Sejurus bertegur sapa bersama kedua-dua orang tua mereka, Adi Ashraf dan Ariana Atilia memohon untuk berehat di dalam bilik terlebih dahulu. Puan Ratna dan Encik Marzuki membenarkan tanda memahami keadaan pasangan suami isteri itu.
"Pergilah rehat. Nanti mama panggil bila makan malam dah siap." ujar Puan Ratna sambil memegang tangan Ariana Atilia. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.
"Baik mama. Nak Riana tolong ke? Atau ada apa-apa yang Riana boleh tolong?" soal Ariana Atilia cuba meringankan beban ibu mertuanya. Namun ditolak lembut oleh Puan Ratna.
"Tak apalah Riana. Riana dengan Adi rehat dulu. Biar mama uruskan semuanya. Lagipun Akid dengan Mai pun ada nak tolong mama. Betul kan?" balas Puan Ratna sambil menanyakan kepada Akid Ahnaf dan Maisarah.
Laju sahaja kedua-dua manusia itu mengangguk tanda mengiyakan. Mengundang tawa daripada Ariana Atilia. Akhirnya, dia meminta diri untuk berehat bersama Adi Ashraf yang telah pun berada di dalam bilik mereka berdua.
Tombol pintu dipulas perlahan cuba untuk tidak menganggu suaminya yang sedang berehat. Daun pintu yang terbuka sedikit menampakkan sekujur tubuh Adi Ashraf yang telah selamat dibuai mimpi.
Perlahan-perlahan, Ariana Atilia menutup kembali pintu biliknya lalu berjalan berjengket-jengket untuk mengelakkan bunyi bising yang akan menganggu lena suaminya itu. Sebaik dia sampai pada penjuru katil, punggungnya dilabuhkan. Sebuah keluhan kecil keluar dari bibir Ariana Atilia.
Tudung yang melilit kepalanya dibuka dengan berhati-hati lalu diletakkan di dalam bakul baju kotor yang disediakan. Angin sejuk daripada pendingin hawa yang dipasang meniup lembut rambut hitam miliknya.
Sengaja dibiarkan rambutnya itu terlepas daripada sebarang ikatan untuk membenarkan kulit kepalanya bernafas selepas seharian diikat. Tangannya meraup rambutnya yang jatuh pada wajahnya ke belakang. Kepalanya pula disandarkan pada kepala katil.
"Ah, leganya." gumam Ariana Atilia. Dia sudah membayangkan kenikmatan mandian hangat yang akan melegakan segala kelenguhan yang dirasai oleh otot-ototnya pada ketika ini. Matanya dipejam rapat untuk seketika.
Otaknya mula memproses segala maklumat yang terjadi pada hari ini sebelum diulit mimpi. Satu persatu perkara yang terjadi pada hari tersebut terlayar di minda. Sehingga dia tersedar akan sesuatu.
"Kenduri doa selamat." bisik Ariana Atilia membuka mata. Terduduk terus dibuatnya apabila menyedari kenduri yang akan diadakan oleh ibu mertuanya membuka sebuah peluang.
Peluang untuk dia memperkenalkan Haris Irfan kepada keluarga mertuanya untuk mengelakkan salah faham pada masa yang akan datang. Dalam pada masa yang sama, dapat memperbaiki hubungan rakan baik lelakinya itu bersama suaminya.
Serta-merta, pandangannya tertancap pada Adi Ashraf yang sedang lena disebelah. Dia berkira-kira mahu mengejut suaminya kerana serba salah menganggu lelaki itu berehat.
Lagipun, apa pula kata Adi Ashraf sekiranya dia mengejut lelaki itu daripada tidur semata-mata untuk bercakap tentang Haris Irfan. Apatah lagi apabila punca mereka bertengkar sebelum ini adalah kerana Haris Irfan juga.
"Hmmm..." gumam Ariana Atilia bersendirian. Dia sendiri buntu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berbaring di sebelah Adi Ashraf.
Dia menongkat dagu sambil menghadap wajah Adi Ashraf yang kelihatan tenang di dalam tidurnya. Membuatkan dia semakin serba salah untuk mengejut lelaki itu.
"Esok jelah." ucap Ariana Atilia berputus asa. Wajahnya sengaja didekatkan pada suaminya ingin memeriksa sekiranya Adi Ashraf benar-benar lena.
"Apa kau cuba buat ni, Riana?" soal Adi Ashraf dengan suara yang serak basah secara tiba-tiba.
Anak mata Ariana Atilia membulat. Dia hampir tersedak air liur sendiri apabila menyedari Adi Ashraf telah tersedar daripada lena.
"A...ku nak tanya kau something. T-tapi kau tidur. Sorry sangat kacau kau tidur!" ucap Ariana Atilia tergagap-gagap sambil menutup mata. Adi Ashraf menahan tawa.
Wajah isterinya yang sedang merah menahan malu membuatkan dia tersenyum. Terlalu comel isteri dia seorang ni. Aip.
"Hmmm... Nak tanya apa? Cepatlah." soal Adi Ashraf sambil memejamkan matanya semula. Tubuhnya baring mengiring menghadap isterinya yang berada di sebelah.
"Erm, betul ni kau tak marah kalau aku tanya?" soal Ariana Atilia mahukan kepastian. Kelopak matanya dibuka. Pandangannya yang gelap tadi berganti dengan wajah kacak milik suaminya.
"Iya, cepatlah. Aku tidur balik nanti." ugut Adi Ashraf sambil membuka sebelah matanya. Cuba mengerling ke arah isterinya itu.
"Okay!"
Sedaya upaya senyuman yang mahu terukir dibibir ditahan oleh Adi Ashraf. Seronok dapat mengenakan Ariana Atilia sekali sekala. Dia menunggu kata-kata isterinya yang seterusnya.
"Ash... boleh tak kalau, Kalau aku ajak Haris datang kenduri doa selamat kita sekali? Please? Please..." rayu Ariana Atilia sambil menyatukan kedua-dua belah tangan dihadapan wajahnya.
Senyap. Tiada balasan daripada Adi Ashraf. Keluhan kecil terlepas daripada bibir nipis milik Ariana Atilia. Dia menyesal serta merta sebaik idea itu terfikir oleh akalnya.
Apa yang dia fikir sehingga berani menyuarakan ideanya itu kepada suaminya. Apa kau buat ni, Ariana? Dia meraup muka dengan kasar.
Jari telunjuknya dicucuk pada lengan suaminya cuba memohon perhatian. Perbuatan itu dilakukan beberapa kali sehingga Adi Ashraf mula memberikan respons.
"Ash... Sorry sebab kacau kau tidur. Termasuk buat kau marah ke apa. Aku janji tak cakap pasal Haris dah. Aku okay kalau kau tak bagi dia datang kenduri doa selamat kita. Janji kau tak marah dekat aku. Sorry." pinta Ariana Atilia serba salah. Kepalanya ditundukkan.
Namun masih tiada balasan daripada Adi Ashraf. Membuatkan Ariana Atilia memuncungkan bibir dihurung perasaan bersalah. Mulut ni pun satu alahai. Marah gadis itu di dalam hati. Tubuhnya dipusing membelakangi suaminya.
"Siapa kata aku marah kau?" tegur Adi Ashraf mula bersuara. Matanya masih dipejamkan.
Kata-kata Adi Ashraf menarik perhatian Ariana Atilia serta-merta. Kepalanya diangkat sekelip mata untuk menemui pandangan redup suaminya. Bahkan terlalu cepat. Nasib tak patah saja leher akibat daripada perbuatannya itu.
"Betul ni? Betul ni kau tak marah?" tanya Ariana Atilia memohon kepastian. Lengan suaminya digoncangkan sedikit. Risau sekiranya dia diberikan harapan palsu. Sinar kegembiraan yang terpancar di wajahnya tak dapat disembunyikan lagi.
Tubuhnya kini baring menghadap wajah Adi Ashraf sepenuhnya. Lambat-lambat, suaminya melakukan perkara yang sama. Menjadikan mereka berdepan dengan wajah masing-masing.
"Iya. Aku tak marah. Aku tak kisah kau nak ajak Haris ke siapa. Asalkan kau bagitahu aku dulu. Faham?" lembut Adi Ashraf membalas lalu membuka mata. Wajah isterinya direnung.
Laju sahaja Ariana Atilia mengangguk. Dirinya tersengih kerang. Tanpa amaran, lengan suaminya itu dipaut erat. Membuatkan tubuh sasa lelaki itu hampir terdorong memerangkap tubuh kecil milik Ariana.
Sebuah ciuman hangat dihadiahkan di pipi kanan milik Adi Ashraf oleh Ariana Atilia. Kedengaran tawa halus memenuhi ruangan bilik tersebut. Adi Ashraf diam tak berkutik.
