Chapter 10

Romance Series 19229

BAB 10

Sepanjang perjalanan ke Hospital Lam Wah Ee, aku berperang dengan perasaanku sendiri. Dalam hati aku berdoa supaya keadaan Navin tidak serius. Walaupun hati aku masih terasa sakit dengan sikapnya, namun aku tidak dapat menipu diriku bahawa aku masih mencintai dia. Bohonglah kalau aku katakan aku tidak bimbang dengan keadaannya.

‘Macamana keadaan awak?” Kesian aku tengok dia berselimut di atas katil dengan muka yang pucat lesi.

“Saya dah tak tahan lagi Dura. Saya rasa macam nak mati.” Navin bersuara lemah. Namun dia cuba juga menghadiahkan senyuman padaku. Hati aku tersentuh. Sebak menguasai dadaku.

“Janganlah cakap macam tu. Awak akan sembuh. Yang penting awak kena kuatkan semangat.” Tak terasa air mata aku mengalir. Keadaannya betul-betul membuat aku rasa sedih.

“Thanks Dura.” Kelopak matanya juga turut berair. Dia mengambil tanganku dan menggenggamnya erat. Aku hanya membiarkan saja perbuatannya. Tidak tergamak pula menolak genggaman tangannya itu.

“Jangan tinggalkan saya, Dura. Saya betul-betul cintakan awak.” Suaranya tersekat-sekat menahan sebak.

Aku mengeluh. Kali pertama aku melihat keadaannya yang begitu menyedihkan. Dan di saat ini, aku rasa seperti hilang punca. Aku hilang kata-kata. Apatahlagi bila melihat air matanya mula mengalir.

Dia menangis! Malah dia langsung tidak ambil peduli dengan kehadiran Anisa dan beberapa mata lagi yang mencuri pandang ke arah kami berdua.

“Saya dah faham Dura…tak ada gunanya saya convert jika hanya kerana cintakan awak. Saya sepatutnya ikhlas dengan niat saya.” Dia masih teresak-esak. Keadaannya tidak ubah seperti anak kecil yang menangis ketakutan.

Aku masih membisu. Memang aku tidak tahu apa yang harus aku cakapkan. Lagipun aku tidak mahu menambahkan rasa sedih di hati Navin. Biarlah dia meluahkan apa yang dirasanya.

“Percayalah Dura.. saya masih ingin menjadi seorang muslim. Kalau ditakdirkan awak bukan milik saya pun, saya tetap mahu mati dalam Islam.”

Aku hanya mampu tersenyum. Namun aku dapat rasakan adanya keikhlasan dalam setiap ayat yang keluar dari bibirnya yang pucat itu. Lagipun, apa yang telah dilakukannya dulu adalah urusannya dengan Tuhan. Aku tidak berhak menghakiminya. Biarlah Tuhan yang menentukannya. Lagipun Tuhan itu Maha Penyayang dan Pengampun.

“Awak mampu lakukan. Yang penting, awak mesti sembuh cepat-cepat.”Aku kini menggenggam tangannya dengan lebih erat. Memberi semangat lewat sentuhan yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini.

“Thanks Dura kerana masih percayakan saya.”

“Saya suka nama Muhammad Izzuddin.” Aku tiba-tiba teringat nama itu. Nama yang ingin aku cadangkan pada Navin sekiranya dia benar-benar mengotakan kata-katanya.

“Muhammad Izzuddin? Sedap nama tu? Apa maksudnya?”

“Erm….kemuliaan agama.”

Itulah kali terakhir aku berbual dengan Navin. Kali terakhir aku menatap wajahnya dan melihat sinar keinsafan dan keikhlasan di matanya. Selepas dia dibenarkan keluar dari hospital itu, aku terus menyepikan diri. Cuma sesekali kami berbalas sms bertanyakan khabar.

Bukan aku ingin menjauhkan diri darinya cuma aku mahu biarkan dia mencari ruang untuk dirinya sendiri. Aku mahu melihat sejauh mana keikhlasan dalam hatinya walaupun tanpa kehadiran aku disampingnya.

Aku tidak mahu hubungan kami merosakkan pemikiran dan niat sucinya itu. Namun begitu, jauh disudut hati aku, aku sentiasa berdoa agar Tuhan sembuhkan penyakitnya dan kuatkan semangatnya untuk meneruskan jalan hidup yang dipilihnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience