Kediaman rumah Tan Sri Mansur sunyi sepi ketika itu tanpa suara gelak ketawa Qalifh yang manjadi penyeri rumah agam itu. Rumah itu hanya kedengaran bunyi daripada arah dapur. Ini kali pertama Rina masak di dalam rumah itu. Sebagai seorang manusia, dia juga mempunyai kekurangan. Rina bukanlah wanita yang sempurna seperti yang orang fikirkan tentang dirinya. Dia mempunyai kekurangan dan kekurangannya itu adalah pada bahagian masak memasak. Boleh dikatakan lapan puluh lima peratus Rina memang tidak tahu memasak. Selama ini dia hanya memasak mengikut seleranya dan itu juga masakan yang biasa-biasa saja bukan seperti ibu rumah tangga yang lain.
Dahulu sewaktu dia masih kecil, Puan Mawar dan Nek Jah yang selalu memasakkan untuk dirinya sehinggalah dia remaja. Ketika duduk di asrama universiti dia hanya membungkus makanan sehinggalah dia mengandungkan Qalifh. Di rumah Tan Sri Mansur pula ada Mak Sofi yang selalu memasakkan hidangan juadah mereka sekeluarga sehingga tiada peluang langsung untuk dia masuk ke dapur untuk belajar memasak.
Hari ini buat pertma kalinya Rina cuba memasak mengikut buku resipi yang dibelinya seminggu yang lalu di pusat beli belah. Dia bertungkus lumus seharian di dapur sementara Qalifh dan Mak Sofi pergi ke taman permainan di perumahan mereka manakala Tan Sri Mansur dan Aqil masih belum balik daripada kerja. Ain sudah seminggu balik ke kampung untuk menziarahi ahli keluarganya yang sudah lama tidak dijumpainya.
“Harap-haraplah sedap.” Rina menggumam sendirian sambil melihat ayam masak lemak cili padi yang baru saja dimasaknnya sebentar tadi. Rina tersenyum berasa sedikit bangga pada dirinya sendiri kerana mampu menyelesaikan tugasnya walaupun dia tidak tahu masakannya itu sedap ataupun tidak. Dia tidak sabar mahu melihat mereka yang lain menikmati masakannya dan memberikan komentar yang jujur supaya dia lebih bersemangat mahu belajar memasak.
Rina membawa ayam yang sudah disenduk ke dalam mangkuk kaca ke ruang makan dan menutup lauk itu dengan tudung saji di atas meja makan. Rina membetulkan purdah yang hampir terlurut dari wajahnya dan berjalan ke pintu utama untuk melihat jika ada kelibat Mak Sofi dan Qalifh berjalan pulang ke rumah tetapi tiada langsung kelibat mereka. Rina menutup pintu pagar semula dan naik ke tingkat atas untuk menelefon Mak Sofi agar segera membawa Qalifh pulang sebelum senja.
“Assalamualaikum, Mak Sofi. Beritahu Qalifh sudahlah bermainnya, kasihan Rina sendirian di rumah. Bawa Qalifh pulang ya. Rina sudah siap masak tetapi tak tahulah sedap ke tidak.” Rina membuat suara manja seperti anak kecil. Mak Sofi adalah tempatnya menumpang kasih seorang ibu selepas Puan Mawar meninggal dunia.
“Baiklah, sekarang juga Mak Sofi bawa tuan kecil ni balik ke rumah untuk menikmati hidangan yang InsyaAllah sedap itu. ” Kedengaran pula suara Mak Sofi membalas kata-kata Rina.
Talian diputuskan. Rina meletakkan telefonnya di atas meja di tepi katil dan turun ke bawah semula. Tiba di anak tangga terakhir, Rina melihat seperti ada seseorang yang sedang duduk menikmati juadah yang dimasaknya sebentar tadi. Rina terkaku seketika.
“Siapa? Aqil ke?” Rina menegur daripada jauh tidak berganjak dari tempatnya berdiri ketika itu.
Lelaki yang disangka Aqil itu menghentikan kunyahannya dan menoleh ke belakang. Serta merta mata Rina membulat. Kakinya seperti hilang kekuatan untuk berdiri tegak sehingga dia hampir saja jatuh terduduk di tangga tetapi tangannya pantas mencapai pemegang tangga disebelah kanannya. Rina memerhatikan lelaki itu berjalan menuju ke arahnya meninggalkan makanan yang baru dijamui lelaki itu sehingga Rina dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas.
