BAB 3

Drama Completed 315

Sambil berbaring di dalam bilik. Salim teringat buku catatan yang telah
disimpannya. Dia teringin untuk membacanya. Beg sandang dibuka, buku
catatan dikeluarkan dan ditatap dengan rakus.

‘Tanggal 20 Ogos 1957’, Mata Salim terbeliak membaca catatan itu.

‘Sepuluh hari sebelum perisytiharan kemerdekaan.’ hatinya terdetik
‘macam judul filem.’

‘Tanggal 20 Ogos 1957. Platun 12, Company D5,Malay Regiment. Kami
ditugaskan untuk berwaspada.Pasukan Bintang Tiga akan membuat kacau
menjelang perisytiharan merdeka. Kami ditugaskan di estet Waterfall.’
Salim membaca dengan teruja.Laras bahasa dalam catatan itu termasuk
ejaannya, menggunakan bahasa Melayu seperti filem-filem Allahyarham
P.Ramlee.

‘Tiga puluh lima orang bandit sudah kena tangkap. Satu kejayaan besar,”
Salim membaca lagi.

‘Tanggal 30 Ogos 1957. Padang Kelab Selangor. Upacara menurunkan ‘Union
Jack’. Berakhirnya ketuanan Inggeris. Malaya pasti merdeka,’ Bulu roma
tegak berdiri apabila membaca catatan ini. Salim dapat membayangkan
bagaimana perasaan teruja penulis yang membuat catatan berkenaan.

‘Tanggal 31 Ogos 1957. Stadium Merdeka. Hujan begitu lebat turun
sa-hingga jam 6.30 pagi. Kami, anggota keselamatan yang datang dari
pelusok tanahair, bermalam di sekolah-sekolah. Pada malam 30 Ogos, tepat
jam 12.00 tengahmalam, ‘Union Jack’ digantikan dengan bendera
Persekutuan Tanah Melayu oleh Pasokan Tentera Laut.’

‘Tanggal 31 Ogos 1957. Jam 8.00 pagi. Hujan semakin reda. Semua
raja-raja Melayu, rakyat jelata. Dif-dif kenamaan dari England menunggu.
Pesurohjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu turut berada di pentas.
Rakyat jelata masih berdiri.’

‘Tunku Abdul Rahman menerima watikah pemahsyuran kemerdekaan dari wakil
Baginda Queen Elizabeth,’ terkial-kial Salim mengeja perkataan yang
dijawikan dari perkataan Inggeris. ‘Putera Henry, wakil Baginda Queen
bersama permaisurinya.’

‘Kami menanti dengan penuh debar. Tuanku terima watikah dari Putera
Henry kemudian memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris, sebelum membaca
pemahsyuran kemerdekaan.’

Pada helaian buku catatan seterusnya terdapat potongan akhbar. Akhbar
‘Berita Harian’. Gambar Tunku mengangkat kedua-dua tangannya. ‘MERDEKA!
Tepat pada tengah malam seluroh rakyat bertempek ‘Malaya sudah merdeka!’.

Salim terus meniliti kandungan petikan akhbar dan tulisan pada helaian
buku itu. ‘Pekek oleh Bapa Merdeka disambut di seluruh negeri’.

Helaian seterusnya terdapat catatan berupa bait-bait sajak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience