MELIHAT kanak-kanak berlari bertempiaran di pergigian pantai, wajahnya merekah dengan senyuman. Teringat dia ketika masih kecil dahulu. Dia dan Nabihah sering ke pantai buat menghiburkan diri. Di situ juga tempat dia dan Nabihah bermain dan berkumpul bersama. Banyak kenangan tercipta di situ.
Tarkala meningkat dewasa, segala-galanya sudah berubah kerana sibuk dengan komitmen masing-masing. Dan kini, dia menjejakkan kaki ke situ lagi setelah hampir lapan tahun tidak bersua dengan tempat itu.
Natrah pandang sekeliling. Banyak pasangan dan keluarga juga menghabiskan masa mereka bersama. Wajah-wajah mereka tampak ceria dan bahagia. Itulah sepatutnya sebuah keluarga diwujudkan. Saling memberi dan menerima.
Seketika Natrah mengeluh. Mengalih pandangan ke arah kedua belah kakinya yang menguis-nguis si pasir. Dia jadi teringat akan perbalahan yang terjadi di antara Datuk Elias, Ehsan dan Eirfan sebentar tadi. Dia dapat mendengar dengan teliti setiap butir perbualan mereka.
Hampir dia tidak percaya Eirfan merupakan anak kandung Datuk Elias dan abang tiri kepada Ehsan. Wajar sahajalah wajah kedua mereka agak mirip. Cuma memang tidak dinafikan Ehsan memiliki sedikit kemachoan jika dibandingkan dengan Eirfan. Namun dari segi sikap dan personaliti, Eirfan jauh lebih baik berbanding Ehsan. Bahkan sangat-sangat jauh berbeza.
Dari bersandar di bonet kereta, dia mengubah posisinya dengan berpaling ke arah Eirfan yang dari tadi menekup muka sambil menangis di dalam kereta. Dia faham perasaan Eirfan. Jika dia di tempat Eirfan, gamaknya habis lebamlah muka si Ehsan itu dia kerjakan! Eirfan memang kuat dan tabah. Natrah sendiri pun tak pasti jika dia mampu setabah itu.
Lihat sajalah pada dirinya. Dijentik sedikit, pasti kesabarannya meletus. Dicabar sedikit, pasti kemarahannya membara. Tidak seperti Eirfan. Walau sejahat mana pun orang itu terhadapnya, dia masih lagi mampu bersabar dan bertahan. Entah dari mana lelaki itu memperoleh ketenangan, dia juga tidak pasti!
Jam di tangan dikerling. Sudah hampir satu jam dia membiarkan Eirfan menangis di dalam kereta. Dan dalam masa itu juga, dia setia menjadi patung cendana di situ, ditemani sang angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan bunyi kicauan burung yang memeriahkan suasana.
Kini dia harus berhadapan dengan Eirfan dan menenangkannya. Dia tidak boleh membiarkan Eirfan begitu sahaja. Lelaki itu perlukan seseorang untuk meluah rasa.
Natrah atur langkah kaki perlahan-lahan untuk mendekati Eirfan. Kini dia sudah terpacak di hadapan pintu kereta. Dia lihat Eirfan masih seperti tadi. Menekup wajah dalam tangisan. Dan baru kali ini, dia boleh nampak sisi lemah lelaki itu.
Perlahan-lahan, pintu kereta dia kuak. Nafasnya dihela sambil perlahan-lahan dia mengalihkan kedua tangan Eirfan dari wajah. Dan wajah itu tampak lemah, goyah dan seakan kalah!
"Eirfan..." Ada getaran saat nama itu diseru. Teringat pula dia lancarkan perang dingin terhadap lelaki itu beberapa hari yang lepas, hatinya dihimpit penyesalan. Tidak disangka hidup lelaki itu penuh duka. Arghh!!
Ditariknya tangan Eirfan untuk keluar dari kereta. Dengan perlahan-lahan, dia bawa Eirfan ke sisi bonet. Wajah itu ditatap lagi.
Dapat dia rasakan betapa lemah dan runtunnya jiwa itu saat itu. Matanya yang berkaca menjelaskan akan lukisan hatinya saat itu. Ya, Natrah bodoh kerana tak bisa mendalami kehidupan lelaki itu sebelum ini!
"Eirfan..."
Genggaman tangan Eirfan dipereratkan. Dia ingin Eirfan tahu kalau dia akan tetap di sisi lelaki itu sampai bila-bila. Dia akan selalu ada saat Eirfan perlukan dia. Kerana dia sedar jiwa dan hatinya yang kosong telah terisi!
"Ara..."
Suaranya yang mengendur menjentik hati wanita milik Natrah. Dan mengejutkan, Eirfan menarik Natrah ke dalam pelukan dan memuntahkan tangisannya di situ.
Natrah serba salah. Dia ingin menolak pelukan tersebut kerana bimbang dengan mata-mata yang memerhati meskipun tiada yang tahu hubungan mereka. Namun pelukan erat dari Eirfan membataskannya. Dia tahu Eirfan sangat terluka.
"Saya tak kuat Ara! I'm a weaker!" lirih Eirfan dengan suara yang sayu.
"Awak ada saya" ujar Natrah seraya membalas pelukan Eirfan.
"You have me..." Natrah ulang kata-katanya. Eirfan mengangguk-angguk kepala. Sukar untuk dilepaskan pelukan itu kerana Natrah juga sedang memberinya sepenuh kekuatan.
DADA meja diketuk berkali-kali. Wajahnya serius. Bibirnya menyenget dengan senyuman sinis. Mata dikatup kemudian dicelik kembali. Nafas yang terasa berat dilepaskan dengan kasar. Dia puas hati kerana akhirnya dapat menyingkirkan Eirfan dari syarikat dan juga dari rumah agamnya. Dan dia juga sangat berpuas hati saat satu suara sebulat melantiknya untuk jawatan pemangku CEO sementara menunggu kesembuhan Tuan Kassim.
Pun begitu, adakalanya hatinya berbisik jahat. Selalu berdoa agar Tuan Kassim tidak akan sedar sampai bila-bila agar dia dapat menguasai segala-galanya. Ajaran daripada Datin Jenny kepadanya agar tidak mengalah dan menjadikan segalanya milik dia telah berjaya diterapkan sedari kecil lagi. Disebabkan itulah dia tidak pernah kenal erti kalah, walaupun harus mendapatkan sesuatu dengan cara kotor!
Kini fikirannya tertumpu kepada satu perkara. Natrah! Dan hubungannya dengan Eirfan. Mereka tampak akrab. Bahkan Natrah dengan lantang dan beraninya turut membela Eirfan di hadapan Datuk Elias.Dan perkara itu tidak pernah terjadi sebelum ini kerana tiada siapa yang berani menentang daddynya. Termasuklah dirinya sendiri!
Dia sangat kagum dengan keberanian gadis itu. Tetapi dalam masa yang sama, dia tidak berpuas hati dengan perangainya yang membela Eirfan. Dia tak habis fikir akan hubungan yang terjalin antara keduanya.
"Are they couple? Love birds?"
Ehsan meneka sendiri. Jika mereka bukan bercinta, itu berita baik buatnya. Namun jika sebaliknya, itu petanda buruk! Kerana apa jua milik Eirfan, harus menjadi miliknya! Titik! Dan jika benar Natrah mempunyai hubungan dengan Eirfan, itu bermaksud dia juga harus memiliki Natrah. Dia tidak akan membiarkan Eirfan menang dan dia kalah!
Tetapi yang pasti, dia harus menyelidiki status hubungan kedua mereka. Dan kemudian, dia akan mulakan rancangannya!
"SAYA tak pernah sangka yang awak anak orang kaya" tutur Natrah. Ketika itu, dia dan Eirfan sedang duduk di gigi pantai. Membiarkan kaki mereka dimanjai dengan air pantai yang sejuk dan mendamaikan itu.
Eirfan senyum mengejek. Anak orang kaya? Anak menumpang adalah! Itulah yang Ehsan selalu gelar dia.
"Betul kan?" tanya Natrah lagi. Senyuman di wajah Eirfan mengiyakan omongannya barusan.
"Tak betul!" sahut Eirfan. Tangannya bermain-main dengan air. Terasa geli pula saat air pantai tersebut bermanja dengan kakinya.
"Yelah tu!" Natrah mencebik.
Dan Eirfan tergelak. "Kalaulah saya ni anak orang miskin, awak tak nak kat saya?"
"Kalau awak anak orang kaya pun, saya tak nak kat awak!" tempelak Natrah pula.
Laju saja Eirfan ketawa. Senang betul hatinya saat berduaan dengan Natrah. Natrah pandai menghidupkan suasana.
"Ohh syukurlah! Maksudnya saya selamat" Eirfan usap dada sendiri.
"Kenapa pulak?"
"Sebab Ehsan pun anak orang kaya. So itu bermaksud, awak pun tak nak kat dia!"
Kali ini, giliran Natrah pula tergelak.
"So saya tak perlulah rasa tercabar atau rasa kena bersaing dengan dia" sambung Eirfan lagi.
"Kenapa? Awak selalu rasa macam tu ke dengan dia?"
"Taklah jugak! Tapi saya adalah terfikir jugak. Macam mana kalau suatu hari nanti, dia sukakan perempuan yang saya suka jugak? Lepas tu, perempuan yang saya suka tu akan lebih memilih dia sebab dia banyak duit, dia kaya ,dia hensem. Dan kalau nak dibandingkan dengan saya ni, sekecil hama pun tak mampu kalau bersaing dengan dia"
"Awak terlalu merendah diri. Seperfect apa pun seseorang tu, mesti ada kelemahan dia yang kita tak tahu atau kita sedia maklum. Tak semua manusia tu sempurna"
Tersenyum lebar Eirfan mendengar kata-kata Natrah itu. Dia sukakan Natrah. Suka sangat-sangat. Dia tak menjangkakan kalau Ehsan juga akan menyukai gadis itu tapi setidak-tidaknya dia lega dengan respon dari Natrah. Jadi tidak ada apa yang harus dirisaukan. Namun jika benar Ehsan juga menyukai Natrah, itu memang sesuatu yang sangat luar biasa kerana Natrah bukanlah ciri-ciri wanita idaman Ehsan. Dan jika Natrah mampu membuka hati keras Ehsan, itu bererti Natrah memang luar biasa. Dan dia, memang sudah jatuh cinta dengan gadis luar biasa itu!
"Awak tak jawab lagi soalan saya" Natrah kembali kepada soalannya yang pertama tadi.
Kening Eirfan terangkat. Dia sempat mengeluh sebelum pandangannya dipusatkan ke hadapan. Jauh dia termenung, merenung pulau-pulau di tengah pantai itu. Melihat ombak yang beralun lembut dan seolah sengaja menggoda sesiapa saja.
"Layak ke saya dipanggil anak orang kaya, anak Datuk Elias sedangkan kehadiran saya sedikit pun tak dianggap?"
Soalan Natrah dijawab dengan pertanyaan. Serentak itu, matanya bertembung dengan mata Natrah yang sedang ralit menilik wajah tenangnya.
"Saya anak yang tak pernah diinginkan oleh ayah kandung saya sendiri, Ara. Saya anak yang sentiasa dianggap sebagai orang luar. Saya anak yang dicop sebagai anak penyondol. Saya anak yang kelahirannya dianggap sebagai malang. Dan saya anak yang hanya menumpang sebagai tetamu dan bila-bila masa je boleh berambus. Dan sekarang, tetamu tu akan pergi sebab dah kena halau oleh ayah kandung sendiri"
Saat menuturkan itu, matanya turut berkaca. Selama ini, walau apa pun hinaan dan cacian yang dilemparkan, dia hanya mampu bertahan demi ibu dan Tuan Kassim. Namun apa yang baru berlaku tidak mampu diterima baik oleh hati dan akalnya.
Melihat ke dalam anak mata milik Eirfan, Natrah turut merasakan kesedihannya. Berkali-kali dia cubit pipi sendiri, seakan tak percaya dengan apa yang berlaku. Namun semuanya sudah berlaku. Dan Eirfan harus tegar menghadapinya.
"Saya tak kuat Ara! Orang lain nampak saya happy, nampak saya kuat, tapi hakikatnya Allah je yang tahu perasaan saya. I'm so shattered! Punah! Tapi itulah yang saya kena hadap, suka atau tak" luah Eirfan.
"Kesian awak. Mesti banyak yang awak dah hadap sebelum ni kan?"
"More than you can imagine!"
Lama Natrah merenung anak mata yang tampak tenang itu. Semakin lama dia merenung, semakin hatinya terusik. Eirfan seorang lelaki yang kuat dan cekal. Dan dia juga seorang lelaki yang hebat kerana mampu menyembunyikan segala kedukaan di sebalik wajahnya yang ceria dan tampang yang sentiasa tersenyum.
"Sampai bila kita nak terus pandang-memandang macam ni? Hmmm?" usik Eirfan dengan senyuman nakalnya.
Usikan Eirfan membahangkan pipi gebu milik Natrah. Alamakk!!
"Tiba-tiba pulak ada blusher semulajadi" omel Natrah dengan iringan tawa yang kecil. Eirfan tergelak.
"Ara..."
Jantung Natrah berdegup kencang saat namanya diseru lelaki itu. Bunyinya cukup romantis membuatkan dia hampir hilang kawalan. Aduh Ara! Kawal diri kau please!!
