BAB 4

Crime Completed 5579

Aku ingat, aku boleh berjaya dengan business aku.” Asap berkepul-kepul keluar dari bibir Bang Joe.

“Apa yang terjadi?” soalku ibarat kanak-kanak yang sedang mendengar kisah-kisah bukan fiksyen sebelum tidur.

“Akhirnya aku dapat tahu produk yang selama ini aku jual rupa-rupanya produk tiruan, bukan produk yang asli. Produk kesihatan yang tidak diiktiraf. Sampai masuk surat khabar tentang produk tu. Syarikat yang menggaji aku lingkup, bungkus balik rumah. Tinggallah aku terkapai-kapai macam kera hilang anak. Memang aku terkejut besar. Beberapa bulan lamanya aku tak dapat cari kerja. Iya lah, siapa yang nak terima orang tak ada kelulusan macam aku ni? Sijil SPM pun tak laku,” Bang Joe tersengih sinis.

Berdasarkan riak wajahnya, aku tahu kenangan itu cukup pahit buat dirinya.

“Aku beruntung sebab dapat jumpa dengan Gan. Dia layan aku dengan sangat baik. Aku banyak terhutang budi pada Gan. Sebab itulah aku bersumpah pada diri aku sendiri untuk setia dan tak akan khianat pada kumpulan kita.” Gan. Itulah pengasas kumpulan kami. Aku belum pernah melihat wajahnya secara langsung. Bang Joe mempunyai pelindungnya iaitu Gan.

Aku? Pelindungku, Bang Joe sendiri. Dia yang membawaku ke sini. Dia yang membuatkanku memulakan segala-galanya. Mindaku kembali berputar pada pengalamanku sendiri, bagaimana aku boleh terjebak dengan semua ini.

Ayahku kahwin lagi, dan itu merupakan satu hakikat yang tak mungkin dapat ku terima. Dia meninggalkan aku, adik-adikku dan ibuku untuk bersama dengan isteri barunya.

Ibu menjadi hampir separuh gila memikirkan nasib malang yang menimpa dirinya. Ibu begitu cinta dengan ayah, tetapi ayah langsung tidak mempedulikan kami lagi.

Satu sen pun tidak dikirimkan ke rumah. Mujur ketika itu aku sudah tamat persekolahan, cuma tinggal keputusan SPM untuk diumumkan sahaja.

Aku perlu mencari kerja. Selama beberapa bulan aku bekerja dengan Ah Lee di bengkel kereta ayahnya, tetapi upah yang diterima masih belum cukup lumayan.

Sewa rumah, duit minyak, ubat-ubatan untuk merawat ibuku, yuran sekolah adik-adik pula.

Aku mempunyai tiga orang adik, dua kembar lelaki sekolah menengah dan seorang perempuan yang masih sekolah rendah. Ibuku sampai hari ini masih meratapi kehilangan ayah, dia masih trauma.

Mujurlah adik perempuanku yang satu itu sudah pandai masak dan rajin menguruskan ibu. Kalau aku, mungkin tak sanggup.

Dalam keadaan ibu yang sakit itu pun, dia masih waras untuk menyuruhku sambung belajar di kolej.

Aku terpaksa tidak menolak permintaannya. Aku buntu memikirkan masalah kewangan dan entah bagaimana aku boleh terserempak dengan Bang Joe. Bang Joe seolah-olah tahu aku dilanda krisis kewangan.

Dia menawarkanku pekerjaan. Aku masih ingat lagi kata-katanya.

“Kau boleh kerja dengan aku, tapi aku beri amaran awal. Kerja aku berbahaya dan mencabar. Kau mahu?”

“Paaappp!!” Bang Joe memukul meja dengan begitu kuat, membuatkanku serta-merta melayang dari masa lalu. Dia mengangkat sebelah keningnya, tanda kehairanan.

“Kau dengar tak apa yang aku cerita dari tadi? Berangan kuat!”

Aku menarik sengih lebar.

***

“Shahril! Petang ni ada usrah, tempat biasa, lepas sembahyang Asar,” Iman memaklumkan. Tempat biasa? Manalah aku tahu tempat biasa.

Aku tak pernah sekali pun menghadiri usrah. Yang aku tahu, usrah macam kerja kumpulan. Duduk dalam bulatan, sembang tentang akhirat. Ah, kemalasan yang melanda diriku semakin membuak-buak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience