KERETAdiparkirkan ditempat yang disediakan. Cermin mata hitam
ditanggalkan dan dibiarkan di dalam kereta. Pintu kereta dibuka. Dia
melangkah keluar dari perut kereta dan berjalan dengan penuh bergaya
menuju ke dewan kuliah. Dia tersenyum kepada semua yang memandangnya
seperti tak pernah melihat orang. Sampai di dewan kuliah, dia mengambil
tempat di bahagian belakang sekali. Ketika dia duduk, pelajar perempuan
tak habis-habis merenung ke wajah kacaknya.
Beberapa minit kemudian, pensyarah mula masuk. Mata Doktor
Azman meliar memerhatikan ke semua pelajarnya. “Mana Harraz?” tanya
Doktor Azman apabila tak melihat kelibat Harraz. Di dalam rekod
kehadiran ada tandatangan lelaki itu.
“Saya, doktor.” Lelaki kacak itu mula berdiri dan tersenyum.
Semua pelajar sudah ternganga. Mereka tak menyangka lelaki
lembut yang sering mereka sindir, sudah berubah menjadi sangat kacak.
Jalannya pula sudah tak lemah gemalai lagi.
“Subhanallah... macam mana awak boleh berubah sampai macam
ni sekali, Harraz?” tanya Doktor Azman tak percaya.
“Semuanya atas kehendak Allah. Kalau kita berusaha, pasti
apa yang kita lakukan itu akan membuahkan hasil,” jawab Harraz tenang.
“Okey, awak boleh duduk,” arah Doktor Azman. Kemudian sesi
pembelajaran bermula.
*****
SELEPAStamat kuliah, Harraz bergegas keluar dari dewan kuliah. Tujuannya
hanya satu... mahu mencari Izzah. Tempat pertama yang dituju adalah
taman. Dia melangkah laju menuju ke pokok yang telah menjadi saksi
pertemuannya dan Izzah. Dari jauh dia terlihat kelibat seorang gadis
yang sedang berdiri menghadap batang pokok. Dia melajukan lagi
langkahnya. “Awak nak buat apa tu?” tegurnya apabila melihat Izzah
seperti mahu menoreh nama yang pernah diukir dulu.
Izzah tersentak apabila mendengar suara yang amat
dikenalinya. Dia berpaling ke belakang. “Awak ni siapa?” tanyanya
apabila lelaki yang tak dikenali itu menghampirinya.
“Awak tak kenal saya ke?” Harraz membawa tangannya ke dada.
Izzah menggeleng laju.
“Saya Raz... Harraz Fayyadh...”
Izzah terjelepok sebaik saja mendengar sebaris nama yang
ingin dilupakan. “Tak. Saya tak percaya. Awak tipu, kan? Harraz bukan
macam ni. Dia lelaki lembut. Rambut dia disisir belah tepi, bukan belah
tengah macam awak! Dia pakai cermin mata tapi awak tak.” Dia menerangkan
ciri-ciri Harraz.
Harraz duduk di depan Izzah. Dia mengeluarkan sebuah buku
dari beg sandangnya. Buku itu diselak lantas mengeluarkan bunga raya
yang telah layu. Bunga itu diserahkan kepada Izzah.
Izzah menyambutnya dan membelek bunga itu. Dia memandang
Harraz. “Betul awak ni Harraz?” soalnya ingin kepastian.
Harraz mengangguk sambil tersenyum.
Lesung pipit tu memang milik Harraz. “Kenapa awak berubah?”
“Sebab saya tak nak awak malu bila keluar dengan saya. Biar
saya dihina tapi saya tak sanggup tengok awak dihina disebabkan saya.”
Harraz merenung lembut wajah Izzah.
“Dah terlambat, Raz... dah terlambat...” Izzah bersandar
pada batang pokok.
“Kenapa? Awak dah ada orang lain ke?” Wajah Harraz berubah
kecewa.
“Bukan saya tapi awak! Awak milik orang lain sekarang,” ujar
Izzah lemah.
“Saya milik siapa?” Harraz tak faham apa yang dikatakan oleh
Izzah.
“Awak milik isteri dan anak awaklah!” jawab Izzah sedikit marah.
Harraz terkejut. “Apa yang awak merepek ni? Bila masa saya
kahwin?”
“Saya nampak awak dengan seorang perempuan mengandung kat
shopping complex dulu.” Izzah tundukkan wajah, tak sanggup mendengar
pengakuan Harraz.
“Hahaha...” Harraz ketawa kuat.
Izzah mengangkat mukanya semula. “Kenapa awak gelak? Kelakar
sangat ke bila rahsia awak dah terbongkar? Patutlah selama ni bila saya
ajak couple awak tolak!”
“Kalau awak nak tahu, perempuan mengandung tu, kak long
sayalah.”
Wajah Izzah mula memerah. “Awak tak tipu?” Dalam hati ada
bunga-bunga kegembiraan mula tumbuh.
“Betul. Kalau awak tak percaya nanti saya bawak awak jumpa
kak long saya.”
Izzah mula tersenyum. “Awak kata awak dah buang bunga ni?
Tapi kenapa masih ada pada awak?”
“Saya tak buang pun. Saya tipu awak sebab nak awak putus asa
dan cari lelaki lain yang lebih sesuai dengan awak. Awak nak buat apa
dengan nama tu tadi?” soal Harraz apabila teringat perbuatan Izzah
ketika dia baru sampai tadi.
“Saya nak toreh sampai hilang nama tu.”
“Kenapa?”
“Sebab saya ingat orang yang saya cinta ni milik orang
lain.” Izzah menundukkan muka.
“Ooo... sebab nilah awak tak cari saya seminggu sebelum cuti
tu eh? Patutlah saya tunggu perigi saya tak muncul-muncul...” Harraz
mulai faham.
Izzah tersipu malu.
“Lepas tiga bulan bercuti akhirnya Encik Timba dah berjumpa
semula dengan Cik Perigi yang menghilangkan diri sebab salah faham.”
Harraz senyum. Dia menarik nafas. “Izzah Qhaireena, awak nak couple
dengan saya tak?”
Izzah mengangkat wajahnya. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Raz...” panggilnya.
“Ya?”
“Mana mata awak?”
“Ni bukan mata saya ke?” Harraz menunjuk ke matanya.
“Anak mata awak bukan warna hazel ke? Kenapa warna hitam?”
Izzah menjungkit keningnya.
Harraz tergelak mendengar pertanyaan Izzah. Dia menanggalkan
kanta lekapnya. “Kalau saya bukak kanta ni saya tak nampak,” adunya,
manja.
“Mana cermin mata awak?” soal Izzah lagi.
Harraz mengeluarkan cermin mata bingkai hitamnya dari dalam
beg lalu memakainya.
“Ini baru Raz saya. Kalau awak tak berubah pun saya akan
tetap terima awak,” ujar Izzah ikhlas.
“Saya tahu...” Harraz tersenyum.
“Hah! Kat sini rupanya Cik Perigi dengan Encik Timba! Jom
kita lepak kat kafe. Yang lain dah tunggu tu,” ajak Fadhli yang
tiba-tiba muncul. Mana mungkin dia tak mengenali Harraz apabila satu
kampus sudah heboh dengan berita perubahan lelaki itu.
Harraz dan Izzah mula bangkit lalu mengekori langkah Fadhli
meninggalkan kawasan taman. Taman yang menjadi saksi bermulanya kisah di
antara Cik Perigi dan Encik Timba.
Share this novel