BB - BAB 8

Drama Completed 309212

HATI Qaireena tidak tenang saat mendengar tangisan Qaisara dihujung talian tadi.  Berulang kali dia bertanya kepada Qaisara apa sebenarnya yang berlaku sehingga adiknya itu menangis dan berada dalam ketakutan, namun Qaisara tetap tidak mahu memberitahunya dan tiba-tiba talian terus dimatikan.  Skuternya dipecut laju tanpa menghiraukan lagi keselamatan dirinya, apa yang ada difikirannya pada saat itu hanyalah tentang keselamatan Qaisara.  Di dalam hati dia berdoa memohon agar adiknya itu sentiasa berada dalam lindungan yang maha Esa.

Sampai sahaja di rumah, Qaireena terus berlari masuk untuk mencari Qaisara namun langkahnya terhenti di ruang tamu saat melihat beberapa orang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam rumah itu. Dilihatnya Encik Talib sedang terduduk dilantai dengan tangan yang diikat manakala wajahnya pula lebam-lebam dan bibir lelaki itu juga pecah seolah-olah baru sahaja habis dibelasah.  Jantung Qaireena berdegup pantas, ketakutan mula menyelubungi dirinya saat melihat situasi itu.

Dia kemudian menoleh pula ke arah Puan Azarina dan Qaisara yang sedang duduk di sofa.  Di kiri dan kanan mereka terdapat dua orang lelaki yang sedang mengacukan pisau ke arah mereka.  Dia melihat airmata yang mengalir di pipi Qaisara, dia yakin pasti adiknya itu sedang berada dalam ketakutan yang teramat sangat.

"Oh, ini amoi ke yang lu kata akan tolong bayar lu punya hutang sama gua?".  Seorang lelaki berbangsa cina yang sedang duduk bersandar di sofa, bersuara sambil memandang Qaireena.

"Ya, ini anak saudara saya, dia yang akan tolong bayarkan hutang saya pada awak".  Jawab Encik Talib.

"Apa ni Pak Ngah, Mak Ngah, hutang apa pula yang Reen perlu bayar?".  Soal Qaireena sambil memandang Puan Azarina dan Encik Talib silih berganti.  Dia benar-benar tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku pada waktu itu.

"Lu punya pak cik sudah pinjam gua punya duit, dia janji mau bayar gua lima ratus ringgit setiap minggu, tapi dia sudah banyak kali tipu gua.  Sekarang gua datang mau minta dia kasi langsai dia punya hutang semua termasuk itu bunga". Kata lelaki berbangsa cina itu lagi.  Wajah lelaki itu kelihatan sangat bengis manakala leher dan lengan lelaki itu pula dipenuhi dengan tattoo.

"Tapi saya tak ada duit nak bayarkan hutang dia Encik, tolong lepaskan adik saya, dia tak sihat Encik, tolonglah".  Rayu Qaireena pada lelaki berbangsa cina itu bersama airmata yang mula mengalir di pipinya.

"Lu punya pak cik cakap, lu ada banyak duit simpanan, sekarang lu pula cakap lu tak ada duit mau bayar dia punya hutang.  Lu olang jangan cuba-cuba mau tipu gua kalau lu olang masih mau hidup. Selagi lu olang tidak bayar gua punya duit, lu olang jangan harap gua kasi lepas lu olang semua".  Ugut lelaki berbangsa cina tersebut.

"Reen, tolonglah bayar hutang Pak Ngah tu dulu kalau Reen nak kita semua selamat".  Kata Encik Talib sambil memandang Qaireena.

"Pak Ngah yang berhutang, kenapa Reen pula yang nak bayarkan.  Reen baru bekerja selama seminggu, Reen mana ada duit yang banyak untuk bayar hutang Pak Ngah".  Ujar Qaireena.  Sungguh hatinya sakit saat melihat wajah dan mendengar suara lelaki itu.

"Reen pakailah dulu duit yang arwah ibu Reen tinggalkan pada Reen dan Sara tu.  Tolonglah Reen, Mak Ngah merayu pada Reen".  Kali ini Puan Azarina pula yang bersuara. 

