35

Romance Series 93218

Sejak kebelakangan ini, Aayra sering dilihat berulang alik ke hospital demi menjaga Ramona dan bayi di dalam kandungannya. Niatnya ikhlas walaupun pernah suatu ketika dahulu mereka berdua bermusuhan. Namun bagi Aayra yang lepas biarlah lepas. Apa yang penting sekarang ini ialah kesihatan Ramona dan bayi di dalam kandungannya.

Pintu bilik ditolak perlahan. Terjengul wajah Aayra di situ sambil meninjau - ninjau keadaan bilik tersebut. Kelihatan Ramona sedang terbaring lemah sambil menonton televisyen. Dia menolah sekilas ke arah Aayra yang sedang berjalan mendekatinya. Reaksinya masih sama. Dingin. Tiada secalit senyuman pun yang diberikan kepada Aayra. Bukan niatnya ingin memusuhi atau membenci wanita itu. Tetapi sebaliknya dia malu terhadap dirinya sendiri. Apatah lagi dalam keadaan dirinya seperti ini.

“Assalamualaikum, Mona." Sapa Aayra lembut.

Tidak sedikit pun Ramona menoleh ke arah Aayra. Bahkan sapaan Aayra hanya dijawab di dalam hatinya sahaja. Reaksinya masih sama. Dingin dan kaku.

“Awak dah makan? Macam mana keadaan awak hari ni?" Soal Aayra tidak mengalah.

“Ok. Macam ni jelah." Hambar sekali jawapan balas dari Ramona.

“Awak dah makan ke? Kalau belum, saya ada bawakan nasi kerabu daging bakar ni. Saya beli dekat luar sana tadi. Saya hidangkan untuk awak ye?" Aayra masih juga berbahasa walaupun dia tahu penerimaan Ramona terhadapnya agak hambar.

Ramona tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya memerhatikan sahaja gerak langkah Aayra dalam menyediakan makanan buatnya. Entah mengapa hatinya menjadi sebak melihat layanan baik yang diberikan Aayra terhadapnya. Di hati wanita itu tidak ada sedikit pun perasaan benci terhadapnya sedangkan sebelum ini sudah pelbagai perkara yang dia lakukan terhadap Aayra. Sungguh dia rasa bersalah. Namun dia tidak punya kekuatan untuk memohon maaf terhadap Aayra.

“Kenapa kau layan aku baik sangat walhal sebelum ni macam - macam yang aku dah buat dekat kau?" Soal Ramona tiba - tiba.

Aayra berhenti dari meneruskan kerjanya. Wajah Ramona dipandang lama. Perlahan - lahan bibirnya mengukir senyuman buat Ramona. Katil wanita itu didekati. Jauh di sudut hatinya, Aayra berasa gembira kerana Ramona sudah mahu berbual dengannya walaupun bunyinya agak sinis. Sekurang - kurangnya sudah ada sedikit perubahan positif yang Ramona tampilkan. Aayra tetap yakin bahawa suatu hari nanti mereka bisa menjadi kawan seperti mana dirinya dan Dania.

“Saya tak pernah menyimpan sedikit dendam pun dengan apa yang dah terjadi di antara kita. Bagi saya itu semua normal kerana awak lakukan semua tu demi mempertahankan hak awak sebagai kekasih Ezmal. Lagipun itu semua hanya salah faham. Saya percaya awak terlalu menyayangi Ezmal. Sebab tu awak bertindak seperti itu. Betul kan tanggapan saya ni?" Ujar Aayra sambil tersenyum.

Ramona tidak menyahut. Sebaliknya dia menatap wajah Aayra lama. Jelas terpancar ketenangan dan kelembutan di wajah wanita itu. Betapa mulianya hati Aayra. Jadi tidak hairanlah mengapa wanita di depannya ini disenangi oleh semua yang mendekatinya termasuklab Ezmal. Namun sebut sahaja nama Ezmal, wajah Ramona serta merta berubah sayu. Jauh di sudut hatinya, dia sangat merindui lelaki itu.

“Mona, awak ok ke?" Soal Aayra sebaik dia menyedari akan perubahan reaksi wajah Ramona secara tiba - tiba.

“Aku rindukan Ezmal. Tapi aku tahu, dia pasti jijik dengan keadaan aku sekarang." Jawab Ramona jujur.

Aayra terkedu seketika. Wajah sayu Ramona ditatap lama. Jujur dia sangat bersimpati dengan nasib Ramona ketika ini. Namun Aayra tidak tahu bagaimana caranya untuk dia membantu Ramona dalam hal ini. Aayra yakin Ezmal pasti tidak mahu menemui wanita itu apatah lagi dalam keadaan begini.

