"AWAK!" Panggil satu suara kecil dari belakang. Mengah dia mengejar walau bukan berlari tetapi terbang. Sayapnya halus tidak seperti burung, jadi dia bukannya boleh terbang laju sangat dengan ditimpa air hujan lagi.
Saryleyla enggan menoleh belakang. Dia tetap berlari meredah belukar dan denai berbecak kerana dia pasti dua orang lelaki tadi akan mengejar dia.
"Apa salah aku sampai dikejar sebegini?" Saryleyla menyoal sambil dia berlari, sambil itu terkesat-kesat airmata yang mengalir keluar. Lariannya tempang. Terkadang hampir tersasar dirempuh batang-batang kayu mahu pun batu-batu hampir menyembah bumi. Dia tidak ada tenaga sudahlah tidak menjamah sebarang makanan lagi.
"Apa salah aku, Ratana!!!" Dia memekik lalu terjelepuk jatuh atas tanah kakinya benar-benar bilamana wajah penuh kepuasan Ratu Ratana menjelma di hadapan mata. Dan si pari-pari yang semakin perlahan kibasan sayap jernihnya, hinggap atas bahu Saryleyla.
"Awak janganlah menangis macam ini…" Dia cuba memujuk dengan suara kecilnya. Saryleyla menangis teresak-esak. Wajahnya kian kotor, di cemari tanah lembap kerana tindakan mengesat-ngesat airmatanya itu.
"Apa salah aku? kenapa kau begitu benci sekali pada aku?" Saryleyla menyoal lantas mendongak ke langit yang mendung dan masih lagi hujan.
"Ibu… bantu leyla bu…"
Istana Durga,
RATU RATANA bergerak pantas mendapatkan tongkat sakti berkepala cenderawasihnya itu. "Argh!!!" Ratu Ratana memekik dengan tubuh tanpa alasnya kerana baru lepas 'bersiram purnama' direnjati satu tenaga pelik, umpama voltan elektrik. Bercahaya putih tidak ubah warna sang petir di langit kelam.
"Ratu!!!" Pekik si bongkok mengangkat tangannya lantas cairan ais memancut keluar ke arah tubuh menggelepar di hadapan. Tanpa kedua mereka sedar, cermin sakti berkerawang indah dalam pegangan tangan burung phoenix, sudah memaparkan wajah ayu milik Saryleyla.
Ratu Ratana terduduk dan si bongkok laju mendapatkan tubuh lesu berbau asap itu. Tapak tangan kanan diangkat setelah berkumat-kamit, munculnya sehelai kain gebar lalu diserkup atas bahu si ratu bertujuan memanaskan tubuh sejuk beku itu.
"Apa makna semua ini? Jarang sekali cuaca di luar istana sebegini? Ratu?" Si bongkok memanggil pabila melihat Ratu Ratana sudah kembali seperti sediakala. Namun wajahnya sangat tegang.
"Si bongkok jelaskan pada beta!" Arahnya tegas serta masih terkejut. Si bongkok terangguk-angguk.
"Mengikut renungan patik, Tuanku Ratu terkena 'hantaran' seseorang…" Kata si bongkok sambil terpejam mata dengan membilang rantai tasbih besar dan terangguk-angguk. Sosek-sosek dalam bahasa kuno itu bagaikan pembawa berita.
"Cis! Bedebah! Siapakah dia yang berani-berani mahu melawan kekuasaan aku, Ratu Ratana!" Melengking-lengking suaranya. Bergemaan dalam kamar seluas padang itu.
Langsung terbuka mata si bongkok berjubah kain guni itu dan panjang helaan nafasnya.
"Ada satu lagi berita yang mahu patik sampaikan pada Tuanku Ratu," sahut si bongkok sambil mata mengerling ke arah cermin sakti di belakang Ratu Ratana masih bercahaya.
"Apa dia? Kau jangan nak bermain-main dengan aku!" Ratu Ratana bernada ancaman. Tapak tangan yang terbuka, serta-merta munculnya cahaya kekuningan bercampur merah umpama api yang sedang marak.
Petanda hati sang pemerintah tanah Qalha dibajai amarah nan membara. Tidak beberapa minit hati menjamahi rasa gembira dengan tak semena-mena ini pula yang terjadi. Tidak pernah tongkat sakti pusaka menjadi sedemikian rupa.
"Patik rasa, ada eloknya jikalau Tuanku Ratu berehat dahulu barang sehari. Tak usahlah Tuanku Ratu khuatir pada perkara ini biar patik usahakan sesuatu kerana ia tidak begitu membahaya diri Tuanku Ratu…"
"Hmm… jika begitu kata kamu, si bongkok baiklah. Tapi kau ingat pastikan apa yang akan kau buat itu berjaya. Aku tak mahu dengar pada sebarang kegagalan. Ingat itu!"
"Baiklah Tuanku Ratu. Patik menjunjung perintah…" Si bongkok menjawab tetap dengan tenang walau hatinya bergelodak saat itu. Dia tetap mengerling ke arah cermin sakti tanpa Ratu Ratana sedari. Memang ratu tanah Qalha itu tidak boleh tahu dahulu perkara ini biar dia siasat dahulu.