"Dah berapa kali Reen cakap pada Mak Ngah yang duit tu arwah ibu simpan untuk kos pembedahan Sara.  Mak Ngah tak malu ke nak mengharapkan duit daripada anak saudara Mak Ngah yang yatim piatu ni?  Kenapa duit simpanan arwah ibu tu juga yang sering Mak Ngah persoalkan?".  Suara Qaireena mula meninggi.  Kemarahannya pada dua suami isteri itu sudah tidak dapat dikawal.

"Tolonglah Reen kalau kamu tak nak Sara dan kamu sekali mati malam ni bersama Mak Ngah dan Pak Ngah".  Celah Encik Talib lagi.

"Hei...Hei...Apa lu olang bising-bising depan gua?  Sekarang lu olang kasitau sama gua cepat, lu olang mau bayar duit gua atau tidak?".  Jerit lelaki berbangsa cina itu sambil bangun dari duduknya.  Bergema suaranya di segenap ruang tamu itu.

"Kak Reen, Sara takut".  Kata Qaisara bersama tangisnya.  Luluh hati Qaireena saat melihat tangisan adiknya itu.

"Berapa semua hutang dia?".  Soal Qaireena sambil memandang lelaki berbangsa cina itu.

"Dia punya hutang dua puluh libu, campur itu bunga, semua jadi empat puluh libu.  Gua mau lu olang bayar satu kali semua malam ini juga".  Tegas lelaki itu.  Matanya turut dihalakan kepada Qaireena.

"Apa yang Pak Ngah buat berhutang sampai banyak macam tu?".  Soal Qaireena sambil mengarahkan pandangannya kepada bapa saudaranya itu.  Encik Talib diam, tidak berani mahu menjawab pertanyaan Qaireena.

"Encik, saya akan bayar tapi saya tak dapat nak serahkan duit tu malam ni, sebab saya perlu pergi ke bank untuk keluarkan duit sebanyak itu.  Boleh encik berikan saya masa sehingga esok? Jangan risau saya takkan tipu encik sebab saya tak sama macam lelaki tu".  Kata Qaireena sambil menuding ke arah Encik Talib. 

Lelaki cina itu turut memandang ke arah Encik Talib sebelum pandangannya dihalakan semula kepada Qaireena.  Dia berfikir seketika untuk menimbangkan permintaan Qaireena.

"Kalau encik tak percaya, encik boleh bawa lelaki tu sebagai tebusan, kalau tak cukup, encik boleh bawa sekali isteri dia kecuali adik saya.  Esok bila saya dah keluarkan duit dari bank encik boleh datang dan ambil duit tu".  Ujar Qaireena cuba meyakinkan lelaki berbangsa cina itu. Dia langsung tidak kisah jika lelaki itu mahu menjadikan ibu dan bapa saudaranya sebagai tebusan asalkan bukan Qaisara.

"Baiklah, gua kasi muka sama lu sebab gua percaya yang lu tidak sama macam lu punya pak cik.  Tapi gua punya konco-konco akan awasi lu punya rumah dari luar sana.  Lu jangan cuba-cuba mau report polis kalau lu mau selamat".  Ugut lelaki itu.

"Jangan risau, saya tidak akan report polis".  Kata Qaireena.

Lelaki berbangsa cina itu mengangguk-aggukkan kepalanya.  Dia kemudian mengarahkan konco-konconya mengalihkan pisau yang diacukan kepada Qaisara dan Puan Azarina.  Perlahan dia menghampiri Encik Talib dan menarik rambut lelaki itu.

"Lu bernasib baik sebab lu punya anak saudara mau tolong lu, kalau tidak ini malam juga lu masuk itu neraka.  Ingat, lu jangan cuba-cuba mau keluar dari ini rumah selagi gua belum dapat itu duit.  Gua punya konco-konco akan awasi lu dari luar rumah.  Haiya...apa pasal lu kecil-kecil tak mau mati, sudah tua lu kasi susah sama gua saja".  Dia kemudian melepaskan rambut Encik Talib dan melangkah menuju ke pintu utama untuk keluar dari rumah itu.

Hilang sahaja lelaki berbangsa cina itu dari pandangannya, cepat-cepat Qaireena berlari mendapatkan Qaisara yang duduk di sofa.  Dipeluk adiknya itu dengan erat bersama airmata yang mengalir deras.

"Sara okay? Mereka ada cederakan Sara tak?".  Soal Qaireena sambil membelek wajah, leher dan tangan Qaisara.

"Sara okay Kak Reen, cuma Sara takut".  Jawab Qaisara bersama tangisannya.

"Sara jangan risau ya, Sara dah selamat.  Kak Reen akan lakukan apa sahaja demi Sara".  Pujuk Qaireena sambil mengesat airmata yang mengalir di pipi adiknya itu.

Setelah tangisan Qaisara reda, Qaireena menoleh ke arah Puan Azarina dengan pandangan yang tajam.

"Selepas Reen serahkan duit pada along tu esok, Reen nak Mak Ngah dan Pak Ngah keluar dari rumah ni.  Reen tak nak tengok langsung muka Mak Ngah dan Pak Ngah lagi dan Reen tak nak ada apa-apa kaitan pun dengan Mak Ngah dan Pak Ngah".  Keras suara Qaireena menuturkan ayat itu, rasa hormatnya kepada dua makhluk itu sudah hilang.

Puan Azarina dan suaminya hanya diam dan tunduk, tidak berani mahu menjawab kata-kata Qaireena.

••••••••••

Keesokan harinya, Qaireena terpaksa bercuti dan pergi ke bank untuk mengeluarkan duit bagi melangsaikan hutang ibu dan bapa saudaranya itu.  Dia mahu menyelesaikan perkara itu dengan segera, dia tidak mahu hidup dalam ketakutan dan penuh kerisauan.  Selepas ini dia nekad untuk menghalau Puan Azarina dan Encik Talib keluar dari rumah itu.

Tepat pukul 12 tengah hari, Along tersebut datang semula ke rumah Qaireena bersama beberapa orang konco-konconya.

"Macam mana amoi cantik, lu sudah kasi sedia gua punya duit ke?".  Soal lelaki berbangsa cina itu.

"Sudah encik, tapi sebelum saya serahkan duit ni, saya nak encik berjanji yang encik takkan ganggu keluarga saya lagi.  Saya juga nak encik tahu yang selepas ini saya tak nak ada apa-apa kaitan dengan lelaki itu.  Boleh?".  Kata Qaireena sambil menunjuk ke arah Encik Talib.

"Boleh.  Kalau lu tak tipu sama gua, gua juga tak akan tipu sama lu".  Jawab lelaki berbangsa cina itu.

"Baiklah, sekarang encik boleh ambil duit ni".  Sambil menghulurkan duit yang berjumlah empat puluh ribu kepada lelaki itu.

Setelah memastikan jumlah duit yang diterimanya adalah betul, lelaki yang bergelar along itu melangkah keluar dari rumah itu bersama konco-konconya.

"Terima kasih Reen sebab sudi tolong Mak Ngah dan Pak Ngah".  Ucap Puan Azarina sambil memandang Qaireena dengan senyuman dibibir.

Mendengar sahaja ucapan yang keluar dari mulut wanita itu, serta merta Qaireena menoleh ke arah Puan Azarina.  Senyuman sinis terukir di bibirnya bersama satu pandangan yang tajam.

"Reen buat bukan sebab nak tolong Mak Ngah dan Pak Ngah, tapi sebab Reen nak selamatkan nyawa Sara.  Kalau setakat nyawa Mak Ngah dan Pak Ngah Reen langsung tak kisah sedikit pun sebab itu adalah pilihan Mak Ngah dan Pak Ngah sendiri yang berani berhutang dengan along".  Qaireena sudah tidak peduli jika dia dilabelkan kurang ajar dan tidak menghormati orang yang lebih tua daripadanya kerana apa yang dilakukan oleh ibu dan bapa saudaranya itu benar-benar telah membuat dirinya hilang sabar.

"Macam yang Reen cakap semalam, Reen nak Mak Ngah dan Pak Ngah keluar dari rumah ni hari ni juga.  Reen tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan Mak Ngah dan Pak Ngah.  Cukuplah dengan apa yang berlaku semalam sehinggakan mengancam nyawa kami dua beradik, Reen tak nak masalah yang sama berulang lagi selepas ni.  Jadi tolong keluar dari rumah ni sekarang, Reen tak nak tengok lagi muka Mak Ngah dan Pak Ngah".  Sambung Qaireena lagi.