Amirul Haikal!
“Kau siapa? Apa yang kau buat di rumah aku ni?” Haikal bertanya kasar sambil matanya tajam menikam pandangan mata Rina yang seperti tidak berkedip memandangnya.
Haikal menjungkit satu keningnya ke atas apabila melihat tiada reaksi daripada wanita berpurdah hitam itu selain daripada merenungnya. Tahulah aku ni kacak, tak payahlah sampai pandang orang macam tak pernah nampak orang kacak macam aku! Haikal bermonolog sendiri.
“Aku tanya kau ni, kau ni siapa? Janganlah pandang aku macam kau tak pernah nampak orang. Kau pekak ke?” Haikal yang tidak tahu adab lelaki dan wanita yang bukan mahram itu memegang lengan kanan Rina agar wanita itu tersedar daripada lamunannya.
“Jangan sentuh saya!” Rina menepis kuat tangan Haikal apabila dia terkejut dengan sentuhan Haikal yang tiba-tiba itu.
“Abang?” Haikal yang baru saja mahu memarahi wanita itu kerana menepis tangannya dengan kuat terhenti apabila kedengaran suara Aqil di hadapan pintu rumah. Rina yang melihat Aqil segera berlari ke arah lelaki itu dan bersembunyi di belakang Aqil seperti meminta perlindungan daripada Haikal.
“Aqil! Rindunya abang pada kamu.” Haikal mendekati Aqil tetapi matanya masih memandang wanita berpurdah yang menyorok di belakang Aqil itu. Haikal memeluk erat Aqil yang masih terkejut melihat dirinya. Haikal memandang wanita berpurdah itu yang seperti cuba menyembunyikan wajah daripada dipandang oleh dirinya. Apa kena dengan perempuan ni! Apa lagi yang dia nak sorokkan sedangkan sudah menutup separuh wajahnya? Sekali lagi Haikal bermonolog sendiri. Menyampahnya dengan perempuan macam ini!
“Bila abang balik?” Aqil bertanya sambil menoleh memandang Rina yang cuba menghindar pandangan mata Haikal yang memandang wanita itu ketika itu.
“Sudah seminggu abang balik ke Malaysia tapid baru sekarang ada masa nak ke sini. Siapa perempuan macam ninja ni?” Haikal membuat jenaka kasar kerana berasa jengkel dengan pakaian wanita itu yang serba serbi tertutup. Hanya matanya saja yang dapat dilihatnya. Di rumah pun mahu memakai stoking dan tutup muka ke? Kuno betul!
Aqil menggigit bibir apabila penampillan Rina diperlekehkan oleh Haikal. Mungkin di pandangan mata lelaki moden seperti Haikal berpakaian tertutup ini adalah orang yang kuno tetapi tanpa sedar merekalah yang mundur kerana mula berpakaian terbuka seperti orang-orang kuno yang terdahulu.
“Ini…” lambat-lambat Aqil mahu memperkenalkan Rina kepada Haikal apabila Haikal memandang dirinya dan Rina silih beganti seperti mahu dirinya memperkenalkan mereka berdua. Nampaknya Haikal masih tidak mengenali Rina dan nampaknya identiti Rina juga bakal terdedah jika dia membuka mulut memberitahu siapakah gerangan Rina sebenarnya ketika itu.
“Abi!!!” Terdengar suara Qalifh memanggilnya daripada luar dan berlari masuk ke dalam rumah sebelum anak kecil itu memeluk kaki Aqil. Qalifh yang melihat kereta Aqil yang sudah berada di tempat letak kereta terus sahaja berlari masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan lelaki itu dan bermain bersama dirinya seperti kebiasaannya jika Aqil pulang daripada pejabat.
Rina yang melihat Haikal memandang Qalifh segera memeluk anaknya itu melindungi wajah Qalifh daripada terus direnung oleh Haikal. Mak Sofi juga mendekati Rina seperti mahu melindungi wanita itu daripada Haikal. Dia juga sangat terkejut ketika itu apabila melihat Haikal berada di ruang tamu bersama Aqil dan Rina. Adakah lelaki itu sudah mengetahui identiti Rina yang sebenarnya?
“Ini anak Aqil ke? Jadi ini isteri Aqil, Shofwah?” Haikal bertanya sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah Rina dan Qalifh. Dia membuat tekaan sendiri apabila mendengar anak kecil itu memanggil panggilan abi yang beerti bapa kepada Aqil. Jadi wanita seperti ninja itu sudah semestinya isteri Aqil kerana tidak mungkin Tan Sri Mansur menggajikan wanita seperti itu sebagai pembantu rumah.
Mereka yang berada di situ semua terdiam dan memandang satu sama lain. Haikal terus berjalan melintasi Aqil dan duduk melutut dengan satu kakinya ke tanah memandang Qalifh yang dipeluk wanita berpurdah itu.
“Don’t be scared. I’m your uncle, what is your name?” Haikal menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Qalifh yang memandang dirinya dengan senyuman malu-malu.
“Muhammad Qalifh Althar.” Qalifh menjawab sambil tangan kecilnya membalas salam yang dihulurkan oleh Haikal. Sebaik saja tangan Qalifh berada di dalam genggamannya ditarik anak kecil itu dari pelukan Rina sehingga membuatkan wanita itu terkejut.
Rina baru saja mahu bersuara tetapi dihentikan niatnya apabila melihat Haikal hanya mahu mendukung Qalifh dan bergurau dengan anak kecil itu. Ketika itu hati Rina bagai diketuk sesuatu apabila melihat Haikal mendukung Qalifh. Adakah Haikal mendukung anak kecil itu dengan penuh kasih sayang seperti yang dilakukannya sekarang jika mengetahui Qalifh adalah anaknya.
“Kenapa semua berdiri tercegat di situ. Marilah duduk makan. Isteri Aqil masak agaknya sebab tak sedap seperti Mak Sofi masak tapi tak teruk sangat masih boleh dimakan.” Selamba Haikal menyindir masakan Rina yang memang menurutnya masih banyak yang perlu diperbaiki.
Rina tidak peduli dengan sindirian itu. Ketika ini dia hanya memikirkan cara mahu melarikan diri dan bersembunyi daripada pandagan Haikal dan melindungi Qalifh daripada lelaki itu.
“Rina, jangan risau. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik saja. Awak akan selamat selagi awak di sini.” Aqil memujuk Rina agar mengikuti mereka apabila melihat Rina langsung tidak berganjak dari tempatnya seperti sedang memikirkan sesuatu. Perlahan-lahan Rina mengangguk dan mengikuti Aqil ke ruang makan dimana Haikal sudah duduk menjamu selera masakannya kembali yang tadinya terbantut disebabkan dirinya menegur lelaki itu.
Aqil duduk berhadapan dengan Haikal sehingga membuat Rina tidak tahu mahu duduk disebelah mana kerana dia tidak pernah duduk bersebelahan dengan Aqil dan tidak mungkin juga dia mahu duduk di sebelah Haikal. Haikal memandang Rina yang masih berdiri dan memandang Aqil juga yang memandang Rina.
“Ummi…” Qalifh menghulurkan tangan mahu berada di dalam pelukan Rina.
Haikal menarik kerusi disebelahnya dan menyuruh Rina duduk disebelahnya kerana dia tidak mahu Qalifh pergi kepada Rina. Rina memandang Aqil apabila tidak menyangka Haikal akan menyuruhnya duduk disamping lelaki itu.
Rina berjalan perlahan-lahan tetapi tidak ke arah kerusi yang ditarik oleh Haikal itu sebaliknya dia duduk disebelah Aqil. Qalifh perlahan-lahan melepaskan dirinya daripada pelukan Haikal dan duduk di riba Aqil. Haikal memandang Rina tajam kerana menyebabkan Qalifh pergi daripada ribaannya.
Mereka baru saja mahu menikmati makanan sebelum mereka melihat Tan Sri Mansur yang baru balik daripada lokasi tapak pembinaan memandang Haikal dengan mata yang mencerlung kemerahan. Tan Sri Mansur tidak berkata apa-apa malah lelaki tua itu masuk ke dalam bilik bacaannya dan diikuti oleh Haikal. Lama mereka berada di dalam bilik itu entah apa yang dibualkan Rina tidak tahu tetapi dia berharap Tan Sri Mansur tidak berkata apa-apa tentang dirinya dan Qalifh. Biarlah jika Haikal mahu menganggap dirinya Shofwah walapun sebenarnya dia tidak berniat mahu menipu sesiapa.
Haikal duduk di kerusi hadapan menghadap Tan Sri Mansur yang diam membisu sejak daripada mereka masuk ke dalam bilik bacaan itu. Bilik itu hanya kedengaran bunyi jam berdetik sehingga membuatkan Haikal rimas dengan keadaan itu.