'Pelik. Bagaimana ia boleh berlaku? Setahu aku racun buatan aku itu tak ada sesiapa yang mampu merawatnya. Apakah ada sang penyelamat? Jika benar apa yang aku andaikan ini maka ia pasti merosakkan perancangan aku nanti. Aku harus cari tahu siapakah gerangan orangnya. Atau Sary sendiri mempunyai kuasa? Oh… tidak mungkin. Mengikut kata ratu, gadis itu lemah dan naif.'
Panjang omelan dari hati merusuhnya. Lukisan gundah pada wajah ahli sihir merangkap orang kepercayaannya itu, sudah di sedari oleh sang ratu sedikit-sebanyak menambah lagi rasa gelisah.
Apatah lagi, selepas tubuhnya di serang dengan renjatan tadi sosek-sosek yang selama ini dia memang ingini bagaikan menyirna.
'Aku yakin ini semua petanda. Ke mana kau sang suara ghaib? Benarkah dia sudah mati atau…' Batin Ratu Ratana menimbulkan rasa wasangka sementelah dengan perubahan yang terjadi di riak si bongkok.
"Bongkok, kenapa wajah kau sebegitu rupa jika kau berkata perkara ini tidak…" Tidak sempat menoktah kata si bongkok terpaksa mencelah. Bagi Ratu Ratana tidak tertahan lagi jiwanya mahu menyoal kerana dia pasti ini isyarat.
"Bukan begitu. Aku sedang memikirkan pelan aku itu. Tuanku Ratu tak usah bimbang…" Si bongkok memberi kata janji. Ratu Ratana mengangguk sekian kali sebelum dia bangun. Bila si bongkok mahu membantu Ratu Ratana enggan dibantu lagi.
"Kau jalankan usaha mu itu sekarang!" Arah Ratu Ratana tanpa ingin berpaling belakang.
Kaki yang melangkah laju terhenti seketika di hadapan cermin sakti yang tetap sukar mahu di musnahkan itu. Sudah berapa kali ia menjadi mangsa amarah ratu tanah Qalha itu namun tetap utuh.
"Wahai cermin sakti tunjukkan padaku siapa yang terindah dalam dunia ini…" Ratu Ratana berkata-kata dan si bongkok terkumat-kamit. Dia resah seandainya cermin sakti itu memperlihatkan sesuatu yang di benci.
"Wahai cermin sakti tunjukkan pada aku siapa yang terindah…" Ratu Ratana mengulangi permintaannya sambil tergawang-gawang tangan di depan cermin berkerawang indah itu.
"Wahai cermin mengapa kau… tunjukkan lah aku tahu pasti aku yang terindah…" Ratu Ratana berasa amat yakin tiada perempuan lain yang cermin sakti itu paparkan. Namun nada Ratu Ratana sedikit menekan. Si bongkok menahan perasaan tidak ingin dia menanti lagi. Dia harus cepat bertindak.
"Cermin sakti mengapakah dikau…" Ratu Ratana terbejat kata-kata kala wajah sudah terpapar di permukaan cermin sakti. Dia tadinya berwajah tegang kembali tersenyum penuh kepuasan.
"Sudah aku katakan… akulah yang terindah dalam dunia ini. Haahaha!" Dia mengangkat kedua belah tangan meninggi dan memusing-musingkan tubuh dengan penuh keterujaan dan kebanggaan.
Spontan cermin itu menukar rupa ke wajah seseorang yang ratu tanah Qalha itu bencikan.
"KAU masih hidup. Tapi dunia apakah itu?" Si bongkok menyoal lagi sambil dia berkumat-kamit lagi pada bayangan di hadapan. Segala mantera dia lafazkan bagi memperjelaskan lagi tayangan bayangan itu.
Dunia tanpa nama,
"Aku masih keliru Dahlia dengan semua ini. Aku juga tidak tahu mengapa aku sukar nak ingat beberapa bahagian sebelum aku sampai di sini. Aku hanya ingat aku sedang dikejar oleh orang-orang ratu tanpa aku sendiri tahu aku dah berbuat onar apa. Mengapa pula aku yang mereka nak tangkap sedangkan mencuri buah pun tidak pernah aku lakukan… tapi …"
"Tapi apa Sary? Berceritalah dan luahkanlah agar ia dapat mengurangkan kesendatan jiwa kau itu. Mungkin aku dihantar untuk menjadi peneman kau, Saryleyla yang jelita…"
"Aku di benci oleh seseorang…" Sahut Saryleyla selemahnya. Dahlia si pari-pari berkerut mukanya kala melihat perubahan-perubahan yang berlaku di air wajah Saryleyla. Pun begitu, wajah ayu itu tetap cantik di mata Dahlia.
Tidak pernah dia melihatnya di sini. Kaumnya sendiri pun tiada sejelita manusia di depannya ini. Apakah dia berwujudkan separuh manusia dan bunian?
"Siapakah seseorang itu, Sary?" Dahlia menyoal lagi setelah dia melihat Saryleyla kembali termenung dan semakin bermuram durja.
Kembali semula di istana dengan si bongkok terangguk–angguk sendirian. "Memang kau dibenci wahai sicantik jelita kerana rupa parasmu itu… aku sebenarnya tidak sampai hati mahu berbuat sebegitu pada kau. Tapi aku juga mahukan kedudukan dan juga wang…" ujarnya.
"Dan aku terpaksa menjejaki kau …"
"Jejak siapa?" Ratu Ratana mencuri dengar dari balik dinding bilik pemujaan si bongkok.
Share this novel