar sekejap.” Rhett bisik ke telinga Tok Teh dengan suara bergetar menahan rasa mahu meraung. Sungguh, dia tidak boleh berhadapan dengan Deila ketika itu. Rasa mahu saja dia bawa gadis itu lari jauh-jauh ke tempat yang tak berpenghuni. Biar hanya mereka berdua di situ. Berdua sampai ke tua. Tapi, itu tak mungkin berlaku kerana dia masih waras.

“Kau nak ke mana pula? Duduk dengan tok. Kita kena selesaikan hal ini secepat mungkin.” Marah Tok Teh dengan suara tertahan-tahan. Rhett kembali menjatuhkan wajah sambil menggenggam kedua-dua buku limanya dengan erat.

“Apa lelaki bandar tu ke yang bawa besi buruk tu ke sini? Ceh, nak menunjuklah tu. Takut je orang kampung tak tahu yang dia tu kaya!” Itu suara perlian Amirul. Sengaja bercakap dengan kuat supaya Rhett dengar.

Rhett menyumpah dalam hati. Celaka kau, Amirul! Kau ingat saya akan biarkan kau rampas Deila dari saya? Batin berkata. Wajah masih ditundukkan. Dia tidak mahu beradu pandang dengan Deila. Tidak pada ketika itu. Dia risau dia hilang kewarasan dan bawa lari gadis itu.

Argh, Rhett Raffendy! Puas dia pujuk diri supaya terima kenyataan. Sungguh pun terlalu perit untuk ditelan, dia harus reda dan akur pada takdir…

Tapi… hati menolak! Dia harus bagaimana?

Urm... acane ni huhu

Share this novel

Rahamah SpWsA
2024-02-27 00:14:19 

alah... hilang separuh jiwa saya dengan berita tu... kesian rhet dan del

Ida
2024-02-25 15:20:32 

Alaaaaaaaa. Why mcm ni??

Mermaid_
2024-02-24 22:57:04 

moreeee pleaseeee!!!


NovelPlus Premium

The best ads free experience