“Mona, awak kena kuat ok? Banyakkan berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati Ezmal untuk memaafkan awak. Saya yakin Ezmal pasti akan memaafkan segala kesilapan awak terhadapnya." Pujuk Aayra lembut.

“Aku malu dengan diri aku sendiri, Aayra. Aku ni tak pernah reti bersyukur dengan apa yang aku ada. Bila jadi macam ni, kau tengoklah. Semua orang pergi tinggalkan aku. Tak ada sorang pun yang sudi datang melawat dan jaga aku seperti mana yang kau lakukan sekarang ni. Malah lelaki - lelaki yang pernah bersama aku sebelum ni pun entah hilang ke mana. Masing - masing tak nak bertanggungjawab dengan apa yang dah terjadi. Orang macam aku ni, patut mati je Aayra." Luah Ramona sebak. Sedikit demi sedikit tangisnya mula kedengaran.

“Ya Allah, Mona! Bawak - bawak istighfar ok? Tak baik awak cakap macam tu. Yang lepas tu biarlah lepas. Apa yang penting sekarang, awak lalui je kehidupan awak yang baru ni dengan tenang." Pujuk Aayra lagi.

Tubuh Ramona ditarik ke dalam dakapannya. Dia cuba menenangkan hati wanita itu sebaik mungkin. Aayra tahu Ramona benar - benar terasa down ketika ini.

“Kau jangan sentuh aku, Aayra!! Aku ni jijik. Aku kotor. Orang baik macam kau tak sepatutnya berkawan dengan perempuan kotor macam aku. Jauhkan diri kau dari aku!!" Tiba - tiba Ramona menolak tubuh Aayra kuat. Tangan Aayra ditepis dari terus memeluknya.

“Astagfirullahal'azim!! Bawak - bawak mengucap Ramona. Tak ada apa yang perlu awak risaukan Mona. Penyakit awak tu tak akan berjangkit dengan saya. Lagipun saya ikhlas nak tolong awak. Awak dah macam kawan saya sendiri sekarang ni. Jadi awak tak perlu fikir yang bukan - bukan ok?" Ujar Aayra penuh toleransi.

Ramona terdiam seketika. Wajah Aayra ditenung sedalam - dalamnya. Betapa mulianya hati wanita di hadapannya itu. Disaat dia diduga dengan ujian berat seperti ini, Aayra lah orang pertama yang datang menghulurkan bantuan. Ramona sebak. Lantas dia menekup wajahnya dengan kedua - dua tangannya. Semakin lama semakin kuat tangisannya kedengaran di seluruh pelosok bilik. Aayra turut terkesan melihat perlakuan Ramona itu lalu dia mendekati tubuh Ramona dan dipeluknya erat.

“Mona, saya tak tahu apa yang awak rasa sekarang ni. Tapi saya yakin awak kuat. Awak kuat untuk tempuhi semua ni. Yakinlah, Mona. Allah tak akan menduga kita dengan sesuatu yang diluar kemampuan kita. Jadi saya yakin awak boleh lalui semua ini dengan tenang. Ingatlah DIA. In shaa Allah, DIA pasti akan sentiasa bersama awak walau apa pun jua keadaan awak." Nasihat Aayra lembut.

Ramona hanya mengangguk perlahan. Dikesatnya air mata yang berjuraian turun itu dengan telapak tangannya. Hatinya berasa sedikit tenang.

“Thank you, Aayra. Thank you so much! Dalam keadaan aku macam ni pun, kau tetap layan aku dengan baik. You have such a good heart you know? No wonder la Ezmal dan Harraz sayangkan kau sangat - sangat. Beruntung Harraz sebab dapat memperisterikan perempuan yang sebaik kau. Sejujurnya, aku cemburu tengok kau orang berdua. Kalaulah aku dapat lalui detik - detik manis seperti itu dengan Ezmal, alangkah bahagianya hidup aku." Ujar Ramona perlahan.

“In Shaa Allah, Mona. Suatu hari nanti, awak juga pasti akan mengecapi kebahagiaan seperti itu bersama Ezmal. Apa yang penting, teruskan berdoa semoga Allah bukakan pintu hati Ezmal untuk memaafkan awak serta menerima awak kembali ke dalam hidupnya. Saya percaya, Ezmal juga masih menyayangi awak. Cuma keegoannya yang menafikan akan perasaan itu." Pujuk Aayra tanpa lelah.

Ramona tersenyum. Namun jauh di sudut hatinya, dia yakin semua itu tidak akan terjadi. Dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan lagi. Andai dia diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan sekali pun, Ramona hanya mahu mengecapi kebahagiaan itu bersama - sama dengan anak di dalam kandungannya itu. Dalam tidak sedar, Ramona mengusap - usap perutnya bersama senyuman di bibir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience