Langkah Nurbaya terhenti mengejut. Secara tiba-tiba oksigen di luar MPH Mid Valley itu bagaikan tidak cukup untuk disedut. Jantungnya berdegup kencang. Aliran darahnya seakan terhenti. Bukan setakat darah tetapi semua organ dalaman tubuhnya dirasakan seolah-olah berhenti berfungsi. Hingar bingar di pusat beli belah itu seperti tidak kedengaran lagi.
Semuanya kerana sekujur tubuh di depannya. Seraut wajah yang amat dikenali walaupun sudah 10 tahun berlalu. Segalanya masih kemas di ingatan. Wajah yang amat ingin dilupakan kerana mengingatinya bererti dia menggali semula peristiwa itu lama itu.
Peristiwa yang hampir mencatatkan titik hitam dalam hidupnya. Tragedi yang hampir memusnahkan masa depannya. Kisah ngeri yang membuatkan dia menjerit dalam tidur seminggu selepas kejadian itu berlalu. Semuanya masih segar dalam ingatan.
Sebaik semangat diri berjaya dipulihkan, Nurbaya lantas melangkah. Mujurlah tuan punya tubuh yang menjadi punca dia kaku untuk seketika tidak melihat ke arahnya. Sedang bergelak sakan dengan rakannya barangkali.
Kaki diheret pantas ke bilik air. Lama dia termenung di dalam salah satu tandas. Perlahan-lahan nafasnya ditarik. Bau-bauan yang tidak menyenangkan di dalam tandas itu bukan lagi masalah apabila musibah besar berada di depan. Sungguh dia tidak menyangka kelibat Fikri dapat dilihat lagi hari ini.
Rupa-rupanya doa yang dipohon setiap kali selepas solat untuk tidak lagi walaupun berselisih bahu dengan lelaki itu tidak dimakbulkan Allah. Benar Nurbaya tidak mahu lagi bertemu walau sebelah mata dengan lelaki itu.
Rupa-rupanya juga jarak 10 tahun masih belum cukup menguatkan semangatnya ketika terpandang kelibat Fikri tadi.
“Mengapa aku mesti terjumpa dia lagi?” keluhnya sendiri. Dia mengomel kecil memarahi diri yang tega merempuh kesesakan jalan raya selepas hujan mengunjungi Mid Valley semata-mata untuk membeli Seikat Kembang Merah, karya terbaru penulis kegemarannya, Imaen.
Memang dia yang mencari penyakit hari itu. Walhal Adlina, teman serumahnya sudah pun berjanji menemaninya hujung minggu itu ke Mid Valley. Dek ketidaksabaran itulah, dia terserempak dengan Fikri.
Nurbaya mengeluh panjang.
“Menyesal betul aku datang sini hari ni. Padan muka aku. Tak menyempat-nyempat sangat. Ambik habuan jumpa dengan jantan tak guna tu.” Katanya perlahan sambil melangkah keluar daripada bilik air.
Umpama mengambil bahagian dalam acara berjalan kaki, Nurbaya pantas melangkah menuju ke tempat meletak kereta. Pada jam 10 malam, kebanyakan pengunjung Mid Valley sudah pun pulang.
Kereta yang tadinya memenuhi parking, kini semakin surut.
Share this novel