Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar lagi.
“Ya Allah, aku lupa Razi dah tukar nombor. Aduh, apa aku nak buat ni?” Pakcik Johari mundar-mandir di kawasan masjid. Dia tidak tahu apa yang perlu dibuat olehnya.
Sementara itu, di rumah Tok Mat pula, Rusyidah sedang menyiapkan juadah berbuka puasa untuk keluarganya yang tercinta. Tok Mat hanya mendiamkan diri apabila Rusyidah memandang wajah orang tuanya itu. Rusyidah mahu berkata sesuatu kepada Tok Mat namun niatnya terhenti apabila ada orang memberi salam di luar rumah.
“Assalamualaikum!” Suara lelaki memberi salam kedengaran sekali lagi.
“Pergi tengok siapa tu.” Tok Mat menyuruh Rusyidah melihat siapa yang datang. Rusyidah pergi menjenguk ke arah tingkapnya. Rupa-rupanya Razi. Razi tersenyum apabila Rusyidah membuka pintu rumahnya.
“Awak rupanya. Saya ingatkan siapalah tadi.” Rusyidah melihat Razi membawa sesuatu. Razi menghentikan enjin motosikalnya. Razi kemudiannya memberikan beg plastik yang dipegang olehnya kepada Rusyidah.
“Nah, sup ayam yang orang masjid buat tadi. Sepatutnya saya hantar semua bungkusan ni dekat semua orang fakir miskin dekat kampung kita tapi saya takut pulak saya tak dapat simpan bungkusan ni untuk awak. Sebab tu saya datang sini dulu.” Kata Razi kepada Rusyidah. Rusyidah tersenyum kecil.
“Awak ni buat susah je. Tak apalah awak. Lagipun awak layan saya ni baik sangat.” Puji Rusyidah kepada Razi. Wajah Razi berubah menjadi merah padam kerana malu. Tanpa disedari, Tok Mat sedang mencuri dengar perbualan Rusyidah dan Razi di sebalik pintu rumahnya.
“Syawal ni ialah syawal yang terakhir buat awak. Awak dah sedia ke?” Tanya Razi. Rusyidah serba salah. Jika ditelan mati emak, jika diluah mati bapak. Rusyidah hanya sekadar mengangguk perlahan. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan ibu bapanya.
Share this novel