“Pa, can you say something? Kalau papa nak marah Qal, papa boleh marah janganlah diam macam ini.” Haikal bersuara sedikit jengkel dengan keadaan mereka itu.
“Bila kamu balik ke Malaysia?” Tan Sri Mansur bertanya sambil memandang anaknya yang kelihatan sihat-sihat sahaja. Tidak tahukah anaknya itu betapa dirinya sangat merisaukan keadaannya sejak empat tahun yang lalu.
“Seminggu yang lepas.” Haikal menjawab pendek. Bola Kristal sebagai penghias di meja itu diambil dan dia bermain dengannya agar masa terasa akan cepat berlalu.
“Sudah seminggu kamu balik tapi baru hari ini kamu balik ke rumah?” Tan Sri Mansur menyindir sambil matanya masih tidak lekang daripada memandang Haikal yang tidak masih tidak bersifat matang.
“Ada urusan Qal nak selesaikan. Sekarang Qal dah balik jadi papa tak payah risau sangat.” Haikal menyandarkan tubuhnya ke sofa dan mengeluh kasar.
“Qal…” Belum sempat Tan Sri Mansur meneruskan kata-katanya Haikal terlebih dahulu memotong.
“Qal ini lapar sangat papa. Sudalah Si Shofwah itu tak pandai masak ditambah pula dengan papa yang asyik nak marah Qal. Penatlah papa.” Haikal merungut tidak mahu mendengar papanya mengomel lebih panjang.
“Shofwah?” Tan Sri Mansur mengerutkan keningnya. Kenapa nama Shofwah boleh terpancul di mulut Haikal ketika itu.
“Yelah, si isteri Aqil itu. Haikal dapat tahu papa yang jodohkan Aqil dengan Shofwah. Papa ni macam tak ada perempuan lain yang papa mahu jadikan menantu. Si ninja juga papa pilih.” Haikal memperlekehkan Rina yang dianggap Shofwah itu.
“Jaga mulut kamu Haikal. Kenapa dengan berpakaian seperti itu? Bukankah lebih indah jika hanya suaminya yang melihat kecantikan isterinya? Kamu juga sepatutnya berkahwin dengan wanita seperti itu bukan seperti wanita-wanita yang kamu jumpa sekarang!” Tan Sri Mansur memarahi Haikal kerana memperlekehkan Rina. Nampaknya Haikal masih tidak mengetahui identiti Rina dan menganggap Rina adalah Shofwah isteri kepada Aqil. Seandainya jika Haikal tahu bahawa Rina itu adalah isterinya pasti anaknya itu akan terkejut dan tidak kelihatan tenang seperti sekarang. Biarlah buat masa ini Haikal menganggap Rina itu Shofwah demi keselamatan Rina dan Qalifh. Bila tiba masanya nanti dia akan memberitahu Haikal perkara yang sebenar.
“Qal? Kahwin dengan wanita seperti itu? No way! Aqil mungkin papa boleh pujuk untuk berkahwin dengan wanita seperti itu tetapi wanita seperti itu bukan pilihan Qal. Sudahlah papa, Haikal keluar dulu. Papa pun marilah makan bersama.” Haikal bangun dari duduknya dan keluar dari bilik bacaan Tan Sri Mansur diikuti bapanya itu.
Saat itu Haikal melihat Aqil dan keluarga kecilnya sedang bergurau senda dengan Qalifh yang kelihatan manja pada kedua orang tuanya. Pasti anak kecil itu sangat bahagia ketika ini dapat merasakan kasih sayang yang lengkap dari seorang ibu dan ayah. Di dalam hatinya timbul perasaan cemburu kepada Aqil dan Qalifh. Dia cemburu kepada Aqil kerana mempunyai keluarga kecil yang kelihatan sungguh sempurna yang tidak dimilikinya dan dia berasa cemburu terhadap Qalifh kerana dapat merasakan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah didapati oleh dirinya.
Tan Sri Mansur yang melihat dari belakang Haikal memandang anak tunggalnya itu silih berganti dengan memandang anak angkatnya. Kelihatannya Haikal seperti sedang cemburu melihat keadaan Aqil, Rina dan Qalifh. Dia berharap Haikal berubah menjadi seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab dan menjadi suami yang baik kepada Rina dan ayah yang penyayang kepada Qalifh. Itulah impian hidupnya ketika ini.
Share this novel