"Hmm?" sahut Natrah, namun dalam suara yang mengendur. Gugup barangkali!
"Boleh awak jujur dengan saya?"
"Kalau tak ,kenapa? Awak nak hukum saya lagi? Macam kat sekolah dulu?"
Natrah membangkitkan peristiwa sewaktu mereka di alam persekolahan dahulu. Tergelak-gelak Eirfan mengingatkan saat dia menghukum Natrah mencuci keretanya kerana gadis itu pernah membocorkan tayar keretanya. Dan semua itu berlaku gara-gara kecuaian Natrah yang tidak menyiapkan kerja sekolahnya. Natrah balas dendam dengan cara begitu. Geli hati Eirfan setiap kali teringat akan peristiwa itu.
"Awak suka kan, mengungkit benda lama?" tokok Eirfan. Senang pula dengan suasana mereka.
"Alaaa saja je.. Haa awak nak saya jujur pasal apa?"
"Hmmmm" Eirfan sempat berjeda kerana ligat mengatur ayat yang lebih baik dan agar Natrah senang memahaminya.
"Awak sukakan Ehsan ke?"
Terbatuk-batuk Natrah dengan soalan cepumas itu.
"Takde soalan lain ke nak tanya"
"Takde! Haaa cepatlah jawab.." gesa Eirfan.
"Kalau tak jujurnya, saya memang suka dia. Haaa awak terbalikkanlah sendiri ayat tu.." jawab Natrah sambil tergelak.
Dan omongan itu disambut tawa oleh Eirfan. Lega hatinya menerima respon itu. Namun ada satu lagi soalan yang penting yang harus dijawab oleh Natrah. Dan soalan itu akan menentukan segala-galanya.
"Do you like me?" tanya Eirfan, penuh serius. Mereka sempat saling bertatapan sekejap sahaja. Natrah mengalah dengan anak mata redup milik Eirfan.
"Hari ni macam nak hujan je.." Natrah tukar topik perbualan. Dia menggaru-garu tengkuknya sendiri. Alamakk!! Perlu ke dia tanya soalan tu?
Natrah bangkit dari duduknya dan mahu segera berlalu namun langkahnya terhenti saat Eirfan menarik tangannya kembali.
"Natrah, saya tanya awak" Suara Eirfan lebih kepada merayu.
"Errr..." Natrah bingung! Tidak tahu hendak respon bagaimana. Nak mengiyakan, dia malu pulak sementelah dia tidak pernah merasakan getaran seperti ini sebelum ini. Nak menafikan, itu menipu namanya. Dan dia tidak suka menipu.
"Saya kena jawab ke?" tanya Natrah lagi, berlagak polos.
"Kalau tak jawab, awak tak boleh balik" ugut Eirfan pula.
"Elehh, kunci kereta kat saya. Yang tak dapat balik nanti awaklah!" tempelak Natrah kembali. Kunci kereta Eirfan ada padanya.
Eirfan tayang wajah mencuka. "Ish.. susahlah awak ni!"
Eirfan bangkit dari posisinya dan berlalu meninggalkan Natrah di situ. Dia kecewa dengan jawapan Natrah. Susah ke soalan dia sampaikan Natrah tak boleh nak jawab? Cuma perlu kata ya atau tak sahaja. Hmmm...Nak merajuklah!
Melihatkan Eirfan yang semakin jauh meninggalkannya, Natrah cepat-cepat bangkit lantas mengejar langkah lelaki itu. Cuaca pula hampir mendung dan seakan-akan hujan.
"Awak.. Janganlah ajak saya main kejar-kejar. Saya penatlah!" adu Natrah dengan nafasnya yang tercungap-cungap. Langkah Eirfan disaingi.
"Siapa yang ajak awak main kejar-kejar? Awak tu yang buat saya terkejar-kejar" Eirfan sudah mulakan sesi luahan perasaan.
Natrah mematikan langkah seraya menarik Eirfan untuk menuruti jejaknya. Kedua mereka berhenti melangkah. Eirfan pandang wajah Natrah. Lama.
Genggaman Eirfan dipereratkan. Seraya itu, sebuah senyuman berjuntai di wajah Natrah. Meskipun hatinya berdegup kencang, namun dia tahu dia tidak mampu lagi menyorokkan perasaannya sendiri. Sementelah Eirfan juga sudah berani meluahkan perasaan kepadanya.
"Ya. Saya suka awak Eirfan! Suka sangat-sangat!"
Share this novel