BAB 9

Romance Completed 4092

ESOK pagi aku bersiap-siap untuk menghadiri kuliah bagi semester ketiga. Berdebar juga rasa hati menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu sekali lagi. Hampir enam bulan aku meninggalkan ruang ilmu itu. Kali ini, aku kembali dengan imej baru. Aku pasti, mereka tidak akan mengenali wajah aku sekarang. Terlalu berbeza dan ketara jika hendak dibandingkan dengan Yasmin yang dulu. Seawal jam 8 pagi, aku sudah terpacak rapi di kolej masakan itu. Mujurlah Syima sudah datang. Aku segera menghampirinya.

“Awal kau sampai pagi ni? ” Soal Syima sebaik melihat kehadiran aku di sisinya.

“Eh, mestilah awal. Pagi ni kan hari pertama di semester baru. Lagipun aku dah tak sabar nak study macam dulu. Mesti seronok, kan.”

“Hai, lain macam saja bunyi. Entah-entah, teruja nak tengok buah hati tak?” Syima tersengih-sengih memandang wajahku.

“Buah hati siapa? Kau ni kalau bercakap biarlah berlapik sikit. Nanti ada orang dengar masaklah aku jawabnya. Oh ya, aku hampir terlupa tadi. Sepatutnya kita berdua tak boleh rapat macam ni. Tak pasal-pasal nanti rahsia aku pecah.”

Aku menepuk dahi beberapa kali. Baru aku teringat tujuan sebenar aku pagi ini. Aku mempunyai rancangan tersendiri untuk mengaburi mata rakan-rakan sekuliah. Aku tidak mahu mereka tahu siapa aku sebenarnya. Hanya Syima seorang sahaja yang mengetahui identiti diri aku. Fuad pun tidak tahu akan hal ini. Rahsia ini aku harus simpan baik-baik. Sampai masanya nanti, mereka akan tahu juga siapa aku.

“Okeylah, Min. Nasib baik kau ingatkan aku. Kalau tak, penat-penat aje usaha kau selama ini, kan. Lebih baik kita berpecah sekarang. Nanti dah ramai orang susah pula. Aku pergi dulu tau.”

Syima meminta izin sebelum pergi meninggalkanku. Aku tersenyum melihat gaya dia berjalan. Kelakar sangat. Mujurlah Syima sudi bekerjasama dengan aku. Hanya dia sahabat yang memahami perasaan aku selama ini. Terima kasih Syima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience