PAGI itu, Natrah sudah pun sedarkan diri. Keadaannya juga tampak lebih tenang dan terkawal. Dia tak meracau-racau seperti selalu. Melihat keadaan Natrah, Eirfan menarik nafas lega. Walaupun Natrah banyak termenung dan mendiamkan diri, namun dia tetap bersyukur.
Natrah didekati. "Love..."
Dia tersenyum saat Natrah menoleh ke arahnya. Namun Natrah hanya membalas dengan tersenyum hambar. Jelas ketara pada wajah itu seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
"Kenapa ni?" tanya Eirfan lembut. Dia ingin menyelami hati gadis itu dengan lebih mendalam lagi. Selepas ini, segalanya akan membaik. Jika Natrah sudah stabil dan mampu berfikir dengan waras, dia akan membawa Natrah ke balai polis bagi membuat laporan ke atas Ehsan. Dia tidak akan sesekali melepaskan lelaki itu.
Natrah menggeleng kepala. Dia menghitung hari di dalam hati. Kalau diikutkan, hanya berbaki dua hari lagi tarikh perkahwinan mereka. Dia takut sejujurnya. Walaupun dia tahu perasaan Eirfan terhadapnya, namun terdetik jua di hatinya akan keikhlasan lelaki itu. Siapa saja lelaki di dunia ini yang rela memperisterikan wanita yang sudah rosak?
Mengenangkan itu, perasaan Natrah tiba-tiba hiba. Dia takut sekiranya Eirfan meninggalkannya. Namun dia tidak akan memaksa lelaki itu. Apa saja keputusan Eirfan, dia akan terima dengan hati yang terbuka. Eirfan berhak memilih kebahagiaannya sendiri.
"Love?"
Natrah menoleh ketika namanya dipanggil.
"Kita keluar nak? Lama sangat Love terperap dalam bilik ni. Kita ambik udara segar kejap"
Natrah membisu. Dia berfikir seketika. Dia juga rimas sebenarnya untuk terus berada di dalam bilik itu. Namun dia risau sekiranya Eirfan mengambil peluang itu untuk membincangkan soal perkahwinan mereka dan membatalkannya.
"Jom" Eirfan sudah menarik tangan Natrah untuk mengekorinya.
Mahu tak mahu, terpaksa jua Natrah turutkan.
SUASANA sepi menghantui vila tersebut. Tidak biasanya mereka mengalami situasi seperti itu. Selalunya setiap pagi sudah riuh dengan suara bising Datin Jenny dan kelam-kabutnya Datuk Elias untuk ke pejabat.
Tuan Kassim pula akan membebel kerana olahan anak menantu serta cucunya. Namun pagi itu tidak seperti pagi-pagi sebelumnya.
Muiz duduk di kerusi lalu menjamah pisang goreng masakan Kak Atie yang sedia terhidang di atas meja. Muiz adalah tukang kebun di vila tersebut.
"Kak Atie, apasal sunyi je pagi ni erk? Biasanya jam begini dah kena bising kita kan?"
Kak Atie yang sedang membasuh pinggan mangkuk di sinki mengeluh berat.
"Tak tahulah akak Muiz!" sahut Kak Atie. Dia juga bingung dengan apa yang berlaku di vila tersebut.
"Dari semalam lagi vila ni dah kena macam-macam! Dengan perangai Eirfan malam tadi, lepas tu Ehsan pulak tunjuk taring. Eee seramlah akak!"
"Akak rasa betul ke apa yang Ehsan cakap? Yang dia mengaku pasal..."
Kak Atie menoleh lalu membatalkan niat Muiz untuk menyambung bicaranya. Mana taknya, Kak Atie membeliakkan matanya, seriau pula rasanya!
"Kau ni kan! Jangan nak cakap pasal hal tu. Nanti terdengar dek Datuk ke Datin ke atau Tuan Kassim, lagi teruk kita kena tau??" Kak Atie sudah duduk menyertai Muiz.
"Yelah. Muiz bukannya apa. Terfikir je pasal hal tu..."
"Fikir pun jangan! Nanti teruk kena tau tak?" Kak Atie bercakap seperti berbisik.
"Ni akak nak bagitau kau. Hal ni kau jangan memandai nak sebarkan dekat luar tau? Melainkan kau nak merasa sangat kena pancung kepala oleh Tuan Kassim, kau buatlah!"
Muiz buat gaya kegelian. Simpang malaikat 44! Dia tak berani nak buat hal dengan Tuan Kassim. Itu pun dia bercakap dengan Kak Atie saja. Kalau selain dari Kak Atie, takkan dia nak berani-berani!
"Haaaa tau pun takuttt!!"
"Gila tak takut kak oii??! Tuan Kassim tu bekas komander. Mahunya kita ni dia gantung atas pokok kat luar tu. Eee tak naklah aku kak!!"
"Tahu pun..." Kak Atie senyum meleret. Siapa saja yang tak kenal dengan Tuan Kassim si bekas komander? Takde siapa yang berani buat hal dengan dia ataupun keluarganya. Berani buat hal, berdepanlah dengan maut!
"Ehsannnnnn!!!!"
Jeritan Datin Jenny mengejutkan Kak Atie dan Muiz. Keduanya saling berpandangan.
"Kenapa tu?" soal Muiz.
Kak Atie mengangkat bahu. "Entahlah!"
"Jom pergi tengok kak!"
Muiz sudah menarik tangan Kak Atie untuk mengikuti langkahnya.
"KENAPA senyap je dari tadi ni? Hmmm..." gumam Eirfan. Dia dan Natrah kini sedang duduk di atas bangku kayu yang berhadapan dengan sebuah tasik kecil.
Pagi itu, ramai juga para pesakit dan ahli keluarga masing-masing bersantai di situ. Barangkali mereka juga seperti Natrah, bosan dan tak selesa lama-lama di dalam bilik.
"Saya tak tahu nak cakap apa.." jawab Natrah.
"Cakaplah I miss you ke. I love you.." usik Eirfan. Lama jugak dia tak dengar kalimat itu dari bibir Natrah. Tiba-tiba dia jadi rindu.
"Hmmm..." Natrah terdiam. Dia tiada mood untuk berborak. Bukan kerana bosan tetapi kerana dia malu untuk terus berduaan dengan lelaki itu. Entah apa yang bermain di fikiran Eirfan mengenai dirinya.
"Kenapa? Bosan dengan saya ke?" tanya Eirfan sedikit kecewa.
"Mana ada!" Laju saja Natrah menafikan.
"Dah tu? Macam takde mood je tengok saya"
"Eirfan"
Hati Eirfan berdetak hebat tatkala namanya diseru oleh gadis itu. Nadanya kedengaran serius sahaja. Dia menoleh memandang Natrah di sisi.
"Iye?"
"Boleh tak kalau..." Natrah ragu-ragu dengan ayatnya. Pedih untuknya mengungkapkan itu namun dia terpaksa. Dia tak mahu Eirfan berpura-pura bahagia di hadapannya. Air mata yang ingin munculkan diri segera disapu.
"Boleh tak kalau apa?" tanya Eirfan mengulangi ayat Natrah.
"Kita batalkan saja wedding kita!"
Demi mendengarkan itu, air muka Eirfan berubah mendadak. Dia tidak mengerti dengan permintaan Natrah itu.
"Tapi kenapa? Lagi dua hari kita nak kawen" Suara Eirfan kedengaran melirih sahaja.
Soalan Eirfan dijawab dengan keluhan panjang. Sejujurnya dia tak ingin mengakhiri hubungan mereka namun dia tak mahu Eirfan rasa terpaksa atau lebih parah lagi, merasa jijik dengan dirinya.
Dua hal yang selama ini dia pertahankan akhirnya gugur di tangan lelaki bukan muhrim. Maruahnya sebagai seorang perempuan dan harga diri yang sudah diinjak-injak. Dia tertekan dengan semua ini. Kalau bunuh diri itu bukanlah hal yang salah di sisi agama, gamaknya sudah lama dia mengambil keputusan bodoh itu! Berbekalkan agama dan iman yang hampir menipis, dia tidak mahu tewas dengan hasutan syaitan.
"Love" Suara Eirfan tenggelam timbul seiring dengan nada sebaknya. Dia tidak mahu berpisah dengan Natrah. Bukan dengan cara ini, kecuali jika maut memisahkan.
"Saya dah tak suci lagi, awak tahu tak? Saya dah kotor. Saya sendiri jijik dengan diri saya. Apatah lagi awak, orang lain!! Jangan buat saya rasa diri saya hina di hadapan awak" Natrah sudah menutup wajah dengan kedua telapak tangannya. Esak tangisnya jelas kedengaran.
"Saya malu dengan awak Eirfan! Saya tak boleh nak hadap awak apatah lagi duduk berdua dengan awak. Macam-macam yang saya fikirkan. Entah apa tanggapan awak terhadap diri saya. Saya rasa diri saya berdosa!"
"Segala rasa bercampur-baur dalam diri saya. Saya sayangkan awak. Sungguh! Tapi saya tak nak awak berpura-pura dan rasa terpaksa bahagia setiap kali bersama saya"
"Love..." Eirfan menarik tangan Natrah. Dagu Natrah disentuh lantas wajah itu didongakkan memandangnya. Air mata yang membasahi wajahnya diseka perlahan.
"Awak tak sehina tu. Di mata saya, awak masih suci dan bersih seperti dulu. Saya tak pernah jijik dengan awak. Dan saya tak pernah berpura-pura. I love you as you are. Before, now and in the future"
Natrah masih hanyut dengan sebaknya. Terasa terharu kerana lelaki itu masih setia menemaninya di saat-saat sukar seperti ini. Oh Tuhan! Apa yang akan dilakukannya jika tiada lelaki ini?!
"Tolong jangan suruh saya batalkan perkahwinan kita. Saya tak sanggup kehilangan awak. Biar kita susah dan senang bersama-sama" Eirfan berjanji.
"Awak takkan tinggalkan saya?" lirih Natrah dengan pandangan matanya yang redup.
"Never" sahut Eirfan dengan senyuman di wajah.
"Tapi saya tak nak majlis yang mewah. Cukuplah sekadar akad yang mengesahkan kita. Boleh kan?" pinta Natrah.
Eirfan mengangguk laju. Apa pun syaratnya, dia rela asalkan Natrah tak jadi membatalkan perkahwinan mereka.
VILA Tuan Kassim dipenuhi dengan kereta polis dan ambulans di parkir rumah. Pihak media juga mula membanjiri kawasan tersebut. Flash kamera ada di mana-mana. Setelah Tuan Kassim bersuara, barulah pihak media memberikan kerjasama dengan meninggalkan kawasan rumah tersebut.
Di dalam vila, terdengar esak tangis Datin Jenny yang dari tadi dipeluk oleh Kak Atie. Datuk Elias pula hanya termangu duduk di atas sofa dan merenung kejadian demi kejadian yang telah berlaku.
Pihak polis menyoal siasat Muiz dan beberapa orang pembantu rumah di situ. Dan kenyataan mereka semua sama. Serupa dengan kesimpulan pihak polis. Ehsan bunuh diri!
Mayat Ehsan yang ditutupi dengan kain putih telah disorong keluar oleh pihak forensik. Melalui kenyataan pihak forensik yang bertugas, mereka menyusulkan untuk membuat post-mortem terhadap mayat Ehsan. Namun ditegah oleh Datin Jenny. Dia tak mahu tubuh badan Ehsan dirobek. Dia ingin Ehsan dikuburkan dengan tubuh badan dan jasad yang sempurna.
Permintaan Datin Jenny terpaksa dituruti. Mereka tak punya kuasa sepenuhnya sementelah waris mangsa masih hidup. Jadi segala-galanya adalah tanggungjawab ahli keluarga mangsa.
"Ehsan tak mati kan Atie?! Ehsan tak mati kan?" Tubuh badan Kak Atie digoncang.
"Datin..."
"Cakaplah yang semua ni hanya mimpi!" tangis Datin Jenny lagi.
"Datin..sabar Datin" Kak Atie memaut lengan Datin Jenny yang hampir rebah itu.
Sukar untuk dipercaya dengan apa yang dilihat di hadapan mata saat ini. Betul ke itu mayat Ehsan? Tidak mungkin semuanya dusta. Kerana jeritan Datin Jenny pagi tadi adalah sebagai saksi akan keadaan Ehsan yang telah menggantung diri di atas kipas.
Dan dia ditemui tak bernyawa dengan tiga keping surat di tangan!
"Anak mummy!! Anak mummy" rintih Datin Jenny. Dia belum bisa menerima kenyataan itu. Sesakit inikah kehilangan seorang anak?
"Jen..." Datuk Elias sudah berdiri di samping isterinya. Dia memberikan isyarat mata kepada Kak Atie untuk melepaskan Datin Jenny kepadanya. Kak Atie akur dengan arahan Datuk Elias. Dia segera berlalu dari situ.
"We lost our son. We lost our baby!" lirih suara Datin Jenny mengadu. Masih terbayang-bayang akan wajah Ehsan dalam dakapannya ketika Ehsan baru dilahirkan. Semakin kerap ingatan tersebut bermain di mindanya, semakin kuat dia meraung.
"Jen!" Datuk Elias terjerit tatkala tubuh isterinya rebah.
"Jen!" Datuk Elias sempat menarik isterinya. Didakap erat tubuh yang hampir hilang keseimbangan itu.
"We have just lost our only son. My baby!!" adu Datin Jenny.
"Ini semua salah Jen! Kalau Jen dengar kata dia ,only for once ,this thing wouldn't happen! What have I done? I have killed my own son!!"
"Jen.. It's not your fault. We both raised him with a wrong way! I have failed as a father!!" Datuk Elias juga ikut menangis.
Luahan Ehsan malam tadi terngiang-ngiang di telinganya. Beribu sesalan mula bercambah dalam hatinya. Benar kata Ehsan. Dia seorang ayah yang tak berguna. Dia ayah yang pentingkan diri sendiri. Dia tak pandai jaga keluarganya.
"I pun salah jugak. I admit that. I betul-betul menyesal!"
Jikalaulah masa bisa diputar kembali, pastinya dia dan isterinya akan lebih menjaga dan memberi perhatian kepada Ehsan.
"Apa yang kita perlu buat? I tak boleh hidup tanpa anak I! He's my only son. I want him back! Elias, pleasee!! I want him back!! Pleaseee!!" Datin Jenny sudah seperti hilang kewarasan. Dia inginkan Ehsan kembali ke dakapannya dan dia berjanji akan menjadi seorang mummy yang lebih baik selepas ini.
"Jenn!!"
Tubuh Datin Jenny rebah di atas lantai.
KERETA MYVI diparkir jauh sedikit dari vila gah itu. Sepanjang pemanduan ke vila, otaknya tak henti-henti berfikir dan seakan sukar untuk dia menerima kenyataan yang satu itu.
Sesudah bersarapan dengan Natrah di dalam wad tadi, dia menerima panggilan daripada Tuan Kassim. Yang mengejutkannya adalah berita mengenai Ehsan yang mati bunuh diri.
Seakan berada di alam mimpi, berkali-kali dia tampar wajah sendiri. Baru semalam dia bergaduh dengan Ehsan dan meminta kepertanggungjawaban lelaki itu. Dan kini, dia sudah 'menghantar' nyawanya sendiri ke sana. Ya Allah, sungguh singkat hidup di dunia ini untuk terus berbuat jahat!
Tiba-tiba dia berasa kesal dan bersalah kerana telah berkasar dengan Ehsan semalam. Seharusnya dia ajak saja Ehsan berbincang dengan baik meskipun dia tahu lelaki seperti Ehsan takkan pernah bisa dibawa berbincang. Namun itulah! Ego terlampau menguasai diri sehingga hilang pertimbangan diri.
Eirfan meraup wajah sambil mengeluh kasar. Dia sebenarnya bertimbang-tara hendak masuk ke dalam rumah atau pun tidak. Dia tahu persis penerimaan Datuk Elias dan isterinya terhadap dirinya.
Namun mengenangkan Tuan Kassim dan sebagai tanda hormat akan lelaki itu, dia lembutkan juga hati sendiri untuk masuk ke dalam rumah. Dia menapak keluar dari perut kereta dan berjalan mendekati vila.
Salam diberi dan Tuan Kassim menyahutnya. Eirfan mendekati atoknya lalu tunduk menyalami tangan tua tersebut. Banyak juga tetamu yang hadir namun kebanyakannya hanyalah ahli keluarga dan sanak saudara terdekat sahaja.
"Atok...betul ke..."
Tuan Kassim mengangguk kepala.
"Mayat Ehsan akan dikuburkan petang ni jugak" ujar Tuan Kassim.
Eirfan mengucap panjang. Ya Allah, singkatnya hidup ini! Dia mendongak dan terlihat figura Datuk Elias menuruni anak tangga.
"Datuk..." Eirfan menghulur tangan untuk bersalam tatkala Datuk Elias mendekati Tuan Kassim di situ.
Pada mulanya, Eirfan fikirkan Datuk Elias tak mahu menyambut huluran tangnnya namun sangkaannya meleset sama sekali. Dengan wajah yang tanpa riak, dia sambut juga huluran tangan Eirfan.
Tersentak Eirfan dengan respon Datuk Elias. Pertama kali dalam hidupnya Datuk Elias memberikan respon terhadapnya.
"Mana Datin?" tanya Eirfan, sekadar menenangkan keadaan.
"Kat atas. Tadi dia pengsan. I bawak dia naik dan bagi dia rest" sahut Datuk Elias tanpa menoleh ke arah Eirfan.
Tanpa sedar, ada senyuman terukir di wajah Eirfan dengan respon dari daddynya. Pertama kali Datuk Elias mahu berbicara dengannya walaupun tanpa bertentang mata.
"Takziah atas kepermegian Ehsan. Harap Datuk sekeluarga tabah dan kuat hadap semua ni"
Datuk Elias hanya mengangguk kepala. Sesudah itu, dia minta diri untuk ke balai polis dan hospital bagi menguruskan beberapa perkara.
"HAHH?? Ehsan dah meninggal?"
Saat dikhabarkan akan berita tersebut oleh Eirfan, Nabihah sama sekali tak mampu hendak mempercayainya. Mereka ketika itu sedang menikmati minum petang di kantin hospital.
"Iye. Sukar nak dipercaya tapi itulah hakikatnya. Saya pun baru tahu pagi tadi. Tu pun atok saya yang bagitau" ujar Eirfan lalu mencicip air kopi panasnya.
Nabihah termangu seketika. Baru beberapa hari lepas namanya kecoh kerana telah 'menyakiti' Natrah. Dan hari ini timbul pulak berita mengenai kematiannya. Sungguh sukar untuk diterima akal. Bagaimana agaknya penerimaan Natrah saat mendengar berita ini?
"Ara dah tahu?"
"Belum. Saya tak tahu macam mana nak bagitau dia. Sebut nama Ehsan je, dia dah meracau macam tak tentu hala"
Betul jugak apa yang dikatakan oleh Eirfan itu. Sejak dari peristiwa hitam itu, nama Ehsan seolah-olah sudah anti dalam diri Natrah. Pantang dengar nama Ehsan, dia menggila tak tentu pasal.
"Lagipun sekarang ni emosi dia tengah nak membaik. Saya takut kalau bagitau ni dia akan jadi trauma balik. Sebab dengar nama Ehsan tu yang tak boleh" tokok Eirfan lagi. Fikirnya, buat masa sekarang biarlah perkara ini menjadi rahsia dahulu sementelah emosi dan keadaan Natrah seperti membaik sahaja. Nanti apabila keadaan sudah mampu dikawal barulah dia akan memberitahu sendiri Natrah akan hal ini.
"Yelah Fan. Akak bukannya apa. Risau pulak kalau dia dapat tahu dari orang lain. Nanti dia tuduh kita sengaja nak rahsiakan dari dia" Nabihah meluahkan kebimbangannya.
"In Shaa Allah benda tu takkan berlaku. Kita doa je yang baik-baik" Eirfan menyedapkan hati Nabihah.
"Yelah" ujar Nabihah seraya tersenyum.
"Oh ye kak. Saya nak bagitau yang perkahwinan kami akan diteruskan. Dan kalau ikutkan tarikh, lagi dua hari majlis kami berlangsung"
Wajah Eirfan nampak excited ketika menyuarakan perkara tersebut.
Nabihah memandang wajah Eirfan tak berkedip. Dalam hati, dia panjatkan kesyukuran kerana Eirfan tak pernah meninggalkan Natrah walau apapun yang terjadi. Dia bersyukur kerana adiknya menemui jodoh sebaik Eirfan.
"Kenapa akak nangis?" Eirfan tersentak melihat Nabihah menyeka air matanya.
"Akak happy. Terima kasih banyak-banyak pada Eirfan sebab sudi terima Ara walaupun keadaan dia macam tu. Akak happy sangat-sangat"
"Alhamdulillah terima kasih jugak pada akak sebab percayakan saya. Saya akan jaga Ara dengan baik selepas ni. Akak jangan risau"
Sebuah senyuman dihadiahkan buat bakal kakak iparnya itu.
Nabihah mengangguk kepala, mengiyakan kata-kata Eirfan.
"Tapi majlis kami buat simple saja. Itu pun atas permintaan Ara. Kami jemput keluarga terdekat dan ahli surau aje kak"
"Yelah akak faham. Jangan risau. Yang penting akad dia kan?"
Eirfan mengangguk kepala dengan senyuman di bibir. Dia bersyukur kerana segala doanya bakal dimakbulkan. Pintanya cuma satu. Semoga bahagia milik dia dan Natrah serta keluarga kecil mereka nanti.
In Shaa Allah ya Allah!
Share this novel
Author tlg la. Bagi eirfan dan natra bahagia. Biar eirfan ajar sikit kat si soraya tu