"Thank you, Ash!" ucap Ariana Atilia penuh gembira kepada suaminya sebelum berlalu pergi untuk membersihkan diri. Meninggalkan Adi yang masih terkejut dengan perbuatan isterinya.
Tak lama kemudian, Adi Ashraf sekadar memejamkan mata mencuba untuk menyambung lenanya yang terganggu sebentar tadi.
Dalam masa yang sama, dia berusaha menahan senyuman yang mahu terukir di bibir setiap kali perbuatan isterinya terlintas di fikiran.
:?:••:?:••:?:•???•:?:••:?:••:?:
Sebaik selesai membersihkan diri, Ariana Atilia keluar dari bilik untuk membantu mertuanya. Atau lebih tepat lagi, untuk mengelak daripada bertembung dengan Adi Ashraf selepas perbuatan mengejutnya itu.
"Ya Allah, malunya." gumam Ariana Atilia sendiri sambil meraup muka. Terlalu malu dengan perbuatannya sendiri. Kakinya masih meneruskan langkah ke ruang tamu.
"Akid ke kanan sikit. Itu kiri, bukan kanan!"
Kedengaran rungutan Puan Ratna sambil bercekak pinggang. Tangan kanannya mengurut pelipis kepalanya yang mula sakit.
Suara ibu mertuanya yang memetir itu menerjah ke dalam gegendang telinga Ariana Atilia. Lantas, pandangan matanya menemui pasangan ibu dan anak itu sedang sibuk menyusun atur susunan perabot untuk kenduri doa selamat yang bakal diadakan.
Perasaan serba salah mula menerpa di dalam diri Ariana Atilia apabila melihat keadaan ibu mertuanya yang sedikit tertekan itu. Dia tahu mertuanya hanya mahukan terbaik. Tetapi jika sampai memudaratkan diri itu membuatkan Ariana susah hati.
"Mama, biar Riana tolong. Mama rehat dulu eh. Riana tahu mama penat jugak." pujuk Ariana Atilia mula mendekati Puan Ratna. Lengan wanita itu diusap lembut.
"Sikit je lagi ni, Riana. Lepas ni mama rehat. Riana tu yang pergi rehat." balas Puan Ratna cuba menolak dengan baik cadangan menantunya itu. Dia tahu anak menantunya itu sedang merisaukan dirinya.
Itu sahaja sudah membuatkan dia lebih daripada bersyukur kerana mempunyai menantu sebaik Ariana Atilia. Tetapi dia perlu juga selesaikan perkara ini sendiri. Tiada guna kalau dia berehat jika kerjanya yang satu ni masih belum selesai.
Ariana Atilia yang mendengar mengangguk tanda memahami. Tak ada niat untuk membantah atau meneruskan lagi pujukannya terhadap ibu mertuanya. Kalau itu yang dimahukan olehnya, dia hanya akur. Tetapi tak semudah itu.
"Kalau macam tu biar Riana tolong mama sekali. Lepas tu kita berdua rehat sama-sama, boleh?" pujuk Ariana Atilia pula.
Puan Ratna mengangguk tanda bersetuju. Bibirnya mengoyak senyuman nipis. Dia benar-benar menghargai segala usaha menantunya itu untuk cuba meringankan beban dirinya.
"Boleh. Riana tolong ambikkan buah tangan untuk tetamu kita dalam bilik tetamu belah kiri dekat atas." pinta Puan Ratna lembut.
"Mama ni nak letak dekat mana pulak?" celah Akid Ahnaf yang muncul diantara mereka. Jelas kelihatan butir-butir peluh mula merenik di dahi lelaki itu.
Puan Ratna mengeleng kepala. Ariana Atilia pula sekadar membiarkan anak beranak itu meneruskan kerja yang tergendala sebentar tadi. Dia mengorak langkah untuk mengambil barang yang dipinta oleh mertuanya.
"Hmm yang mana satu ni?" soal Ariana Atilia sendirian. Pandangannya jatuh pada dua buah bilik yang berada dihadapannya kini.
Salah satu tombol pintu bilik tersebut dipulas. Hanya satu sahaja yang tidak berkunci. Mungkin disitu terletaknya barang yang dipinta Puan Ratna. Tanpa berlengah, Ariana Atilia menapak masuk ke dalam bilik tersebut.
Pandangannya diliarkan ke seluruh pelusuk bilik. Sebuah katil yang kelihatan seperti tidak terusik menghairankan dirinya. Manakala sebuah rak buku yang tersusun kemas menarik perhatiannya serta merta. Terlupa sudah tujuan sebenarnya datang ke situ.