"Dasar tak mengenang budi, susah payah je Aza jaga mereka dua beradik semenjak Qamariyah meninggal dunia".  Kata Encik Talib. 

Terasa panas telinga Qaireena saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suami ibu saudaranya itu.

"Budi? Budi apa yang Mak Ngah dan Pak Ngah dah taburkan pada kami?  Selama arwah ibu ada, setiap kali ibu meminta tolong untuk menjaga Qaisara, setiap kali itu jugalah Mak Ngah meminta untuk dibayar upah.  Itu tak termasuk lagi duit yang Mak Ngah minta sesuka hati daripada ibu walaupun ibu tidak meminta apa-apa pertolongan daripada Mak Ngah".  Dada Qaireena mula berombak menahan rasa marahnya.

"Sampailah ibu dah meninggal dunia, Mak Ngah dan Pak Ngah berpindah ke sini, makan dan minum semuanya percuma, bila Mak Ngah minta duit, tak pernah Reen tak bagi seolah-olah Reen pula yang perlu menanggung kehidupan Mak Ngah dan Pak Ngah.  Apa yang Mak Ngah bersusah payah jaga kami?  Selama Reen bekerja, makan dan minum Sara, Reen juga yang sediakan, tak pernah Reen mengharap Mak Ngah untuk menguruskan Sara.  Dan sekarang Pak Ngah masih berani untuk berkata begitu pada Reen?".

"Reen maafkanlah Pak Ngah, dia tak sengaja nak kata macam tu.  Reen janganlah halau Mak Ngah dan Pak Ngah ya, kami tak ada tempat untuk dituju Reen".  Rayu Puan Azarina.

"Maaf, Reen dah tak mampu untuk tanggung kehidupan Mak Ngah suami isteri.  Duit yang ibu tinggalkan pun dah nak habis disebabkan terpaksa membayar along tadi.  Tolong keluar dari rumah ni, Reen dan Sara nak hidup dengan aman dan damai tanpa ada rasa takut dan risau.  Itu baru satu along, Reen tak tahu selepas ni akan ada berapa along lagi yang datang untuk menagih hutang daripada suami Mak Ngah tu.  Reen tak nak terlibat lagi".  Qaireena kemudian terus berlalu masuk ke dalam bilik Qaisara dan meninggalkan dua suami isteri itu di situ.

••••••••••

Qaireena berdiri bersandar pada skuter sementara menunggu pesanan pelanggannya siap.  Jauh dia termenung memikirkan bagaimana dia mahu menambah sumber pendapatannya. Wang yang dikumpulkan oleh arwah Puan Qamariyah sudah pun berkurang disebabkan dia membayar hutang along ibu dan bapa saudaranya pada minggu lalu. 

Rawatan kemoterapi untuk Qaisara akan dimulakan pada minggu hadapan dan selepas itu pembedahan pemindahan tulang sum sum perlu dijalankan dengan segera.  Namun wang untuk membayar kos pembedahan itu masih belum mencukupi.  Sungguh dia benar-benar buntu apabila memikirkan tentang perkara itu. 

Seketika dia tersedar apabila mendengar suara pelayan restoran itu menegurnya.  Huluran bungkusan makanan daripada pelayan itu disambutnya bersama senyuman dibibir.  Selesai memasukkan bungkusan makanan tersebut ke dalam beg dibelakangnya dia terus menuju ke destinasi yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.

"Alamak, baru aku teringat yang aku ada terlanggar kereta orang dekat sini minggu lalu".  Katanya sendirian apabila dia sampai ke destinasi untuk menghantar pesanan pelanggannya.

Dia turun dari skuternya dan mengeluarkan bungkusan makanan dari beg penyimpanan yang dibawanya. Qaireena kemudian melangkah masuk ke dalam bangunan itu.

"Aduh, minggu lalu hilang empat puluh ribu bayar along, hari ni hilang berapa ribu pula nak bayar ganti rugi kereta pak cik muka ketat tu".  Bebel Qaireena lagi.  Dia bercakap sendirian di sepanjang jalan mahu memasuki bangunan tersebut.

Happy Reading korang.. Esok mungkin tak ada update sebab Jue kena bekerja dari office...jangan marah ye :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience