“Ya Allah…Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya termasuklah kami ke dalam orang-orang yang rugi. Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku iman yang kuat dan keyakinan yang tidak lagi dipengaruhi kekufuran dan berikanlah kepadaku rahmat yang dengan dia aku mencapai kemuliaan dari kemuliaanMu di dunia dan akhirat. Ya Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun. Aamiin Ya Rabbal Alamin.”
Syahdu doa Najla Arissa sejurus selesai menunaikan Solat Taubat. Air matanya mengalir deras. Menyesali dosa yang telah dia lakukan selama ini. Betapa kerdil rasanya diri Najla ketika ini semasa menghadap Yang Maha Esa. Perut yang mula membukit diusap perlahan. Najla menangis. Hatinya bagai disiat-siat mengenangkan kejadian yang telah mengubah hidupnya 360 darjah.
Dibuang mama dan papa. Malahan suami yang disangka akan mewarnai hidup-hidupnya yang suram semakin jauh untuk digapai. Najla sudah tidak tahu lagi ke mana harus diletakkan hatinya ini. Mujur mummy dan daddy Elman begitu mengambil berat akan keadaan dirinya yang sedang berbadan dua ini. Semua kelengkapan Najla mereka sediakan sebaik-baiknya termasuklah kesanggupan Datin Seri Qasrina menemani Najla bertemu dengan doktor.
Bunyi pintu bilik Elman yang terbuka tiba-tiba menyentak lamunan Najla. Segera air matanya dikesat. Buru-buru, Najla segera menerpa ke pintu biliknya. Hanyut dengan perasaan, dia tidak sedar waktu begini suaminya sudah pulang dari kerja.
“Bang…o kaeri nasai (selamat pulang)!”
Najla melemparkan senyuman manis. Elman yang hampir menutup pintu berpaling menghadap Najla. Wajahnya serius, tiada langsung senyuman di bibirnya. Hatinya sedikit tersentuh mendengar ucapan selamat pulang dari isterinya tadi. Namun, kerana keegoan, perasaan halus itu segera dicampak ke tepi.
“Abang dah makan?”
Najla berusaha mengajak Elman berbual. Kalau 2 bulan lalu, Elman akan meninggalkan dia terus di muka pintu, malam ni ada sedikit perubahan. Elman masih kekal berdiri di situ dan bagi Najla, itu adalah petanda baik dalam hubungan mereka!
“Kau masak apa?”
Tiga perkataan itu saja sudah cukup membuatkan hati Najla diselubungi perasaan gembira. Kedua-dua tangan diraup ke muka. Bersyukur dengan keajaiban Allah. Akhirnya Allah gerakkan hati suaminya untuk berbual dengannya. Wajah Najla sudah bertukar ceria.
“Najla ada buat paprik ayam. Nasi kepal pun ada. Kalau abang nak seaweed goreng, Najla boleh buatkan. Abang nak?”
“Ermm..Sounds good. Nak jugak.” Elman hampir tergelak melihat muka berseri-seri Najla. Seronok sangatkah isterinya bila dapat bercakap dengannya?
“Okay… Abang pergi mandi dan solat dulu. Nanti dah siap masak, Najla panggil abang turun makan ye.”
Najla sudah tidak tentu arah. Pertama kali sejak bergelar isteri Elman, Elman meminta dia menyediakan makanan. Tiada kata yang mampu Najla ucapkan kala ini. Dia benar-benar gembira.
“Najla.” Panggilan Elman merencatkan gerakan Najla. Lantas dia berpaling, menghadap Elman.
“Tadaima…” Ucap Elman perlahan. Daun pintu segera ditutup. Najla yang masih kaku, tersandar di pintu biliknya. Bibir Najla sudah tersungging ke kiri dan ke kanan. Tadaima bermaksud ‘Saya dah pulang’. Air mata Najla merembes laju. Kali ini Najla biar tak berseka kerana air mata yang mengalir kini adalah air mata kegembiraan……
Share this novel