"Bilik siapa ni?" soal Ariana Atilia pelik. Sebuah buku yang terletak di rak tersebut diambil. Cuba mengetahui pemilik buku tersebut dan bilik yang dia berada pada ketika ini.
Niatnya bukan nak menyibuk. Tapi disebabkan rasa ingin tahunya telah menguasai segalanya. Sebaik dia membuka kulit buku tersebut, jelas tertulis sebaris nama pemilik tersebut.
Mawar Adriana.
"Riana..." panggil satu suara dari luar bilik sehingga mengejutkan Ariana Atilia. Tanpa sengaja, buku itu terlepas daripada pegangannya. Dia mula panik.
"Riana, ada jumpa tak-" kata-kata Puan Ratna terpotong apabila melihat sebuah buku yang berada diatas lantai itu. Riak wajahnya yang ceria tadi bertukar serta-merta.
"Mama, Riana minta maaf. Riana-" rayuan Ariana Atilia terhenti apabila Puan Ratna mengeleng kepala. Cuba memberikan isyarat bahawa dirinya tak bersalah dalam hal ini.
Lambat-lambat, Puan Ratna mengambil semula buku yang masih berada diatas lantai bilik tersebut. Lalu, dia melabuhkan punggung di penjuru katil. Tangannya menepuk lembut tempat disebelahnya mengajak Ariana Atilia untuk duduk.
Ariana Atilia hanya diam dan akur. Mulutnya bagai terkunci untuk berkata apa-apa pada saat ini. Tidak tahu apa reaksi yang bakal ditunjukkan oleh mertuanya.
Keadaan yang senyap dan tenang diantara mereka membuatkan hati Ariana Atilia resah. Lebih-lebih lagi, apabila Puan Ratna tidak berkata apa-apa. Sehinggalah tangan kanannya diambil ke dalam gengaman mertuanya itu.
"Mama rindu sangat dekat Mawar." ucap Puan Ratna sungguh perlahan. Ibarat bisikan angin. Segala rasa rindu yang ditanggung oleh dirinya selama ini bagai diluahkan bersama kata-kata yang meluncur keluar dari bibir wanita tua itu.
Ariana Atilia berasa simpati tentang kehilangan Mawar Adriana dari keluarga suaminya. Ternyata pemergian gadis yang tak pernah dikenalinya itu benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap keluarga tersebut.
"Mama, jangan macam ni. Riana yakin Mawar mesti tak nak mama sedih." pujuk Ariana Atilia lalu menarik mertuanya itu ke dalam pelukan. Dia sendiri tahu bagaimana rasa kehilangan orang yang tersayang.
Bahkan dia sendiri pernah melalui perkara yang sama. Oleh itu, dia tak mahu mertuanya itu melalui perkara yang memeritkan itu lagi. Mereka perlu tabah dalam meneruskan kehidupan.
Tak lama kemudian, Puan Ratna meleraikan pelukan. Air matanya yang mengalir di pipi diseka. Dia mengukir senyuman nipis kepada Ariana Atilia.
"Mama tak tahu nak cakap macam mana. Tapi terima kasih, Riana. Mama minta maaf sebab terlalu ikutkan perasaan sampai tak sedar yang mama menangis sebab rindukan arwah. Maafkan mama kalau buat Riana rasa tak selesa." pinta Puan Ratna serba salah. Sedikit malu dengan dirinya.
"Mama, Riana faham. Walaupun Riana tak pernah kenal atau jumpa dengan arwah, Riana yakin yang Riana akan rindukan arwah Mawar juga macam mana mama rindukan Mawar." balas Ariana Atilia cuba melegakan hati mertuanya itu. Ternyata apa dikatakan oleh dirinya benar sama sekali.
Dari situ, Ariana Atilia sedar bahwa dia memang takkan dapat menggantikan arwah Mawar Adriana. Ataupun menjadi seperti Mawar Adriana sepenuhnya. Kerana dia adalah dia.
Bukan Mawar Adriana.
Tetapi dia mungkin akan menjadikan Mawar Adriana sebagai mentor dalam kehidupannya selepas ini. Kerana rasa kagum dengan wanita itu yang berjaya disayangi dan diingati oleh semua orang walaupun apabila telah tiada.
Hanya satu persoalan yang tinggal dibenak fikiran Ariana Atilia.
Mampukah dia?
-To be continued...-
Happy Cov-eid!?????
Hope you all enjoy reading ??
Don't forget to vote??
Leave some comment too??
Share this novel